Penulis: ChM. Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail
Pensyarah Kanan,
Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Pernahkah anda terhenti sejenak ketika menikmati hidangan ikan kegemaran dan terfikir: adakah ikan ini benar-benar selamat untuk dimakan? Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, ikan bukan sekadar hidangan sampingan; ia merupakan diet harian. Ikan menjadi pilihan utama kerana harganya yang kompetitif serta nilai pemakanannya yang tinggi, terutamanya asid lemak Omega-3 dan protein berkualiti.
Namun, di sebalik kesegarannya ikan-ikan di pasaran, terdapat satu persoalan yang jarang diambil perhatian. Adakah ikan kita benar-benar bebas daripada sisa toksik logam berat? Isu ini bukan sekadar perbincangan akademik di dewan kuliah atau makmal penyelidikan, namun ia merupakan realiti yang berkait rapat dengan kelestarian ekosistem dan kesihatan awam.
Logam Berat: “Tetamu Tak Diundang” dalam Air
Sebelum kita melihat lebih jauh ke dalam sangkar ikan, kita perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan logam berat. Di dalam sains persekitaran, istilah “logam berat” merujuk kepada unsur logam yang mempunyai ketumpatan tinggi dan bersifat toksik walaupun dalam kepekatan yang sangat rendah. Logam berat seperti merkuri (Hg), plumbum (Pb) dan kadmium (Cd) bukanlah bahan yang asing dalam ekosistem akuatik. Ia memasuki sistem sungai dan empangan melalui pelbagai aktiviti manusia:
- Merkuri (Hg): sering dikaitkan dengan aktiviti perlombongan dan pembakaran bahan api fosil. Di dalam air, ia berubah menjadi metil-merkuri yang sangat mudah diserap oleh tisu organisma.
- Plumbum (Pb): berpunca daripada sisa cat, bateri dan limpahan air larian jalan raya. Ia bersifat neurotoksik, iaitu boleh merosakkan sistem saraf.
- (Kadmium) Cd: kebanyakannya datang daripada penggunaan baja fosfat dalam aktiviti pertanian berskala besar dan pembuangan sisa elektronik.
Walaupun hadir dalam kepekatan yang sangat rendah, logam ini mempunyai sifat yang licik. Ia tidak boleh diurai (non-biodegradable), sekali masuk ke kitaran air, ia akan kekal di sana untuk tempoh yang sangat lama.
Mengapa Ikan Sangkar Menjadi Fokus?
Aktiviti akuakultur sangkar di Malaysia, khususnya di sepanjang Sungai Pahang dan Sungai Perak, merupakan penyumbang besar kepada jaminan sekuriti makanan negara. Kerana kaedah penternakan di dalam sangkar yang statik, ikan sangkar sangat bergantung kepada kualiti air sekeliling. Jika air di hulu tercemar, ikan di dalam sangkar tidak mempunyai pilihan untuk melarikan diri. Berbeza dengan ikan liar yang boleh berenang ke kawasan yang lebih bersih, ikan sangkar terperangkap dan terdedah secara berterusan (chronic exposure) kepada apa sahaja bahan yang dibawa oleh arus air.
Bioakumulasi: Bahaya yang Tersembunyi
Ikan mungkin kelihatan normal, segar dan sihat di mata kasar. Namun, secara mikroskopik, proses bioakumulasi sedang berlaku. Logam berat diserap masuk dan terperangkap di dalam tisu otot, hati dan insang ikan. Lebih membimbangkan, fenomena kematian ikan secara besar-besaran yang kerap dilaporkan di beberapa kawasan akuakultur tempatan mungkin merupakan “isyarat awal” (early warning sign). Walaupun puncanya sering dikaitkan dengan kekurangan oksigen, kehadiran logam berat boleh melemahkan daya tahan ikan, menjadikannya lebih rentan kepada perubahan kualiti air.

Kematian Ikan Besar-Besaran
Kita sering membaca berita tentang kematian ikan secara besar-besaran di sungai-sungai utama negara. Walaupun laporan rasmi sering meletakkan punca kepada “kekurangan oksigen terlarut” akibat perubahan cuaca atau pembuangan sisa organik, kita tidak boleh menolak kemungkinan kehadiran logam berat sebagai faktor penyumbang. Logam berat bertindak sebagai agen tekanan kronik. Ia mungkin tidak membunuh ikan secara serta-merta, tetapi ia melemahkan sistem imun ikan, merosakkan struktur insang dan mengganggu fungsi enzim. Dalam keadaan ini, perubahan kecil pada suhu air atau tahap pH sudah cukup untuk menyebabkan kematian mengejut. Ini adalah isyarat kecemasan daripada alam semulajadi yang memberitahu kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan “rumah” sumber protein kita.

Penyelidikan di Makmal UMPSA
Di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), penyelidikan mengenai kualiti air dan keselamatan makanan adalah satu agenda yang kritikal. Sebagai universiti yang terletak di koridor Pantai Timur, kami memandang serius terhadap integriti sumber air, terutamanya Sungai Pahang yang menjadi nadi kepada ratusan pengusaha ikan sangkar.

Penyelidikan kami bukan sekadar untuk menerbitkan jurnal, tetapi untuk menjawab keresahan masyarakat: Sejauh manakah tahap pencemaran ini? Mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983, Malaysia mempunyai garis panduan yang sangat ketat mengenai had maksimum logam berat. Sebagai contoh, had bagi merkuri dalam ikan adalah 0.05 mg/kg. Jika sampel ikan menunjukkan bacaan lebih daripada itu, ia dianggap tidak selamat untuk dimakan. Tugas kami di makmal bukan sekadar mengesan kehadiran logam ini, tetapi memahami bagaimana ia bergerak dari air ke dalam tisu ikan dan akhirnya ke pinggan kita. Fokus penyelidikan keselamatan makanan tertumpu kepada kuantiti dan kualiti sumber makanan yang kita ambil.
Adakah ini bermakna kita perlu berhenti makan ikan? Tentu sekali tidak. Namun, kefahaman tentang rantaian makanan adalah penting. Kita perlu sedar bahawa apa yang kita buang ke dalam sungai, akhirnya akan “kembali” kepada kita dalam bentuk hidangan di atas meja. Artikel akan akan datang akan melihat dengan lebih mendalam bagaimana logam berat memasuki sistem akuatik dan bagaimana ia bergerak dalam rantaian makanan.
Rujukan:
- Kementerian Kesihatan Malaysia. Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (Jadual Ke-14: Had Maksimum Logam Berat). https://hq.moh.gov.my/fsq/peraturanperaturan-makanan-1985
- Jabatan Alam Sekitar. National Water Quality Standards for Malaysia. https://www.doe.gov.my/wp-content/uploads/2021/10/ii-Standard-Kualiti-Air-Kebangsaan.pdf
- Gao, et al. (2025). “Dual pollution risks of phosphorus and heavy metals in cage aquaculture: Implications for Larimichthys crocea farming”. Aquaculture Reports. https://doi.org/10.1016/j.aqrep.2025.103225
- Dabwan, et al. (2022). “Bioaccumulation of Heavy Metals in Mackerel and Red Hybrid Tilapia Collected from Kijal and Paka, Terengganu, Malaysia”. Civil and Environmental Reports. https://doi.org/10.2478/ceer-2022-0057
- Jalal, et al. (2013). “Bioaccumulation of Selected Metals in Fresh Water Haruan Fish (Channa striatus) Collected from Pahang River Basin, Malaysia”. Oriental Journal of Chemistry. http://dx.doi.org/10.13005/ojc/290436
- Kamaruzzaman, et al. (2010). “Levels of Some Heavy Metals in Fishes From Pahang River Estuary, Pahang, Malaysia”.Journal of Biological Sciences. https://doi.org/10.3923/jbs.2010.157.161
- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF). Laporan Statistik Perikanan Tahunan. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. https://www.dof.gov.my/sumber/i-extension/laporan-tahunan/
Biodata Penulis: ChM. Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail merupakan pensyarah kanan program Kimia Industri di Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), seorang Ahli Kimia Berdaftar dan Certified HRDC Trainer. Kajian beliau berfokus kepada keselamatan makanan dan kualiti persekitaran.




