23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Friday, May 15, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Isu dan Cabaran Penternakan Ikan Patin

Isu dan Cabaran Penternakan Ikan Patin

Editor by Editor
13/04/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa
0 0
0

Penulis: Muhammad Azyzul Nazua¹, Dr. Nguang Siew Ing² & En. Muhamad Zudaidy Jaapar³

¹Pembantu Penyelidik (RA), Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi Universiti Malaya
²Pensyarah Kanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
³Pegawai Penyelidik Perikanan, Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi (IPPGL)

 

Akuakultur kini telah mengukuhkan kedudukannya sebagai komponen penting dalam rantaian pengeluaran makanan global. Menurut data terbaharu, jumlah pengeluaran perikanan dan akuakultur dunia mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 223.2 juta tan pada tahun 2022. Daripada jumlah tersebut, sektor akuakultur menyumbang sebanyak 130.9 juta tan, menandakan buat pertama kalinya dalam sejarah, pengeluaran haiwan akuatik melalui akuakultur telah memintas hasil perikanan tangkapan liar. Fenomena ini membuktikan bahawa pergantungan manusia terhadap hasil laut dan sungai semula jadi semakin beralih kepada sistem ternakan yang lebih terkawal. Rantau Asia terus mendominasi carta dunia dengan menyumbang lebih 90% daripada penghasilan akuakultur global. Kejayaan ini dipacu oleh aktiviti ternakan intensif di negara-negara seperti China, Indonesia, dan Vietnam. Malaysia tidak ketinggalan dalam arus pemodenan ini, di mana sektor ternakan ikan air tawar, khususnya spesies Patin, menunjukkan trend peningkatan yang stabil terutamanya pasca pandemik COVID-19.

Di peringkat domestik, statistik tahun 2024 menunjukkan pengeluaran ikan Patin oleh penternak di seluruh Malaysia mencecah 20.94 tan metrik. Angka ini mewakili lebih daripada 20% daripada keseluruhan pengeluaran akuakultur negara, satu jumlah yang signifikan dalam menggambarkan kepentingan spesies ini terhadap ekonomi agromakanan tempatan. Sejak tahun 2019, data daripada negeri-negeri pengeluar utama menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dalam penghasilan produk berasaskan Patin.

Industri akuakultur ikan Patin di Malaysia bukan sekadar aktiviti ekonomi sara diri, malah ia merupakan salah satu tunjang utama kepada sekuriti makanan negara. Namun, di sebalik ribuan sangkar yang terdapat di sungai-sungai utama seperti Sungai Pahang, Sungai Perak, dan Sungai Rajang, banyak isu dan cabaran yang dihadapi oleh pengusaha. Penternak hari ini terpaksa mengemudi operasi mereka dalam arus rintangan yang kompleks, daripada ketidakstabilan biologi dan ancaman alam sekitar, sehinggalah kepada tekanan pasaran global yang tidak menentu. Kegagalan memahami kemelut ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan ribuan keluarga penternak, malah boleh melumpuhkan ekosistem industri yang bernilai jutaan ringgit ini.

Kemelut Bekalan Benih Anak Ikan

Kejayaan sesebuah sistem akuakultur sangat bergantung kepada rantaian bekalan benih (anak ikan) yang konsisten, berkualiti, dan harga yang berpatutan. Tanpa benih yang mencukupi, kitaran pengeluaran akan terhenti, menyebabkan kerugian masa dan kos overhead yang tinggi. Secara biologi, ikan Patin sebenarnya dikurniakan dengan potensi reproduksi yang sangat luar biasa. Seekor induk betina mampu menghasilkan antara 117,000 hingga 153,000 biji telur bagi setiap kilogram berat badannya. Malah, bagi spesies Pangasianodon hypophthalmus yang mencapai berat 10 kg, ia mampu melepaskan lebih sejuta biji telur dalam satu sesi pembiakan.

Namun, realiti di lapangan menunjukkan angka yang jauh berbeza. Penternak sering kali berdepan dengan masalah kekurangan bekalan benih yang kronik. Masalah ini berpunca daripada kadar kemandirian larva yang tersangat rendah, lazimnya di bawah 5% dalam sistem asuhan. Antara faktor saintifik yang menyumbang kepada kegagalan ini adalah sifat kanibalisme yang tinggi pada peringkat larva serta serangan penyakit kulat dan bakteria pada peringkat awal penetasan. Di Malaysia, keterbatasan infrastruktur pusat penetasan swasta memaksa penternak bergantung sepenuhnya kepada 27 pusat penetasan milik kerajaan. Dengan kapasiti pengeluaran sekitar 57 juta benih setahun, fasiliti ini telah pun mencapai tahap penggunaan maksimum. Apabila bekalan terhad, harga benih melambung tinggi, sekali gus memaksa penternak menaikkan harga jualan ikan dewasa untuk menampung kos permulaan yang mahal. Pembangunan teknik asuhan larva yang lebih kos efektif dan berteknologi tinggi amat diperlukan bagi mengatasi masalah ini.

Gambar 1: Proses liritan telur ikan Patin Buah (Pangasius nasutus) bagi tujuan pembiakan berbantu. Gambar ihsan Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi (IPPGL).

Pengurusan Kesihatan Ternakan

Dalam ekosistem akuakultur, pengurusan kesihatan ikan bukan sekadar isu teknikal, malah ia adalah tunjang kepada kelangsungan ekonomi. Penyakit sering kali menjadi ancaman besar yang mampu melenyapkan seluruh modal pelaburan penternak dalam sekelip mata. Statistik menunjukkan bahawa di kawasan ternakan sangkar air tawar, serangan patogen virus dan bakteria bertanggungjawab terhadap hampir 30% daripada jumlah kematian ikan Patin secara purata. Kehilangan pada skala ini bukan sahaja menjejaskan aliran tunai penternak, malah merencatkan bekalan protein negara secara keseluruhan.

Kerentanan ini berkait rapat dengan profil ekologi Malaysia yang terletak di zon tropika. Suhu air yang sentiasa tinggi, lazimnya melebihi 22°C, menyediakan inkubator semula jadi yang sempurna bagi pembiakan mikrob. Patogen tegar seperti Edwardsiella ictaluri, yang merupakan punca utama penyakit septisemia enterik (Enteric Septicaemia of Catfish atau ESC), serta Aeromonas hydrophila yang menyebabkan septisemia motil aeromonad (MAS), menjadi lebih virulen (ganas) dalam persekitaran panas. Data klinikal menunjukkan bahawa peningkatan suhu air akibat perubahan iklim global dijangka akan memburukkan lagi kadar jangkitan ini, memandangkan bakteria ini membiak lebih pantas dalam air yang hangat dan kurang beroksigen.

Selain faktor suhu, krisis kesihatan ini sering berakar umbi daripada amalan pengurusan ladang yang tidak sistematik. Dalam usaha mengejar keuntungan pantas, ramai penternak mengamalkan sistem ternakan intensif dengan kadar kepadatan ikan yang melampau di dalam satu sangkar. Kepadatan yang tinggi ini mengakibatkan persaingan ruang, pengumpulan bahan buangan organik (najis dan sisa makanan), serta kemerosotan kualiti air secara mendadak. Akibatnya, ikan Patin mengalami stres fisiologi yang kronik. Apabila ikan berada dalam keadaan stres, hormon kortisol akan dirembeskan, yang secara langsung melumpuhkan sistem imun semula jadi mereka. Dalam keadaan imun yang rapuh ini, bakteria yang sedia ada di dalam air (patogen oportunistik) akan menyerang dengan mudah, mencetuskan wabak yang sukar dikawal.

Gambar 2: Sistem kolam air tawar yang sering digunakan oleh penternak ikan Patin selain dari binaan sangkar di tepi sungai. Gambar ihsan Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi (IPPGL).

Ketiadaan pemantauan kesihatan yang proaktif dan kepakaran teknikal menyebabkan penternak lebih cenderung kepada strategi “rawatan reaktif”. Apabila ikan mula mati, tindakan pertama yang diambil biasanya adalah pemberian antibiotik secara meluas tanpa diagnosis makmal yang tepat. Penggunaan ubat-ubatan tanpa kawalan ini bukan sahaja meningkatkan kos operasi, malah mengundang risiko yang lebih besar iaitu isu kerintangan antimikrob (AMR). Apabila bakteria menjadi imun terhadap antibiotik, rawatan pada masa hadapan akan menjadi sia-sia, dan sisa ubat-ubatan tersebut boleh mencemari ekosistem sungai serta membahayakan kesihatan manusia yang memakan ikan tersebut. Oleh itu, peralihan daripada pengurusan reaktif kepada pencegahan berasaskan biosekuriti yang ketat dan vaksinasi ikan adalah satu keperluan mendesak demi masa depan industri Patin yang lebih selamat.

Cabaran Alam Sekitar: Cuaca Ekstrem dan Penceroboh Asing

Alam sekitar kini menjadi pemboleh ubah yang paling sukar diramal oleh penternak. Fenomena El Niño yang membawa gelombang haba melampau menyebabkan suhu air sungai meningkat, sekali gus mengurangkan tahap oksigen terlarut (DO). Keadaan ini bukan sahaja membunuh ikan secara langsung melalui sesak nafas, malah menyebabkan ikan hilang selera makan dan terbantut pertumbuhannya. Sebaliknya, musim monsun pula membawa risiko banjir lumpur dan kepala air yang boleh merobohkan struktur sangkar, menyebabkan kerugian total apabila stok ikan terlepas ke perairan bebas.

Selain bencana alam, isu pencemaran air akibat aktiviti industri dan pertanian di hulu sungai turut meruncing. Pencemaran kimia bukan sahaja membunuh ikan, malah boleh menjejaskan kualiti daging ikan Patin yang sangat sensitif terhadap bau dan rasa (off-flavor). Kehadiran spesies ikan asing invasif seperti Peacock Bass dan Ikan Bandaraya (Pleco) pula menambah beban ekologi. Spesies ini bukan sahaja mengganggu keseimbangan rantaian makanan di sungai, malah Ikan Bandaraya yang melekat pada jaring sangkar untuk memakan lumut sering menyebabkan jaring menjadi berat dan rosak, serta menghalang pengaliran air bersih ke dalam sangkar.

Tekanan Pasaran: Persaingan Global dan Piawaian Kualiti

Dari sudut ekonomi, penternak Patin tempatan kini tersepit dalam “perang harga” yang sengit. Kos input utama, iaitu dedak, menyumbang lebih 70% daripada keseluruhan kos operasi. Oleh kerana bahan mentah dedak seperti tepung soya dan jagung bergantung kepada pasaran import, sebarang penyusutan nilai mata wang atau krisis rantaian bekalan global akan terus membebankan penternak. Cabaran paling getir datangnya daripada persaingan ikan Patin import yang jauh lebih murah, terutamanya dari Vietnam. Dengan pengeluaran mencecah 1.65 juta tan setahun, Vietnam menguasai pasaran dunia melalui skala ekonomi yang besar dan pengiktirafan antarabangsa seperti Aquaculture Stewardship Council (ASC). Produk mereka bukan sahaja murah, malah mempunyai “pasport” untuk menembusi pasaran premium di Eropah dan Amerika Utara.

Di Malaysia, skim myGAP (Malaysia Good Aquaculture Practice) diperkenalkan untuk mengangkat kualiti produk tempatan. Walau bagaimanapun, proses adaptasi skim ini dalam kalangan penternak kecil masih perlahan. Kos awal yang tinggi untuk menaik taraf infrastruktur ladang serta keperluan dokumentasi yang rumit menjadi penghalang utama. Tanpa sijil pengiktirafan ini, produk Patin Malaysia akan terus sukar untuk bersaing di peringkat global dan hanya berlegar di pasaran domestik yang semakin tepu.

Melakar Masa Depan Industri Patin Tempatan

Laluan untuk melestarikan industri penternakan Patin di Malaysia bukanlah satu perjalanan yang mudah. Seperti arus sungai yang pasang dan surut, penternak kini berada di titik persimpangan antara mengekalkan warisan akuakultur atau tumpas kepada tekanan global dan alam sekitar. Cabaran yang bermula daripada sekecil-kecil sel larva sehinggalah kepada isu makro ekonomi di pasaran antarabangsa memerlukan satu anjakan paradigma yang menyeluruh. Akhirnya, kelangsungan industri ini bergantung kepada sinergi padu antara pihak kerajaan, penyelidik, dan komuniti penternak. Dengan sokongan polisi yang lebih mesra penternak kecil serta pemantauan kelestarian sungai yang lebih ketat, kita mampu mengubah segala musibah yang melanda menjadi satu tuah yang membawa pulangan ekonomi mampan. Harapannya, Patin akan terus menjadi ikon biodiversiti dan ekonomi air tawar tanah air yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Rujukan

Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO). (2024). Striped catfish- Pangasionodon hypophthalmus.

Mair, G. C., Halwart, M., Derun, Y., & Costa-Pierce, B. A. (2023). A decadal outlook for global aquaculture. Journal of the World Aquaculture Society. John Wiley and Sons Inc.

Jabatan Perikanan Malaysia, (2025). Perangkaan Perikanan Tahunan. Didapati daripada: https://www.dof.gov.my/sumber/perangkaan-perikanan-i/

Padilah, B., Rimatulhana, R., Siti Hawa, M. A., & Azila, A., (2023), Sireh extract (Piper betle) treatment in growth performance and disease prevention of catfish Pangasius hypophthalmus culture at Pahang River, Malaysia. International Journal of Veterinary Sciences and Animal Husbandry. 8(1). 5-12. Didapati daripada: https://www.researchgate.net/publication/370844841

Mahmud, N. S., Mansor, N. N., Abdullah, S. Z., Jalal, K. C. A., Rimatulhana, R., & Amal, M. N. A. (2019). Assessment of bacteria and water quality parameters in cage cultured Pangasius hypophthalmus in Temerloh, Pahang River, Malaysia. Nature Environment and Pollution Technology. 18(5). 1479-1486. Didapati daripada: https://neptjournal.com/upload-images/NL-73-3-01-Final.pdf

 

Biodata Ringkas Penulis

Seorang penyelidik dan ahli akademik dalam pengurusan ternakan, akuakultur dan teknologi pembiakan berbantu (ARTs). Kini aktif di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi Universiti Malaya sebagai penyelidik perikanan dengan kajian dalam konservasi spesies Patin Buah. Mempunyai kepakaran teknikal dalam pengendalian biri-biri baka Barbados Blackbelly serta pengurusan projek penyelidikan akuakultur dengan kerjasama IPP Glami Lemi.

Seorang penyelidik senior dan ahli akademik yang berpengalaman dalam pengurusan ternakan, akuakultur dan teknologi pembiakan berbantu (ARTs) dalam pembiakan ikan. Kini bertugas di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai Pensyarah Kanan bagi subjek perikanan, akuakultur, sains marin dan pengurusan induk ikan.

 

Seorang penyelidik senior dan pegawai Jabatan Perikanan Malaysia yang berpengalaman dalam akuakultur dan teknologi pembiakan berbantu (ARTs) dalam pembiakan ikan. Kini aktif dalam kajian pembiakan ikan tempatan seperti Kelah, Patin Buah dan Baung.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi (IPPGL)Muhammad Azyzul NazuaPegawai Penyelidik Perikananpenternakan PatinPusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi Universiti MalayaUniversiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
ShareTweetShare
Previous Post

Memahami Gempa Terbesar Malaysia di Perairan Kudat Tanpa Tsunami

Next Post

Menembusi Sempadan Mikroskopik: Teknologi Mikro-CT dalam Revolusi Sains Moden

Editor

Editor

Related Posts

Kelestarian Dalam Penghasilan dan Penggunaan Produk Herba Serta Kesannya Terhadap Kesihatan Planet
Alam Semulajadi

Kelestarian Dalam Penghasilan dan Penggunaan Produk Herba Serta Kesannya Terhadap Kesihatan Planet

1 day ago
Ludwig Boltzmann: Ahli Fizik yang Tidak Dihargai
Berita & Peristiwa

Ludwig Boltzmann: Ahli Fizik yang Tidak Dihargai

2 days ago
Antara Mitos dengan Fakta: Adakah Rawatan Salur Akar Menyebabkan Kanser
Berita & Peristiwa

Antara Mitos dengan Fakta: Adakah Rawatan Salur Akar Menyebabkan Kanser

3 days ago
Kenapa Tiba-Tiba Teringin Nak Makan? Sains di Sebalik Mengidam dan Cara Bijak Mengawalnya
Berita & Peristiwa

Kenapa Tiba-Tiba Teringin Nak Makan? Sains di Sebalik Mengidam dan Cara Bijak Mengawalnya

5 days ago
Next Post
Menembusi Sempadan Mikroskopik: Teknologi Mikro-CT dalam Revolusi Sains Moden

Menembusi Sempadan Mikroskopik: Teknologi Mikro-CT dalam Revolusi Sains Moden

Kategori Produk

  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In