Penulis: Ts. Dr Sunny Goh Eng Giap
Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan,
Universiti Malaysia Terengganu
Tanah merupakan asas kepada sistem pertanian, namun dalam beberapa dekad kebelakangan ini, petani di Malaysia semakin berdepan dengan satu cabaran ketara, tanah menjadi terlalu lembut sehingga menjejaskan operasi ladang. Di kawasan penanaman padi khususnya, fenomena ini menyebabkan jentera pertanian sukar berfungsi, malah ada kalanya tenggelam ke dalam tanah. Masalah ini bukan sahaja menjejaskan produktiviti, tetapi juga meningkatkan kos operasi dan risiko kepada petani.
Isu tanah lembut lazimnya dikaitkan dengan hujan berlebihan, sistem saliran yang tidak cekap, serta penggunaan jentera berat secara berulang. Di kawasan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), peningkatan keluasan tanah bermasalah telah direkodkan sejak tahun 1999, menunjukkan fenomena ini semakin serius. Namun begitu, faktor-faktor ini mungkin bukan punca sebenar, sebaliknya hanya mempercepatkan masalah yang lebih asas.
Tanah terdiri daripada tiga jenis partikel utama iaitu pasir, kelodak, dan liat. Setiap jenis partikel mempunyai saiz dan sifat yang berbeza, yang mempengaruhi bagaimana air bergerak dan disimpan dalam tanah. Pasir mempunyai liang yang besar dan membolehkan air mengalir dengan cepat. Sebaliknya, liat terdiri daripada partikel yang sangat halus dengan luas permukaan yang tinggi, menyebabkan air mudah terikat dan sukar dilepaskan. Walau bagaimanapun, bukan sahaja jenis partikel yang penting, tetapi juga bagaimana partikel-partikel ini tersusun dan diagihkan dalam tanah. Taburan ini menentukan saiz dan sambungan liang tanah, yang seterusnya mempengaruhi pergerakan air dan udara.
Tanah lembut terbentuk apabila taburan partikel tidak seimbang, khususnya apabila partikel halus seperti liat mendominasi dan membentuk struktur liang yang menahan air secara berlebihan. Dalam tanah yang kaya dengan liat, liang-liang kecil (micropores) menjadi dominan. Liang ini berfungsi seperti perangkap air, menyebabkan air kekal dalam tanah untuk tempoh yang panjang. Akibatnya, tanah sentiasa berada dalam keadaan lembap atau tepu. Apabila kandungan air meningkat, daya ikatan antara partikel tanah akan berkurang. Tanah menjadi kurang stabil dan mudah berubah bentuk apabila dikenakan tekanan, seperti beban daripada jentera pertanian. Air merupakan komponen penting dalam pertanian, namun dalam tanah berliat, air boleh bertindak sebagai faktor yang melemahkan struktur tanah. Air berfungsi sebagai pelincir antara partikel, mengurangkan geseran dan menyebabkan partikel mudah bergerak. Tambahan pula, kebolehtelapan tanah berliat yang rendah menyebabkan air sukar mengalir keluar. Ini mewujudkan keadaan tanah yang sentiasa tepu, seterusnya mengekalkan keadaan lembut secara berterusan. Keadaan ini menjelaskan mengapa kawasan yang mempunyai hujan tinggi atau sistem saliran yang kurang efektif lebih mudah mengalami masalah tanah lembut.
Aktiviti pertanian moden turut menyumbang kepada perubahan struktur tanah. Dalam sistem penanaman intensif seperti padi dua musim setahun, tanah jarang diberi masa untuk pulih. Penggunaan jentera berat dan pembajakan berulang menyebabkan agregat tanah pecah dan struktur menjadi lemah. Apabila struktur ini rosak, partikel halus menjadi lebih dominan dalam susunan tanah. Dalam keadaan tepu air, tanah ini boleh berubah menjadi seperti lumpur dan kehilangan keupayaan untuk menyokong beban. Fenomena ini telah dilaporkan di beberapa kawasan pertanian utama di Malaysia. Hipotesis ini menunjukkan bahawa pendekatan pengurusan tanah perlu memberi perhatian kepada struktur tanah, bukan hanya kawalan air.
Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk: Penambahan bahan organik untuk meningkatkan pembentukan agregat, Penggunaan biochar bagi memperbaiki struktur dan saliran tanah, dan Penambahan bahan bertekstur kasar untuk mengimbangi taburan partikel. Pendekatan ini bertujuan untuk membina struktur tanah yang lebih stabil dan tahan terhadap perubahan kandungan air.
Penggunaan teknologi moden seperti sensor kelembapan dan suhu tanah, serta sistem Internet of Things (IoT), membolehkan pemantauan keadaan tanah secara masa nyata. Melalui data yang diperoleh, petani dapat mengenal pasti perubahan keadaan tanah lebih awal dan mengambil tindakan sebelum tanah menjadi terlalu lembut. Ini dapat membantu meningkatkan kecekapan pengurusan tanah dan mengurangkan risiko kerugian.
Masalah tanah lembut dalam pertanian bukan sekadar berpunca daripada faktor luaran seperti hujan atau sistem saliran, tetapi juga berkait rapat dengan sifat asas tanah itu sendiri. Taburan partikel tanah memainkan peranan penting dalam menentukan bagaimana air disimpan dan bagaimana tanah bertindak balas terhadap tekanan. Dominasi partikel halus seperti liat, bersama dengan struktur liang yang tidak seimbang, berpotensi menjadi punca utama kepada pembentukan tanah lembut. Pendekatan pengurusan tanah yang lebih mampan perlu mengambil kira aspek fizik tanah ini bagi memastikan kestabilan tanah, meningkatkan produktiviti pertanian, dan menjamin keselamatan makanan negara.





