23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Wednesday, June 10, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Pokok Patah Tulang: Si Pemanjat Empat Segi dengan Khasiat Luar Biasa

Pokok Patah Tulang: Si Pemanjat Empat Segi dengan Khasiat Luar Biasa

Editor by Editor
10/06/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa
0 0
0

Penulis: Dr. Nur Aliah Mohamad Khaduwi1,2, Encik Mohamad Ruzi Abdul Rahman1  & Prof. Dr. Noraini Talip1,2

1Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
2Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Pernahkah anda melihat spesies pemanjat dengan ciri unik seperti batang bersegi empat dan seakan-akan terputus di bahagian tengahnya? Ciri luaran yang menarik seperti struktur tulang yang patah ini pasti memikat pandangan mata yang pertama kali melihatnya. Spesies ini dikenali sebagai pokok patah tulang atau nama saintifiknya, Cissus quadrangularis merupakan tumbuhan ubatan yang semakin mendapat perhatian masyarakat. Di Malaysia, tumbuhan ini dikenali dengan pelbagai nama tempatan selain daripada pokok patah tulang, antaranya tulang-tulang, sipatah-patah, pokok buasir, pokok daun empat muka dan katam seribu.

Taburan

Taburan bagi spesies ini bermula dari Afrika, Asia Selatan (Assam, Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka) serta Asia Barat (Oman, Arab Saudi dan Yaman). Namun, spesies ini semakin popular dalam kalangan masyarakat dan kini telah banyak diperkenalkan di kawasan rantau Asia Tenggara, antaranya di Kemboja, Laos, Filipina, Thailand, Vietnam dan Malaysia (kawasan berwarna merah).

Pengelasan

Pokok patah tulang tergolong dalam genus Cissus dan berada dalam kumpulan Cisseae Rchb. di bawah famili anggur iaitu Vitaceae. Genus Cissus merupakan genus terbesar dalam famili ini, merangkumi kira-kira 300 spesies yang tersebar luas di kawasan tropika dan subtropika dunia, dengan Afrika diiktiraf sebagai pusat kepelbagaian spesies tertinggi serta kawasan asal usul genus tersebut. Spesies lain dalam genus Cissus lazimnya tumbuh sebagai liana atau tumbuhan pemanjat yang menggunakan sulur paut, serta memperlihatkan kepelbagaian bentuk daun, batang dan habitat. Antara spesies Cissus yang direkodkan di Malaysia ialah Cissus discolor, Cissus terengganuensis dan Cissus quadrangularis. Daripada keseluruhan spesies dalam genus ini, Cissus quadrangularis merupakan antara yang paling mudah dikenali kerana batangnya yang bersegi empat, berisi dan bersifat sukulen. Ciri morfologi yang unik ini membezakannya daripada kebanyakan spesies Cissus lain yang lazimnya mempunyai batang silinder atau bentuk pertumbuhan yang kurang menonjol, sekali gus membolehkannya menyesuaikan diri dengan baik di kawasan kering, terbuka dan berbatu.

Sudut taksonomi

Dari sudut taksonomi, Cissus quadrangularis L. tergolong dalam Divisi Streptophyta, Kelas Equisetopsida, Subkelas Magnoliidae, Order Vitales, Famili Vitaceae dan Genus Cissus. Sebelum nama saintifik yang diterima pakai pada hari ini digunakan secara meluas, spesies ini pernah direkodkan di bawah beberapa nama sinonim seperti Saelanthus quadragonus (L.) Forssk. ex J.F. Gmel. dan Vitis quadrangularis (L.) Wall. ex Wight. Kewujudan nama sinonim tersebut mencerminkan sejarah perubahan dan penambahbaikan sistem pengelasan yang berlaku apabila pemahaman terhadap hubungan morfologi dan evolusi spesies tumbuhan ini semakin meluas. Kini, nama Cissus quadrangularis L. diterima secara meluas oleh komuniti saintifik sebagai nama sah bagi spesies yang terkenal dengan batang menyerupai tulang patah serta pelbagai kegunaannya dalam perubatan tradisional.

Kegunaan

Dalam perubatan tradisional Asia dan Afrika, pokok patah tulang telah digunakan sejak ratusan tahun untuk membantu pemulihan tulang patah, melegakan sakit sendi, mengurangkan keradangan serta merawat buasir. Kajian moden turut mendapati tumbuhan ini mengandungi pelbagai sebatian bioaktif seperti flavonoid, triterpenoid, fitosterol dan resveratrol yang mempunyai potensi antioksidan, anti-radang dan membantu pembentukan semula tisu tulang.

Oleh sebab itu, spesies ini sering digelar sebagai “bonesetter plant” dalam perubatan tradisional India dan menjadi subjek pelbagai kajian farmakologi sehingga hari ini. Menariknya, pokok patah tulang bukan sekadar tumbuhan ubatan. Di Asia Selatan, khususnya di India, Cissus quadrangularis bukan sahaja digunakan sebagai tumbuhan ubatan tradisional, malah turut dimanfaatkan sebagai sumber makanan. Batang mudanya sering diproses menjadi acar atau ditambah ke dalam pelbagai hidangan tradisional. Tahukah anda di Tamil Nadu, terdapat sejenis sos atau pes yang popular bernama ‘Pirandai chutney’ yang diproses berasaskan pokok patah tulang sebagai bahan utama? Hidangan ini amat popular dan sering dimakan bersama-sama dengan capati, lempeng beras dan nasi putih yang dicampur bersama sedikit minyak bijan atau minyak sapi. Sos atau pes Pirandai chutney ini mempunyai rasa yang agak unik, sedikit masam, pedas dan beraroma herba. Dalam perubatan tradisional India, ia dipercayai membantu penghadaman, mengurangkan ketidakselesaan gastrik serta menyokong kesihatan tulang. Oleh sebab itu, ia bukan sahaja digunakan sebagai pelengkap makanan tetapi juga dianggap sebagai makanan berfungsi. Selain itu, pucuk mudanya turut dimakan sebagai sayuran, dimasak dalam kari, digoreng, atau dicampurkan bersama sayur-sayuran lain.

Buahnya juga boleh dimakan, manakala bijinya digunakan untuk menghasilkan minyak masak. Malah, abu daripada tumbuhan ini pernah digunakan sebagai pengganti serbuk penaik dalam penyediaan makanan tradisional. Kegunaan yang pelbagai ini menunjukkan bahawa pokok patah tulang bukan sahaja bernilai dari sudut perubatan, malah mempunyai potensi sebagai sumber makanan dan tanaman fungsian yang lestari. Selain itu, spesies ini turut mempunyai nilai hiasan, kerana dapat tumbuh di kawasan yang kering dan tahan dengan persekitaran cahaya matahari yang tinggi, yang menjadikannya salah satu tumbuhan yang sangat mudah untuk dijaga sebagai tanaman hiasan.

Cissus quadrangularis atau Pokok Patah tulang bukan sahaja merupakan tumbuhan yang unik dari segi morfologi, namun turut mempunyai nilai dalam perubatan tradisional, aspek makanan, hortikultur dan penyelidikan saintifik. Kepelbagaian kegunaan serta keupayaannya untuk hidup dalam persekitaran yang mencabar menjadikan tumbuhan ini sebagai sumber biologi yang berpotensi untuk dimanfaatkan secara lestari.

Daripada batangnya yang menyerupai tulang patah hinggalah kepada khasiat yang dikaitkan dengannya, pokok patah tulang membuktikan bahawa tumbuhan yang kelihatan sederhana ini sebenarnya menyimpan pelbagai keunikan dan manfaat yang masih menunggu untuk diterokai. Peningkatan minat terhadap tumbuhan ubatan, makanan berfungsi dan sumber semula jadi yang mampan membuka ruang yang lebih luas untuk penyelidikan serta pembangunan produk berasaskan spesies ini. Selain menyumbang kepada kesejahteraan manusia, pemeliharaan dan penanaman C. quadrangularis turut membantu memastikan pengetahuan etnobotani tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun tidak hilang ditelan zaman. Justeru, pokok patah tulang wajar dihargai bukan sahaja sebagai tumbuhan ubatan, tetapi juga sebagai sebahagian daripada khazanah biodiversiti tropika yang mempunyai nilai saintifik, budaya dan ekonomi yang tinggi.

Rujukan

  1. Chen, Z. D., Ren, H., & Wen, J. (2007). Vitaceae. In Z.-Y. Wu, D.-Y. Hong, & P. H. Raven (Eds.), Flora of China (Vol. 12, pp. 173–222). Beijing: Science Press; St. Louis: Missouri Botanical Garden Press.
  2. Sundaran, J., Begum, R., Vasanthi, M., Kamalapathy, M., Bupesh, G., & Sahoo, U. (2020). A short review on pharmacological activity of Cissus quadrangularis. Bioinformation, 16(8), 579–585. https://doi.org/10.6026/97320630016579
  3. Wen, J., Lu, L.-M., Nie, Z.-L., Liu, X.-Q., Zhang, N., Ickert-Bond, S., Gerrath, J., Manchester, S. R., Boggan, J., & Chen, Z.-D. (2018). A new phylogenetic tribal classification of the grape family (Vitaceae). Journal of Systematics and Evolution, 56(4), 262–272. https://doi.org/10.1111/jse.12427
Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: bonesetter plantCissus quadrangularisetnobotaniFakulti Sains dan TeknologiJabatan Sains Biologi dan Bioteknologikhazanah biodiversitiNur Aliah Mohamad Khaduwipokok buasirpokok daun empat mukapokok katam seribuPokok Patah Tulangpokok pemanjatsipatah-patahspesis pokok lianasukulenTaman Botani BangiUniversiti Kebangsaan Malaysia
ShareTweetShare
Previous Post

Aspirasi SDG 7: Mahasiswa UTHM dan Politeknik Teroka Tenaga Mampan Melalui Pembelajaran Interaktif

Editor

Editor

Related Posts

Aspirasi SDG 7: Mahasiswa UTHM dan Politeknik Teroka Tenaga Mampan Melalui Pembelajaran Interaktif
Berita & Peristiwa

Aspirasi SDG 7: Mahasiswa UTHM dan Politeknik Teroka Tenaga Mampan Melalui Pembelajaran Interaktif

3 hours ago
Rahsia Kod Nombor 1 Hingga 7: Mengapa Usaha Kitar Semula Plastik Anda Mungkin Menjadi Sia-Sia?
Alam Semulajadi

Rahsia Kod Nombor 1 Hingga 7: Mengapa Usaha Kitar Semula Plastik Anda Mungkin Menjadi Sia-Sia?

4 hours ago
Kisah Benar Ahli Matematik: George Dantzig- Pelajar Yang Menyelesaikan Dua Masalah Matematik Sukar di Papan Hitam
Berita & Peristiwa

Kisah Benar Ahli Matematik: George Dantzig- Pelajar Yang Menyelesaikan Dua Masalah Matematik Sukar di Papan Hitam

1 day ago
Akuaponik: Inovasi Pertanian Pintar untuk Keterjaminan Makanan
Alam Semulajadi

Akuaponik: Inovasi Pertanian Pintar untuk Keterjaminan Makanan

2 days ago

Kategori Produk

  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In