Penulis: Muhamad Ammar Hashim¹, Khadijah Maulad Bahrol¹ & Dr. Muhamad Helmy Sabtu²
¹Pensyarah Sambilan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
²Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK),
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Kesedaran terhadap penggunaan tenaga secara cekap dan lestari perlu dipupuk secara berterusan dalam kalangan generasi muda bagi memastikan kelangsungan sumber tenaga dan keseimbangan alam sekitar pada masa hadapan. Sejajar dengan hasrat tersebut, seramai 58 mahasiswa terdiri daripada 38 pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Khidmat Masyarakat Seksyen 2 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh dan 20 pelajar Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail telah menyertai Program Tenaga Mampan: Aspirasi SDG 7 yang berlangsung di UTHM Kampus Pagoh.
Program ini dianjurkan sebagai usaha meningkatkan kesedaran dan penglibatan mahasiswa terhadap kepentingan penggunaan tenaga lestari serta amalan kecekapan tenaga dalam kehidupan seharian. Penganjuran program turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 7 iaitu Tenaga Berpatutan dan Bersih, yang menekankan akses kepada tenaga yang mampu milik, boleh dipercayai, mampan dan moden untuk semua.
Dalam era yang semakin bergantung kepada penggunaan teknologi dan tenaga elektrik, isu pembaziran tenaga serta penggunaan sumber yang tidak cekap menjadi antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian. Penggunaan tenaga yang berlebihan bukan sahaja meningkatkan kos, malah memberi kesan kepada kelestarian sumber semula jadi dan alam sekitar. Oleh itu, pendedahan awal kepada konsep tenaga mampan amat penting bagi membentuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin dan pencetus perubahan pada masa hadapan.
Program ini dilaksanakan menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) dan elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) bagi memastikan peserta memperoleh pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, interaktif dan menyeronokkan.
Aktiviti dimulakan dengan Gerak Mampan, iaitu sesi senamrobik yang bertujuan meningkatkan kecergasan fizikal peserta serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih santai dan mesra. Aktiviti ini turut menjadi medium interaksi awal antara mahasiswa UTHM dan Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail sebelum mereka menyertai aktiviti utama program.
Seterusnya, peserta menyertai Explorace Kuasa Hijau SDG 7, sebuah aktiviti berkonsepkan cabaran berkumpulan yang menggabungkan elemen pengetahuan, kemahiran dan kerjasama. Dalam aktiviti Appliance Hunt, peserta perlu mengenal pasti peralatan elektrik berdasarkan kad gambar dan menentukan peralatan yang menggunakan tenaga elektrik paling tinggi. Aktiviti ini membantu peserta memahami hubungan antara penggunaan peralatan elektrik dan penggunaan tenaga harian.
Melalui Mini Guessing Game, peserta diuji dengan pelbagai soalan berkaitan elektrik dan penggunaan tenaga. Menariknya, setiap ahli kumpulan perlu memberikan jawapan secara individu tanpa berbincang dengan ahli kumpulan lain. Pendekatan ini menggalakkan peserta berfikir secara kritis serta meningkatkan keyakinan terhadap pengetahuan yang dimiliki.
Elemen keseronokan diteruskan melalui Relay Elektrik, yang menggabungkan aktiviti fizikal dan pengetahuan berkaitan tenaga. Peserta perlu melengkapkan cabaran membawa bola pingpong menggunakan sudu sambil melalui laluan yang ditetapkan. Sekiranya bola terjatuh, peserta perlu menjawab soalan berkaitan tenaga elektrik sebelum meneruskan cabaran.
Salah satu aktiviti yang paling menarik perhatian peserta ialah Kentang Elektrik. Aktiviti ini memperkenalkan konsep asas penghasilan tenaga elektrik menggunakan bahan mudah seperti kentang, duit syiling lama, paku dan wayar penyambung. Melalui eksperimen ringkas ini, peserta dapat melihat sendiri bagaimana tindak balas kimia mampu menghasilkan tenaga elektrik dalam skala kecil. Pendekatan hands-on seperti ini membantu peserta memahami konsep sains secara lebih jelas dan praktikal.
Selain itu, peserta turut menyertai Kuiz Kuasa Hijau SDG 7 yang bertujuan mengukuhkan pemahaman mereka mengenai tenaga boleh diperbaharui, amalan penjimatan tenaga dan kepentingan penggunaan tenaga secara lestari.
Kemuncak program ialah Pertandingan Inovasi Solar: Lampu dan Kipas Mampan yang memberi peluang kepada peserta membina model berasaskan tenaga solar menggunakan kit yang disediakan. Menariknya, komponen kit tersebut hanya boleh diperoleh selepas peserta berjaya melengkapkan cabaran-cabaran yang terdapat dalam Explorace Kuasa Hijau SDG 7.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keterlibatan peserta sepanjang program berlangsung, malah membantu mereka memahami bahawa sesuatu inovasi memerlukan ilmu, usaha dan kerjasama yang berterusan. Setelah memperoleh komponen yang diperlukan, peserta bekerjasama menghasilkan lampu solar dan kipas solar yang berfungsi menggunakan tenaga suria.
Melalui aktiviti ini, peserta berpeluang memahami konsep asas teknologi tenaga boleh diperbaharui serta melihat bagaimana tenaga suria boleh ditukarkan kepada tenaga elektrik untuk kegunaan harian. Aktiviti berasaskan STEM seperti ini secara tidak langsung meningkatkan kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah serta minat terhadap teknologi hijau.
Pengarah program, Muhammad Imaduddin Bin Rozaini, berkata program tersebut dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan tenaga bersih dan penggunaan tenaga secara cekap selaras dengan aspirasi SDG 7.
Menurut beliau, setiap individu mempunyai peranan penting dalam memastikan sumber tenaga digunakan secara bertanggungjawab bagi menghadapi cabaran perubahan iklim dan peningkatan penggunaan tenaga pada masa kini.
“Program ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami konsep tenaga mampan melalui pengalaman sebenar. Saya berharap para peserta bukan sahaja memperoleh ilmu dan pengetahuan baharu, malah mendapat pengalaman yang bermakna serta mengamalkan penggunaan tenaga secara lebih berhemah dalam kehidupan seharian,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian dan penutupan program.
Beliau turut menegaskan bahawa perubahan besar bermula daripada tindakan kecil dan budaya penjimatan tenaga boleh dimulakan dalam persekitaran kampus sebelum diperluaskan kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Penasihat program, Encik Muhamad Ammar Bin Hashim, yang juga Pengajar Sambilan Kursus Kokurikulum Berkredit Khidmat Masyarakat Seksyen 2 UTHM Kampus Pagoh, menyifatkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebagai antara kaedah yang berkesan dalam meningkatkan kefahaman mahasiswa terhadap isu kelestarian tenaga dan teknologi hijau.
Secara keseluruhannya, Program Tenaga Mampan: Aspirasi SDG 7 berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan penggunaan tenaga secara cekap dan bertanggungjawab. Program ini membuktikan bahawa pendidikan berkaitan tenaga lestari dapat disampaikan secara lebih berkesan melalui pendekatan interaktif, kreatif dan berasaskan pengalaman.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong agenda pembangunan mampan negara serta melahirkan generasi yang lebih peka terhadap isu tenaga, teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar.
Biodata Ringkas Penulis:
Muhamad Ammar Bin Hashim merupakan pensyarah sambilan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan telah berpengalaman dalam bidang pendidikan selama tiga tahun. Beliau aktif melibatkan diri dalam pelbagai program pembangunan belia, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti di sekitar Pagoh dan Muar, Johor.
Khadijah Maulad Bahrol, merupakan pensyarah sambilan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia yang telah berpengalaman selama 10 tahun. Beliau banyak melibatkan diri dalam program pembangunan belia dan komuniti di sekitar Batu Pahat, Johor .
Muhamad Helmy Bin Sabtu ialah seorang Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), serta kini menyandang jawatan Ketua Jabatan Kepimpinan, Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam dan Kemahiran. Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik dengan minat penyelidikan yang tertumpu kepada politik Islam, pilihan raya dan kajian komuniti terpinggir. Selain aktif dalam bidang akademik dan penyelidikan, beliau turut terlibat secara aktif dalam pelbagai program pembangunan komuniti serta pemerkasaan kepimpinan pelajar.
Gambar-gambar sekitar Program Berlansung





