Penulis: Dr. Muhammad Ashrof Abdullaha,b & Profesor Madya Dr. Julieana Muhammeda,b
aDepartment of Ophthalmology and Visual Sciences, School of Medical Sciences, Universiti Sains Malaysia, Health Campus, Kubang Kerian, Kelantan
bHospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan
Menggosok mata ialah tabiat biasa yang sering dilakukan tanpa sedar, sama ada ketika mata gatal, letih, mengantuk atau sejurus bangun tidur. Gosokan ringan sekali-sekala tidak berbahaya. Namun, gosokan yang kuat, kerap dan berpanjangan memberi tekanan berulang kepada kornea, iaitu lapisan lutsinar di hadapan mata (Rajah 1).

Lebih dua dekad kajian mengaitkan tabiat ini dengan keratokonus (keratoconus), iaitu penyakit yang menyebabkan kornea menipis dan menonjol seperti kon. Ia menjejaskan kira-kira 1.38 bagi setiap 1,000 orang [1] dan lazimnya bermula pada usia remaja dan awal dewasa, iaitu golongan yang sedang belajar dan bekerja. Artikel ini menerangkan kesan gosokan mata, bukti kajian dan langkah untuk melindungi penglihatan.
Mengenali Kornea dan Penyakit Keratokonus
Kornea ialah “tingkap” mata yang jernih dan berbentuk kubah, dengan ketebalan kira-kira setengah milimeter. Ia terdiri daripada lima lapisan utama: epitelium, lapisan Bowman, stroma, membran Descemet dan endotelium. Stroma membentuk sebahagian besar ketebalan kornea. Gentian kolagennya yang tersusun rapi memberikan kekuatan dan mengekalkan bentuk kubah kornea.
Pada mata normal, kornea mempunyai bentuk kubah yang sekata dan membolehkan cahaya difokuskan dengan baik, menghasilkan penglihatan yang jelas. Sebaliknya, keratokonus menyebabkan kornea menjadi semakin nipis dan menonjol seperti kon. Perubahan bentuk kornea ini mengganggu pemfokusan cahaya dan menyebabkan penglihatan menjadi kabur, berbayang atau herot akibat astigmatisme tidak sekata. Rajah 2. Menurut Global Consensus on Keratoconus and Ectatic Diseases terkini pada tahun 2026, keratokonus ialah penyakit kornea yang lazimnya melibatkan kedua-dua mata secara tidak simetri, menyebabkan kornea semakin melengkung dan menipis. Faktor genetik serta tabiat menggosok mata antara faktor yang dikaitkan dengan penyakit ini. Global Consensus on Keratoconus and Ectatic Diseases (2026) mentakrifkan keratokonus sebagai penyakit yang boleh menjadi semakin teruk dari semasa ke semasa serta melibatkan kedua-dua mata dengan faktor genetik dan kerap menggosok mata adalah antara faktor penting [2]. Sesetengah pesakit pada peringkat yang teruk memerlukan pemindahan kornea untuk membantu memulihkan penglihatan.

Nota: Gambar ini hanya gambaran kemungkinan gangguan penglihatan, bukan pengalaman yang sama bagi semua pesakit.
Apa yang Berlaku kepada Kornea Apabila Mata Digosok?
Kornea ialah lapisan jernih di bahagian depan mata. Ia terdiri daripada serat kolagen halus yang tersusun dan terjalin rapi, seperti benang dalam sehelai kain. Apabila kita menggosok mata dengan kuat, bola mata tertekan dan tekanan di dalam mata meningkat buat seketika [3]. Semakin kuat gosokan, semakin tinggi tekanannya. Contohnya, menggosok mata dengan tangan yang digenggam memberi tekanan dua kali lebih kuat berbanding menggosok dengan hujung jari [4].
Jika tabiat menggosok mata berulang setiap hari, tekanan mekanikal boleh menyebabkan gentian kolagen kornea mengalami regangan dan lama-kelamaan melemahkan strukturnya. Gosokan juga boleh meningkatkan bahan berkaitan keradangan dan enzim tertentu dalam air mata yang berpotensi menjejaskan struktur kornea. Kajian menunjukkan bahawa menggosok mata selama satu minit boleh menyebabkan perubahan bahan-bahan ini [5]. Gabungan tekanan mekanikal dan proses keradangan dipercayai menyumbang kepada kelemahan serta penipisan kornea, yang akhirnya boleh menyebabkan kornea menonjol seperti kon [5]. Akhirnya, bahagian kornea menjadi lemah dan menipis, seperti kain yang sudah lusuh. Bahagian ini mula menonjol ke depan sehingga berbentuk seperti kon. Keadaan inilah yang dipanggil keratokonus [3,6]. Proses ini diringkaskan dalam Rajah 3.
Walau bagaimanapun, bukan semua orang yang menggosok mata akan mendapat keratokonus. Risikonya lebih tinggi bagi mereka yang mempunyai alahan seperti ekzema atau resdung, atau yang mempunyai ahli keluarga dengan sejarah penyakit ini.

Apa Kata Bukti Saintifik?
Banyak kajian menunjukkan kaitan yang kuat antara gosokan mata dan keratokonus. Kajian di Kanada mendapati gosokan mata ialah faktor risiko yang paling kuat [7]. Analisis gabungan beberapa kajian mendapati bahawa individu yang mempunyai tabiat menggosok mata menunjukkan kemungkinan mengalami keratokonus kira-kira enam kali lebih tinggi berbanding mereka yang tidak mempunyai tabiat tersebut [8]. Kajian di China juga mendapati hasil yang sama, dengan risiko yang lebih tinggi jika turut mempunyai alahan [9].
Berita baiknya, berhenti menggosok mata boleh membantu. Satu kajian di Perancis yang memantau pesakit selama sekurang-kurangnya tiga tahun mendapati kebanyakan mereka kekal stabil selepas berhenti menggosok mata. Sebaliknya, pesakit yang masih menggosok mata menunjukkan keadaan kornea mata yang bertambah teruk [10].
Pakar masih mengkaji sama ada gosokan mata ialah punca utama keratokonus atau hanya pencetus bagi mereka yang sudah berisiko. Namun, panel pakar mata antarabangsa bersetuju bahawa nasihat “jangan gosok mata” ialah antara langkah terpenting bagi pesakit keratokonus [2].
Siapa Perlu Lebih Berwaspada?
Kanak-kanak dan remaja yang mempunyai alahan, seperti alahan mata (allergic conjunctivitis), ekzema, asma atau resdung, perlu lebih berhati-hati. Mata mereka mudah gatal, jadi mereka lebih kerap menggosok mata [7,9]. Risiko juga lebih tinggi bagi sesiapa yang menggosok mata dengan kuat, terutamanya dengan tangan yang digenggam [4]. Begitu juga dengan mereka yang suka tidur meniarap sehingga mata tertekan pada bantal atau lengan [10].
Selain itu, keratokonus lebih kerap berlaku dalam kalangan yang mempunyai sejarah penyakit keratokonus dalam ahli keluarga terdekat [1]. Individu yang menghidap sindrom Down atau penyakit yang menjejaskan tisu kolagen badan seperti sindrom Marfan juga lebih berisiko [2]. Jika anda atau anak anda tergolong dalam mana-mana kumpulan ini, elakkan tabiat menggosok mata dan dapatkan pemeriksaan mata secara berkala.
Langkah Bijak Ketika Gejala Gatal Mata
Apabila mata terasa gatal, elakkan menggosok mata. Sebaliknya, gunakan titisan air mata tiruan dan kurangkan pendedahan kepada bahan yang mencetuskan alahan. Ubat titis anti-alahan boleh digunakan mengikut nasihat doktor, tetapi elakkan penggunaan ubat titis steroid tanpa pengawasan doktor kerana boleh meningkatkan risiko glaukoma dan katarak. Ibu bapa juga perlu memantau tabiat anak-anak yang kerap menggosok mata. Dapatkan pemeriksaan doktor mata sekiranya gejala berpanjangan atau penglihatan terganggu. Langkah – langkah ini diringkaskan dalam Rajah 4.

Dapatkan Pemeriksaan Mata
Dapatkan pemeriksaan mata jika penglihatan anda semakin kabur atau berbayang walaupun sudah memakai cermin mata. Perubahan kuasa cermin mata yang kerap, terutamanya kuasa silinder (astigmatisme), serta masalah silau ketika melihat cahaya pada waktu malam juga boleh menjadi tanda awal keratokonus.
Dalam sesetengah pesakit, keratokonus boleh menjadi semakin teruk sehingga kornea menipis dan menonjol dengan lebih ketara. Pada peringkat lanjut, kornea boleh mengalami parut atau pembengkakan secara tiba-tiba yang dikenali sebagai hidrops akut (Rajah 5). Keadaan ini boleh menyebabkan kemerosotan penglihatan yang teruk.
Keratokonus boleh dikesan melalui pemeriksaan khusus seperti topografi atau tomografi kornea. Jika penyakit menunjukkan perkembangan, rawatan corneal cross-linking (CXL) boleh membantu memperlahankan atau menghentikan perkembangan keratokonus. Kanta sentuh khas pula boleh memperbaiki penglihatan, manakala pemindahan kornea mungkin diperlukan bagi kes yang lebih teruk [2].

Kesimpulan
Gosokan mata kelihatan remeh, tetapi bagi kornea ia ialah trauma mekanikal yang berulang. Bukti saintifik secara konsisten mengaitkan gosokan yang kuat dan kerap dengan permulaan serta progresi keratokonus, terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai alahan atau kecenderungan genetik. Keratokonus yang dikesan awal boleh distabilkan dan penglihatan dapat dipelihara. Mesejnya mudah: jika mata gatal, rawat puncanya dan jangan gosok.
Rujukan
- Hashemi H, Heydarian S, Hooshmand E, Saatchi M, Yekta A, Aghamirsalim M, et al. The prevalence and risk factors for keratoconus: a systematic review and meta-analysis. Cornea. 2020;39(2):263–70.
- Gomes JAP, Hafezi F, Ambrósio R Jr, Henriquez MA, Campos M, Kinoshita S, et al. Global consensus on keratoconus and ectatic diseases—Edition 2. Cornea. 2026;45(7):888–908.
- McMonnies CW. Mechanisms of rubbing-related corneal trauma in keratoconus. Cornea. 2009;28(6):607–15.
- Hafezi F, Hafezi NL, Pajic B, Gilardoni F, Randleman JB, Gomes JAP, et al. Assessment of the mechanical forces applied during eye rubbing. BMC Ophthalmol. 2020;20(1):301.
- Balasubramanian SA, Pye DC, Willcox MDP. Effects of eye rubbing on the levels of protease, protease activity and cytokines in tears: relevance in keratoconus. Clin Exp Optom. 2013;96(2):214–8.
- McMonnies CW. The evidentiary significance of case reports: eye rubbing and keratoconus. Optom Vis Sci. 2008;85(4):262–9.
- Bawazeer AM, Hodge WG, Lorimer B. Atopy and keratoconus: a multivariate analysis. Br J Ophthalmol. 2000;84(8):834–6.
- Sahebjada S, Al-Mahrouqi HH, Moshegov S, Panchatcharam SM, Chan E, Daniell M, et al. Eye rubbing in the aetiology of keratoconus: a systematic review and meta-analysis. Graefes Arch Clin Exp Ophthalmol. 2021;259(8):2057–67.
- Yang K, Li D, Xu L, Pang C, Zhao D, Ren S. Independent and interactive effects of eye rubbing and atopy on keratoconus. Front Immunol. 2022;13:999435.
- Mazharian A, Flamant R, Elahi S, Panthier C, Rampat R, Gatinel D. Medium to long term follow up study of the efficacy of cessation of eye-rubbing to halt progression of keratoconus. Front Med (Lausanne). 2023;10:1152266.
- Leonardi A. Management of vernal keratoconjunctivitis. Ophthalmol Ther. 2013;2(2):73–88.
Penghargaan dan Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI)
Ilustrasi pendidikan dalam artikel ini dihasilkan dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI), menggunakan OpenAI ChatGPT, dan disemak oleh penulis bagi memastikan kesesuaian serta ketepatan maklumat perubatan. Kandungan saintifik artikel adalah berdasarkan kajian dan rujukan akademik yang dinyatakan.
Sumber ilustrasi: OpenAI ChatGPT (2026), bagi rajah 2,3,4 dan 5 yang dijana menggunakan AI.



