Monday, November 23, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Ilusi Kebahagiaan: Apa yang Tersembunyi di Sebalik Senyuman?

Ilusi Kebahagiaan: Apa yang Tersembunyi di Sebalik Senyuman?

Editor by Editor
23/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Dr. Norili Farhana Ahmad Saberia,b, Dr. Siti Afifah Aliasa,b, Dr. Izyan Shazwani Khairuddina,b
aJabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia
bHospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan

Senyuman sering dianggap sebagai lambang kebahagiaan. Seseorang yang mudah ketawa, ceria ketika bergaul dan aktif dalam kehidupan sosial lazimnya dilihat sebagai individu yang bahagia. Namun, pernahkah kita terfikir bahawa apa yang dipamerkan melalui ekspresi wajah tidak semestinya menggambarkan keadaan emosi sebenar seseorang?

Dalam kehidupan seharian, kita mungkin mengenali individu yang sentiasa kelihatan positif, berjaya dalam kerjaya dan mempunyai kehidupan yang seolah-olah sempurna. Mereka mudah tersenyum, sering menceriakan suasana dan jarang menunjukkan kesedihan. Namun, di sebalik penampilan tersebut, mungkin tersembunyi tekanan, kebimbangan atau konflik emosi yang tidak diketahui oleh orang lain.

Dari sudut psikologi, mengapakah sesetengah individu memilih untuk mempamerkan kebahagiaan walaupun perasaan sebenar mereka mungkin berbeza?

Psikologi di Sebalik Keperluan untuk Kelihatan Bahagia

Manusia secara semula jadi mempunyai keperluan untuk diterima, dihargai dan membina hubungan dengan orang lain. Dalam psikologi sosial, terdapat konsep yang dikenali sebagai impression management, iaitu usaha seseorang untuk mempengaruhi bagaimana dirinya dilihat oleh orang lain.

Sebagai contoh, seseorang mungkin berusaha menampilkan imej sebagai individu yang yakin, berjaya dan sentiasa positif. Mereka mungkin memilih untuk tersenyum walaupun sedang mengalami tekanan kerana tidak mahu dianggap lemah atau tidak mampu mengendalikan kehidupan.

Tingkah laku ini tidak semestinya bermaksud seseorang sedang berpura-pura. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada penyesuaian sosial. Namun, apabila seseorang merasakan dirinya perlu sentiasa kelihatan bahagia sehingga tidak mempunyai ruang untuk menunjukkan kesedihan, keadaan ini boleh menjadi beban psikologi.

Apabila Senyuman Menjadi Topeng Emosi

Dalam psikologi, tindakan menyembunyikan perasaan sebenar di sebalik ekspresi yang berbeza sering disebut sebagai emotional masking. Sebagai contoh, seorang pekerja mungkin sedang menghadapi masalah keluarga tetapi masih perlu tersenyum ketika berinteraksi dengan pelanggan. Begitu juga seorang ibu yang mengalami keletihan emosi tetapi tetap berusaha menunjukkan keceriaan di hadapan anak-anak.

Dalam keadaan tertentu, keupayaan mengawal ekspresi emosi membantu seseorang meneruskan tanggungjawab harian. Namun, terdapat perbezaan antara mengawal emosi secara fleksibel dengan menyembunyikan perasaan secara berterusan.

Tindakan menahan ekspresi emosi dikenali sebagai expressive suppression. Apabila strategi ini digunakan secara berlebihan, ia boleh dikaitkan dengan peningkatan tekanan psikologi, kesukaran membina hubungan rapat dan penurunan kesejahteraan emosi.

Apabila Menyembunyikan Emosi Menjadi Kebiasaan Sejak Kecil

Cara seseorang dibesarkan turut memainkan peranan penting dalam membentuk keupayaan mengenali, memahami dan meluahkan emosi.

Individu yang membesar dalam persekitaran yang kurang menggalakkan ekspresi emosi mungkin terbiasa memendam perasaan sejak kecil. Ungkapan seperti “jangan menangis”, “kena kuat”, “orang lain lagi susah” atau “takkan dengan mak ayah sendiri pun nak stres?” walaupun sering diucapkan dengan niat memberikan nasihat atau semangat, secara tidak langsung boleh menyebabkan seseorang merasakan bahawa emosi yang dialaminya tidak wajar atau tidak sepatutnya diluahkan.

Dalam psikologi, pengalaman apabila perasaan seseorang dinafikan, diperkecilkan atau tidak diiktiraf dikenali sebagai emotional invalidation.

Apabila pengalaman sebegini berlaku secara berulang, sesetengah individu mungkin mula mempercayai bahawa menunjukkan kesedihan merupakan tanda kelemahan, manakala meluahkan kebimbangan hanya akan menyusahkan orang lain.

Lama-kelamaan, mereka belajar menyembunyikan perasaan sebenar dan mempamerkan ketenangan atau keceriaan walaupun sedang mengalami tekanan. Apa yang pada awalnya merupakan cara menyesuaikan diri dengan persekitaran akhirnya boleh menjadi corak pengurusan emosi yang berterusan sehingga dewasa.

Kesan Jangka Panjang Apabila Emosi Terus Dipendam

Kebiasaan menyembunyikan emosi mungkin kelihatan tidak berbahaya pada peringkat awal. Namun, apabila seseorang terus-menerus menafikan atau mengabaikan perasaan sendiri, keadaan ini boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan psikologi.

Individu mungkin mengalami kesukaran mengenal pasti emosi, meluahkan keperluan atau mendapatkan sokongan apabila berhadapan dengan masalah. Mereka mungkin kelihatan tenang di hadapan orang lain, tetapi sebenarnya mengalami tekanan dalaman yang berpanjangan.

Dalam sesetengah keadaan, corak pengurusan emosi yang tidak sihat boleh dikaitkan dengan peningkatan risiko gejala keresahan, kemurungan, gangguan tidur dan masalah hubungan interpersonal.

Walau bagaimanapun, menyembunyikan emosi bukanlah penyebab tunggal gangguan mental. Kesihatan mental dipengaruhi oleh interaksi pelbagai faktor biologi, psikologi dan sosial.

Apa yang membimbangkan ialah apabila seseorang terlalu terbiasa mengatakan dirinya baik-baik sahaja sehingga tidak lagi menyedari bahawa dia sebenarnya memerlukan bantuan.

Media Sosial dan Ilusi Kehidupan Sempurna

Dalam era digital, kebahagiaan bukan sahaja dialami, malah sering dipamerkan. Media sosial dipenuhi gambar percutian, kejayaan kerjaya dan kehidupan keluarga yang kelihatan sempurna.

Fenomena ini berkait dengan social comparison, iaitu kecenderungan membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain.

Apabila seseorang membandingkan realiti kehidupannya dengan gambaran terpilih kehidupan orang lain, dia mungkin merasakan dirinya kurang berjaya atau kurang bahagia.

Pada masa yang sama, tekanan untuk mengekalkan imej positif boleh menyebabkan sesetengah individu semakin keberatan berkongsi kesukaran sebenar.

Namun, perkongsian detik gembira di media sosial tidak semestinya bermaksud seseorang sedang berpura-pura. Apa yang perlu difahami ialah penampilan di media sosial tidak menggambarkan keseluruhan kehidupan seseorang.

Apabila Kebahagiaan Luaran Menyembunyikan Kemurungan

Walaupun tidak semua individu yang menyembunyikan emosi mengalami gangguan mental, dalam sesetengah keadaan, penampilan ceria boleh wujud bersama masalah kesihatan mental seperti kemurungan.

Sesetengah individu masih mampu bekerja, bersosial dan memenuhi tanggungjawab walaupun mengalami gejala kemurungan seperti kehilangan minat, gangguan tidur, keletihan berpanjangan atau perasaan tidak berharga.

Istilah smiling depression kadangkala digunakan secara tidak formal untuk menggambarkan keadaan ini, tetapi ia bukan diagnosis rasmi dalam bidang psikiatri.

Diagnosis kemurungan memerlukan penilaian klinikal berdasarkan gejala, tempoh, tahap keterukan dan kesannya terhadap fungsi kehidupan seseorang.

Oleh itu, kita tidak seharusnya menganggap individu yang sentiasa tersenyum pasti berada dalam keadaan baik, ataupun membuat andaian bahawa setiap individu yang ceria sebenarnya sedang mengalami kemurungan.

Belajar Memahami, Bukan Sekadar Melihat

Kesihatan mental yang baik bukan bermaksud seseorang perlu sentiasa gembira atau berfikiran positif. Kesedihan, kekecewaan, kemarahan dan kebimbangan merupakan sebahagian daripada pengalaman manusia yang normal.

Apa yang penting ialah keupayaan mengenali, menerima dan menguruskan emosi secara berkesan.

Sebagai masyarakat, kita perlu mewujudkan persekitaran yang membolehkan seseorang meluahkan perasaan tanpa takut dihakimi. Kadangkala, pertanyaan ringkas seperti “Awak betul-betul okey?” atau kesediaan mendengar tanpa terus memberikan nasihat boleh menjadi bentuk sokongan yang bermakna.

Bagi individu yang mengalami tekanan emosi berpanjangan sehingga menjejaskan kehidupan seharian, mendapatkan bantuan profesional kesihatan mental merupakan langkah yang wajar.

Akhirnya, kita perlu menerima bahawa seseorang boleh mengalami kegembiraan yang tulen, namun pada masa yang sama sedang menghadapi kesukaran emosi.

Senyuman boleh menggambarkan kebahagiaan, tetapi ia tidak semestinya menceritakan keseluruhan pengalaman seseorang.

Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti menilai kebahagiaan berdasarkan apa yang terlihat semata-mata. Sebaliknya, belajarlah untuk lebih memahami, mendengar dan menerima bahawa di sebalik wajah yang ceria, mungkin ada perasaan yang belum pernah diluahkan.

Gambar 1: Panduan Komunikasi Berempati dan Tanpa Menghakimi
(Sumber: Imej Dijana menggunakan ChatGPT)

 Rujukan

  1. Gross JJ, John OP. Individual differences in two emotion regulation processes: implications for affect, relationships, and well-being. J Pers Soc Psychol. 2003;85(2):348–362. doi: 10.1037/0022-3514.85.2.348.
  2. Butler EA, Egloff B, Wilhelm FH, Smith NC, Erickson EA, Gross JJ. The social consequences of expressive suppression. Emotion. 2003;3(1):48–67. doi: 10.1037/1528-3542.3.1.48.
  3. Morris AS, Silk JS, Steinberg L, Myers SS, Robinson LR. The role of the family context in the development of emotion regulation. Soc Dev. 2007;16(2):361–388. doi: 10.1111/j.1467-9507.2007.00389.x.
  4. Vogel EA, Rose JP, Roberts LR, Eckles K. Social comparison, social media, and self-esteem. Psychol Pop Media Cult. 2014;3(4):206–222. doi: 10.1037/ppm0000047.
  5. Goffman E. The Presentation of Self in Everyday Life. New York: Doubleday; 1959


Biodata penulis

Dr. Norili Farhana merupakan pensyarah dan Pakar Psikiatri di Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memperoleh Ijazah Doktor Perubatan (MD) daripada Universiti Putra Malaysia pada tahun 2011 dan Ijazah Sarjana Perubatan (Psikiatri) daripada Universiti Sains Malaysia pada tahun 2021. Bidang minat dan amalan klinikal beliau merangkumi pelbagai aspek psikiatri dewasa, termasuk gangguan mood, gangguan keresahan, gangguan psikotik dan neuropsikiatri. Beliau turut memberikan tumpuan kepada intervensi psikiatri, khususnya teknik neuromodulasi seperti rangsangan magnet transkranial berulang (rTMS) dan rangsangan arus terus transkranial (tDCS). Minat penyelidikan beliau turut merangkumi penerokaan potensi terapi oksigen hiperbarik (HBOT) sebagai rawatan tambahan bagi penyakit psikiatri. Beliau juga aktif dalam pengajaran, penyelidikan dan program pendidikan kesihatan mental kepada masyarakat.

Dr. Siti Afifah binti Alias ialah pensyarah perubatan dan Pakar Psikiatri di Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kota Bharu, Kelantan. Beliau memperoleh ijazah MBBS pada tahun 2013  dan Sarjana Perubatan Psikiatri pada tahun 2023 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Bidang penyelidikan utama beliau ialah Psikiatri kanak-kanak dan remaja, terutama berkaitan penanda biologikal untuk penyakit psikiatri.

Dr. Izyan Shazwani Khairuddin ialah pensyarah perubatan di Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kota Bharu, Kelantan. Beliau memperoleh ijazah MBBS daripada Monash University, Melbourne pada tahun 2010 dan Sarjana Perubatan (Psikiatri) daripada USM pada tahun 2021. Bidang amalan klinikal beliau merangkumi psikiatri dewasa dan intervensi psikoterapi. Minat penyelidikan beliau menjurus kepada intervensi psikoterapi dan intervensi trauma merangkumi psikospiritual.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: abatan Psikiatriemotional invalidationilusi kebahagiaanMedia SosialNorili Farhana Ahmad SaberiPusat Pengajian Sains Perubatansenyumansocial comparisonUniversiti Sains Malaysia
Previous Post

Dari Sisa Dapur ke Bahan Masa Hadapan: Potensi Kulit Telur dalam dalam Pembangunan Bahan Lestari

Next Post

Musim Tengkujuh Tiba: Sudahkah Mental Anda Bersedia?

Editor

Editor

Related Posts

Tabiat Suka Gosok Mata? Awas, Penglihatan Anda Mungkin Dalam Bahaya
Berita & Peristiwa

Tabiat Suka Gosok Mata? Awas, Penglihatan Anda Mungkin Dalam Bahaya

4 minutes ago
Kanser Mulut: Bagaimana Mengenali Tanda Awal yang Sering Diabaikan?
Berita & Peristiwa

Kanser Mulut: Bagaimana Mengenali Tanda Awal yang Sering Diabaikan?

23 minutes ago
Musim Tengkujuh Tiba: Sudahkah Mental Anda Bersedia?
Berita & Peristiwa

Musim Tengkujuh Tiba: Sudahkah Mental Anda Bersedia?

33 minutes ago
Dari Sisa Dapur ke Bahan Masa Hadapan: Potensi Kulit Telur dalam dalam Pembangunan Bahan Lestari
Berita & Peristiwa

Dari Sisa Dapur ke Bahan Masa Hadapan: Potensi Kulit Telur dalam dalam Pembangunan Bahan Lestari

10 hours ago
Next Post
Musim Tengkujuh Tiba: Sudahkah Mental Anda Bersedia?

Musim Tengkujuh Tiba: Sudahkah Mental Anda Bersedia?

Kategori Produk

  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In