Penulis: Dr. Siti Nur Najibah Fauzia,b, Dr. Sharifah Zubaidiah Syed Jaapara,b & Dr. A’isyah Che Rahimia,b
aJabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia
bHospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan
Langit semakin mendung. Hujan turun tanpa henti. Paras air sungai pula semakin meningkat. Bagi sesetengah orang, bunyi hujan membawa suasana yang menenangkan. Namun, bagi mereka yang pernah menjadi mangsa banjir, bunyi yang sama boleh mengundang perasaan yang sangat berbeza.
“Kalau banjir lagi tahun ini, macam mana?”
“Barang yang rosak tahun lepas pun belum habis diganti.”
“Cukupkah duit untuk baiki rumah sekali lagi?”
Walaupun air belum memasuki rumah, fikiran sudah mula membayangkan pelbagai kemungkinan buruk. Tidur menjadi tidak lena, hati sentiasa berdebar, dan setiap kali hujan turun, timbul keinginan untuk menjenguk paras air di luar rumah.
Musim tengkujuh kini kembali. Ketika ramai sibuk menyediakan beg kecemasan, ada satu persediaan yang sering dilupakan, iaitu persediaan mental.

Apabila Banjir Berlalu, Ketakutan Masih Tinggal
Banjir bukan sekadar merosakkan harta benda. Bagi sesetengah mangsa, kesannya berlarutan jauh selepas air surut.
Bayangkan sebuah keluarga yang baru sahaja menggantikan perabot selepas banjir tahun lalu. Belum sempat simpanan dikumpul semula, musim tengkujuh kembali menjelang. Bagi keluarga berpendapatan rendah, kerugian beberapa ribu ringgit bukan sesuatu yang mudah ditanggung.
Kerja membersihkan rumah pula bukan perkara kecil. Lumpur perlu dibuang, perabot rosak perlu diangkat dan rumah perlu dibersihkan sebelum boleh didiami semula. Keletihan fizikal ini sering hadir bersama tekanan emosi dan kewangan. Bagi mereka di pusat pemindahan sementara (PPS) pula, ruang yang terhad, kurang privasi dan ketidakpastian tentang keadaan rumah menambahkan keresahan.
Kajian di England mendapati, setahun selepas banjir, 36% mangsa yang rumahnya dimasuki air menunjukkan simptom gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), 28% simptom kebimbangan dan 20% simptom kemurungan. Angka ini berdasarkan saringan, bukan diagnosis doktor, tetapi kadarnya masih tinggi dua tahun kemudian. Di Malaysia, kajian selepas banjir besar Kelantan 2014 mendapati petugas perubatan yang membantu mangsa juga turut mengalami kebimbangan dan simptom trauma.
Banjir bukan sahaja merosakkan rumah, tetapi turut menjejaskan kesejahteraan emosi penghuninya.
Mengapa Kita Sudah Risau Walaupun Banjir Belum Berlaku?
Pernahkah anda berasa cemas apabila melihat awan gelap, walaupun hujan belum turun?
Keadaan ini dikenali sebagai anticipatory anxiety, iaitu kebimbangan terhadap sesuatu perkara buruk yang dijangka mungkin berlaku pada masa hadapan. Otak manusia mempunyai “sistem penggera” semula jadi untuk mengesan ancaman. Pengalaman banjir lalu menjadikan sistem ini lebih peka terhadap apa sahaja yang mengingatkan kita kepada kejadian itu, seperti hujan lebat atau amaran paras air.
Sebenarnya, rasa bimbang apabila ada risiko banjir adalah reaksi normal kerana ia mendorong kita berjaga-jaga. Namun, apabila fikiran sentiasa membayangkan kemungkinan terburuk sehingga mengganggu tidur, tumpuan atau kehidupan harian, keresahan itu perlu diberi perhatian.
Bagaimanakah kita boleh bersedia dari segi mental untuk menghadapi musim tengkujuh?

Lapan Langkah Persiapan Mental
1. Kenali dan terima perasaan anda
Rasa cemas selepas melalui banjir adalah reaksi normal, bukan tanda lemah. Cuba namakan perasaan itu, contohnya “Saya rasa takut kerana teringat banjir tahun lepas.” Menamakan emosi membantu kita melihatnya dengan lebih tenang.
Pengalaman banjir lalu boleh menjadikan seseorang lebih peka terhadap tanda bahaya.
2. Tukar kerisauan kepada tindakan
Setiap kali risau, tanya diri: “Apa satu perkara yang boleh saya buat sekarang?” Contohnya, masukkan dokumen penting ke dalam beg kalis air, ambil gambar dokumen dan simpan dalam telefon, kenal pasti lokasi PPS terdekat, dan bincangkan pelan pemindahan bersama keluarga.
Kita tidak mampu menghentikan hujan, tetapi boleh merancang siapa yang membantu kanak-kanak atau warga emas dan cara keluarga berhubung jika terpisah.

3. Dapatkan maklumat daripada sumber rasmi, tetapi hadkan masanya
Keinginan untuk sentiasa menyemak ramalan cuaca memang boleh difahami. Rujuk aplikasi myCuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan portal Public InfoBanjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS). Elakkan terlalu mempercayai video tular atau menyemak berita setiap beberapa minit. Tetapkan waktu menyemak maklumat rasmi sambil memastikan amaran kecemasan masih dapat diterima.
Utamakan maklumat yang membantu anda membuat keputusan, bukan yang menambah keresahan.
4. Peruntukkan “masa risau”
Pilih 15 minit sehari untuk menulis semua kerisauan anda. Di luar masa itu, apabila fikiran mula risau, ingatkan diri: “Saya akan fikirkan ini pada masa risau nanti.” Teknik ini membantu mengelakkan kebimbangan memenuhi sepanjang hari.
5. Tenangkan badan dengan pernafasan dan teknik grounding
Apabila cemas, jantung berdegup laju, otot menjadi tegang dan pernafasan terasa pendek. Cuba tarik nafas perlahan selama empat saat dan hembus selama enam saat. Hembusan yang lebih panjang membantu memperlahankan degupan jantung.
Kemudian, cuba teknik grounding 5-4-3-2-1: perhatikan lima benda yang boleh dilihat, empat yang boleh disentuh, tiga bunyi yang didengar, dua bau yang dihidu dan satu rasa di mulut.

Mengapa perlu kembali kepada saat ini? Ketika cemas, minda sebenarnya tidak berada di sini. Ia sama ada sedang “mengulang tayang” banjir lalu atau membayangkan banjir yang belum tentu berlaku, dan badan bertindak balas seolah-olah bahaya itu sedang berlaku. Apabila kita fokus kepada apa yang dilihat, didengar dan disentuh sekarang, otak menerima bukti bahawa pada saat ini kita selamat, lalu sistem penggera dalam badan perlahan-lahan reda.
Namun, jika air sedang naik atau arahan berpindah dikeluarkan, utamakan keselamatan fizikal.
6. Amalkan mindfulness (kesedaran penuh)
Mindfulness bermaksud memberi perhatian sepenuhnya kepada saat ini tanpa menghakimi apa yang dirasa. Teknik grounding sesuai digunakan ketika cemas memuncak, manakala mindfulness ialah latihan harian yang membina ketenangan dari semasa ke semasa. Mulakan dengan lima hingga 10 minit sehari. Duduk dengan selesa dan perhatikan nafas yang keluar masuk. Apabila fikiran melayang kepada kerisauan tentang banjir, sedari sahaja tanpa memarahi diri, kemudian kembalikan perhatian kepada nafas. Ia juga boleh diamalkan semasa aktiviti harian seperti makan, berjalan atau berwuduk dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada apa yang sedang dilakukan. Kajian menunjukkan amalan mindfulness membantu mengurangkan kebimbangan dan kemurungan (Hofmann et al., 2010).
7. Kekalkan rutin harian
Tidur dan makan pada waktu yang tetap, beribadah, dan teruskan aktiviti yang menenangkan. Jika berada di PPS, bawa barang kecil yang memberi keselesaan seperti buku, sejadah atau permainan kegemaran anak-anak. Jika perlu memantau keadaan cuaca, lakukan secara bergilir bersama ahli keluarga supaya semua orang berpeluang berehat.
8. Belajar daripada pengalaman lalu
Tulis apa yang berjaya dilakukan semasa banjir sebelum ini dan apa yang ingin dilakukan secara berbeza. Pengalaman pahit boleh menjadi panduan, bukan sekadar trauma. Selepas air surut pula, pecahkan kerja membersihkan rumah kepada tugasan kecil, minta bantuan jiran atau sukarelawan, dan berehat secukupnya. Tidak semua perkara mesti selesai dalam sehari.

Bila Perlu Mendapatkan Bantuan?
Dapatkan penilaian profesional jika simptom kerisauan dan kemurungan berlarutan lebih daripada dua minggu, semakin teruk atau menjejaskan kehidupan harian. Mimpi buruk, ingatan trauma yang kerap mengganggu dan usaha mengelak apa sahaja berkaitan banjir juga perlu diberi perhatian. Hubungi Talian HEAL 15555 Kementerian Kesihatan Malaysia (setiap hari, 8.00 pagi hingga 12.00 tengah malam), atau dapatkan rawatan di klinik kesihatan yang boleh merujuk anda kepada pakar psikiatri. Anda juga boleh terus berjumpa doktor psikiatri di hospital kerajaan atau swasta. Dalam kecemasan, hubungi 999.
Rumah Perlu Dipulihkan, Mental Juga Perlu Dijaga
Kita tidak mampu menghalang musim tengkujuh, tetapi kita boleh bersedia. Persediaan mental bukan bererti tidak takut, sebaliknya belajar mengurus keresahan dan mendapatkan bantuan apabila perlu.
Jadi, apabila musim tengkujuh menjelang, pastikan beg kecemasan sudah tersedia, dokumen penting telah disimpan dan laluan keselamatan telah dikenal pasti. Tetapi jangan lupa bertanya kepada diri sendiri satu lagi soalan:
“Selain rumah dan keluarga, sudahkah kita bersedia dari segi mental untuk menghadapi banjir?”
Rujukan
- Cruz, J., White, P. C. L., Bell, A., & Coventry, P. A. (2020). Effect of extreme weather events on mental health: A narrative synthesis and meta-analysis for the UK. International Journal of Environmental Research and Public Health, 17(22), 8581.
- Foudi, S., Osés-Eraso, N., & Galarraga, I. (2017). The effect of flooding on mental health: Lessons learned for building resilience. Water Resources Research, 53(7), 5831–5844.
- Hofmann, S. G., Sawyer, A. T., Witt, A. A., & Oh, D. (2010). The effect of mindfulness-based therapy on anxiety and depression: A meta-analytic review. Journal of Consulting and Clinical Psychology, 78(2), 169–183.
- Jermacane, D., Waite, T. D., Beck, C. R., Bone, A., Amlôt, R., Reacher, M., et al. (2018). The English National Cohort Study of Flooding and Health: The change in the prevalence of psychological morbidity at year two. BMC Public Health, 18, 330.
- Kumar, P. U. (2017). Prevalence of psychological distress and its associated factors among medical relief workers involved in the 2014 flood disaster in Kuala Krai, Kelantan [Disertasi]. Universiti Sains Malaysia.
- Waite, T. D., Chaintarli, K., Beck, C. R., Bone, A., Amlôt, R., Kovats, S., et al. (2017). The English national cohort study of flooding and health: Cross-sectional analysis of mental health outcomes at year one. BMC Public Health, 17, 129.
- Kementerian Kesihatan Malaysia. Talian HEAL 15555.
Maklumat Penulis
Dr. Siti Nur Najibah Fauzi, Dr. Sharifah Zubaidiah Syed Jaapar dan Dr. A’isyah Che Rahimi merupakan pensyarah di Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.




