23 °c
Kuala Lumpur
26 ° Sat
27 ° Sun
27 ° Mon
25 ° Tue
Tuesday, July 7, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Di Sebalik Kelazatan Makanan Laut Kering Langkawi: Apa Kata Sains Tentang Merkuri?

Di Sebalik Kelazatan Makanan Laut Kering Langkawi: Apa Kata Sains Tentang Merkuri?

Editor by Editor
07/07/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Nabilah Nadjwa Mohd Nazri, Mohamad Hafiz Abdul Halim & Prof Madya Dr. Masni Mohd Ali

Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi
Universiti Kebangsaan Malaysia

Makanan laut kering seperti ikan bilis, ikan masin, udang kering dan sotong kering bukanlah sesuatu yang asing lagi di dapur rakyat Malaysia. Dalam nasi lemak, sambal tumis, atau lauk harian, bahan ini sering menjadi penyedap rasa kerana aromanya yang kuat, dan tahan lama. Di Pulau Langkawi, Kedah, makanan laut kering juga dekat dengan kehidupan komuniti pesisir serta menjadi produk yang mudah ditemui di premis perniagaan tempatan. Namun, di sebalik kelazatan dan nilai tradisinya, timbul satu persoalan penting: adakah makanan laut kering turut membawa risiko pencemaran logam berat, khususnya merkuri?

Merkuri ialah logam berat yang boleh wujud secara semula jadi, tetapi tahapnya di alam sekitar boleh meningkat akibat aktiviti manusia seperti pembakaran arang batu, pembuangan sisa industri, pelupusan sisa elektronik dan perlombongan. Apabila merkuri memasuki sungai atau laut, sebahagiannya boleh bertukar menjadi metilmerkuri, iaitu bentuk yang lebih mudah diserap oleh hidupan marin. Merkuri ini boleh terkumpul dalam tisu ikan dan haiwan laut, kemudian memasuki rantaian makanan. Proses pengumpulan ini dikenali sebagai bioakumulasi, manakala peningkatan kepekatan merkuri apabila bergerak ke aras rantaian makanan lebih tinggi dikenali sebagai biomagnifikasi.

Sebuah kajian penyelidikan oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah meneliti isu ini dengan memberi tumpuan kepada makanan laut kering yang dijual di sekitar Pulau Langkawi. Sebanyak 16 spesies telah dianalisis, termasuk udang geragau, udang kering, ikan tamban kecil, ikan kekek, ikan kembung besar, ikan malong, ikan masin gelama, sotong kering, ikan pari nipis serta beberapa jenis ikan bilis. Kajian ini bukan sahaja menentukan kepekatan merkuri dalam sampel, malah menilai potensi risiko kesihatan kepada orang dewasa dan kanak-kanak melalui beberapa indeks penilaian risiko.

Berita Baik untuk Penggemar Makanan Laut Kering

Hasil kajian ini membawa berita yang melegakan. Semua sampel makanan laut kering yang dianalisis didapati mengandungi merkuri, namun kandungannya masih berada pada tahap yang rendah dan selamat. Secara purata, kepekatan merkuri yang dikesan hanyalah antara 0.03 hingga 0.33 mg/kg, iaitu masih di bawah had maksimum 0.5 mg/kg yang ditetapkan oleh Codex Alimentarius Commission. Ini bermakna, makanan laut kering yang dikaji masih memenuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa dan secara amnya selamat untuk dimakan dalam jumlah yang biasa.

Namun begitu, perkataan “selamat” tidak bermaksud kita boleh menikmati makanan laut kering tanpa had. Walaupun makanan ini biasanya dimakan dalam kuantiti yang sedikit, ia sering menjadi sebahagian daripada hidangan harian, seperti dalam sambal, perencah sup atau sebagai lauk sampingan. Jika diambil secara kerap dalam tempoh yang panjang, pendedahan kepada merkuri walaupun pada kadar yang rendah tetap wajar diberi perhatian. Oleh itu, mereka yang kerap mengambil makanan laut kering atau menjadikannya makanan rutin harian disarankan untuk mengamalkan pengambilan secara sederhana dan seimbang.

Mengapa Ikan Bilis Putih dan Sotong Kering Lebih “Kaya” Merkuri?

Menariknya, kandungan merkuri didapati berbeza antara setiap jenis makanan laut kering. Ikan bilis putih merekodkan bacaan tertinggi, iaitu sekitar 0.33 mg/kg, diikuti sotong kering dan ikan masin gelama dengan bacaan sekitar 0.24 mg/kg. Sebaliknya, ikan tamban kecil dan ikan kekek mempunyai kandungan merkuri paling rendah, iaitu sekitar 0.03 mg/kg.

Mengapa terdapat perbezaan ini? Jawapannya berkait rapat dengan cara hidup setiap spesies. Haiwan yang berada pada aras rantaian makanan yang lebih tinggi, memakan organisma lain atau hidup berhampiran dasar laut dan sedimen lebih berpotensi mengumpulkan merkuri dalam badan. Sedimen bertindak seperti “gudang” yang menyimpan pelbagai bahan pencemar, termasuk logam berat. Apabila organisma kecil menyerap bahan pencemar ini dan kemudiannya dimakan oleh haiwan yang lebih besar, merkuri akan berpindah dari satu organisma ke organisma yang lain. Proses ini menyebabkan kandungan merkuri semakin meningkat di sepanjang rantaian makanan.

Selain itu, proses pengeringan juga mempengaruhi bacaan merkuri. Semasa pengeringan, sebahagian besar air dalam tisu ikan, udang atau sotong akan hilang, tetapi merkuri tidak mudah menguap atau hilang bersama air. Akibatnya, kandungan merkuri menjadi lebih tertumpu dalam tisu yang telah kering. Oleh sebab itu, makanan laut kering sering menunjukkan bacaan merkuri yang lebih tinggi berbanding makanan laut segar, walaupun jumlah merkuri sebenar dalam makanan tersebut tidak semestinya bertambah.

Kanak-kanak: Golongan yang Perlu Lebih Dilindungi

Bagi mengetahui sama ada kandungan merkuri ini boleh menjejaskan kesihatan, penyelidik menjalankan penilaian risiko menggunakan beberapa kaedah saintifik; Anggaran Pengambilan Mingguan (EWI), Purata Dos Pengambilan Harian (ADD), Tahap Risiko atau Hazard Quotient (HQ), serta Kuantiti Pengambilan Selamat Maksimum. Secara keseluruhan, nilai HQ bagi semua spesies adalah di bawah 1. Penilaian ini menganggarkan jumlah merkuri yang mungkin diambil melalui pemakanan serta tahap risikonya kepada kesihatan. Hasilnya amat meyakinkan apabila semua spesies makanan laut kering yang dikaji mencatatkan tahap risiko yang rendah. Ini menunjukkan bahawa pengambilan makanan laut kering pada kadar biasa tidak dijangka mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak merupakan kumpulan yang memerlukan perhatian lebih. Oleh sebab berat badan mereka lebih rendah, jumlah merkuri yang diserap bagi setiap kilogram berat badan adalah lebih tinggi berbanding orang dewasa walaupun mereka makan dalam kuantiti yang sedikit. Pada masa yang sama, sistem saraf mereka masih dalam proses perkembangan dan lebih sensitif terhadap kesan bahan toksik seperti metilmerkuri. Walaupun tahap risiko yang dikira dalam kajian ini masih berada pada paras yang selamat, nilainya didapati sedikit lebih tinggi bagi kanak-kanak, terutamanya jika mereka kerap mengambil ikan bilis putih, sotong kering dan ikan masin gelama.

Apa yang Pengguna Boleh Lakukan?

Penemuan kajian ini bukanlah bertujuan menakutkan masyarakat atau menggalakkan kita berhenti makan makanan laut kering. Sebaliknya, ia mengingatkan kita supaya membuat pilihan yang lebih bijak. Makanan laut kering masih boleh dinikmati, tetapi sebaiknya diambil secara sederhana dan tidak dijadikan satu-satunya sumber protein setiap hari. Amalkan diet yang pelbagai dengan memilih juga ikan segar yang rendah merkuri, telur, ayam, tempe dan tauhu. Bagi ibu bapa, adalah lebih baik jika hidangan seperti ikan bilis putih atau sotong kering diberikan kepada anak-anak secara berpada-pada dan tidak terlalu kerap.

Selain itu, pilihlah makanan laut kering yang bersih, dibungkus dengan baik dan diproses mengikut piawaian kebersihan. Produk yang dijemur secara terbuka lebih mudah terdedah kepada habuk, asap, serangga dan bahan pencemar dari persekitaran. Pada masa yang sama, pemantauan berkala oleh pihak berkuasa terhadap kandungan merkuri dan logam berat lain juga penting bagi memastikan makanan laut kering yang berada di pasaran terus selamat dan berkualiti untuk dinikmati oleh pengguna.

Nikmati, tetapi Jangan Berlebihan

Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan bahawa makanan laut kering yang dijual di pasaran Langkawi masih berada pada tahap yang selamat kerana kandungan merkurinya tidak melebihi piawaian keselamatan antarabangsa. Namun, kandungan merkuri berbeza mengikut spesies, justeru pemilihan makanan yang bijak tetap penting. Pengambilan ikan bilis putih, sotong kering dan ikan masin gelama sebaiknya dilakukan secara sederhana, terutamanya bagi kanak-kanak yang lebih sensitif terhadap pendedahan merkuri.

Akhirnya, makanan laut kering masih mempunyai tempat istimewa dalam budaya dan warisan makanan masyarakat Malaysia. Dengan mengamalkan pemakanan yang pelbagai, memilih produk yang berkualiti serta menikmati makanan laut kering secara sederhana, kita bukan sahaja dapat mengekalkan cita rasa tradisi, malah turut melindungi kesihatan diri dan keluarga untuk jangka masa panjang.

Rujukan

Nabilah Nadjwa Mohd Nazri. (2026). Kepekatan merkuri dan penilaian risiko kesihatan dalam makanan laut kering di Pulau Langkawi, Kedah Tesis ijazah sarjana muda, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Agency for Toxic Substances and Disease Registry. (2022). Toxicological Profile for Mercury. U.S. Department of Health and Human Services, Public Health Service.

Ahmad, N. I., Mahiyuddin, W. R. W., Azmi, W. N. F. W., Azlee, R. S. R., Shaharudin, R., & Sulaiman, L. H. (2022). Exposure assessment of methyl mercury from consumption of fish and seafood in Peninsular Malaysia. Environmental Science and Pollution Research, 29(17), 24816–24832.

Al-Sulaiti, M. M., Soubra, L., & Al-Ghouti, M. A. (2022). The causes and effects of mercury and methylmercury contamination in the marine environment: A review. Current Pollution Reports, 8(3), 249–272.

Arisekar, U., Rajendran, S., Shanmugam, S., Shannon, R., Rajesh, B., Alrefaei, A., Naidu, B., Kanagaraja, A., & S. J. (2023). De-novo exposure assessment of heavy metals in commercially important fresh and dried seafood: Safe for human consumption. Environmental Research, 235, 116672.

Bai, Y., Zhang, D., Wang, K., Li, F., Chen, N., Zhou, Z., & Ye, J. (2024). Analysis of heavy metal characteristics and health risk assessment of dried fish marketed in Guangzhou, China. Biological Trace Element Research, 203, 2041–2057.

Codex Alimentarius Commission. (2018). Proposed draft maximum levels for methylmercury in fish and associated sampling plan. Food and Agriculture Organization; World Health Organization.

Rakib, M. R. J., Jolly, Y. N., Enyoh, C. E., Khandaker, M. U., Hossain, M. B., Akther, S., Abdullahalsubaie, Almalki, A. S. A., & Bradley, D. A. (2021). Levels and health risk assessment of heavy metals in dried fish consumed in Bangladesh. Scientific Reports, 11(1), 14642.

Ritonga, I., Bureekul, S., & Sompongchaiyakul, P. (2022). Risk assessment of total mercury (T-Hg) in commercial seafood marketed in Bangkok, Thailand. Applied Environmental Research, 44, 126–139.

United Nations Environment Programme. (2019). Global mercury assessment 2018. UNEP.

United States Environmental Protection Agency. (2023). Health effects of exposures to mercury. U.S. Environmental Protection Agency.

World Health Organization. (2021). Mercury and health. World Health Organization.

Biodata Ringkas Penulis

Nabilah Nadjwa Mohd Nazri merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Laut di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Projek Tahun Akhir (FYP) beliau memfokuskan kepada kajian kandungan merkuri dalam makanan laut kering di Pulau Langkawi. Beliau juga mempunyai pengalaman latihan industri dalam penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) bagi pengumpulan, analisis dan pengurusan data marin.

Mohamad Hafiz bin Abdul Halim merupakan pelajar Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sekitaran di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Penyelidikan beliau memfokuskan kepada pencemaran mikroplastik di ekosistem sungai, termasuk penilaian risiko ekologi serta pemodelan taburan dan tingkah laku mikroplastik dalam persekitaran akuatik.

Prof. Madya Dr. Masni binti Mohd Ali ialah seorang pensyarah dan pakar dalam bidang Forensik Alam Sekitar, Biogeokimia Marin, serta Pencemaran Marin di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau berkhidmat di Jabatan Sains Bumi & Alam Sekitar. Kepakaran dan penyelidikan beliau merangkumi biogeokimia marin, biomarker lipid, dan kesan pencemaran terhadap ekosistem marin.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Kepekatan merkuri makanan lautKuantiti Pengambilan Selamat MaksimumLangkawiMakanan laut keringMasni Mohd AliMerkuri dalam makanan laut keringUKM
ShareTweetShare
Previous Post

Cungkil Topik Tersembunyi: Bagaimana AI Menghuraikan Dokumen Panjang dalam Minit

Editor

Editor

Related Posts

Cungkil Topik Tersembunyi: Bagaimana AI Menghuraikan Dokumen Panjang dalam Minit
Berita & Peristiwa

Cungkil Topik Tersembunyi: Bagaimana AI Menghuraikan Dokumen Panjang dalam Minit

4 hours ago
Udang Mentah dan Risiko Escherichia coli: Ancaman Patogen Bawaan Makanan
Berita & Peristiwa

Udang Mentah dan Risiko Escherichia coli: Ancaman Patogen Bawaan Makanan

1 day ago
Cinta Bukan Garis Lurus: Dari Möbius ke Rangkaian Hubungan Kita
Berita & Peristiwa

Cinta Bukan Garis Lurus: Dari Möbius ke Rangkaian Hubungan Kita

2 days ago
AI dan Matematik: Gabungan Pintar Menentang Wabak Global
Berita & Peristiwa

AI dan Matematik: Gabungan Pintar Menentang Wabak Global

6 days ago

Kategori Produk

  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In