Penulis: Dr. Nurul Ainun binti Hamzah1 & Dr. Mohd Firdaus bin Yhaya2
1 Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan,
Kampus Kesihatan USM
2 Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Pergigian,
Kampus Kesihatan USM
Bayangkan seseorang yang sejak kecil sering dianggap pendiam, terlalu sensitif, pelupa, sukar menyesuaikan diri atau mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap sesuatu perkara. Di sekolah, dia mungkin memperoleh keputusan akademik yang baik. Apabila dewasa, dia berjaya melanjutkan pelajaran, membina kerjaya dan berkeluarga. Dari luar, kehidupannya kelihatan tidak banyak berbeza daripada orang lain. Namun, di sebalik apa yang terlihat, mungkin ada cabaran yang tidak disedari oleh orang di sekelilingnya.
Interaksi sosial mungkin memerlukan usaha yang besar. Perubahan rutin boleh menimbulkan tekanan, manakala bunyi, cahaya atau persekitaran yang terlalu sibuk mungkin sangat meletihkan. Bagi sesetengah individu pula, mengurus masa, mengingati tugasan, mengekalkan perhatian atau menyusun aktiviti harian merupakan cabaran yang berterusan.
Kemudian, pada usia 30-an, 40-an atau lebih lewat, mereka mendapatkan penilaian profesional dan akhirnya menerima diagnosis autisme atau Attention-Deficit/Hyperactivity Disorder (ADHD). Persoalannya, mengapakah keadaan neuroperkembangan yang telah wujud sejak awal kehidupan hanya dikenal pasti apabila seseorang sudah dewasa?
Autisme dan ADHD Bukan Keadaan yang Tiba-Tiba Muncul Ketika Dewasa
Autisme merupakan keadaan neuroperkembangan yang berkaitan dengan perkembangan otak. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerangkan bahawa individu autistik mempunyai ciri yang pelbagai, termasuk dalam aspek interaksi dan komunikasi sosial serta pola tingkah laku dan aktiviti tertentu. Keupayaan dan keperluan setiap individu autistik juga berbeza. Walaupun ciri autisme boleh dikenal pasti sejak awal kanak-kanak, sesetengah individu hanya menerima diagnosis jauh lebih lewat dalam kehidupan (1).
ADHD juga merupakan keadaan neuroperkembangan yang dicirikan oleh pola kesukaran berkaitan perhatian dan/atau hiperaktiviti serta impulsiviti yang boleh menjejaskan fungsi seseorang. Dalam penilaian ADHD pada orang dewasa, sejarah perkembangan serta bukti bahawa ciri tersebut telah wujud sejak zaman kanak-kanak merupakan antara aspek penting yang perlu dinilai (2).
Oleh itu, apabila seseorang menerima diagnosis pada usia 40 tahun, misalnya, hal ini tidak bermaksud autisme atau ADHD baru bermula pada usia tersebut. Sebaliknya, ciri-cirinya mungkin telah lama wujud tetapi tidak dikenal pasti, kurang disedari oleh orang di sekeliling atau ditafsirkan dengan cara yang berbeza.
Apabila Autisme atau ADHD Tidak Disedari Sejak Kanak-kanak
Tidak semua individu autistik atau ADHD menunjukkan ciri yang sama. Apabila masyarakat membayangkan ADHD, gambaran yang sering muncul mungkin seorang kanak-kanak yang sangat aktif, sukar duduk diam dan sering mengganggu kelas. Namun, ADHD boleh ditunjukkan dalam pelbagai cara dan cirinya tidak terhad kepada hiperaktiviti. Kesukaran berkaitan perhatian, organisasi dan kawalan impuls juga merupakan sebahagian daripada ciri ADHD (2).
Begitu juga dengan autisme. Tidak semua individu autistik mempunyai kesukaran komunikasi yang ketara atau menghadapi masalah akademik. Ada yang mempunyai keupayaan bahasa dan intelektual yang baik, memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang dan mengikuti pendidikan arus perdana.
Keupayaan akademik yang baik tidak dengan sendirinya menolak kemungkinan seseorang itu autistik atau mempunyai ADHD. WHO menekankan bahawa keupayaan dan keperluan individu autistik sangat pelbagai. Sesetengah individu boleh hidup secara relatif berdikari, manakala yang lain memerlukan sokongan yang lebih besar (1). Seseorang mungkin sangat cemerlang dalam bidang yang mempunyai struktur dan peraturan yang jelas, tetapi menghadapi cabaran dalam aspek lain seperti interaksi sosial, fleksibiliti, pengurusan rutin, fungsi eksekutif atau pemprosesan sensori.
Dalam sesetengah keadaan, keluarga dan guru mungkin menganggap ciri tersebut sebagai sebahagian daripada personaliti seseorang:
“Dia memang pendiam.”
“Dia memang pelupa.”
“Dia suka buat benda yang sama.”
“Dia terlalu sensitif.”
“Dia boleh belajar, jadi rasanya tiada masalah.”
Tanggapan seperti ini tidak semestinya berniat negatif. Namun, keadaan ini menunjukkan bagaimana sesuatu ciri neuroperkembangan mungkin sudah lama kelihatan, tetapi belum difahami dalam konteks yang sebenarnya
Apabila Seseorang Belajar untuk ‘Menyesuaikan Diri’
Satu lagi konsep penting dalam memahami diagnosis autisme pada usia dewasa ialah camouflaging atau penyamaran sosial. Camouflaging merujuk kepada strategi yang digunakan oleh sesetengah individu autistik untuk menyembunyikan, mengawal atau mengimbangi ciri autistik mereka ketika berinteraksi dalam persekitaran sosial (3). Sebagai contoh, seseorang mungkin belajar dengan memerhatikan cara orang lain berbual, menghafal respons sosial tertentu, mengawal tingkah laku tertentu, memaksa dirinya membuat kontak mata atau meniru cara rakan berinteraksi agar lebih mudah menyesuaikan diri.
Dari luar, individu tersebut mungkin kelihatan “baik-baik sahaja”. Namun, perkara yang kelihatan mudah kepada orang lain mungkin sebenarnya memerlukan usaha mental dan emosi yang besar. Kajian sistematik menunjukkan bahawa camouflaging dilaporkan dalam kalangan individu autistik dan mempunyai kaitan dengan kesihatan mental serta kesejahteraan (3,4). Hal ini membantu menjelaskan mengapa apa yang dilihat dari luar tidak semestinya menggambarkan keseluruhan pengalaman seseorang (Rajah 1).

Mengapa Wanita Mungkin Didiagnosis Lebih Lewat
Diagnosis autisme atau ADHD pada usia dewasa boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, sama ada lelaki atau wanita. Sesetengah individu mungkin tidak dikenal pasti semasa kanak-kanak kerana ciri yang dialami kurang ketara, tidak menepati gambaran stereotaip yang biasa dikaitkan dengan keadaan tersebut, atau dapat diurus dengan strategi tertentu. Namun, penyelidikan turut memberi perhatian khusus kepada wanita kerana terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan autisme atau ADHD dalam kalangan mereka kurang dikenal pasti pada peringkat awal.
Bagi autisme, kajian sistematik terkini dalam kalangan wanita menunjukkan bahawa kelewatan diagnosis boleh dikaitkan dengan beberapa faktor, termasuk perbezaan cara ciri autisme ditunjukkan, social camouflaging atau penyamaran sosial, serta kemungkinan sesetengah alat dan pendekatan diagnostik kurang sensitif terhadap ciri yang berbeza daripada gambaran autisme yang secara tradisinya lebih banyak dikenal pasti dalam kalangan lelaki (5). Camouflaging juga boleh menyebabkan seseorang kelihatan mampu menyesuaikan diri dengan baik dalam situasi sosial, walaupun proses tersebut sebenarnya memerlukan usaha mental dan emosi yang besar. Akibatnya, cabaran yang dialami mungkin kurang disedari oleh keluarga, guru atau orang lain di sekeliling (3,4).
Diagnosis lewat turut berlaku dalam ADHD. Dalam kalangan wanita, ADHD mungkin tidak dikenal pasti lebih awal, khususnya apabila kesukaran yang dialami kurang ketara kepada orang lain. Kajian sistematik terhadap wanita dewasa dengan ADHD menunjukkan bahawa hidup tanpa diagnosis dan menerima diagnosis pada usia dewasa boleh mempengaruhi kesejahteraan sosial dan emosi, hubungan, penerimaan diri serta cara seseorang memahami pengalaman hidupnya (6). Namun, hal ini tidak bermaksud semua wanita mempunyai pengalaman yang sama atau lelaki tidak mengalami diagnosis lewat. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa autisme dan ADHD boleh ditunjukkan dalam pelbagai cara pada setiap individu. Oleh itu, kedua-dua keadaan ini tidak seharusnya dikenal pasti berdasarkan satu gambaran stereotaip sahaja.
Apabila Tuntutan Kehidupan Menjadi Semakin Kompleks
Ada individu yang mampu menyesuaikan diri dengan agak baik ketika zaman persekolahan kerana kehidupan mereka mempunyai struktur yang jelas. Bangun pada waktu tertentu. Pergi ke sekolah. Jadual kelas telah disediakan. Tugasan ditentukan oleh guru. Ibu bapa pula membantu mengatur banyak aspek kehidupan. Namun, keadaan ini berubah apabila seseorang memasuki universiti atau alam pekerjaan. Mereka perlu mengurus sendiri jadual, tugasan, kewangan, hubungan sosial, pekerjaan dan pelbagai tanggungjawab secara serentak. Apabila berkahwin atau mempunyai anak, tuntutan kehidupan boleh menjadi semakin kompleks.
Dalam ADHD, kesukaran berkaitan perhatian, organisasi dan fungsi harian boleh menjejaskan pendidikan, pekerjaan dan kehidupan sosial (2,7). Bagi individu autistik pula, perubahan rutin, tuntutan interaksi sosial dan sensitiviti terhadap persekitaran sensori boleh menjadi cabaran, walaupun bentuk dan tahapnya berbeza bagi setiap individu (1). Strategi yang selama ini membantu seseorang mengurus kehidupan mungkin tidak lagi mencukupi apabila tuntutan semakin meningkat (Rajah 2).
Pada ketika inilah sesetengah individu mula tertanya-tanya:
“Mengapa perkara yang nampak mudah kepada orang lain terasa begitu sukar kepada saya?”

Kadangkala Diagnosis Anak Membuka Persoalan Tentang Ibu Bapa
Bagi sesetengah ibu bapa, proses memahami autisme atau ADHD bermula apabila anak mereka menjalani penilaian. Ketika membaca, berbincang dengan profesional atau cuba memahami ciri-ciri yang terdapat pada anak, mereka mungkin mula menyedari bahawa sebahagian daripada pengalaman tersebut terasa begitu dekat dengan pengalaman mereka sendiri.
“Semasa kecil, saya pun begitu.”
“Saya juga sukar menyesuaikan diri dengan perubahan.”
“Rupanya perkara yang saya alami selama ini mungkin tidak dialami dengan cara yang sama oleh orang lain.”
Kesedaran seperti ini boleh menimbulkan persoalan baharu tentang diri sendiri dan mendorong sesetengah ibu bapa untuk mendapatkan penilaian lanjut. Penyelidikan menunjukkan bahawa faktor genetik memainkan peranan penting dalam autisme dan ADHD. Ini bermakna ciri autisme atau ADHD boleh ditemui dalam kalangan beberapa ahli dalam sesebuah keluarga. Namun, kedua-duanya merupakan keadaan neuroperkembangan yang kompleks dan tidak berpunca daripada satu gen atau satu faktor sahaja. Pelbagai faktor genetik dan persekitaran turut terlibat dalam perkembangannya (1,7). Oleh itu, apabila ibu atau bapa mengenali beberapa persamaan antara pengalaman dirinya dengan anak, perkara tersebut boleh menjadi titik permulaan untuk memahami diri dengan lebih mendalam. Namun, persamaan ciri dalam keluarga tidak bermaksud seseorang ibu atau bapa secara automatik mempunyai autisme atau ADHD. Diagnosis tetap memerlukan penilaian profesional.
Diagnosis Bukan Sekadar Menjawab Soal Selidik Dalam Talian
Media sosial telah meningkatkan kesedaran mengenai autisme dan ADHD. Perkembangan ini membawa manfaat kerana lebih ramai orang mendapat maklumat dan mungkin terdorong untuk mendapatkan bantuan. Namun, terdapat perbezaan penting antara mengenali ciri pada diri sendiri dengan menerima diagnosis klinikal.
Menurut garis panduan National Institute for Health and Care Excellence (NICE), United Kingdom, penilaian autisme dalam kalangan orang dewasa yang menyeluruh perlu dilakukan oleh profesional yang terlatih dan kompeten. Penilaian boleh merangkumi sejarah perkembangan awal, fungsi semasa di rumah, institusi pendidikan atau tempat kerja, ciri utama autisme, keadaan kesihatan mental atau neuroperkembangan lain serta sensitiviti sensori. Maklumat daripada keluarga, penjaga atau dokumen berkaitan perkembangan awal juga boleh digunakan apabila sesuai dan tersedia (8).
Begitu juga dengan ADHD. Diagnosis pada orang dewasa tidak sepatutnya dibuat hanya berdasarkan skala penilaian kendiri. NICE mengesyorkan agar diagnosis dibuat oleh profesional kesihatan yang mempunyai latihan dan kepakaran berkaitan, berdasarkan penilaian klinikal dan psikososial yang lengkap, sejarah perkembangan dan psikiatri serta fungsi individu dalam pelbagai persekitaran (2). Oleh itu, ujian dalam talian lebih sesuai digunakan sebagai langkah awal untuk mengenali kemungkinan ciri atau mendorong seseorang mendapatkan penilaian lanjut, bukannya sebagai pengesahan diagnosis (Rajah 3).

Apabila Diagnosis Diterima Selepas Berpuluh Tahun
Bagi sesetengah individu, menerima diagnosis pada usia dewasa boleh membawa pelbagai emosi. Ada yang berasa lega kerana akhirnya mendapat penjelasan tentang pengalaman yang selama ini sukar difahami. Ada juga yang mula melihat kembali pengalaman zaman kanak-kanak, persekolahan, hubungan dan pekerjaan daripada sudut pandang yang berbeza. Namun, menerima diagnosis lewat bukan semestinya suatu pengalaman yang mudah.
Kajian sistematik terkini mengenai pengalaman individu yang menerima diagnosis autisme ketika dewasa menunjukkan bahawa proses tersebut boleh membantu meningkatkan pemahaman dan penerimaan diri, selain memberi ruang kepada seseorang untuk memahami identitinya daripada perspektif yang baharu. Pada masa yang sama, sesetengah individu turut melaporkan pengalaman stigma, rasa terkilan kerana tidak menerima sokongan lebih awal serta cabaran mendapatkan sokongan selepas diagnosis (9).
Bagi wanita dewasa dengan ADHD, kajian sistematik turut menunjukkan bahawa diagnosis pada usia dewasa boleh mengubah cara mereka memahami diri sendiri dan pengalaman lalu, selepas bertahun-tahun berhadapan dengan kesukaran yang tidak mempunyai penjelasan yang jelas (6). Justeru, diagnosis bukan sekadar memberikan “label”. Dalam konteks yang betul, diagnosis boleh membantu seseorang memahami kekuatan dan cabaran dirinya serta mengenal pasti bentuk sokongan atau penyesuaian yang sesuai.
Neurodiversiti: Berbeza Bukan Bererti Kurang
Perbincangan mengenai autisme dan ADHD turut membawa kita kepada konsep neurodiversiti, iaitu pendekatan yang mengiktiraf kepelbagaian cara otak manusia berkembang, memproses maklumat dan berinteraksi dengan persekitaran. Namun, menerima konsep neurodiversiti tidak bermaksud cabaran yang dihadapi oleh individu autistik atau ADHD perlu diketepikan.
Sesetengah individu mungkin hanya memerlukan sedikit penyesuaian dalam keadaan tertentu, manakala yang lain mempunyai keperluan sokongan yang jauh lebih besar. WHO menekankan bahawa keupayaan dan keperluan individu autistik sangat berbeza antara seorang dengan seorang yang lain (1). Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati agar tidak melihat autisme atau ADHD melalui stereotaip semata-mata.
Seseorang boleh mempunyai kerjaya profesional dan masih autistik.
Seseorang boleh memperoleh keputusan akademik yang cemerlang dan mempunyai ADHD.
Seseorang boleh mempunyai keluarga, berkomunikasi dengan baik dan masih memerlukan strategi tertentu untuk mengurus kehidupan hariannya.
Memahami, Bukan Menghakimi
Apabila seseorang menerima diagnosis autisme atau ADHD ketika dewasa, soalan yang lebih tepat mungkin bukan:
“Kenapa baru sekarang ada?”
Sebaliknya:
“Mengapa ia baru dikenal pasti sekarang?”
Perbezaan antara kedua-dua soalan ini penting kerana diagnosis pada usia dewasa tidak bermaksud keadaan tersebut baru bermula ketika dewasa (Rajah 4).

Diagnosis lewat mengingatkan kita bahawa neurodiversiti tidak semestinya dapat dilihat dari luar. Ada individu yang menghabiskan masa bertahun-tahun membina strategi sendiri untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran tanpa memahami mengapa sesetengah perkara memerlukan usaha yang jauh lebih besar bagi mereka.
Perkembangan ilmu tentang autisme dan ADHD membantu kita memahami bahawa pencapaian akademik, kerjaya atau kebolehan berkomunikasi tidak semestinya menafikan kewujudan sesuatu keadaan neuroperkembangan (1,2). Akhirnya, tujuan memahami diagnosis bukanlah untuk melihat seseorang hanya berdasarkan satu label. Sebaliknya, pemahaman yang tepat boleh membuka ruang kepada penerimaan diri, sokongan yang bersesuaian dan persekitaran yang lebih inklusif kerana setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk berfikir, belajar, berkomunikasi dan memahami dunia di sekeliling mereka
“BERBEZA BUKAN BERERTI KURANG”
Rujukan
- World Health Organization. Autism. WHO Fact Sheet. Updated 17 September 2025.
- National Institute for Health and Care Excellence (NICE). Attention deficit hyperactivity disorder: diagnosis and management (NG87). London: NICE; 2018, with subsequent updates.
- Cook J, Hull L, Crane L, Mandy W. Camouflaging in autism: A systematic review. Clinical Psychology Review. 2021; 89:102080. doi: 10.1016/j.cpr.2021.102080.
- Zhuang S, Tan DW, Reddrop S, Dean L, Maybery M, Magiati I. Psychosocial factors associated with camouflaging in autistic people and its relationship with mental health and well-being: A mixed methods systematic review. Clinical Psychology Review. 2023; 105:102335. doi: 10.1016/j.cpr.2023.102335.
- Muiño Tato A. Systematic Review of Autism in Women: Invisibilised Profiles and Gender Bias. Revista de Neurología. 2026;81(4):49367. doi:10.31083/RN49367.
- Attoe DE, Climie EA. Miss. Diagnosis: A systematic review of ADHD in adult women. Journal of Attention Disorders. 2023;27(7):645–657. doi:10.1177/10870547231161533.
- Faraone SV, Banaschewski T, Coghill D, et al. The World Federation of ADHD International Consensus Statement: 208 evidence-based conclusions about the disorder. Neuroscience & Biobehavioral Reviews. 2021; 128:789–818. doi: 10.1016/j.neubiorev.2021.01.022.
- National Institute for Health and Care Excellence (NICE). Autism spectrum disorder in adults: diagnosis and management (CG142). London: NICE; 2012. Updated 14 June 2021.
- Nayyar JM, Stapleton AV, Guerin S, O’Connor C. Exploring lived experiences of receiving a diagnosis of autism in adulthood: A systematic review. Autism in Adulthood. 2025;7(1):1–12. doi:10.1089/aut.2023.0152.
Biodata Penulis
Dr. Nurul Ainun binti Hamzah merupakan Pensyarah Kanan dalam bidang Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (KPP) di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kelantan. Beliau memperoleh Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2003, Ijazah Sarjana dalam Safety Science daripada University of New South Wales (UNSW), Australia pada tahun 2009, dan Ijazah Doktor Falsafah Kesihatan Masyarakat pengkhususan Kesihatan Pekerjaan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2015. Kerjaya beliau bermula sebagai Pembantu Penyelidik dan Penolong Pegawai Penyelidik di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM sebelum dilantik sebagai Felo Akademik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari 2007-2015. Beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di PPSK USM sejak tahun 2015. Beliau aktif dalam pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan berkaitan kesihatan pekerjaan, kesihatan persekitaran, toksikologi persekitaran dan pekerjaan, ergonomik, kesihatan respiratori, kualiti udara dalaman, pendedahan haba dan keselamatan pekerjaan. Beliau juga aktif dalam badan profesional, antaranya Malaysian Industrial Hygiene Association (MIHA), Malaysian Association of Environmental Health (MAEH) dan Human Factors and Ergonomics Society of Malaysia (HFEM).
Dr. Mohd Firdaus bin Yhaya merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kelantan. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang sintesis polimer dan bahan pergigian, dengan penyelidikan yang merangkumi biomaterial, kimia polimer, teknologi salutan termaju, nanokomposit, click chemistry, pempolimeran radikal terkawal serta teknologi pengawetan sinaran. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Teknologi dalam Teknologi Polimer daripada USM (2003), diikuti Ijazah Sarjana Kejuruteraan dalam bidang Polimer daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (2007). Beliau seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang Polimer daripada University of New South Wales (UNSW), Australia (2012). Kerjaya akademik beliau di USM bermula di Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) sebelum menyertai PPSG pada tahun 2018. Dalam bidang pengajaran, beliau terlibat dalam kursus Bahan Pergigian bagi pelajar prasiswazah pergigian dan Kimia Bahan untuk pelajar Sains Forensik. Beliau juga aktif menjalankan penyelidikan, penyeliaan pascasiswazah dan penerbitan ilmiah, khususnya berkaitan pembangunan biomaterial serta bahan berasaskan polimer untuk aplikasi pergigian.



