Penulis: Dr. Nik Aloesnisa Nik Mohd Alwi
Pensyarah Perubatan (Fisiologi Kardiovaskular), Universiti Sains Malaysia
Gusi Sebagai Cermin Kesihatan Kardiovaskular
Apabila seorang doktor perubatan atau pakar jantung bertanya tentang kesihatan gusi kepada pesakitnya, soalan itu mungkin kedengaran aneh. Apakah kaitannya gusi dengan jantung dan salur darah (kardiovaskular)? Walaupun kelihatan seperti dua perkara yang berasingan, namun, sains perubatan moden telah mengesahkan bahawa penyakit gusi atau periodontitis, mempunyai kaitan dengan kesihatan kardiovaskular.
Periodontitis bukan sekadar masalah gigi berdarah atau nafas berbau. Ia merupakan jangkitan oral mikroorganisma kronik yang memusnahkan tisu sokongan gigi termasuk gusi, ligamen periodontal, dan tulang alveolar. Malah, jika masalah ini berpanjangan, ia berpotensi memberi kesan kepada bahagian tubuh yang lain, termasuk sistem kardiovaskular, sekali gus menjelaskan mengapa kesihatan gusi turut mendapat perhatian dalam penjagaan salur darah dan jantung. Menurut kajian epidemiologi global oleh Kassebaum et al. (2014), periodontitis telah menjejaskan kira-kira 11% populasi dewasa di seluruh dunia. Di Malaysia, Kajian Kesihatan Oral Kebangsaan Dewasa (2020) mendapati bahawa 38.2%, atau hampir empat daripada setiap 10 orang dewasa yang masih mempunyai gigi, mengalami periodontitis. Angka ini menunjukkan bahawa periodontitis merupakan masalah kesihatan oral yang lazim dan perlu diberi perhatian, khususnya melalui pengesanan awal serta rawatan yang bersesuaian.

Bagaimana Oral Mikroorganisma Menyerang Salur Darah Koronari?
Dalam periodontitis, inflamasi yang berterusan pada gusi boleh menyebabkan pengulseran pada epitelium poket periodontal, seterusnya boleh melemahkan penghalang semula jadi antara mikroorganisma dengan tisu di bawahnya. Keadaan tersebut membuka laluan kepada bakteria dan komponennya untuk menembusi salur darah kecil dalam tisu gusi.
Semasa memberus gigi atau mengunyah, mikroorganisma patogen seperti Porphyromonas gingivalis (P. gingivalis), Tannerella forsythia, dan Treponema denticola boleh memasuki saluran darah melalui lapisan tisu yang terjejas. Melalui peredaran darah, bakteria dan komponennya berpotensi untuk sampai ke bahagian tubuh yang lain, termasuk dinding arteri. Menariknya, bahan DNA bakteria periodontal, termasuk bakteria P. gingivalis telah dikesan dalam plak aterosklerosis pada arteri koronari. Selain kemasukan mikroorganisma, inflamasi pada gusi turut merangsang penghasilan dan pelepasan sitokin proinflamasi ke dalam peredaran darah sistemik, terutamanya Interleukin-1β (IL-1β), Interleukin-6 (IL-6), dan Tumor Necrosis Factor-α (TNF-α). IL-6 juga merangsang hati untuk menghasilkan protein C-Reactive (CRP), iaitu protein fasa akut yang menjadi penanda inflamasi. Paras CRP yang tinggi secara berterusan dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular termasuk serangan jantung dan strok.
Dalam keadaan ini, sitokin proinflamasi boleh merosakkan fungsi endothelium, iaitu lapisan sel yg melapisi permukaan dalam salur darah. Pada masa yang sama, P. gingivalis berpotensi mengganggu metabolisme lipid dalam makrofaj dan menggalakkan pengumpulan lipoprotein berketumpatan rendah yg teroksida (LDL). Makrofaj yang sarat dengan lipid ini kemudian berubah menjadi sel busa (foam cells), iaitu elemen penting dalam pembentukan plak atheroma pada dinding salur darah iaitu arteri. Proses inflamasi ini turut melibatkan sel neutrophil, iaitu sel imun yang membantu melawan jangkitan. Apabila diaktifkan secara berlebihan, neutrofil melepaskan boleh melepaskan spesies oksigen reaktif (ROS) dan Neutrophil Extracellular Traps (NETs). Penghasilan ROS dan NETs di dalam kapilari darah mengalakkan pembentukan trombosis. Sekiranya trombosis menyekat aliran darah ke salur koronari, miokardiam iskemia boleh berlaku.

Implikasi Klinikal: Kepentingan Perubatan Bersepadu
Bukti saintifik ini menekankan kepentingan kerjasama antara bidang perubatan dan pergigian dalam memberikan penjagaan kesihatan yang menyeluruh kepada pesakit.
Pertama, penilaian kesihatan mulut wajar menjadi sebahagian daripada penjagaan pesakit kardiovaskular. Pesakit yang mengalami hipertensi atau penyakit arteri koronari perlu diberi perhatian terhadap kesihatan gusi mereka dan dirujuk untuk pemeriksaan pergigian apabila diperlukan. Begitu juga, doktor pergigian yang mengenal pasti pesakit dengan periodontitis, boleh membantu mengesan faktor risiko kardiovaskular melalui semakan sejarah kesihatan dan pengukuran tekanan darah, serta merujuk pesakit untuk penilaian perubatan selanjutnya apabila sesuai.
Kedua, rawatan periodontal bukan pembedahan, seperti penskaleran dan perataan akar (scaling and root planing, SRP), berpotensi memberikan manfaat kepada kesihatan salur darah. Kajian klinikal menunjukkan bahawa rawatan periodontal boleh mengurangkan penanda inflamasi sistemik, termasuk CRP dan IL-6, serta menambah baik fungsi endotelium. Kajian oleh Orlandi et al. (2025) menunjukkan bahawa rawatan periodontal intensif dapat menambah baik fungsi endotelium, iaitu keupayaan lapisan dalaman salur darah untuk mengawal pengembangan salur darah. Peningkatan ini dikesan seawal dua bulan selepas rawatan dan berterusan sepanjang tempoh kajian selama dua tahun. Kajian ini seterusnya menyokong potensi manfaat rawatan periodontitis terhadap kesihatan salur darah.
Lima Amalan Penjagaan Oral dan Kesihatan Jantung
i -Memberus Gigi Teratur: Memberus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida.
ii -Pembersihan Antara Gigi (Flossing): Menggunakan flos gigi atau berus interdental harian untuk menanggalkan plak biofilem di celah gigi.
iii -Pemeriksaan Pergigian Berkala: Melakukan pemeriksaan dan pembersihan gusi sekurang-kurangnya 6 bulan sekali.
iv -Hentikan Tabiat Merokok: Merokok meningkatkan risiko periodontitis sehingga 2–7 kali ganda dan merosakkan saluran darah.
v -Kawalan Diabetes & Tekanan Darah: Menguruskan paras gula dan tekanan darah secara ketat bagi mengurangkan komplikasi sistemik.

Kesihatan oral merupakan sebahagian penting daripada kesihatan tubuh secara keseluruhan. Gusi berdarah atau gigi yang longgar tidak wajar dianggap sebagai perkara biasa kerana kedua-duanya boleh menjadi tanda penyakit periodontal yang memerlukan perhatian. Inflamasi berpanjangan pada tisu periodontal bukan sahaja menjejaskan sokongan gigi dan keupayaan mengunyah, malah berpotensi menyumbang kepada inflamasi sistemik yang berkait dengan penyakit kardiovaskular.
Walaupun rawatan periodontitis belum terbukti dapat mencegah serangan jantung secara langsung, penjagaan gusi tetap penting dalam usaha menjaga kesihatan menyeluruh. Amalan kebersihan oral yang konsisten, pemeriksaan pergigian berkala serta kawalan faktor risiko seperti merokok dan diabetes perlu berjalan seiring. Kerjasama antara bidang perubatan dan pergigian turut membantu memastikan masalah kesihatan dikenal pasti dan ditangani lebih awal. Menjaga gusi bukan sekadar memelihara senyuman, tetapi sebahagian daripada tanggungjawab kita menjaga kesihatan diri untuk jangka panjang.
Rujukan
1. Kassebaum, N. J., Bernabé, E., Dahiya, M., Bhandari, B., Murray, C. J., & Marcenes, W. (2014). Global burden of severe periodontitis in 1990-2010: a systematic review and meta-regression. J Dent Res, 93(11), 1045-1053. https://doi.org/10.1177/0022034514552491
2. NHMS 2020: NOHSA 2020. (2020). Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2020: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Mulut Orang Dewasa (NOHSA) 2020. https://hq.moh.gov.my/ohp/index.php/doclink/lembaran-fakta-nohsa-2020/eyJ0eXAiOiJKV1QiLCJhbGciOiJIUzI1NiJ9.eyJzdWIiOiJsZW1iYXJhbi1mYWt0YS1ub2hzYS0yMDIwIiwiaWF0IjoxNzA5ODAxMTE2LCJleHAiOjE3MDk4ODc1MTZ9.54yvBlNqp2btyENazWgUZfL9driZNRBUiyfalEQDmdw
3. Orlandi, M., Masi, S., Lucenteforte, E., Bhowruth, D., Malanima, M. A., Darbar, U., Patel, K., Lim, C., Curra, C., Shiehfung, T., Suvan, J., Chiesa, S. T., Deanfield, J., & D’Aiuto, F. (2025). Periodontitis treatment and progression of carotid intima-media thickness: a randomized trial. European Heart Journal. https://doi.org/10.1093/eurheartj/ehaf555
Biodata Penulis
Dr. Nik Aloesnisa binti Nik Mohd Alwi merupakan Pensyarah Perubatan dalam bidang Fisiologi (Kardiovaskular) di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM). Bidang kepakaran beliau merangkumi fisiologi kardiovaskular, dengan tumpuan kepada mekanisme hipertrofi dan kegagalan jantung serta potensi pendekatan terapeutik. Minat penyelidikan beliau turut meliputi hubungan antara kesihatan periodontal dengan risiko penyakit kardiovaskular, termasuk penggunaan biomarker bagi penilaian risiko. Beliau turut aktif dalam pengajaran, penyelidikan, dan pendidikan masyarakat dalam bidang kesihatan termasuk kardiovaskular dan perubatan sukan, dengan penekanan terhadap pengesanan awal faktor risiko, pencegahan penyakit serta amalan gaya hidup aktif dan sihat.
Penyataan Penggunaan Kecerdasan Buatan
Infografik dan illustrasi rajah dijana menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) (Claude, Gemini Notebook, dan Chatgpt) dan disesuaikan untuk tujuan komunikasi sains dan perubatan.




