Penulis: Dr. Zainab Mat Yudin,
Pakar Perubatan Keluarga, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia
Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM
“Doktor, betul ke kalau makan ubat hospital lama-lama nanti buah pinggang saya rosak?”
“Doktor, orang bagitahu saya, buah pinggang akan rosak jika makan ubat hospital lama-lama.”
Ini adalah antara soalan dan pernyataan yang paling kerap didengari di klinik dan hospital. Hakikatnya, ketakutan ini menyebabkan ramai pesakit darah tinggi, kencing manis, dan penyakit jantung culas mengambil ubat, mengurangkan dos sendiri, atau terus berhenti makan ubat kerana bimbang terpaksa menjalani rawatan dialisis satu hari nanti.

Namun, adakah dakwaan ini berasaskan sains, atau sekadar mitos yang diwarisi daripada khabar angin?
Mitos atau Fakta?
Jawapannya: Mitos.
Bagi ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh doktor untuk penyakit kronik, punca utama kegagalan buah pinggang bukanlah ubat tersebut, sebaliknya penyakit kronik yang gagal dikawal. Tekanan darah yang sentiasa tinggi dan paras gula darah yang tidak stabil bertindak merosakkan salur darah halus di dalam buah pinggang secara senyap bertahun-tahun lamanya. Ubat hospital sebenarnya bertindak sebagai ‘perisai’ untuk mengawal kerosakan ini daripada merebak.
Penghasilan Ubatan Moden: Bukan Dihasilkan Semalaman
Sering kali masyarakat menyangka ubat moden dihasilkan secara tergesa-gesa tanpa memikirkan kesan sampingan. Hakikatnya, sebelum sebiji pil sampai ke kaunter farmasi dan dimasukkan ke dalam plastik ubat pesakit, ia melalui siri kajian klinikal ketat yang memakan masa antara 10 hingga 15 tahun.
Jenis-jenis siri kajian klinikal adalah seperti berikut:
i – Ujian Pra-Klinikal (Makmal & Haiwan)
Sebelum diuji pada manusia, molekul ubat diuji di makmal pada kultur sel dan haiwan. Peringkat ini bertujuan menilai profil toksisiti asas, memastikan bahan kimia tersebut tidak beracun secara ekstrem, dan memahami bagaimana ia diserap serta disingkirkan daripada badan.
ii – Kajian Klinikal Fasa 1: Keselamatan dan Dos Awal
Ubat mula diuji kepada sekumpulan kecil sukarelawan sihat (sekitar 20 hingga 80 orang). Tujuannya adalah mengesahkan keselamatan ubat dalam tubuh manusia, memerhati kesan sampingan, dan menentukan bagaimana organ seperti hati dan buah pinggang memproses bahan tersebut.
iii – Kajian Klinikal Fasa 2: Keberkesanan dan Penentuan Dos
Ubat mula diberikan kepada pesakit sebenar dalam kumpulan yang lebih besar (100 hingga 300 orang). Di sini, saintis mengukur tahap keberkesanan ubat dalam merawat penyakit sasaran, sambil mencari lingkungan dos paling optimum yang cukup kuat untuk merawat, tetapi cukup rendah untuk meminimumkan risiko ketoksikan.
iv – Kajian Klinikal Fasa 3: Ujian Skala Besar
Ubat diuji kepada ribuan pesakit dari pelbagai latar belakang dan negara. Fasa ini membandingkan keberkesanan ubat baharu dengan ubat sedia ada atau plasebo, di samping memantau kesan sampingan yang jarang berlaku. Ujian fungsi organ (termasuk buah pinggang dan hati) dipantau secara berkala sepanjang fasa ini.
v – Kajian Klinikal Fasa 4: Pemantauan Pasca-Pemasaran
Selepas ubat diluluskan oleh badan kawal selia (seperti NPRA di Malaysia atau FDA di peringkat antarabangsa), pemantauan berterusan tetap dijalankan ke atas jutaan pengguna untuk memastikan keselamatannya terjamin dalam jangka masa panjang.

Dalam setiap fasa ujian, fungsi penyingkiran organ menjadi indikator kritikal. Buah pinggang dan hati adalah dua organ utama yang memproses serta menapis sisa ubat daripada badan. Oleh itu, doktor menetapkan dos ubat bukan secara rambang, sebaliknya berasaskan data klinikal. Doktor sentiasa memeriksa ujian darah (seperti fungsi buah pinggang) untuk memastikan dos yang diberikan bersesuaian dengan keupayaan buah pinggang pesakit. Terdapat juga ubat darah tinggi atau kencing manis generasi baharu yang secara klinikalnya terbukti bukan sahaja selamat, malah memberi perlindungan tambahan (renoprotective) kepada buah pinggang.
Ketakutan terhadap ubat sering berpunca daripada kekeliruan antara ‘sebab’ dan ‘akibat’. Pesakit melihat individu yang mengambil ubat darah tinggi akhirnya menjalani dialisis, lalu menyalahkan ubat tanpa menyedari dialisis itu berlaku kerana tekanan darah pesakit mungkin sudah merosakkan buah pinggang bertahun-tahun sebelum ubat sempat menyelamatkannya, atau akibat ketidakpatuhan rawatan.


Ubat moden yang berdaftar telah melalui penapisan saintifik yang berlapis demi keselamatan anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang keraguan tentang kesan sesuatu ubat, jalan terbaik adalah berbincang secara terbuka dengan doktor atau pegawai farmasi, bukannya menghentikan rawatan atas andaian sendiri.
Biodata Penulis
Dr. Zainab Mat Yudin mendapat pendidikan sebagai doktor perubatan pada tahun 2003 daripada Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Hospital Alor Setar, Klinik Kesihatan Rasa dan Klinik Ibu dan Anak Kuala Kubu Bharu. Pada tahun 2015, beliau telah menamatkan pengajian dalam bidang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Sains Malaysia dan beliau bertugas di klinik kesihatan di Sabah iaitu Klinik Kesihatan Putatan dan Klinik Kesihatan Kundasang sebelum bertugas sebagai Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM pada tahun 2016 sehingga kini. Beliau juga bertugas di Klinik Rawatan Keluarga, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kelantan.




