Penulis: Dr. Aniza Bt Mat Jelani @ Mohammed Jelani & Dr. Wan Norlina Wan Azman
Pakar Patologi Kimia dan Pensyarah Perubatan,
Jabatan Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM
Diabetes mellitus atau kencing manis adalah satu penyakit yang tidak asing dalam masyarakat kita. Apabila menyebut tentang penyakit ini, kebiasaannya perkara pertama yang terlintas di fikiran kita ialah paras gula yang tinggi dalam darah. Namun, tahukah anda bahawa perubahan dalam badan yang membawa kepada diabetes melllitus mungkin telah bermula bertahun-tahun sebelum paras gula darah meningkat?
Salah satu perubahan tersebut dikenali sebagai kerintangan insulin. Keadaan ini berlaku apabila sel-sel badan menjadi kurang sensitif terhadap tindakan insulin, iaitu hormon yang membantu mengawal paras gula dalam darah. Walaupun insulin masih dihasilkan, badan memerlukan jumlah yang lebih banyak hormon tersebut untuk menjalankan fungsinya dengan berkesan.
Apa yang menarik, seseorang yang mengalami kerintangan insulin mungkin masih mempunyai paras gula darah yang normal dan tidak menunjukkan sebarang gejala. Namun, di sebalik keadaan yang kelihatan normal ini, badan sebenarnya sedang bekerja lebih keras untuk mengekalkan keseimbangan gula darah.
Bagaimanakan Insulin Berfungsi?
Setiap kali kita makan, terutamanya makanan yang mengandungi karbohidrat seperti nasi, roti dan mi, sebahagian daripada karbohidrat tersebut akan diuraikan menjadi glukosa. Glukosa kemudiannya diserap ke dalam aliran darah untuk digunakan sebagai sumber tenaga.
Apabila paras glukosa darah meningkat, pankreas akan menghasilkan insulin. Hormon ini bertindak seperti isyarat yang memberitahu sel-sel badan, khususnya sel otot dan lemak, supaya mengambil glukosa daripada darah. Insulin juga membantu hati mengawal penghasilan dan penyimpanan glukosa.
Bayangkan insulin sebagai kunci yang membantu membuka pintu untuk glukosa memasuki sel. Apabila sistem ini berfungsi dengan baik, glukosa dapat digunakan atau disimpan mengikut keperluan badan, sekali gus memastikan paras glukosa darah terkawal
Kerintangan Insulin
Dalam keadaan peningkatan glukosa darah yang berterusan, pankreas akan menghasilkan lebih banyak insulin. Peningkatan paras insulin dalam darah dikenali sebagai hiperinsulinemia. Pada peringkat awal, mekanisme ini biasanya masih mampu menurunkan paras glukosa darah dan mengekalkannya dalam julat normal.
Namun, dalam jangka masa panjang, sel-sel badan tidak akan dapat memberikan respon terhadap insulin seperti keadaan normal. Keadaan ini dipanggil kerintangan insulin Jika keadaan ini berterusan dan pankreas tidak lagi mampu menghasilkan insulin yang mencukupi, paras glukosa darah akan mula meningkat. Lama-kelamaan, seseorang boleh mengalami pradiabetes dan seterusnya diabetes mellitus jenis 2.
Selain daripada faktor pengambilan makanan yang mengadungi kandungan karbohidrat dan gula yang tinggi, perkembangan penyakit turut bergantung pada faktor genetik, keupayaan pankreas menghasilkan insulin dan keadaan metabolik seseorang.

Sumber: Adaptasi berasaskan konsep daripada Accili, Deng And Liu. Nat rev endocrinol.2025;doi:10.1038/s41574-025-01114-y;Yau et al. Diabetologica 2025;doi:s00125-025-06499-z
Mengapa Kerintangan Insulin Berlaku?
Kerintangan insulin tidak berlaku disebabkan oleh satu faktor sahaja. Ia melibatkan gabungan faktor genetik, gaya hidup dan perubahan metabolik dalam badan.
Antara faktor yang sering dikaitkan dengan keadaan ini ialah pengumpulan lemak viseral, iaitu lemak yang terdapat di sekitar organ dalaman abdomen. Tisu lemak sebenarnya bukan sekadar tempat menyimpan tenaga. Ia turut menghasilkan pelbagai bahan yang mempengaruhi fungsi metabolik badan.
Apabila fungsi tisu lemak terganggu, pelepasan asid lemak bebas dan bahan yang terlibat dalam proses keradangan boleh meningkat. Perubahan ini boleh mengganggu cara sel bertindak balas terhadap insulin.
Kurangnya aktiviti fizikal juga memainkan peranan penting. Otot merupakan antara tisu utama yang menggunakan glukosa sebagai sumber tenaga. Oleh itu, gaya hidup yang kurang aktif boleh menjejaskan keupayaan badan menggunakan glukosa dengan berkesan.
Walaupun kerintangan insulin sering dikaitkan dengan obesiti, individu yang mempunyai berat badan normal juga boleh mengalaminya. Ini bermakna berat badan semata-mata tidak boleh dijadikan ukuran untuk menentukan sama ada seseorang mengalami kerintangan insulin.
Bukan Sekadar Diabetes
Kesan kerintangan insulin sebenarnya bukan sekadar gangguan paras glukosa darah. Ia boleh menyebabkan pengumpulan glukosa yang berlebihan dan mengganggu metabolisme lemak dalam hati. Keadaan ini boleh menyumbang kepada pengumpulan lemak di dalam organ tersebut, yang dikenali sebagai penyakit hati berlemak berkaitan disfungsi metabolik (metabolic dysfunction-associated steatotic liver disease, MASLD).
Kerintangan insulin juga sering dikaitkan dengan peningkatan paras trigliserida dan penurunan kolesterol baik atau HDL-C. Perubahan ini boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.
Selain itu, kerintangan insulin turut berkait rapat dengan sindrom metabolik, iaitu gabungan beberapa masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, gangguan paras glukosa darah dan peningkatan paras lemak dalam darah iaitu hiperlipidemia.
Jelaslah bahawa kerintangan insulin bukan sekadar masalah glukosa dalam darah, tetapi boleh mempengaruhi kesihatan badan secara keseluruhan.

Bagaimanakah Kerintangan Insulin Dikesan?
Salah satu cabaran dalam mengenal pasti kerintangan insulin ialah keadaan ini biasanya tidak menunjukkan gejala yang jelas.
Keputusan ujian gula darah yang normal tidak semestinya bermaksud seseorang bebas daripada kerintangan insulin disebabkan pada peringkat ini pankreas mungkin masih mampu menghasilkan insulin tambahan untuk mengekalkan paras gula darah.
Dalam bidang penyelidikan, kerintangan insulin boleh dianggarkan menggunakan kaedah yang dikenali sebagai Homeostatic Model Assessment of Insulin Resistance (HOMA-IR). Kaedah ini menggunakan paras glukosa dan insulin ketika berpuasa. Walau bagaimanapun, ujian ini mempunyai beberapa limitasi dan tidak digunakan secara rutin untuk mendiagnosis kerintangan insulin.
Dalam amalan klinikal, ujian seperti paras glukosa, HbA1c dan profil lipid dalam darah membantu doktor menilai kesihatan metabolik serta mengenal pasti individu yang berisiko mendapat diabetes. Namun, ujian tersebut tidak mengukur kerintangan insulin secara langsung.
Kerintangan Insulin dalam Kalangan Rakyat Malaysia
Di Malaysia, diabetes merupakan antara masalah kesihatan awam yang semakin membimbangkan. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, sebanyak 15.6% orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, termasuk mereka yang tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai penyakit tersebut.
Walaupun angka ini tidak menggambarkan prevalens kerintangan insulin secara langsung, ia menunjukkan betapa pentingnya kesedaran terhadap gangguan metabolik dalam masyarakat.
Kajian tempatan juga menunjukkan bahawa kerintangan insulin boleh berlaku dalam kalangan individu yang belum menghidap diabetes. Justeru, usaha meningkatkan kesedaran tentang keadaan ini wajar diberikan perhatian, bukan hanya dalam kalangan pesakit diabetes, tetapi juga masyarakat umum.
Bolehkah Kerintangan Insulin Diperbaiki?
Berita baiknya, sensitiviti insulin boleh diperbaiki melalui perubahan gaya hidup.
Aktiviti fizikal secara berkala membantu otot menggunakan glukosa dengan lebih berkesan. Aktiviti seperti berjalan pantas, berbasikal atau berenang boleh memberikan manfaat kepada kesihatan metabolik.
Pemakanan yang seimbang, termasuk pengambilan makanan kaya serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh, turut membantu mengekalkan kesihatan metabolik. Tidur yang mencukupi dan pengurusan tekanan juga memainkan peranan penting.
Bagi individu yang mempunyai lebihan lemak badan, pengurangan lemak berlebihan secara beransur-ansur boleh membantu meningkatkan sensitiviti insulin. Namun, manfaat aktiviti fizikal dan pemakanan sihat tetap boleh diperoleh walaupun tanpa perubahan berat badan yang ketara.
Kerintangan insulin mungkin tidak menyebabkan sebarang gejala pada peringkat awal, tetapi kesannya terhadap kesihatan tidak boleh dipandang ringan. Ia merupakan salah satu mekanisme penting yang menyumbang kepada perkembangan diabetes mellitus jenis 2 dan pelbagai penyakit metabolik lain.
Apa yang perlu kita fahami ialah paras glukosa darah yang normal tidak semestinya menggambarkan keseluruhan keadaan metabolik badan. Oleh itu, penjagaan kesihatan tidak seharusnya hanya bermula apabila keputusan ujian darah menunjukkan sesuatu yang tidak normal.
Kerintangan insulin mungkin berlaku secara senyap, tetapi langkah menjaga kesihatan metabolik boleh dimulakan hari ini.
Rujukan:
- Accili, D., Deng, Z., & Liu, Q. (2025). Insulin resistance in type 2 diabetes mellitus. Nature Reviews Endocrinology, 21(7), 413–426. https://doi.org/10.1038/s41574-025-01114-y
- American Diabetes Association Professional Practice Committee for Diabetes. (2026). 2. Diagnosis and classification of diabetes: Standards of Care in Diabetes—2026. Diabetes Care, 49(Supplement 1), S27–S49. https://doi.org/10.2337/dc26-S002
- Institute for Public Health. (2024). National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023: Non-communicable diseases and healthcare demand [Fact sheet]. Ministry of Health Malaysia. https://iku.moh.gov.my/images/nhms2023/fact-sheet-nhms-2023.pdf
- Petersen, M. C., & Shulman, G. I. (2018). Mechanisms of insulin action and insulin resistance. Physiological Reviews, 98(4), 2133–2223. https://doi.org/10.1152/physrev.00063.2017
- Yau, B., Ghislain, J., Kebede, M. A., Hughes, J., & Poitout, V. (2025). The role of the beta cell in type 2 diabetes: New findings from the last 5 years. Diabetologia, 68(10), 2092–2103. https://doi.org/10.1007/s00125-025-06499-z
Biodata Penulis
Dr. Aniza Bt Mat Jelani @ Mohammed Jelani (Penulis utama)
Bidang kepakaran : Ujian protein diagnostik khusus, terutamanya bagi diagnosis gamopati monoklonal (monoclonal gammopathy) dan pelbagai penyakit lain. Pada tahun 2019, beliau telah menjalani latihan klinikal di Makmal Protein Diagnostik Khusus, Hospital Ampang. Selain itu, beliau turut mempunyai minat yang mendalam dalam bidang hormon dan biomarker, khususnya yang berkaitan dengan rintangan insulin (insulin resistance). Aktif menjalankan penyelidikan serta menghasilkan penerbitan ilmiah dalam bidang-bidang berkaitan.
Dr. Wan Norlina Wan Azman
Bidang kepakaran : Bidang biokimia dan kimia klinikal. Aktif menjalankan penyelidikan serta menghasilkan penerbitan ilmiah dalam bidang-bidang berkaitan mengoptimumkan penjagaan kesihatan melalui penyelidikan dan pengurusan makmal dalam bidang patologi kimia, dengan minat khusus terhadap pemahaman mekanisme penyakit, termasuk kimia klinikal, protein, neurokimia, penanda keradangan, dan antioksidan.




