Oleh: Dr. Ainul Bahiyah Binti Abu Bakar
Pensyarah Kanan, Jabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM
Apabila berbicara tentang diabetes, masyarakat umum biasanya membayangkan ianya penyakit yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, strok, masalah saraf, gangguan penglihatan atau luka yang lambat sembuh yang membawa kepada risiko amputasi anggota badan seperti kaki. Namun, tahukah anda bahawa diabetes juga boleh menjejaskan kesihatan sistem reproduktif lelaki?
Apa yang lebih membimbangkan, perubahan pada sistem reproduktif boleh berlaku tanpa gejala yang jelas. Seseorang lelaki yang menghidap diabetes mungkin tidak mengalami masalah fungsi seksual dan berupaya menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi tanpa disedari perubahan metabolik yang berlaku dalam tubuhnya berpotensi mempengaruhi penghasilan dan kualiti sperma dan seterusnya membawa kepada masalah ketidaksuburan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, 2025), menganggarkan satu daripada enam individu dewasa di seluruh dunia mengalami masalah ketidaksuburan sepanjang hidup mereka. Masalah ini boleh berpunca daripada faktor lelaki, wanita atau gabungan kedua-duanya.
Diabetes telah dikenalpasti sebagai salah satu penyebab ketidaksuburan lelaki dan kajian menunjukkan bahawa penyakit ini boleh menjejaskan fungsi reproduktif melalui gangguan hormon, tekanan oksidatif dan perubahan kualiti sperma (Lotti & Maggi, 2023).
Persoalannya, bagaimanakah penyakit yang berkaitan dengan peningkatan paras gula darah boleh mempengaruhi keupayaan seorang lelaki untuk mendapatkan zuriat?
Bagaimanakah Diabetes Mempengaruhi Sistem Reproduktif Lelaki?
Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh sel beta pankreas dan memainkan peranan penting dalam mengawal paras glukosa darah. Diabetes mellitus ialah penyakit metabolik kronik yang dicirikan oleh peningkatan paras glukosa dalam darah atau di kenali sebagai hiperglisemia.
Diabetes mellitus jenis 1 (DMT1) berlaku apabila sistem imun badan memusnahkan sel beta pankreas menyebabkan penghasilan insulin terhenti. Diabetes mellitus jenis 2 (DMT2) berpunca dari kerintangan insulin yang sering dikaitkan dengan obesiti, menyebabkan sel tubuh kurang responsif terhadap tindakan insulin, bersama gangguan penghasilan insulin.
Apabila hiperglisemia berlarutan untuk tempoh yang panjang, pelbagai perubahan biokimia boleh berlaku dalam tubuh. Antaranya termasuk peningkatan tekanan oksidatif, keradangan kronik dan gangguan fungsi salur darah.
Perubahan tersebut bukan sahaja menjejaskan organ seperti jantung dan buah pinggang, malah berpotensi mempengaruhi testis, iaitu organ yang bertanggungjawab menghasilkan sperma dan hormon testosteron (Maresch et al., 2018).
Penghasilan sperma atau spermatogenesis, berlaku dalam tubul seminiferus di dalam testis. Proses ini dikawal oleh sistem hormon yang melibatkan hipotalamus, kelenjar pituitari dan testis. Hipotalamus merembeskan hormon pelepas gonadotropin (GnRH) yang merangsang kelenjar pituitari anterior untuk menghasilkan hormon perangsang folikel (FSH) dan hormon peluteinan (LH). LH merangsang sel Leydig dalam testis untuk menghasilkan testosterone manakala FSH bertindak pada sel Sertoli yang menyokong perkembangan dan pematangan sel sperma. Testosteron dan fungsi sel Sertoli yang normal amat penting untuk memastikan proses spermatogenesis berlangsung dengan baik.
Diabetes, khususnya DMT2, boleh mengganggu keseimbangan hormon reproduktif. Lelaki yang menghidap DMT2, khususnya mereka yang obes lebih berisiko mempunyai paras testosteron yang rendah. Testosteron bukan sahaja penting untuk spermatogenesis, malah turut mempengaruhi keinginan seksual. Namun, perubahan hormon tidak semestinya berlaku pada semua lelaki yang menghidap diabetes (Lotti & Maggi, 2023).
Hubungan antara diabetes, obesiti, hormon dan kesuburan adalah kompleks serta dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk umur, tempoh penyakit dan tahap kawalan metabolik.
Oleh itu, penilaian hormon perlu dilakukan berdasarkan gejala dan keadaan klinikal seseorang individu.

Bukan Sekadar Bilangan Sperma
Dalam penilaian kesuburan lelaki, analisis air mani merupakan antara pemeriksaan asas untuk menilai kepekatan, pergerakan (motiliti) dan morfologi sperma. Ketiga-tiga parameter ini penting kerana sperma perlu dihasilkan dalam jumlah yang mencukupi, mempunyai struktur yang normal dan mampu berenang melalui saluran reproduktif wanita untuk mencapai ovum.
Kajian menunjukkan bahawa lelaki yang menghidap diabetes boleh mengalami penurunan motiliti dan peningkatan keabnormalan morfologi sperma. Walau bagaimanapun, kesannya tidak semestinya sama bagi setiap individu.
Selain itu, kajian turut memberikan perhatian kepada integriti DNA sperma. Kerosakan DNA sperma boleh berlaku apabila rantaian DNA mengalami pemutusan atau perubahan struktur. Keadaan ini dikenali sebagai fragmentasi DNA. Kualiti dan keutuhan DNA sperma amatlah penting bagi memastikan proses persenyawaan berjaya, penghasilan embrio yang sihat dan kehamilan dapat diteruskan sehingga proses kelahiran. Kajian oleh Agbaje et al. (2007) mendapati bahawa lelaki yang menghidap DMT1 menunjukkan tahap kerosakan DNA sperma yang lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan. Penemuan ini menunjukkan bahawa keputusan analisis air mani yang kelihatan normal tidak semestinya menjamin bahawa DNA sperma bebas daripada kerosakan.
Walau bagaimanapun, ujian fragmentasi DNA sperma bukanlah pemeriksaan rutin untuk semua lelaki. Keperluannya bergantung pada penilaian klinikal oleh pakar kesuburan.
Tekanan Oksidatif: Ancaman kepada Kesihatan Sperma
Salah satu mekanisme yang menghubungkan diabetes dengan gangguan kesuburan lelaki ialah tekanan oksidatif.
Dalam keadaan biasa, sel tubuh menghasilkan molekul yang dikenali sebagai spesies oksigen reaktif atau reactive oxygen species (ROS). Pada paras yang normal, ROS memainkan peranan penting dalam pelbagai proses fisiologi, termasuk fungsi normal sperma. Walau bagaimanapun, hiperglisemia yang berpanjangan boleh menyebabkan penghasilan ROS berlebihan dan menyebabkan tekanan oksidatif.
Sperma amat mudah terdedah kepada kerosakan oksidatif kerana membrannya kaya dengan asid lemak tak tepu yang sensitif terhadap pengoksidaan. ROS yang berlebihan boleh merosakkan membran sperma, mengganggu fungsi mitokondria dan merosakkan DNA sperma (Maresch et al., 2018).
Mitokondria memainkan peranan penting dalam metabolisme tenaga sperma. Gangguan fungsinya boleh menjejaskan pergerakan sperma, sekaligus mengurangkan keupayaannya untuk sampai ke ovum, justeru itu mempengengaruhi proses persenyawaan.
Keadaan ini menunjukkan bahawa kesan diabetes terhadap kesuburan lelaki bukan sekadar melibatkan jumlah sperma yang dihasilkan, tetapi juga kualiti dan fungsi sperma tersebut.
Keradangan dan Gangguan Fungsi Testis
Selain tekanan oksidatif, keradangan kronik turut berpotensi menyumbang kepada gangguan fungsi reproduktif akibat diabetes.
Hiperglisemia yang berpanjangan boleh menggalakkan penghasilan bahan perantara keradangan seperti faktor nekrosis tumor alfa (TNF-α) dan interleukin-6 (IL-6). Keradangan kronik berpotensi mengganggu fungsi normal sel testis serta persekitaran yang diperlukan untuk penghasilan sperma.
Satu ulasan sistematik dan meta-analisis oleh Hao et al. (2025) turut mengetengahkan penglibatan laluan keradangan dalam hubungan antara diabetes dan gangguan kesuburan lelaki.
Namun begitu, mekanisme ini masih memerlukan kajian klinikal yang lebih mendalam bagi menentukan sejauh mana perubahan yang diperhatikan dalam kajian eksperimen turut berlaku pada manusia.
Bolehkah Kesuburan Lelaki Dilindungi?
Langkah penting untuk mengurangkan risiko komplikasi diabetes ialah memastikan kawalan paras glukosa darah yang baik melalui perubahan gaya hidup yang meliputi rawatan perubatan, pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal yang bersesuaian.
Amalan gaya hidup sihat seperti berhenti merokok, mengekalkan berat badan yang sesuai dan mendapatkan tidur yang mencukupi adalah penting untuk kesihatan reproduktif.
Penyelidik turut mengkaji potensi antioksidan dalam mengurangkan kerosakan sperma akibat tekanan oksidatif. Walau bagaimanapun, bukti klinikal masih belum mencukupi untuk mengesyorkan pengambilan suplemen antioksidan secara rutin sebagai rawatan ketidaksuburan lelaki (Lotti & Maggi, 2023).
Lelaki yang menghidap diabetes dan menghadapi kesukaran mendapatkan zuriat disarankan mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta penilaian kesuburan yang bersesuaian.
Kesihatan Reproduktif Lelaki Tidak Wajar Diabaikan
Diabetes bukan sekadar penyakit yang mempengaruhi paras gula darah. Kesannya boleh melibatkan pelbagai sistem tubuh, termasuk sistem reproduktif lelaki.
Walaupun tidak semua lelaki yang menghidap diabetes mengalami masalah kesuburan, kesedaran tentang hubungan ini penting bagi menggalakkan penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh.
Memahami kesan diabetes terhadap hormon, fungsi testis dan kualiti sperma merupakan langkah awal untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesihatan reproduktif lelaki.
Kesihatan reproduktif bukan hanya berkaitan dengan kemampuan mendapatkan zuriat, tetapi turut mencerminkan kesejahteraan dan kesihatan tubuh secara keseluruhan.
Rujukan
- Agbaje, I. M., et al. (2007). Insulin dependent diabetes mellitus: Implications for male reproductive function. Human Reproduction, 22(7), 1871–1877. https://doi.org/10.1093/humrep/dem077
- Hao, et al. (2025). Inflammation-mediated effects of diabetes mellitus on male fertility: A systematic review and meta-analysis. Frontiers in Endocrinology. https://doi.org/10.3389/fendo.2025.1600565
- Lotti, F., & Maggi, M. (2023). Effects of diabetes mellitus on sperm quality and fertility outcomes: Clinical evidence. Andrology, 11(2), 399–416. https://doi.org/10.1111/andr.13342
- Maresch, C. C., et al. (2018). Diabetes-induced hyperglycemia impairs male reproductive function: A systematic review. Human Reproduction Update, 24(1), 86–105. https://doi.org/10.1093/humupd/dmx033
- World Health Organization. (2025). Infertility. https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/infertility
Biodata Penulis
Dr. Ainul Bahiyah Binti Abu Bakar: Kelulusan akademik: Ijazah Sarjana Muda Genetik (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Bioteknologi Reproduktif dari Universiti Malaya (UM). Merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fisiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, USM. Bidang penyelidikan: Diabetes, fisiologi reproduktif, tekanan oksidatif dan produk semulajadi.




