Oleh: Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Hassan1, Profesor Madya Dr. Wan Suriana Wan Ab Rahman2 & Dr. Zefarina Zulkafli1
Pensyarah, 1 Pusat Pengajian Sains Perubatan ,2Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia
Darah merupakan salah satu komponen terpenting dalam tubuh manusia yang berfungsi membawa oksigen dan nutrien ke seluruh badan, melindungi badan daripada jangkitan serta membantu menghentikan pendarahan apabila berlaku kecederaan. Walaupun darah kelihatan seperti cecair berwarna merah, sebenarnya darah mengandungi pelbagai jenis sel yang mempunyai fungsi tersendiri, iaitu sel darah merah (eritrosit), sel darah putih (leukosit) dan sel platelet (trombosit)
Masalah pada komponen darah boleh berlaku tanpa menunjukkan gejala yang jelas pada peringkat awal. Sebagai contoh, seseorang mungkin mengalami kekurangan sel darah merah (SDM) dan haemoglobin (Hb), atau perubahan bilangan sel darah putih (SDP) tanpa menyedarinya sehinggalah menjalani pemeriksaan kesihatan
Tahukah anda bahawa sebahagian masalah kesihatan boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan darah yang ringkas? Ujian makmal yang dikenali sebagai ujian kiraan darah lengkap atau Full Blood Count (FBC) dan pemeriksaan filem darah memainkan peranan penting dalam menilai keadaan kesihatan darah seseorang
Apakah Ujian Kiraan Darah Lengkap?
Ujian kiraan darah lengkap atau FBC merupakan antara ujian darah yang paling lazim dilakukan di hospital dan klinik untuk mengukur bilangan serta beberapa ciri SDM, SDP dan platelet, sebagai sebahagian daripada pemeriksaan kesihatan, penilaian penyakit atau pemantauan keberkesanan rawatan.
Secara umumnya, FBC memberikan maklumat mengenai SDM, SDP dan platelet yang mempunyai fungsi berbeza tetapi saling melengkapi dalam memastikan tubuh berfungsi dengan baik. Ujian ini menggunakan sampel darah yang diambil daripada salur darah vena sebanyak 2 hingga 3 ml pada lengan dan dimasukkan ke dalam tiub specimen darah yang mengandungi bahan antikoagulan iaitu EDTA bagi mengelakkan darah daripada membeku.
Sampel tersebut kemudiannya dianalisis menggunakan mesin penganalisis hematologi automatik yang menggunakan teknologi pengiraan sel untuk menentukan bilangan sel darah serta mengukur beberapa parameter berkaitan saiz dan kandungan Hb dan sel-sel darah yang lain [1]. Dalam keadaan tertentu, pemeriksaan tambahan menggunakan mikroskop, iaitu filem darah, diperlukan untuk melihat bentuk morfologi dan ciri sel darah dengan lebih terperinci.

Apakah Pemeriksaan Filem Darah?
Walaupun FBC memberikan maklumat penting mengenai bilangan dan saiz sel darah, ia tidak dapat menggambarkan semua ciri fizikal sel secara terperinci. Oleh itu, pemeriksaan filem darah dilakukan apabila terdapat keperluan klinikal atau keputusan FBC menunjukkan perubahan yang memerlukan penelitian lanjut.
Dalam pemeriksaan ini, setitis sampel darah disebarkan secara nipis pada permukaan slaid mikroskop yang kemudiannya diwarnakan menggunakan pewarna makmal seperti pewarnaan Wright atau Leishman sebelum diperiksa di bawah mikroskop supaya struktur dan ciri dalaman sel darah dapat diperhatikan dengan lebih jelas.
Sebagai contoh, SDM yang kelihatan lebih kecil dan pucat boleh memberikan petunjuk kepada kekurangan zat besi atau talasemia, manakala sel yang berbentuk tidak normal boleh dikaitkan dengan penyakit tertentu seperti anemia sel sabit atau gangguan pemusnahan sel darah merah [5,6]. Pemeriksaan filem darah juga boleh membantu mengenal pasti SDP yang belum matang atau tidak normal, termasuk sel leukemia.
Selain itu, pemeriksaan mikroskopik boleh membantu mengesan parasit tertentu dalam darah seperti parasit malaria, di samping mengenal pasti platelet yang bergumpal sehingga menyebabkan bacaan mesin menjadi kurang tepat.

Kepentingan Dalam Mengesan Anemia dan Talasemia
Sel darah merah merupakan komponen darah yang mengandungi protein Hb, iaitu bahan yang memberikan warna merah kepada darah dan bertanggungjawab membawa oksigen dari paru-paru ke seluruh tubuh.
Salah satu parameter penting dalam FBC ialah paras Hb, yang membantu menentukan sama ada seseorang mengalami anemia atau kekurangan darah. Anemia berlaku apabila paras Hb lebih rendah daripada julat yang sesuai berdasarkan faktor seperti umur, jantina dan keadaan fisiologi seseorang.
Individu yang mengalami anemia mungkin menunjukkan gejala seperti cepat letih, pening, pucat, berdebar-debar dan sesak nafas, bergantung pada tahap keterukan anemia tersebut. Antara punca anemia yang lazim ialah kekurangan zat besi, kekurangan vitamin B12 atau folat, kehilangan darah, penyakit kronik dan masalah penghasilan atau pemusnahan SDM.
Selain paras Hb, mesin FBC turut mengukur purata saiz SDM dan purata Hb yang dikenali sebagai Mean Corpuscular Volume (MCV) dan Mean Corpuscular Haemoglobin (MCH). SDM yang lebih kecil daripada biasa disebut sebagai mikrositik, manakala sel yang lebih besar disebut sebagai makrositik.
Anemia dengan SDM bersaiz kecil sering dikaitkan dengan kekurangan zat besi atau talasemia, iaitu penyakit genetik yang menyebabkan penghasilan Hb tidak normal. Talasemia merupakan penyakit yang penting diberi perhatian di Malaysia kerana individu yang membawa gen talasemia mungkin kelihatan sihat dan tidak mempunyai gejala yang ketara, tetapi masih boleh mewariskan gen tersebut kepada anak.
Walau bagaimanapun, keputusan FBC sahaja tidak mencukupi untuk mengesahkan talasemia atau menentukan punca anemia. Pemeriksaan tambahan seperti kajian zat besi dan analisis Hb mungkin diperlukan untuk mengenal pasti punca sebenar.
Kepentingan Dalam Mengesan Jangkitan dan Kanser Darah
Sel darah putih merupakan sebahagian daripada sistem pertahanan badan yang membantu melawan bakteria, virus, parasit dan bahan asing yang boleh menyebabkan penyakit.
SDP mempunyai beberapa jenis yang menjalankan fungsi pertahanan yang berbeza. Antara jenis utama SDP ialah neutrofil, limfosit, monosit, eosinofil dan basofil. Neutrofil berperanan penting dalam melawan jangkitan bakteria, limfosit membantu tindak balas sistem imun termasuk penghasilan antibodi, manakala eosinofil sering dikaitkan dengan tindak balas alahan dan jangkitan parasit.
Bilangan SDP yang meningkat, atau leukositosis, boleh berlaku apabila seseorang mengalami jangkitan, keradangan, tekanan fizikal atau tindak balas terhadap ubat-ubatan tertentu. Sebaliknya, bilangan SDP yang terlalu rendah, atau leukopenia, boleh dikaitkan dengan jangkitan virus tertentu, kesan ubat-ubatan, penyakit autoimun atau gangguan penghasilan sel darah di sumsum tulang.
Satu lagi keadaan penting yang boleh dikesan melalui FBC ialah leukemia atau kanser darah. Leukemia berlaku apabila SDP yang tidak normal berkembang secara tidak terkawal di dalam sumsum tulang dan boleh mengganggu penghasilan sel darah normal].
Dalam sesetengah kes leukemia, FBC menunjukkan bilangan SDP yang terlalu tinggi atau terlalu rendah, di samping penurunan Hb dan platelet. Walau bagaimanapun, terdapat juga pesakit leukemia yang mempunyai bilangan SDP yang tidak terlalu tinggi, justeru keputusan FBC yang kelihatan hampir normal tidak semestinya menolak kemungkinan penyakit tersebut.
Kepentingan Dalam Mengesan Risiko Pendarahan
Platelet merupakan cebisan kecil sel yang berfungsi membantu proses pembekuan darah apabila salur darah mengalami kecederaan. Bilangan platelet yang rendah dikenali sebagai trombositopenia, manakala bilangan yang tinggi disebut trombositosis. Trombositopenia boleh menyebabkan seseorang mudah mengalami lebam, bintik-bintik merah pada kulit, gusi berdarah atau pendarahan yang sukar dihentikan, bergantung pada tahap penurunan platelet.
Di Malaysia, pemeriksaan bilangan platelet amat penting dalam penilaian pesakit yang disyaki mengalami demam denggi kerana jangkitan virus denggi boleh menyebabkan penurunan bilangan platelet. Namun begitu, platelet yang rendah bukan hanya disebabkan oleh denggi kerana pelbagai keadaan lain seperti jangkitan, kesan ubat-ubatan dan penyakit sumsum tulang juga boleh menyebabkan perubahan yang sama.
Sebaliknya, peningkatan platelet boleh berlaku sebagai tindak balas terhadap jangkitan, keradangan atau kekurangan zat besi, dan dalam keadaan tertentu boleh berpunca daripada gangguan sumsum tulang. Oleh itu, bilangan platelet perlu dinilai bersama-sama gejala, sejarah kesihatan dan keputusan pemeriksaan lain.

Ujian FBC dan pemeriksaan filem darah merupakan dua pemeriksaan asas yang sangat penting dalam bidang hematologi untuk menilai kesihatan darah seseorang Walaupun FBC dan filem darah merupakan pemeriksaan asas yang sangat berguna, kedua-duanya bukan ujian yang dapat mengesahkan semua jenis penyakit darah Kedua-duanya dapat memberikan petunjuk awal kepada pelbagai masalah kesihatan termasuk anemia, talasemia, jangkitan, gangguan platelet dan kanser darah.
Pemeriksaan ini bukan sahaja membantu doktor mengenal pasti kemungkinan penyakit, malah turut digunakan untuk memantau perkembangan penyakit dan keberkesanan rawatan. Justeru, orang ramai digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan mengikut keperluan dan mendapatkan nasihat doktor sekiranya keputusan ujian darah menunjukkan sebarang kelainan.
Kesihatan darah mencerminkan kesihatan tubuh secara keseluruhan. Memahami keputusan ujian darah merupakan langkah awal untuk mengenali masalah kesihatan dan mendapatkan rawatan yang bersesuaian pada masa yang tepat.
Rujukan
- El Brihi J, Pathak S. Normal and Abnormal Complete Blood Count With Differential. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; updated 2024 Jun 8. Dicapai pada 18 November 2026 di talian https://www.ncbi.nlm.nih.gov/sites/books/NBK604207/
- National Library of Medicine. Complete Blood Count (CBC): MedlinePlus Medical Test. Dicapai pada 18 November 2026 di talian https://medlineplus.gov/lab-tests/complete-blood-count-cbc/
- National Library of Medicine. Blood Smear: MedlinePlus Medical Test. Dicapai pada 18 November 2026 di talian https://medlineplus.gov/lab-tests/blood-smear/
- Tefferi A, Hanson CA, Inwards DJ. How to interpret and pursue an abnormal complete blood cell count in adults. Mayo Clin Proc. 2005;80(7):923–936. doi: 4065/80.7.923
- Healthdirect Australia. Full Blood Count (FBC) – A Common Blood Test. Dicapai pada 18 November 2026 di talian https://www.healthdirect.gov.au/procedures/diagnostic-tests-and-scans/blood-tests/full-blood-count.
- Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines Management of Thalassaemia. 2nd ed. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia; 2024. https://www.moh.gov.my/images/04-penerbitan/penerbitan-klinikal/panduan-amalan-klinikal/e-CPG_Thalas-16_8_25.pdf
- National Library of Medicine. Platelet Count: MedlinePlus, Dicapai pada 18 November 2026 di talian https://medlineplus.gov/ency/article/003647.htm
Biodata Pengarang
Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Bin Hassan adalah seorang Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Hematologi di Jabatan Hematologi dan Unit Perubatan Transfusi, Hospital Universiti Sains Malaysia. Beliau berkhidmat dalam bidang hematologi semenjak 2005 dan memulakan perkhidmatan sebagai pensyarah dan pakar perubatan pada tahun 2012 dengan pengkhususan hematologi dan perubatan transfusi.
Profesor Madya Dr. Noor Haslina Mohd Noor adalah seorang Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Hematologi di Jabatan Hematologi dan Unit Perubatan Transfusi di Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia. Beliau berkelulusan Sarjana Patologi (Hematologi).
Dr. Zefarina Binti Zulkafli adalah seorang Pensyarah perubatan di Universiti Sains Malaysia. Beliau berkelulusan Sarjana dalam Bidang Patologi (Hematologi) dan kepakaran beliau adalah hematologi dan sains transfusi.




