Oleh: Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Zuratul Ain Abdul Hamid
Pensyarah kanan, Program Kejuruteraan Polimer, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral,
Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia
Bayangkan seseorang mengalami kerosakan tulang rawan pada sendi lutut akibat kecederaan atau penyakit (Gambarajah 1). Dalam keadaan tertentu, pesakit mungkin memerlukan pembedahan untuk membaiki tisu yang rosak. Namun, bagaimana jika suatu hari nanti bahan khas boleh disuntik terus ke kawasan kerosakan bagi membantu proses pemulihan tisu tanpa memerlukan pembedahan besar?

Perkembangan teknologi biobahan kini membuka peluang ke arah rawatan yang lebih mudah dan kurang invasif. Antara inovasi yang semakin mendapat perhatian ialah hidrogel boleh suntik, iaitu bahan berasaskan polimer yang berpotensi menyokong pembaikan dan penjanaan semula tisu manusia.
Teknologi ini menggabungkan prinsip kejuruteraan polimer, biologi sel dan perubatan regeneratif bagi menghasilkan bahan yang bukan sahaja boleh disuntik, malah mampu membentuk struktur sokongan secara langsung di dalam badan.
Apakah Hidrogel Boleh Suntik?
Hidrogel merupakan bahan lembut yang terbentuk daripada rangkaian polimer tiga dimensi dan mampu menyerap serta mengekalkan kandungan air yang tinggi. Sifat ini menjadikan hidrogel menyerupai sebahagian daripada persekitaran semula jadi tisu manusia.
Hidrogel boleh dihasilkan daripada polimer semula jadi seperti alginat, kitosan, gelatin dan asid hialuronik, atau polimer sintetik seperti polietilena glikol (PEG) dan Pluronik F127.
Keistimewaan hidrogel boleh suntik ialah keupayaannya dihantar ke kawasan sasaran melalui jarum suntikan atau kateter. Formulasi berada dalam keadaan cecair atau larutan sebelum suntikan dengan kepekatan yang bersesuaian dan kemudian berubah menjadi gel tiga dimensi secara in-situ apabila terdedah kepada keadaan tertentu di dalam badan. Keupayaan ini membolehkan hidrogel mengisi ruang kerosakan tisu yang mempunyai bentuk tidak sekata.
Gambarajah 2 menunjukkan empat fasa utama penggunaan hidrogel boleh suntik, daripada penyediaan formulasi sehingga pembentukan perancah gel yang menyokong pembaikan tisu.

Bagaimanakah Cecair Bertukar Menjadi Gel?
Salah satu keunikan hidrogel boleh suntik ialah keupayaannya mengalami perubahan sifat fizikal apabila bertindak balas terhadap persekitaran.
Proses ini dikenali sebagai peralihan sol-gel atau dalam bahasa mudahnya ialah peralihan daripada larutan kepada gel, iaitu perubahan daripada keadaan cecair yang mudah mengalir kepada keadaan gel yang mempunyai struktur rangkaian tiga dimensi.
Antara bahan yang banyak dikaji ialah hidrogel termosensitif, iaitu hidrogel yang bertindak balas terhadap perubahan suhu. Sebagai contoh, Pluronik F127 boleh diformulasikan supaya berada dalam keadaan cecair pada suhu rendah sebelum membentuk gel apabila suhu meningkat menghampiri suhu badan manusia, iaitu sekitar 37°C.
Bagaimanakah perubahan ini berlaku?
Apabila suhu meningkat, segmen tertentu dalam molekul polimer menjadi kurang serasi dengan air lalu menggalakkan pembentukan struktur kecil yang dikenali sebagai misel. Apabila misel semakin tersusun dan padat, pergerakan molekul menjadi lebih terhad sehingga larutan menunjukkan sifat seperti gel. (Syed Ismail et al., 2026a)
Bagi Pluronik F127, proses ini berlaku melalui interaksi fizikal tanpa semestinya memerlukan bahan pengikat silang kimia tambahan. Walau bagaimanapun, suhu pembentukan gel bergantung pada kepekatan polimer dan komposisi formulasi.
Selain suhu, hidrogel tertentu juga boleh direka untuk bertindak balas terhadap perubahan pH, interaksi ionik atau tindak balas kimia. Pembentukan perancah gel secara langsung di kawasan sasaran dikenali sebagai gelasi secara in situ.
Mengapa Hidrogel Penting dalam Kejuruteraan Tisu?
Tubuh manusia mempunyai keupayaan semula jadi untuk membaiki tisu yang rosak. Namun, keupayaan ini berbeza mengikut jenis tisu dan tahap kecederaan. Sebagai contoh, tulang rawan pada sendi mempunyai keupayaan penjanaan semula yang terhad. Keadaan ini menjadikan pembaikan tulang rawan antara cabaran dalam bidang kejuruteraan tisu.
Dalam bidang ini, hidrogel berfungsi sebagai perancah, iaitu struktur sokongan sementara yang menyediakan persekitaran sesuai untuk sel hidup, berkembang dan menghasilkan komponen tisu baharu.
Struktur hidrogel yang kaya dengan air membolehkan pergerakan nutrien serta molekul penting yang diperlukan oleh sel. Hidrogel juga boleh digabungkan dengan sel, faktor pertumbuhan atau bahan bioaktif bagi membantu proses pembaikan tisu.
Sesetengah hidrogel direka supaya dapat terurai secara beransur-ansur apabila tisu baharu terbentuk. Namun, keberkesanannya bergantung pada sifat mekanikal, kestabilan dan keserasian biologi hidrogel dengan tisu sasaran.
Aplikasi Hidrogel dalam Bidang Perubatan
Hidrogel boleh suntik mempunyai potensi dalam pelbagai aplikasi bioperubatan.
Pembaikan tulang rawan dan sendi. Hidrogel sedang dikaji sebagai medium untuk membawa sel atau bahan terapeutik ke kawasan sendi yang rosak bagi menyokong pembentukan tisu baharu. (Ramli et al., 2026)
Penjanaan semula tulang. Hidrogel boleh digabungkan dengan bahan bioaktif seperti hidroksiapatit untuk menyokong pembentukan dan pemineralan tisu tulang.
Rawatan luka. Hidrogel berpotensi mengekalkan persekitaran lembap serta membawa bahan antibakteria atau agen terapeutik bagi membantu penyembuhan luka.
Penghantaran ubat terkawal. Hidrogel boleh membebaskan bahan aktif secara beransur-ansur di kawasan sasaran, sekali gus berpotensi memanjangkan tempoh tindakan ubat setempat.
Walaupun penyelidikan menunjukkan potensi yang memberangsangkan, banyak aplikasi hidrogel untuk penjanaan semula tisu masih berada pada peringkat praklinikal atau penilaian klinikal.
Mampukah Hidrogel Mengubah Kaedah Pembedahan?
Salah satu kelebihan hidrogel boleh suntik ialah potensinya digunakan dalam prosedur minimum invasif. Berbanding sesetengah pendekatan konvensional yang memerlukan bukaan pembedahan untuk memasukkan implan, hidrogel boleh dihantar terus ke kawasan sasaran melalui jarum atau kateter.
Pendekatan ini berpotensi mengurangkan gangguan terhadap tisu sekeliling, trauma pembedahan dan tempoh pemulihan pesakit. Keupayaannya mengisi ruang kerosakan yang tidak sekata turut memberikan kelebihan berbanding sesetengah implan pepejal.
Namun, hidrogel boleh suntik bukanlah pengganti kepada semua prosedur pembedahan. Penggunaannya bergantung pada jenis kecederaan, keperluan klinikal serta keselamatan dan keberkesanan formulasi.
Cabaran dan Masa Hadapan Hidrogel Pintar
Walaupun mempunyai potensi besar, pembangunan hidrogel boleh suntik masih menghadapi cabaran dari segi kekuatan mekanikal, kestabilan struktur serta ketahanan dalam persekitaran fisiologi.
Sebagai contoh, Pluronic F127 mempunyai kelebihan dari segi pembentukan gel akibat perubahan suhu, tetapi hidrogel berasaskan Pluronic F127 sahaja boleh mengalami kelemahan mekanikal dan kehilangan kestabilan apabila terdedah kepada cecair badan.
Bagi mengatasi cabaran ini, penyelidik meneroka penggabungan polimer dengan bahan pengukuh seperti nanoselulosa dan grafen oksida. Pendekatan pembentukan rangkaian berganda serta gabungan ikatan silang fizikal dan kimia turut dikaji bagi meningkatkan kestabilan hidrogel. (Syed Ismail et al., 2026b)
Pada masa hadapan, pembangunan hidrogel pintar yang mampu bertindak balas terhadap persekitaran biologi dan melepaskan bahan terapeutik secara terkawal dijangka membuka peluang baharu dalam bidang perubatan regeneratif.
Kesimpulan
Hidrogel boleh suntik memperlihatkan bagaimana inovasi kejuruteraan polimer mampu menyumbang kepada kemajuan teknologi perubatan. Daripada bahan yang pada awalnya berbentuk cecair, hidrogel boleh direka untuk membentuk struktur sokongan di dalam badan, membawa bahan terapeutik serta menyediakan persekitaran yang membantu pembaikan tisu.
Walaupun pelbagai cabaran masih perlu diatasi sebelum teknologi ini dapat digunakan secara meluas dalam rawatan klinikal, potensinya amat memberangsangkan.
Mungkin pada masa hadapan, pembaikan sesetengah tisu yang rosak tidak lagi memerlukan pembedahan besar. Sebaliknya, proses penyembuhan boleh bermula dengan satu suntikan kecil yang membawa harapan besar kepada pesakit.
Rujukan
- Ramli, S. N., Amusa, A. A., Syed Ismail, S. N., & Abdul Hamid, Z. A. (2026). Thermoresponsive injectable Pluronic composite hydrogels: Advances in filler integration for regenerative medicine. Journal of Applied Polymer Science, 143, e70611. https://doi.org/10.1002/app.70611
- Syed Ismail, S. N., et al. (2026a). Mechanistic insights into gelation and rheological behavior of Pluronic F127-based thermoresponsive hydrogels. Polymer Bulletin, 83, Article 554. https://doi.org/10.1007/s00289-026-06498-z
- Syed Ismail, S. N., et al. (2026b). Advanced crosslinking strategies in Pluronic F127-based hydrogels. Journal of Materials Science, 61, 30435–30465. https://doi.org/10.1007/s10853-026-12720-0
Biodata Penulis
Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Zuratul Ain Abdul Hamid kini berkhidmat sebagai Profesor Madya di Program Kejuruteraan Polimer, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM). Penyelidikan beliau tertumpu kepada pembangunan polimer pintar, khususnya perancah hidrogel termosensitif, sistem penghantaran ubat terkawal dan biobahan untuk kejuruteraan tisu serta perubatan regeneratif. Selain itu, beliau turut aktif dalam penyelidikan polimer terbiodegradasi, bahan lestari dan pembangunan produk inovatif berasaskan polimer bagi aplikasi perubatan dan industri.



