Friday, November 20, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Paku Pakis: Khazanah Hutan dan Sumber Ekonomi Masyarakat Orang Asal

Paku Pakis: Khazanah Hutan dan Sumber Ekonomi Masyarakat Orang Asal

Editor by Editor
19/11/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa
0 0
0

Penulis: Dr. Nurul Nadhirah Othman 1 & Dr. Nur Aliah Mohamad Khaduwi2
1Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi, Universiti Malaya, Jelebu, Negeri Sembilan

2Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia

Sejak turun-temurun, tumbuhan paku pakis telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Orang Asal di Malaysia. Bagi komuniti ini, paku pakis bukan sekadar tumbuhan liar yang tumbuh menghijau di lantai hutan, tetapi merupakan khazanah alam yang mempunyai pelbagai kegunaan dan nilai tersendiri. Pengetahuan tentang tumbuhan ini diwarisi daripada satu generasi kepada generasi berikutnya, merangkumi penggunaannya sebagai sumber makanan, ramuan perubatan tradisional dan sumber pendapatan melalui aktiviti ekonomi setempat. Hubungan erat antara masyarakat Orang Asal dengan tumbuhan paku pakis ini memperlihatkan betapa pentingnya kepelbagaian biologi hutan dalam menyokong kehidupan, kesihatan dan warisan budaya komuniti tersebut.

Kepentingan paku pakis dalam perubatan tradisional turut didokumentasikan secara meluas di peringkat global. Menurut Muhammad et al. (2020), sebanyak 442 spesies paku pakis telah direkodkan penggunaannya dalam perubatan tradisional di seluruh dunia, khususnya bagi merawat masalah berkaitan sistem gastrousus. Menariknya, Malaysia mencatatkan jumlah laporan penggunaan kedua tertinggi selepas India, dengan 219 laporan yang melibatkan 50 spesies. Penemuan ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian spesies paku pakis, malah turut memiliki khazanah pengetahuan tradisional yang berpotensi untuk diterokai dengan lebih mendalam. Walau bagaimanapun, potensi tumbuhan paku pakis dalam bidang perubatan moden masih belum diterokai sepenuhnya. Kekurangan kajian saintifik yang komprehensif, khususnya dalam aspek kandungan fitokimia, aktiviti biologi dan keselamatan penggunaannya, masih menjadi antara cabaran utama dalam menghubungkan pengetahuan tradisional dengan pembangunan aplikasi perubatan berasaskan bukti saintifik.

Selain perubatan, paku pakis turut menyumbang kepada kelangsungan hidup dan ekonomi komuniti. Bagi sesetengah masyarakat yang tinggal berhampiran kawasan hutan, aktiviti mencari dan mengutip pucuk paku telah menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan yang diwarisi sejak turun-temurun. Pucuk-pucuk muda yang dikutip bukan sahaja dijadikan salah satu menu hidangan keluarga, tetapi turut dijual di pasar kampung atau kepada peraih tempatan sebagai sumber pendapatan sampingan. Antara spesies paku pakis yang dimanfaatkan sebagai sayuran termasuklah pucuk paku (Diplazium esculentum) dan paku midin (Stenochlaena palustris). Di Sarawak, misalnya, paku midin begitu sinonim dengan makanan tradisional masyarakat tempatan dan antara sayuran yang popular di pasar basah, termasuk di sekitar Kuching (Aliah et al. 2026b).

Amalan memanfaatkan paku pakis sebagai sumber makanan dan pendapatan ini bukanlah sesuatu yang unik kepada Malaysia sahaja. Di Timur Laut India, Yumkham et al. (2017) merekodkan sebanyak 23 spesies paku pakis dan likofit digunakan sebagai sayur-sayuran oleh pelbagai komuniti etnik. Walaupun aktiviti pengumpulan dan penjualan pucuk paku lazimnya dijalankan secara kecil-kecilan, amalan ini mempunyai kepentingan tersendiri dalam menyokong ekonomi isi rumah, khususnya bagi komuniti yang tinggal di kawasan pedalaman.

Namun begitu, nilai paku pakis tidak semestinya terhenti sebagai sayuran tradisional yang dijual dalam bentuk segar. Seiring dengan perkembangan penyelidikan dan inovasi makanan, tumbuhan yang dahulunya hanya dikenali sebagai sumber makanan tempatan kini berpotensi diketengahkan sebagai ramuan dalam pembangunan produk makanan bernilai tambah, seperti bar tenaga berasaskan kurma yang diperkaya dengan serbuk paku midin (Aliah et al. 2026b). Kajian seumpama ini masih terhad kerana penyelidikan paku pakis di Malaysia selama ini lebih tertumpu kepada aspek taksonomi, sistematik dan pembiakan (Maideen et al. 2019, 2021; Aliah et al. 2024, 2025; Nadhirah et al. 2025), sekali gus meninggalkan jurang antara pengetahuan botani dengan pemanfaatannya dalam bidang makanan (Aliah et al. 2026b).

Secara umumnya, amalan pengutipan hasil hutan oleh masyarakat Orang Asal dilakukan secara sederhana dan tidak berlebihan. Pendekatan ini secara tidak langsung membantu mengekalkan kelestarian sumber hutan bagi memastikan ia terus tersedia untuk generasi akan datang. Walau bagaimanapun, tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup berpotensi mendorong segelintir peraih untuk mengeksploitasi sumber hutan secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan pasaran. Keadaan ini boleh mengancam kemandirian spesies kumpulan tumbuhan ini sekiranya aktiviti pengutipan dilakukan tanpa mengambil kira aspek pemuliharaan. Pengalaman di Timur Laut India, misalnya, menunjukkan bahawa tradisi memakan paku pakis liar semakin berkurang dalam masyarakat tempatan akibat susutnya sumber semula jadi dan kadar penebangan hutan yang meningkat, sedangkan tiada teknik atau protokol pengutipan yang lestari diamalkan. Sehubungan itu, Yumkham et al. (2017) mencadangkan agar protokol pengutipan yang lestari dibangunkan dan spesies liar diusahakan sebagai tanaman komersial.

Selain pengutipan berlebihan, ancaman utama kepada komuniti tumbuhan paku pakis ialah pemecahan dan penebangan hutan. Hal ini kerana pokok-pokok hutan menyediakan teduhan kepada paku pakis di lantai hutan dan menjadi perumah kepada spesies epifit (Muhammad et al. 2020). Keuntungan ekonomi yang bersifat sementara tidak seharusnya mengorbankan kelestarian biodiversiti yang menjadi warisan dan sumber kehidupan generasi akan datang. Langkah pemuliharaan boleh dilaksanakan secara in situ melalui perlindungan habitat semula jadi atau secara ex situ melalui penanaman di taman botani dan teknik hortikultur (Muhammad et al. 2020; Nadhirah et al. 2025).

Sejak dahulu lagi, masyarakat Orang Asal telah menjalankan aktiviti sosioekonomi melalui penjualan pelbagai hasil hutan seperti madu tualang, tumbuhan herba, ulam-ulaman dan paku pakis. Aktiviti ini mencerminkan kebergantungan komuniti terhadap sumber biodiversiti hutan. Menariknya, lokasi jualan yang mudah dilihat dan diakses oleh orang ramai turut berfungsi sebagai medium promosi secara tidak langsung khususnya di laluan utama menuju ke pusat-pusat peranginan terkenal seperti Tanah Tinggi Cameron dan Tanah Tinggi Genting. Kebiasaannya, gerai-gerai ini dibina di dalam kawasan halaman kediaman sendiri bagi memudahkan urusan penjualan, di samping kekal dekat dengan kehidupan keluarga. Secara tidak langsung, pengunjung bukan sahaja datang untuk membeli hasil hutan, malah turut berpeluang menyelami budaya serta gaya hidup masyarakat setempat. Fenomena gerai tepi jalan ini bukan unik di Malaysia sahaja. Masyarakat Guarani di Argentina, misalnya, turut menjual rizom paku pohon di gerai tepi jalan, malah permintaan pasaran semasa telah mendorong pelbagai kumpulan peribumi di seluruh dunia untuk mengkomersialkan paku pakis hiasan serta pasu yang diperbuat daripada batang paku pohon (Keller & Prance 2015).

Selain digunakan sebagai sumber makanan, tumbuhan paku pakis turut mempunyai nilai komersial sebagai tanaman hiasan. Keunikan bentuk fron, corak pertumbuhan dan ciri morfologi tertentu menjadikan sesetengah spesies paku pakis mendapat perhatian dalam industri tanaman hiasan. Antaranya termasuk spesies yang mempunyai nilai estetika tinggi seperti Cibotium barometz (paku ayam emas atau penawar jambi), Cyathea sp. (paku pohon), Platycerium sp. (tanduk rusa), Huperzia phlegmaria dan Asplenium nidus (paku langsuyar). Di Semenanjung Malaysia, genus Cibotium diwakili oleh dua spesies, iaitu C. barometz dan C. cumingii; spesies kedua ini merupakan rekod baharu bagi Malaysia yang ditemui di Bukit Larut, Perak (Maideen et al. 2018). Selain nilai estetika, sesetengah spesies ini turut berpotensi dalam bidang perubatan. Kajian di Malaysia telah melaporkan sifat antioksidan dalam C. barometz, Cyathea latebrosa, Drynaria quercifolia dan S. palustris (Keller & Prance 2015), manakala spesies Huperzia mengandungi alkaloid huperzina A yang digunakan dalam rawatan penyakit Alzheimer (Yumkham et al. 2017). Permintaan daripada penggemar tanaman hiasan dan pengumpul tumbuhan eksotik turut membuka peluang ekonomi kepada masyarakat Orang Asal melalui aktiviti pengumpulan dan penjualan hasil hutan. Hal ini memperlihatkan bagaimana sumber semula jadi, apabila diuruskan dengan baik, mampu menjadi jambatan antara warisan budaya dan peluang ekonomi masa kini.

Seiring dengan perubahan arah aliran dan minat masyarakat, tumbuhan seperti ini kini semakin mendapat tempat dalam pasaran. Menariknya, nilai komersial tumbuhan ini turut melonjak naik, dengan harga yang mampu mencecah puluhan hingga ratusan ringgit bergantung kepada spesies, saiz, dan keunikan bentuknya. Dalam hal ini, pengalaman di negara lain wajar dijadikan iktibar. Penggunaan batang paku pohon secara berleluasa sebagai media tanaman epifit, misalnya, telah mengancam populasi spesies tersebut di beberapa tempat (Keller & Prance 2015). Di Sri Lanka pula, semua spesies paku pohon dilindungi oleh undang-undang dan tidak boleh ditanam atau dikomersialkan tanpa kelulusan pihak berkuasa (Ranil & Bussmann 2021). Oleh itu, pembiakan melalui spora dan penanaman di nurseri wajar digalakkan bagi mengurangkan tekanan terhadap populasi liar. Teknik pembiakan secara in vitro, seperti yang telah dibangunkan bagi likofit hiasan Selaginella willdenowii (Nadhirah et al. 2025), turut menawarkan alternatif untuk menghasilkan anak benih tanpa bergantung kepada pengutipan dari hutan.

Dalam konteks Malaysia, potensi komersial paku pakis juga perlu mengambil kira prinsip Akses dan Perkongsian Faedah (Access and Benefit Sharing, ABS) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795), di samping undang-undang negeri yang tersendiri di Sabah dan Sarawak. Melalui kerangka ini, penggunaan sumber biologi dan pengetahuan tradisional yang berkaitan dengannya bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan perlu dilaksanakan mengikut keperluan persetujuan yang dimaklumkan terlebih dahulu serta perkongsian faedah yang adil dan saksama. Pendekatan ini penting bagi memastikan pembangunan produk berasaskan biodiversiti bukan sahaja membuka peluang ekonomi, malah turut melindungi hak dan sumbangan masyarakat Orang Asal sebagai pemegang pengetahuan tradisional.

Bilangan spesies paku pakis di negara ini dijangka terus bertambah kerana senarai semak paku pakis Malaysia (Parris & Latiff 1997) masih belum dikemas kini mengikut sistem pengelasan terkini (PPG I 2016; Maideen et al. 2021), manakala inventori di pelbagai lokasi seperti Pulau Pangkor (Maideen et al. 2019) dan penemuan baharu terus menambah maklumat tentang kepelbagaian paku pakis tempatan. Antaranya termasuklah rekod baharu genus Cornopteris bagi Semenanjung Malaysia di Gunung Berinchang, Cameron Highlands (Maideen et al. 2021) dan penemuan semula spesies endemik Diplazium velutinum lebih 30 tahun selepas rekod terakhirnya (Aliah et al. 2026a). Bagi genus Diplazium sahaja, sebanyak 29 spesies telah direkodkan di Semenanjung Malaysia dan enam daripadanya adalah endemik (Aliah et al. 2026a). Namun, hutan pergunungan Cameron Highlands yang menjadi habitat kepada spesies ini telah mengalami kehilangan habitat yang ketara akibat pencerobohan pertanian dan pembangunan pelancongan (Aliah et al. 2026a).

Pengecaman spesies yang tepat juga amat penting, khususnya bagi paku pakis yang dijadikan sumber makanan atau yang mempunyai nilai ubatan. Taksonomi genus Diplazium, yang turut merangkumi pucuk paku (D. esculentum), adalah kompleks kerana ciri morfologinya hampir serupa dengan genus yang berkait rapat seperti Athyrium, Deparia dan Cornopteris. Oleh itu, pendekatan bersepadu yang menggabungkan data morfologi, anatomi, molekul dan ornamentasi spora diperlukan bagi membezakan spesies dengan tepat (Aliah et al. 2024, 2025). Ciri anatomi seperti bentuk stel dan corak urat daun juga terbukti berguna dalam pengecaman paku pakis di Semenanjung Malaysia (Maideen et al. 2023, 2024). Namun, masyarakat perlu cakna bahawa tidak semua paku pakis selamat dimakan. Blechnum orientale, misalnya, mampu menyerap logam berat ke dalam daun dan rizom, iaitu bahagian yang lazimnya dimakan (Keller & Prance 2015).

Hakikatnya, pengetahuan tentang tumbuhan amat penting dan wajar didedahkan kepada semua lapisan generasi. Hal ini kerana sebahagian besar sumber ubatan tradisional dan moden adalah berasaskan tumbuhan, di samping tumbuhan juga menjadi sumber utama makanan manusia. Oleh itu, usaha meningkatkan kesedaran dan pendidikan perlu diperkasakan agar khazanah biodiversiti negara terus dihargai dan dimanfaatkan secara lestari.
Rujukan

Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017 (Akta 795). Undang-Undang Malaysia. Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Kuala Lumpur.

Aliah, N., Maideen, H., Nadhirah, N. & Norhazrina, N. 2024. Sistematik famili Athyriaceae di Semenanjung Malaysia berdasarkan gabungan data anatomi dan molekul. Sains Malaysiana, 53(10): 3263–3277. https://doi.org/10.17576/jsm-2024-5310-03

Aliah, N., Maideen, H. & Nadhirah, N. 2025. Integrative taxonomy of Diplazium Sw. (Athyriaceae) in Peninsular Malaysia: Insights from morphological and spore ornamentation data. Malaysian Applied Biology, 54(4): 106–118. https://doi.org/10.55230/mabjournal.v54i4.3579

Aliah, N., Nadhirah, N., Maideen, H., Norhazrina, N., Khamis, S., Mohd Yusop, S., Basir, S., Syazwana, N., Zainal Abidin, D.H. & Zainee, N.F.A. 2026a. Rediscovery and lectotypification of Diplazium velutinum Holttum (Athyriaceae), a rare endemic fern from Peninsular Malaysia. PhytoKeys, 276: 139–149. https://doi.org/10.3897/phytokeys.276.197738

Aliah, N., Sam-on, M.F.S., Md Roduan, M.R., Rozali, E.A. & Nadhirah, N. 2026b. Physicochemical and nutritional characteristics of an underutilised edible fern (Stenochlaena palustris) incorporated into a dates-based food matrix. BMC Research Notes, 19: 326. https://doi.org/10.1186/s13104-026-07895-3

Keller, H.A. & Prance, G.T. 2015. The ethnobotany of ferns and lycophytes. Fern Gazette, 20(1): 1–13.

Maideen, H., Mohd Arbawi, Y.A., Mohd Khaduwi, N. & Nik Mohd Kamil, N.N. 2018. A systematic study on the genus Cibotium Kaulf. of Peninsular Malaysia. Malaysian Applied Biology, 47(3): 79–84.

Maideen, H., Farhana, N., Nadhirah, N., Khaduwi, N.A. & Norhazrina, N. 2019. Ferns and lycophytes of Pulau Pangkor and its vicinity. The Malaysian Forester, 82(1): 77–86.

Maideen, H., Aliah, N. & Nadhirah, N. 2021. A new record of the fern genus Cornopteris (Athyriaceae) from Peninsular Malaysia. American Fern Journal, 111(2): 63–67.

Maideen, H., Nadhirah, N., Aliah, N. & Norhazrina, N. 2023. The anatomy and morphology of Taenitis Willd. ex Sprengel (Monilophytes) in Peninsular Malaysia. Sains Malaysiana, 52(5): 1333–1343. https://doi.org/10.17576/jsm-2023-5205-01

Maideen, H., Rahman, N.N., Aliah, N., Nadhirah, N., Talip, N., Norhazrina, N., Bakray, N.A., Khamis, S., Zohari, A.F., Zainee, N.F.A., Said, M.N.M. & Basir, N.S.M. 2024. Anatomical characteristics of selected Dennstaedtiaceae species from Peninsular Malaysia. Malaysian Applied Biology, 53(3): 229–237. https://doi.org/10.55230/mabjournal.v53i3.3056

Muhammad, M., Ismail, Z.S., Schneider, H. & Hawkins, J.A. 2020. Medicinal use of ferns: An ethnobotanical review. Sains Malaysiana, 49(5): 1003–1014. https://doi.org/10.17576/jsm-2020-4905-05

Nadhirah, N., Maideen, H., Zuraida, A.R., Aliah, N., Nazreena & Othman, A. 2025. In vitro shoot-tip propagation of blue peacock fern Selaginella willdenowii P.Beauv. (Selaginellaceae), an ornamental fern. Malaysian Applied Biology, 54(3): 130–134. https://doi.org/10.55230/mabjournal.v54i3.3480

Parris, B.S. & Latiff, A. 1997. Towards a pteridophyte flora of Malaysia: A provisional checklist of taxa. Malayan Nature Journal, 50: 235–280.

PPG I. 2016. A community-derived classification for extant lycophytes and ferns. Journal of Systematics and Evolution, 54(6): 563–603. https://doi.org/10.1111/jse.12229

Ranil, R.H.G. & Bussmann, R.W. 2021. Potential uses of lycophytes and ferns in Sri Lanka: An ethnopteridological perspective. Ethnobotany Research and Applications, 21: 36. https://doi.org/10.32859/era.21.36.1-11

Yumkham, S.D., Chakpram, L., Salam, S., Bhattacharya, M.K. & Singh, P.K. 2017. Edible ferns and fern–allies of North East India: A study on potential wild vegetables. Genetic Resources and Crop Evolution, 64(3): 467–477. https://doi.org/10.1007/s10722-016-0372-5

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: ABS)Akses dan Perkongsian Faedah (Access and Benefit SharingKhazanah HutanNur Aliah Mohamad Khaduwipaku pakisPusat Penyelidikan Bioteknologi Glami LemiSumber Ekonomi Masyarakat Orang Asaltumbuhan paku pakis
Previous Post

Di Sebalik Birunya Air di Pulau Besar: Jejak Mikroplastik dalam Air Laut

Next Post

Bila Orang Tersayang Mula Gelisah: Memahami Kegelisahan Tingkah Laku dalam Demensia

Editor

Editor

Related Posts

Hidrogel Boleh Suntik: Mampukah Tisu Rosak Dipulihkan Tanpa Pembedahan Besar?
Berita & Peristiwa

Hidrogel Boleh Suntik: Mampukah Tisu Rosak Dipulihkan Tanpa Pembedahan Besar?

1 day ago
Influenza: Bukan Sekadar Selsema Biasa
Berita & Peristiwa

Influenza: Bukan Sekadar Selsema Biasa

1 day ago
Bila Orang Tersayang Mula Gelisah: Memahami Kegelisahan Tingkah Laku dalam Demensia
Berita & Peristiwa

Bila Orang Tersayang Mula Gelisah: Memahami Kegelisahan Tingkah Laku dalam Demensia

1 day ago
Di Sebalik Birunya Air di Pulau Besar: Jejak Mikroplastik dalam Air Laut
Alam Semulajadi

Di Sebalik Birunya Air di Pulau Besar: Jejak Mikroplastik dalam Air Laut

1 day ago
Next Post
Bila Orang Tersayang Mula Gelisah: Memahami Kegelisahan Tingkah Laku dalam Demensia

Bila Orang Tersayang Mula Gelisah: Memahami Kegelisahan Tingkah Laku dalam Demensia

Kategori Produk

  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In