Thursday, November 19, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Influenza: Bukan Sekadar Selsema Biasa

Influenza: Bukan Sekadar Selsema Biasa

Editor by Editor
19/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Oleh: Dr. Salziyan Badrin
Pensyarah Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan
Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia

Bayangkan seorang kanak-kanak pulang dari sekolah pada hari ini dengan keadaan yang kelihatan sihat. Namun, pada keesokan harinya, dia mengalami demam panas yang berlaku secara tiba-tiba beserta dengan sakit kepala, batuk tanpa kahak dan sakit atau lenguh pada bahagian otot badan. Beberapa hari kemudian, ahli keluarga yang lain mungkin turut mengalami gejala yang sama. Keadaan ini mungkin bukan sekadar selesema biasa, sebaliknya mungkin berpunca dari jangkitan influenza, iaitu penyakit pernafasan yang mudah merebak dan ianya juga boleh menyebabkan komplikasi serius terutamanya kepada golongan yang berisiko.

Influenza sering dianggap sebagai penyakit ringan yang boleh sembuh dengan sendirinya. Anggapan ini tidak sepenuhnya tepat. Walaupun kebanyakan individu akan pulih tanpa komplikasi, influenza juga boleh menyebabkan berlakunya radang paru-paru (pneumonia) , radang pada otot jantung (myocarditis), radang otak (encephalitis) atau dalam keadaan tertentu, boleh menyebabkan berlakunya kegagalan pelbagai sistem organ yang membawa kepada kematian. Oleh itu, memahami penyakit ini merupakan langkah penting untuk melindungi diri, keluarga dan masyarakat.

Influenza atau Selesema Biasa: Apakah perbezaannya?

Ramai yang masih keliru antara influenza dengan selesema biasa. Kedua-duanya melibatkan sistem pernafasan, tetapi disebabkan oleh virus yang berbeza dan mempunyai corak gejala yang tidak semestinya sama.

Selsema biasa lazimnya bermula secara beransur-ansur dengan hidung berair, bersin dan perit pada bahagian tekak. Sebaliknya, influenza sering bermula secara mendadak dengan demam tinggi, sakit kepala, sakit otot dan keletihan yang ketara. Batuk akibat influenza juga boleh menjadi lebih teruk dan berpanjangan.

Individu yang mengalami influenza mungkin berasa terlalu lemah untuk melakukan aktiviti harian seperti bekerja, belajar atau menguruskan rumah tangga. Walaupun begitu, gejala sahaja tidak semestinya dapat membezakan influenza daripada jangkitan pernafasan lain seperti COVID-19. Pemeriksaan klinikal dan ujian diagnostik tertentu mungkin diperlukan bergantung pada keadaan pesakit.

Kenali Virus Influenza

Influenza ialah penyakit berjangkit pada sistem pernafasan yang disebabkan oleh virus iaitu virus influenza. Virus ini menyerang bahagian hidung, tekak dan paru-paru. Terdapat empat jenis virus influenza, iaitu virus influenza A, B, C dan D. Walau bagaimanapun, influenza A dan B merupakan penyebab utama wabak influenza bermusim dalam kalangan manusia.

Virus influenza A mempunyai keupayaan untuk mengalami perubahan genetik yang membolehkannya menghasilkan varian baharu pada setiap musim. Perubahan ini menyebabkan sistem imun manusia mungkin tidak dapat mengenali virus tersebut sepenuhnya seperti jangkitan terdahulu. Inilah antara sebab seseorang boleh dijangkiti influenza berulang kali walaupun pernah mengalami penyakit yang sama atau telah menerima vaksin sebelum ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), influenza bermusim menyebabkan kira-kira satu bilion jangkitan setiap tahun di seluruh dunia, termasuk tiga hingga lima juta kes penyakit yang serius. Angka ini menunjukkan bahawa influenza bukanlah penyakit yang boleh dipandang ringan.

Gambar 1: Ilustrasivirus influenza A ( Gambar ini adalah gambaran saintifik artistik, bukan imej mikroskop elektron sebenar dan dijana menggunakan ChatGPT).

Bagaimanakah Influenza boleh Merebak?

Influenza mudah merebak daripada seorang individu kepada individu yang lain, terutamanya melalui zarah pernafasan yang dilepaskan apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap. Zarah yang mengandungi virus boleh memasuki saluran pernafasan individu berhampiran. Jangkitan juga boleh berlaku apabila seseorang menyentuh permukaan yang tercemar dan kemudian menyentuh mata, hidung atau mulut tanpa membersihkan tangan terlebih dahulu.

Risiko penularan menjadi lebih tinggi di tempat yang sesak dan mempunyai pengudaraan yang kurang baik seperti sekolah, pusat jagaan kanak-kanak, pejabat dan pengangkutan awam.

Seseorang yang dijangkiti influenza boleh menyebarkan virus sebelum menyedari dirinya sakit. Keadaan ini menjadikan kawalan penularan lebih mencabar kerana individu yang kelihatan sihat mungkin sebenarnya berada dalam tempoh awal jangkitan.

Tempoh inkubasi influenza lazimnya antara satu hingga empat hari selepas terdedah kepada virus. Oleh itu, seseorang yang dijangkiti mungkin mula mengalami gejala dalam tempoh yang singkat selepas berinteraksi dengan individu yang sakit.

Mengapa Influenza boleh Menjadi Serius?

Bagi kebanyakan individu yang sihat, influenza akan pulih dalam tempoh beberapa hari hingga seminggu. Namun, terdapat golongan yang berisiko tinggi mengalami komplikasi serius terutamanya individu yang mempunyai sistem imun yang kurang matang atau lemah seperti:

  • Kanak-kanak berumur bawah lima tahun, khususnya bayi.
  • Warga emas berumur 65 tahun dan ke atas.
  • Wanita hamil.
  • Pesakit berpenyakit kronik seperti diabetes, sakit jantung kronik, asma dan penyakit paru-paru kronik (Chronic obstructive pulmonary disease).
  • Pesakit kanser dalam rawatan atau pesakit sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS).

Antara komplikasi influenza yang paling membimbangkan ialah radang paru-paru (pneumonia), radang pada otot jantung (myocarditis), radang otak (encephalitis) atau dalam keadaan tertentu, boleh menyebabkan berlakunya kegagalan pelbagai sistem organ yang membawa kepada keperluan rawatan di hospital atau boleh menyebabkan kematian.  Oleh itu, demam dan batuk yang kelihatan biasa tidak seharusnya diabaikan, khususnya dalam kalangan golongan berisiko tinggi.

Rawatan Influenza: Adakah Antibiotik diperlukan?

Satu salah faham yang sering berlaku dalam masyarakat ialah semua jangkitan yang menyebabkan demam, batuk dan selesema memerlukan rawatan dengan antibiotik. Hakikatnya, influenza adalah disebabkan oleh virus dan kebiasaanya tidak dirawat dengan antibiotik. Antibiotik hanya digunakan untuk merawat jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Antibiotik mungkin diperlukan dalam situasi tertentu seperti rawatan komplikasi influenza yang beserta dengan jangkitan bakteria yang jelas. Antibiotik tidak berkesan untuk merawat influenza yang tidak disertai jangkitan bakteria.

Rawatan bagi kebanyakan pesakit adalah bersifat rawatan sokongan simptomatik, termasuk mendapatkan rehat yang mencukupi, minum air secukupnya dan mengambil ubat demam (paracetamol) untuk mengurangkan gejala seperti demam dan sakit badan mengikut nasihat profesional kesihatan. Ubat antivirus seperti oseltamivir boleh juga digunakan bagi pesakit tertentu. Ubat ini bertindak menghalang pembiakan virus dan boleh mengurangkan tempoh serta keterukan penyakit jika diberikan pada masa yang sesuai. Rawatan antivirus lazimnya memberikan manfaat paling optimum apabila dimulakan dalam tempoh 48 jam pertama selepas gejala bermula. Namun, bagi pesakit berisiko tinggi atau mengalami penyakit yang teruk, rawatan masih boleh memberikan manfaat walaupun dimulakan selepas tempoh tersebut. Rawatan ubat antivirus penting bagi pesakit mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi dari jangkitan influenza. Keputusan untuk memberikan ubat antivirus perlu dibuat berdasarkan penilaian klinikal oleh doktor yang merawat.

Vaksin Influenza: Mengapa perlu diambil Setiap Tahun?

Vaksinasi merupakan antara langkah paling berkesan untuk mengurangkan risiko influenza dan komplikasinya. Namun, berbeza daripada sesetengah vaksin lain, vaksin influenza disarankan untuk diambil setiap tahun. Vaksin influenza tidak menjamin seseorang bebas sepenuhnya daripada jangkitan. Walau bagaimanapun, vaksinasi dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit yang serius dan komplikasi, termasuk kemasukan ke hospital.

Hal ini kerana virus influenza sentiasa mengalami perubahan. Komposisi vaksin perlu dikemas kini secara berkala berdasarkan pemantauan dan ramalan strain virus yang dijangka menular. Selain itu, tahap perlindungan yang diberikan oleh vaksin boleh berkurangan dari semasa ke semasa.

Vaksin influenza amat digalakkan untuk golongan berisiko tinggi. Petugas kesihatan juga digalakkan mendapatkan vaksinasi kerana mereka mempunyai risiko pendedahan yang lebih tinggi kepada pesakit yang dijangkiti.

Penting untuk difahami bahawa vaksin influenza tidak menyebabkan seseorang mendapat jangkitan influenza. Sebaliknya, vaksin membantu sistem imun mengenali virus dan menyediakan tindak balas pertahanan sekiranya individu tersebut terdedah kepada virus sebenar.

Gambar 2: Suntikan vaksinasi ( Gambar dari sumber: https://www.emro.who.int/health-topics/influenza/influenza-vaccines.html)

Pencegahan Bermula dengan Tanggungjawab Setiap Individu

Selain vaksinasi, amalan kebersihan dan tingkah laku yang bertanggungjawab memainkan peranan penting dalam mengawal penularan jangkitan influenza. Antara langkah yang boleh diamalkan ialah:

  1. Kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau menggunakan pencuci sanitasi tangan berasaskan alkohol.
  2. Mengamalkan etika batuk dan bersin dengan menutup mulut dan hidung menggunakan tisu dan tidak batuk dan bersin menghala ke arah individu lain.
  3. Memakai pelitup muka apabila mengalami gejala batuk, selesema atau demam, khususnya apabila perlu berada bersama orang lain.
  4. Berehat di rumah apabila sakit dan mengelakkan tempat awam bagi mengurangkan risiko menjangkiti orang lain.
  5. Memastikan pengudaraan yang baik di rumah, sekolah dan tempat kerja.
  6. Mendapatkan vaksin influenza tahunan, khususnya bagi individu yang mempunyai risiko tinggi mengalami komplikasi.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting dengan memastikan anak yang mengalami gejala influenza tidak dihantar ke sekolah atau pusat jagaan sehingga keadaan mereka pulih dan memenuhi panduan kembali ke sekolah.

Bilakah perlu Mendapatkan Rawatan Segera?

Walaupun kebanyakan pesakit boleh pulih dengan rawatan simptomatik di rumah, terdapat tanda-tanda amaran yang memerlukan pemeriksaan perubatan dengan segera. Antaranya termasuk apabila berlaku kesukaran bernafas, sakit atau tekanan pada dada, bibir kelihatan kebiruan, berlaku gejala kekeliruan, sawan, kurang sedar, tanda dehidrasi yang ketara atau keadaan semasa yang semakin merosot.

Bagi kanak-kanak, ibu bapa perlu memberi perhatian kepada pernafasan yang laju atau kelihatan sukar, kurang menyusu atau minum, kurang kencing, terlalu lemah, letih dan sukar dikejutkan dari tidur.

Golongan berisiko tinggi disarankan mendapatkan penilaian perubatan lebih awal walaupun gejala pada peringkat awal kelihatan ringan. Tindakan awal boleh membantu mengurangkan risiko komplikasi.

Lindungi Diri, Keluarga dan Masyarakat

Influenza bukan sekadar selesema biasa. Penyakit ini merupakan jangkitan virus yang mudah merebak dan boleh membawa kesan serius, terutamanya kepada golongan rentan dan berisiko tinggi. Walaupun kemajuan perubatan menyediakan vaksin dan ubat antivirus, pencegahan masih merupakan strategi utama dalam mengawal penularan jangkitannya.

Kesedaran masyarakat perlu dipertingkatkan supaya influenza tidak dianggap sebagai penyakit remeh. Mengambil vaksin setiap tahun, mengamalkan kebersihan tangan, memakai pelitup muka apabila bergejala dan berehat di rumah ketika sakit merupakan tindakan mudah yang mampu memberikan impak besar.

Melindungi diri daripada influenza bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi juga satu bentuk tanggungjawab sosial. Apabila setiap orang memainkan peranan, kita bukan sahaja melindungi kesihatan diri, malah turut melindungi golongan yang lebih mudah mengalami komplikasi akibat jangkitan ini.

Rujukan:

  1. World Health Organization. (2025). Influenza (seasonal). WHO – Influenza (seasonal).
  2. Kementerian Kesihatan Malaysia. (2023). Garis Panduan Pengendalian Influenza di Klinik Kesihatan. Garis Panduan KKM.
  3. Kementerian Kesihatan Malaysia. Info Sihat: Influenza. Portal Info Sihat KKM.
  4. Centers for Disease Control and Prevention. (2026). Influenza Antiviral Medications: Summary for Clinicians. CDC – Antiviral Treatment.
  5. World Health Organization. https://www.emro.who.int/health-topics/influenza/influenza-vaccines.html

Biodata Penulis
Dr. Salziyan Badrin merupakan seorang Pakar Perubatan Keluarga dan pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau memperoleh ijazah Doctor of Medicine (MD) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan Master of Medicine (Family Medicine) daripada Universiti Sains Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman dalam bidang penjagaan kesihatan primer, pendidikan perubatan prasiswazah dan pascasiswazah serta penyelidikan klinikal. Bidang minat merangkumi penyakit kronik dan kardiovaskular, kesihatan wanita, perubatan pencegahan, penjagaan warga emas dan penggunaan teknologi ultrabunyi di tempat rawatan (POCUS) dan turut aktif dalam penyelidikan dan penerbitan akademik serta pembangunan latihan kepakaran Perubatan Keluarga.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: influenzarawatan influenzaSalziyan BadrinVaksin Selsemavirus influenza
Previous Post

Bila Orang Tersayang Mula Gelisah: Memahami Kegelisahan Tingkah Laku dalam Demensia

Next Post

Hidrogel Boleh Suntik: Mampukah Tisu Rosak Dipulihkan Tanpa Pembedahan Besar?

Editor

Editor

Related Posts

Hidrogel Boleh Suntik: Mampukah Tisu Rosak Dipulihkan Tanpa Pembedahan Besar?
Berita & Peristiwa

Hidrogel Boleh Suntik: Mampukah Tisu Rosak Dipulihkan Tanpa Pembedahan Besar?

8 minutes ago
Bila Orang Tersayang Mula Gelisah: Memahami Kegelisahan Tingkah Laku dalam Demensia
Berita & Peristiwa

Bila Orang Tersayang Mula Gelisah: Memahami Kegelisahan Tingkah Laku dalam Demensia

27 minutes ago
Paku Pakis: Khazanah Hutan dan Sumber Ekonomi Masyarakat Orang Asal
Alam Semulajadi

Paku Pakis: Khazanah Hutan dan Sumber Ekonomi Masyarakat Orang Asal

32 minutes ago
Di Sebalik Birunya Air di Pulau Besar: Jejak Mikroplastik dalam Air Laut
Alam Semulajadi

Di Sebalik Birunya Air di Pulau Besar: Jejak Mikroplastik dalam Air Laut

42 minutes ago
Next Post
Hidrogel Boleh Suntik: Mampukah Tisu Rosak Dipulihkan Tanpa Pembedahan Besar?

Hidrogel Boleh Suntik: Mampukah Tisu Rosak Dipulihkan Tanpa Pembedahan Besar?

Kategori Produk

  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In