Penulis: Dr. Noor Suryani Binti Mohd Ashariᵃ & Prof. Madya Dr. Mohd Azhar Bin Mohd Yasinᵇ
Jabatan Immunologiᵃ, Jabatan Psikiatriᵇ
Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia
Penyakit lupus bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah boleh memberi kesan kepada emosi dan kesihatan mental pesakit. Kemurungan merupakan antara masalah yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh menjejaskan kualiti hidup, hubungan kekeluargaan dan keberkesanan rawatan.
Apakah Penyakit SLE?
Systemic Lupus Erythematosus (SLE), atau lupus, ialah penyakit autoimun kronik yang berlaku apabila sistem pertahanan badan tersilap menyerang tisu dan organ sendiri.
Penyakit ini boleh melibatkan kulit, sendi, buah pinggang, darah, jantung dan sistem saraf. Antara gejalanya ialah keletihan berpanjangan, sakit sendi, ruam kemerahan berbentuk rama-rama pada muka (malar rash) dan demam berulang.
Walaupun rawatan moden dapat membantu mengawal SLE, pesakit masih menghadapi pelbagai cabaran. Kesakitan, keletihan, perubahan penampilan diri, kesan sampingan ubat dan ketidakpastian perjalanan penyakit boleh menyebabkan tekanan emosi serta meningkatkan risiko kemurungan.
Mengapa Pesakit SLE Lebih Berisiko Mengalami Kemurungan?
Meta-analisis terkini pada tahun 2026 yang melibatkan 5,794 pesakit SLE mendapati hampir dua daripada lima pesakit (39.4%) mengalami gejala kemurungan. Di Malaysia, kajian oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia melibatkan 150 pesakit SLE turut mendapati kira-kira satu pertiga menunjukkan gejala kemurungan yang signifikan.
Lebih membimbangkan, satu lagi kajian tempatan mendapati hanya sekitar satu daripada empat pesakit yang mengalami gejala kemurungan bersetuju untuk mendapatkan penilaian psikiatri. Dapatan ini menunjukkan bahawa kemurungan dalam kalangan pesakit SLE bukan sahaja kerap berlaku, malah masih terdapat cabaran dalam memastikan mereka mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang diperlukan.
Kemurungan dalam kalangan pesakit SLE bukan semata-mata disebabkan tekanan menghadapi penyakit kronik. Keradangan akibat SLE berpotensi mempengaruhi fungsi otak dan sistem saraf yang mengawal emosi. Dalam sesetengah keadaan, SLE boleh melibatkan sistem saraf secara langsung, dikenali sebagai neuropsychiatric lupus.
Selain itu, kesakitan kronik, keletihan melampau, gangguan tidur, masalah kewangan dan kesukaran bekerja turut meningkatkan tekanan psikologi. Sesetengah ubat seperti kortikosteroid juga boleh menyebabkan perubahan emosi. Namun, pesakit tidak sepatutnya menghentikan ubat tanpa nasihat doktor.
Kenali Tanda Awal Kemurungan
Kemurungan dalam kalangan pesakit SLE kadangkala sukar dikenal pasti kerana gejalanya seperti keletihan, kurang tenaga dan gangguan tidur turut berlaku akibat penyakit lupus.
Tanda-tanda penting kemurungan ialah seperti gambar dibawah

Ahli keluarga memainkan peranan penting dalam mengenali perubahan emosi dan tingkah laku pesakit. Mereka perlu peka sekiranya pesakit semakin pendiam, mengasingkan diri, kehilangan minat terhadap aktiviti kegemaran atau menunjukkan perubahan ketara dalam kehidupan seharian.
Saringan Kendiri
Pesakit SLE atau ahli keluarga boleh melakukan saringan awal kemurungan sendiri di rumah menggunakan dua soalan mudah yang dikenali sebagai Soalan Saringan Whooley (Whooley Questions).
Pesakit boleh menjawab sendiri atau ahli keluarga boleh bertanyakan soalan berikut:
- Sepanjang sebulan yang lalu, adakah anda sering berasa sedih, murung atau putus asa?
- Sepanjang sebulan yang lalu, adakah anda sering kehilangan minat atau keseronokan dalam melakukan aktiviti harian?
Jika jawapan “Ya” kepada salah satu atau kedua-dua soalan, pesakit digalakkan mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor. Saringan ini membantu mengenal pasti kemungkinan kemurungan, tetapi bukan untuk mengesahkan diagnosis.
Mengapa Kemurungan Perlu dirawat?
Kemurungan yang tidak dirawat boleh menyebabkan pesakit kehilangan motivasi untuk menjaga kesihatan, mengambil ubat secara teratur atau menghadiri temu janji rawatan. Ia juga boleh memburukkan pengalaman kesakitan dan keletihan, sekali gus menjejaskan hubungan kekeluargaan, pekerjaan serta kualiti hidup.
Dalam keadaan serius, kemurungan boleh menyebabkan pemikiran untuk mencederakan diri atau membunuh diri. Keadaan ini memerlukan bantuan perubatan segera.
Kemurungan boleh dirawat
Kemurungan dalam kalangan pesakit SLE boleh dirawat melalui kaunseling, sokongan psikologi, terapi kognitif tingkah laku (CBT) dan ubat antidepresan apabila diperlukan.
Doktor perlu menilai sama ada gejala berpunca daripada kemurungan, aktiviti penyakit SLE, kesan sampingan ubat atau gabungan beberapa faktor. Kerjasama antara doktor yang merawat SLE, pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal dan keluarga dapat membantu memastikan rawatan yang menyeluruh.
Kebanyakan pesakit boleh menerima rawatan sebagai pesakit luar tanpa perlu dimasukkan ke hospital, bergantung pada keterukan gejala dan tahap keselamatan mereka.
Penutup
SLE bukan sekadar penyakit yang menyerang organ badan, tetapi turut mempengaruhi kesejahteraan emosi dan mental pesakit. Kemurungan perlu dikenal pasti dan dirawat lebih awal bagi mengelakkan kesannya terhadap kesihatan serta kehidupan seharian.
Pesakit, keluarga dan masyarakat perlu bersama-sama meningkatkan kesedaran, mengurangkan stigma dan menggalakkan mereka yang mengalami gejala kemurungan mendapatkan bantuan profesional.
Merawat SLE bukan hanya tentang mengawal keradangan dan melindungi organ badan, tetapi juga menjaga kesihatan mental dan kualiti hidup pesakit.
Rujukan
- Zhu, L., Chen, J., Sha, Y., Zhuang, H. and Ye, C. (2026) ‘Risk factors for depression in systemic lupus erythematosus: A systematic review and meta-analysis’, Frontiers in Medicine, 13, Article 1751870. DOI: https://doi.org/10.3389/fmed.2026.1751870
- Mohamed, M.H., Gopal, S., Idris, I.B., Aizuddin, A.N. and Mohd Miskam, H. (2020) ‘Mental health status among systemic lupus erythematosus (SLE) patients at tertiary hospital in Malaysia’, Asian Social Work Journal, 5(3), pp. 30–39. https://doi.org/10.47405/aswj.v5i3.150
- Tajul Arifin, N.A. (2021) Depressive symptoms among patients with systemic lupus erythematosus in rheumatology clinic: Associated factors and willingness to seek psychiatric help. Master’s thesis. Universiti Teknologi MARA (UiTM).
- Mohd Ashari, N.S., Mohamed Sanusi, S.N.F., Mohd Yasin, M.A., Mohamud, R. and Che Hussin, C.M. (2019) ‘Lymphocyte subsets and their association with the severity of patients with major depressive disorder (MDD)’, International Journal of Human and Health Sciences, 3(2). https://doi.org/10.31344/ijhhs.v3i2.81
- Wan Ghazali, W.S., Iberahim, R. and Mohd Ashari, N.S. (2017) ‘Serum vascular endothelial growth factor (VEGF) as a biomarker for disease activity in lupus nephritis’, Malaysian Journal of Medical Sciences, 24(5), pp. 62–72. https://doi.org/10.21315/mjms2017.24.5.7
- Institute for Public Health (2024) National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023: Fact Sheet. Putrajaya: Ministry of Health Malaysia. Available at: https://iku.gov.my/images/nhms2023/fact-sheet-nhms-2023.pdf
- Whooley, M.A., Avins, A.L., Miranda, J. and Browner, W.S. (1997) ‘Case-finding instruments for depression: Two questions are as good as many’, Journal of General Internal Medicine, 12(7), pp. 439–445. DOI: https://doi.org/10.1046/j.1525-1497.1997.00076.x
Biodata Penulis
Dr. Noor Suryani Mohd Ashari merupakan Pakar Imunologi Klinikal dan pensyarah di Jabatan Imunologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kelantan. Beliau terlibat secara aktif dalam perkhidmatan klinikal dan makmal, khususnya dalam diagnosis dan pengurusan penyakit yang berkaitan dengan gangguan sistem imun badan. Selain itu, beliau turut aktif menjalankan penyelidikan serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit berkaitan sistem imun dan kepentingan pengesanan serta rawatan awal.
Profesor Madya Dr. Mohd Azhar Mohd Yasin ialah konsultan psikiatri dan pensyarah di Jabatan Psikiatri, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kelantan. Beliau mengetuai Unit WISER di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, yang menyediakan perkhidmatan rawatan, penyelidikan dan latihan dalam bidang psikiatri. Beliau telah menerbitkan lebih 50 artikel dalam jurnal yang diindeks Scopus, mempunyai indeks-h15 serta menerima pelbagai anugerah geran kajian dalam bidang psikiatri.




