Thursday, November 26, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Kenali Amelogenesis Imperfecta: Enamel Gigi Tidak Sempurna Sejak Lahir

Kenali Amelogenesis Imperfecta: Enamel Gigi Tidak Sempurna Sejak Lahir

Editor by Editor
26/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Dr. Rosnani Binti Mamat
Pakar Pergigian & Pensyarah Pergigian, Unit Konservatif dan Endodontik,
Pusat Pengajian Sains Pergigian, USM

Senyuman merupakan elemen yang penting dalam penampilan individu. Gigi berwarna kekuningan dan kecoklatan akan menjejaskan penampilan seseorang walaupun berpakaian sangat kemas dan segak. Gigi yang berubah warna ini sering dianggap berpunca daripada tabiat pemakanan, pengambilan minuman berwarna atau penjagaan gigi yang kurang sempurna. Namun begitu, tahukah anda bahawa terdapat individu yang dilahirkan dengan gangguan pembentukan struktur gigi sehingga menyebabkan gigi kelihatan berbeza sejak mula tumbuh? Keadaan ini dikenali sebagai amelogenesis imperfecta (AI), iaitu sejenis gangguan pembentukan enamel gigi yang lazimnya berpunca daripada faktor genetik.

Enamel merupakan lapisan paling luar yang melindungi mahkota gigi dan tisu paling keras dalam tubuh manusia. Keistimewaan enamel ialah mengandungi mineral yang tinggi, iaitu kira-kira 96 peratus daripada berat keseluruhannya. Sebahagian besar mineral ini terdiri daripada kristal hidroksiapatit yang mengandungi kalsium dan fosfat. Susunan kristal yang padat menjadikan enamel kuat dan mampu menahan tekanan ketika mengunyah makanan. Walau bagaimanapun, gangguan semasa proses pembentukan atau pematangan enamel boleh menjejaskan ketebalan, kandungan mineral dan kekuatan strukturnya, seperti yang berlaku pada AI. Keadaan ini menyebabkan gigi menjadi lebih nipis, rapuh, lembut atau berubah warna. Gangguan ini boleh melibatkan gigi susu dan gigi kekal. Walaupun AI dianggap sebagai keadaan yang jarang berlaku, kesannya terhadap kehidupan individu tidak boleh dipandang ringan. Hal ini kerana gigi bukan sahaja memainkan peranan penting dalam proses mengunyah dan pertuturan, malah turut mempengaruhi penampilan wajah, keyakinan diri serta interaksi sosial individu.

Bagaimanakah Amelogenesis Imperfecta Terjadi?

Proses pembentukan enamel gigi dikenali sebagai amelogenesis. Proses ini bermula ketika gigi masih berkembang di dalam tulang rahang, iaitu sebelum gigi muncul di dalam mulut. Pembentukan enamel melibatkan sel khusus yang dikenali sebagai ameloblast. Sel ini bertanggungjawab menghasilkan protein yang menjadi asas kepada pembentukan enamel sebelum mineral seperti kalsium dan fosfat disimpan untuk menjadikannya keras dan kuat. Proses tersebut berlaku secara berperingkat dan dikawal oleh pelbagai gen. Sekiranya terdapat perubahan pada gen tertentu, fungsi protein yang terlibat dalam pembentukan enamel boleh terganggu. Antara gen yang dikaitkan dengan AI termasuklah AMELX, ENAM, FAM83H dan MMP20. Perubahan genetik ini boleh diwarisi dari generasi ke generasi yang terkemudian.

Gambar 1: Amelogenesis Imperfecta

Jenis-jenis Amelogenesis Imperfecta

Berdasarkan ciri enamel yang terbentuk, AI boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu hipoplastik, hipomaturasi, hipokalsifikasi dan gabungan hipoplastik dan hipokalsifikasi. Ciri-ciri setiap jenis AI seperti di rajah 1.

Rajah 1: Klasifikasi Amelogenesis Imperfecta (Infografik ini dijana oleh Gemini AI)

Perbezaan kategori ini menjelaskan sebab penampilan dan tahap kerosakan gigi berbeza antara individu. Menariknya, AI bukanlah penyakit berjangkit dan tidak berpunca daripada pengambilan makanan manis atau kegagalan menjaga kebersihan gigi. Sebaliknya, gangguan ini telah berlaku ketika proses pembentukan gigi, sebelum gigi tersebut tumbuh di dalam mulut.

Implikasi Terhadap Kesihatan Gigi

Individu yang mempunyai AI bukan sekadar menghadapi masalah perubahan warna pada gigi, tetapi juga mempunyai masalah gigi sensitif yang agak teruk. Keadaan ini berlaku kerana lapisan enamel yang nipis atau tidak sempurna gagal memberikan perlindungan mencukupi kepada dentin, iaitu lapisan gigi yang terletak di bawah enamel. Dentin mempunyai struktur yang membolehkan rangsangan dari luar mencetuskan rasa ngilu atau sakit. Selain itu, enamel yang rapuh lebih mudah mengalami kehausan, keretakan atau kehilangan struktur apabila menerima tekanan semasa mengunyah. Jika keadaan ini berterusan, bentuk gigi boleh berubah dan ketinggian permukaan gigitan mungkin berkurangan, sekali gus menjejaskan fungsi pengunyahan. Sesetengah individu turut mengalami kesukaran memberus gigi akibat rasa ngilu, menyebabkan pembersihan gigi menjadi kurang berkesan. Keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko pengumpulan plak dan kerosakan gigi.

Walaupun kesan fizikal ini penting, implikasi psikologi tidak kurang besarnya. Kanak-kanak yang mempunyai gigi berwarna atau berbentuk luar biasa mungkin berasa malu untuk senyum, bercakap atau bergaul dengan rakan sebaya. Mereka juga berisiko menerima ejekan kerana penampilan gigi mereka. Bagi golongan dewasa pula, keadaan ini boleh menjejaskan keyakinan ketika berkomunikasi atau menghadiri urusan sosial dan pekerjaan. Oleh itu, AI perlu dilihat sebagai masalah kesihatan yang boleh mempengaruhi kesejahteraan fizikal, emosi dan sosial seseorang, bukannya sekadar kecacatan kosmetik pada gigi.

Bolehkah Amelogenesis Imperfecta dirawat?

Walaupun masalah AI disebabkan oleh gangguan genetic, keadaan gigi yang terjejas masih boleh dirawat dan dipelihara. Matlamat utama rawatan adalah untuk mengurangkan rasa ngilu, melindungi struktur gigi, memulihkan fungsi pengunyahan dan meningkatkan penampilan serta keyakinan diri pesakit. Pemilihan rawatan bergantung pada usia individu, tahap kerosakan enamel, keadaan gigitan dan keperluan pesakit. Bagi kanak-kanak, rawatan awal amat penting untuk mengelakkan kerosakan gigi menjadi semakin teruk. Doktor gigi mungkin mencadangkan penggunaan bahan fluorida, ubat gigi khusus untuk gigi sensitif atau bahan pelindung pada permukaan gigi bagi membantu mengurangkan ketidakselesaan. Sekiranya terdapat kehilangan struktur gigi, bahan tampalan seperti resin komposit boleh digunakan untuk membentuk semula permukaan gigi dan memperbaiki penampilannya. Bagi gigi geraham yang mengalami kerosakan enamel yang ketara, penggunaan mahkota keluli tahan karat boleh dipertimbangkan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Sementara itu, bagi remaja dan orang dewasa yang mengalami kerosakan lebih serius, rawatan menggunakan mahkota gigi yang diperbuat daripada bahan seramik atau bahan lain yang sesuai mungkin diperlukan untuk memberikan perlindungan lebih menyeluruh.

Dalam keadaan tertentu, rawatan perlu melibatkan beberapa bidang kepakaran pergigian seperti pergigian pediatrik, pergigian restoratif, endodontik dan ortodontik. Walau bagaimanapun, tidak semua pesakit memerlukan rawatan yang sama. Pemeriksaan klinikal, radiograf dan penilaian menyeluruh diperlukan sebelum pelan rawatan ditentukan. Rawatan susulan secara berkala juga penting kerana bahan restorasi mungkin memerlukan penyelenggaraan atau penggantian sepanjang hayat pesakit.

Gambar 2: Rawatan AI dengan bahan tampalan resin komposit

Kepentingan Pengesanan Awal dan Kesedaran Masyarakat

Pengesanan awal AI amat penting untuk memastikan individu yang terjejas menerima rawatan yang bersesuaian sebelum kerosakan gigi menjadi lebih serius. Ibu bapa perlu memberikan perhatian sekiranya gigi susu anak kelihatan terlalu kekuningan, kecoklatan, berlubang-lubang kecil pada permukaannya atau mudah haus sebaik sahaja tumbuh. Perubahan tersebut tidak seharusnya dianggap sebagai masalah kebersihan gigi semata-mata. Pemeriksaan oleh doktor gigi dapat membantu mengenal pasti sama ada perubahan enamel berpunca daripada AI atau keadaan lain yang mempunyai ciri yang hampir sama. Sejarah kesihatan pergigian ahli keluarga juga boleh memberikan maklumat penting kerana AI diwarisi secara genetik.

Selain mendapatkan rawatan profesional, individu yang mengalami AI perlu mengamalkan penjagaan kesihatan mulut secara konsisten, termasuk memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida, mengurangkan pengambilan makanan dan minuman bergula serta menghadiri pemeriksaan pergigian secara berkala. Sokongan keluarga dan masyarakat juga amat penting, khususnya dalam membantu kanak-kanak membina keyakinan diri. Masyarakat perlu memahami bahawa penampilan gigi yang tidak sempurna, tidak semestinya mencerminkan tahap kebersihan atau sikap seseorang terhadap penjagaan kesihatan.

Kemajuan dalam bidang pergigian restoratif kini membolehkan ramai individu yang mengalami AI menikmati fungsi pengunyahan yang lebih baik, mengurangkan ketidakselesaan dan kembali tersenyum dengan yakin. Walaupun enamel yang terbentuk tidak sempurna tidak dapat diganti secara semula jadi, pengesanan awal dan rawatan yang tepat mampu memberikan perubahan besar terhadap kualiti kehidupan seseorang. Kesedaran tentang AI bukan sahaja membantu masyarakat memahami kepelbagaian keadaan pergigian, malah mengingatkan kita bahawa kesihatan gigi bukan sekadar soal kecantikan, tetapi sebahagian daripada kesejahteraan hidup secara menyeluruh.

Rujukan:
Kumar, S., & Gupta, S. (2009). The restoration of function and esthetics of a patient with amelogenesis imperfecta using a combination of orthodontic and prosthodontic treatment: a case report. Journal of Contemporary Dental Practice, 10(6), E079-85.

Sbaraini, A., Adams, G. G., & Reynolds, E. C. (2021). Experiences of oral health: before,during and after becoming a regular user of GC Tooth Mousse Plus®. BMC Oral Health, 21(1),1–17.

Husein, A., Abdullah Al Harun, K. M., Ghazali, L., & Alam, M. K. (2015). Full mouth rehabilitation in a patient with amelogenesis imperfecta: Treatment for aesthetic and functional improvement. Journal of Advances in Medicine and Medical Research, 8(9), 806–810

Elfseyie, M. T., et al. (2022). Non-invasive rehabilitation of hypoplastic amelogenesis imperfecta of a 14-year-old child. Archives of Orofacial Sciences, 17(2), 195–207.

 

 Pengakuan Penggunaan Kecerdasan Buatan

Gambar 1 dan 2 telah mendapat kebenaran daripada pesakit yang dirawat sendiri oleh penulis. Rajah 1 telah dijana menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) (Gemini) dan disesuaikan untuk tujuan komunikasi sains dan perubatan.

Biodata Penulis
Dr. Rosnani Mamat mendapat pendidikan sebagai doktor pergigian pada tahun 2008 daripada Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Klinik Pergigian Ayer Lanas, Klinik Pergigian Besar Kota Bharu dan Klinik Pergigian Penambang. Pada tahun 2022, beliau telah menamatkan pengajian dalam bidang Pergigian Restoratif di Universiti Sains Malaysia dan beliau bertugas di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM sebagai Pakar dan Pensyarah Pergigian pada tahun 2022 sehingga kini.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: amelogenesisAmelogenesis Imperfectakesihatan gigipembentukan enamel gigiRosnani Binti Mamat
Previous Post

Hepatitis B Okult: Memahami Jangkitan Tersembunyi di Sebalik Keputusan Saringan Negatif

Next Post

Daripada Chatbot ke Klinik: Model Bahasa Besar (LLM) dalam Perubatan

Editor

Editor

Related Posts

Tibi: Diwarisi atau Dijangkiti? Membongkar Mitos Batuk Kering
Berita & Peristiwa

Tibi: Diwarisi atau Dijangkiti? Membongkar Mitos Batuk Kering

7 hours ago
Daripada Chatbot ke Klinik: Model Bahasa Besar (LLM) dalam Perubatan
Berita & Peristiwa

Daripada Chatbot ke Klinik: Model Bahasa Besar (LLM) dalam Perubatan

8 hours ago
Hepatitis B Okult: Memahami Jangkitan Tersembunyi di Sebalik Keputusan Saringan Negatif
Berita & Peristiwa

Hepatitis B Okult: Memahami Jangkitan Tersembunyi di Sebalik Keputusan Saringan Negatif

8 hours ago
Apabila Jalan Raya Mula ‘Berfikir’: Revolusi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Dunia Pengangkutan
Berita & Peristiwa

Apabila Jalan Raya Mula ‘Berfikir’: Revolusi Kecerdasan Buatan (AI) dalam Dunia Pengangkutan

8 hours ago
Next Post
Daripada Chatbot ke Klinik: Model Bahasa Besar (LLM) dalam Perubatan

Daripada Chatbot ke Klinik: Model Bahasa Besar (LLM) dalam Perubatan

Kategori Produk

  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In