Monday, November 30, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Bukan Sekadar Hiasan, Tumbuhan Akuatik Mampu Menjana Ekonomi

Bukan Sekadar Hiasan, Tumbuhan Akuatik Mampu Menjana Ekonomi

Editor by Editor
29/11/2026
in Alam Semulajadi, Berita & Peristiwa
0 0
0

Oleh: Nurul Nadhirah 1, Norhanizan Sahidin2, Afzan Muntaziana Mohd Pazai2 & Nur Syazana1
1 Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi, Universiti Malaya, Jelebu, Negeri Sembilan

2Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi, Jabatan Perikanan Malaysia, Jelebu, Negeri Sembilan

Pernahkah anda melihat sebuah akuarium yang dipenuhi tumbuhan hijau, dihiasi batu-batuan dan kayu hanyut sehingga kelihatan seperti sebuah hutan kecil di dasar sungai? Bagi sesetengah orang, akuarium sebegini mungkin sekadar hiasan yang menenangkan mata. Namun, bagi penggemar akuaskap, setiap tumbuhan yang disusun mempunyai nilai dan keistimewaan tersendiri. Malah, ada tumbuhan akuatik yang menjadi buruan pengumpul sehingga sanggup dibeli pada harga yang tinggi. Persoalannya, apakah yang menjadikan tumbuhan kecil yang hidup di dalam air begitu istimewa? Adakah kerana bentuk daunnya, warnanya, kelangkaannya atau mungkin kerana kesukaran untuk membiak dan mendapatkannya? Hakikatnya, dunia tumbuhan akuatik jauh lebih menarik daripada sekadar menghias akuarium. Di sebalik keindahannya tersimpan kepelbagaian biologi, fungsi ekologi, potensi penyelidikan dan peluang ekonomi yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.

Apabila berbicara tentang kekayaan biodiversiti Malaysia, kebanyakan kita mungkin terus terbayang hutan hujan tropika, pokok-pokok gergasi dan pelbagai spesies flora serta fauna daratan. Namun, kekayaan alam negara sebenarnya turut merangkumi dunia perairan yang tidak kurang hebatnya. Malaysia terletak pada kedudukan geografi yang strategik sebagai sebuah negara maritim, lebih 4,600-kilometer garis pantai serta rangkaian sungai, tasik, paya dan kawasan tanah lembap, Malaysia mempunyai pelbagai habitat yang menyokong kehidupan akuatik. Ekosistem ini menjadi tempat tinggal kepada pelbagai spesies ikan, mikroorganisma dan tumbuhan yang mempunyai ciri serta penyesuaian tersendiri.

Antara tumbuhan akuatik asli Malaysia yang menarik perhatian ialah spesies daripada genus Cryptocoryne. Keistimewaan tumbuhan ini terletak pada kepelbagaian morfologi, khususnya bentuk, tekstur dan corak daunnya yang unik. Spesies Cryptocoryne boleh ditemukan di Semenanjung Malaysia dan Borneo, dengan habitat yang berbeza-beza (Rajah 1-a). Ada yang tumbuh terendam di dasar sungai, manakala sesetengahnya hidup di kawasan tebing sungai yang mengalami perubahan paras air mengikut musim. Selain itu, genus Bucephalandra yang berasal dari Borneo turut mencuri perhatian dalam industri tumbuhan akuatik, khususnya dalam kalangan penggemar akuaskap dan pengumpul tanaman hiasan (Rajah 1-b). Tumbuhan ini mempunyai daya tarikan tersendiri melalui kepelbagaian bentuk, tekstur dan warna daunnya yang menjadikan setiap varieti kelihatan unik. Keistimewaan tersebut telah meningkatkan popularitinya dalam pasaran antarabangsa, sekali gus menjadikan Bucephalandra antara tumbuhan akuatik yang mempunyai nilai komersial. Menariknya, khazanah flora yang menjadi buruan penggemar akuarium di seluruh dunia ini berasal dari rantau kita sendiri. Hal ini memperlihatkan bahawa kekayaan biodiversiti tempatan bukan sekadar warisan alam yang perlu dipelihara, malah berpotensi dikembangkan sebagai sumber ekonomi melalui pengeluaran dan pembiakan tanaman hiasan akuatik secara lestari.

Rajah 1. (a) Cryptocoryne sp. yang memperlihatkan bentuk daun beralun dengan variasi tekstur dan warna; (b) Bucephalandra sp. yang mempunyai daun kecil dengan bentuk dan tekstur unik, menjadikannya antara tumbuhan akuatik pilihan penggemar akuaskap.

Mengapa tumbuhan akuatik tinggi nilainya?

Jika dilihat sepintas lalu, mungkin sukar untuk memahami mengapa sesetengah tumbuhan akuatik boleh mempunyai harga yang tinggi. Bukankah semuanya hanya tumbuhan yang hidup di dalam air? Sebenarnya, nilai sesebuah tumbuhan akuatik tidak ditentukan oleh saiznya semata-mata. Kelangkaan spesies, keunikan bentuk daun, warna, corak pertumbuhan, kadar pembiakan dan permintaan pasaran merupakan antara faktor yang mempengaruhi nilainya.Bagi penggemar akuarium, tumbuhan dengan bentuk daun yang luar biasa atau warna yang jarang ditemui mempunyai daya tarikan tersendiri. Ada juga varieti yang menjadi pilihan pengumpul kerana pertumbuhannya perlahan dan memerlukan penjagaan yang lebih khusus.

Selain Bucephalandra sp. dan Cryptocoryne sp., Anubias sp. juga turut mendapat perhatian peminat akuaskap. Tumbuhan ini menjadi pilihan kerana keunikan bentuk daunnya yang tebal dan berwarna hijau menarik, selain sifatnya yang tahan lasak serta mudah dijaga (Rajah 2). Keupayaannya tumbuh dengan baik dalam pelbagai keadaan akuarium menjadikan Anubias sp. sesuai untuk penggemar baharu mahupun penggiat akuaskap berpengalaman.

Namun, tidak semua tumbuhan akuatik mempunyai harga yang tinggi. Nilai pasarannya dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk spesies, varieti, kualiti tanaman, kaedah pembiakan dan permintaan pengguna. Walaupun sebahagiannya bersaiz kecil dan kelihatan sederhana, tumbuhan akuatik tetap mempunyai bpotensi nilai komersial yang tersendiri. Peningkatan minat dikalangan Masyarakat terhadap hobi akuaskap turut membuka peluang pasaran yang semakin berkembang, sekali gus memberi prospek ekonomi yang positif kepada industri tanaman hiasan akuatik.

Rajah 2. Anubias sp. mempunyai helaian daun yang lebih tebal, sekali gus membantu tumbuhan ini mengekalkan struktur dan ketahanan dalam persekitaran akuatik

Bagaimana Tumbuhan Menyesuaikan Diri dengan Habitat Air

Tidak seperti tumbuhan daratan, tumbuhan akuatik perlu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang sentiasa dipengaruhi oleh air. Ada yang tumbuh tegak melepasi permukaan air, ada yang hanya memperlihatkan daunnya di permukaan, manakala ada juga yang hidup sepenuhnya di bawah air. Secara umumnya, tumbuhan akuatik boleh dibahagikan kepada empat bentuk pertumbuhan utama, iaitu tumbuhan timbul, tumbuhan berdaun terapung, tumbuhan tenggelam dan tumbuhan terapung bebas (Rajah 3).

Kepelbagaian ini menunjukkan bahawa tumbuhan akuatik mempunyai penyesuaian yang sangat menarik. Kebanyakannya mempunyai tisu yang lembut, kandungan air yang tinggi dan ruang udara dalam tisu yang membantu pengapungan serta pergerakan gas. Malah, tidak semua tumbuhan akuatik bergantung sepenuhnya kepada akar untuk mendapatkan nutrien. Ada spesies yang mampu menyerap nutrien secara langsung melalui permukaan batang dan daun. Keupayaan ini membolehkan tumbuhan menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berbeza, termasuk perubahan kedalaman air, cahaya dan kandungan nutrien.

Rajah 3. Kepelbagaian bentuk pertumbuhan tumbuhan akuatik berdasarkan kedudukan dan adaptasinya dalam habitat perairan

Bukan Sekadar Menghiasi Landskap Air

Keindahan tumbuhan akuatik mungkin menjadi tarikan utama bagi penggemar akuarium, tetapi sumbangannya kepada alam sekitar jauh lebih besar. Di habitat semula jadi, tumbuhan akuatik membantu menyokong keseimbangan ekosistem perairan. Melalui proses fotosintesis, tumbuhan menggunakan cahaya dan karbon dioksida untuk menghasilkan makanan serta membebaskan oksigen ke persekitaran. Selain itu, tumbuhan ini menyediakan tempat perlindungan kepada ikan kecil, anak ikan dan pelbagai organisma akuatik. Struktur akar, batang dan daunnya menjadi kawasan persembunyian daripada pemangsa serta menyediakan ruang untuk organisma mencari makanan. Tumbuhan akuatik juga berupaya menyerap sebahagian nutrien terlarut dalam air. Keupayaan ini penting dalam membantu mengawal lebihan nutrien dalam sesetengah sistem perairan. Kehadiran tumbuhan pada tebing dan dasar sungai bukan sahaja mencantikkan pemandangan, malah membentuk habitat yang menyokong kehidupan pelbagai organisma.

Tumbuhan sebagai penjaga kualiti air

Satu lagi keistimewaan tumbuhan akuatik ialah potensinya dalam bidang pemulihan alam sekitar. Melalui pendekatan yang dikenali sebagai fitoremediasi (phytoremediation), tumbuhan digunakan untuk membantu menyingkirkan atau mengurangkan bahan pencemar daripada persekitaran. Sesetengah tumbuhan mampu menyerap lebihan nutrien dan bahan pencemar tertentu melalui akar atau permukaan daunnya. Bahan yang diserap boleh terkumpul dalam tisu tumbuhan atau mengalami perubahan melalui proses biologi. Selain fitoremediasi, tumbuhan akuatik juga boleh digunakan dalam biopemantauan (biomonitoring). Melalui pemerhatian terhadap pertumbuhan, perubahan warna dan tindak balas fisiologi tumbuhan, penyelidik boleh menilai kemungkinan berlakunya perubahan pada kualiti persekitaran air. Bidang ekotoksikologi pula mengkaji kesan bahan pencemar terhadap organisma dan ekosistem. Tumbuhan akuatik boleh digunakan sebagai organisma kajian untuk memahami bagaimana bahan tertentu mempengaruhi pertumbuhan dan kelangsungan hidup organisma. Walau bagaimanapun, penggunaan tumbuhan untuk tujuan pemulihan perlu disertai pengurusan biomassa yang betul, terutamanya apabila tumbuhan telah menyerap bahan pencemar. Ini penting bagi mengelakkan bahan tersebut kembali ke persekitaran apabila tumbuhan mereput.

Satu Sistem, Dua Hasil

Pernahkah anda mendengar tentang akuaponik? Sistem ini menggabungkan aktiviti ternakan ikan dengan penanaman tumbuhan dalam satu sistem pengeluaran yang saling berkaitan. Dalam sistem akuaponik, ikan menghasilkan sisa yang mengandungi ammonia. Bakteria bermanfaat akan menukarkan ammonia kepada nitrit dan seterusnya nitrat melalui proses nitrifikasi. Nutrien yang terhasil kemudiannya boleh dimanfaatkan oleh tumbuhan. Akar tumbuhan menyerap sebahagian nutrien daripada air, manakala air yang telah melalui proses penapisan biologi dikembalikan semula ke sistem ternakan ikan. Dengan reka bentuk dan pengurusan yang sesuai, sistem akuaponik berpotensi mengoptimumkan penggunaan air dan sumber dalam pengeluaran makanan. Dalam akuakultur moden, tumbuhan juga boleh digunakan sebagai komponen sokongan kepada sistem biofiltrasi, menyediakan perlindungan kepada organisma akuatik dan membantu pengurusan lebihan nutrien. 

Khazanah Sungai Malaysia, Tarikan Akuarium Dunia

Industri tumbuhan akuatik mempunyai hubungan yang rapat dengan perkembangan hobi akuarium dan seni akuaskap di seluruh dunia. Peningkatan minat terhadap konsep planted tank telah membuka pasaran yang lebih luas untuk pelbagai jenis tumbuhan hiasan akuatik. Akuaskap merupakan seni menyusun tumbuhan akuatik, batu, kayu dan elemen semula jadi lain bagi menghasilkan landskap yang menyerupai persekitaran semula jadi. Ada yang mengetengahkan keindahan hutan tropika, ada yang diinspirasikan oleh landskap pergunungan, manakala sesetengahnya mengutamakan susunan tumbuhan yang kemas dan berwarna-warni. Antara gaya yang popular termasuk gaya Belanda, gaya semula jadi, gaya biotop dan gaya iwagumi. Setiap satunya mempunyai pendekatan reka bentuk yang tersendiri. Dalam masa yang sama, industri ikan hiasan Malaysia turut mempunyai kedudukan tersendiri di pasaran antarabangsa. Ikan kelisa atau arowana, ikan laga dan pelbagai spesies rasbora merupakan antara contoh ikan yang dikaitkan dengan kekayaan biodiversiti serta industri ikan hiasan negara. Hubungan antara ikan hiasan dan tumbuhan akuatik ini membentuk satu ekosistem perniagaan yang lebih luas. Pengusaha bukan sahaja boleh terlibat dalam pembiakan ikan, malah berpeluang meneroka pengeluaran tumbuhan, penyediaan akuarium, reka bentuk akuaskap dan pembekalan bahan tanaman.

Industri Tumbuhan Akuatik Malaysia: Angka di Sebalik Potensi

Industri tumbuhan akuatik di Malaysia telah mula berkembang sejak tahun 1980-an, khususnya di Johor. Kebanyakan ladang tumbuhan akuatik berskala besar yang membekalkan tanaman untuk pasaran eksport tertumpu di Johor dan Negeri Sembilan. Dianggarkan sekitar 90% pengeluaran tumbuhan akuatik adalah untuk pasaran eksport, manakala sebahagian kecil sahaja dipasarkan di dalam negara.

Data pengeluaran tumbuhan akuatik Malaysia bagi tempoh 2023 hingga 2025 memperlihatkan perubahan yang menarik dari segi jumlah pengeluaran dan nilai pasaran. Pada tahun 2023, pengeluaran direkodkan sebanyak 26.2 juta ikat dengan nilai RM85.8 juta. Jumlah pengeluaran kemudian menurun kepada 21.2 juta ikat pada tahun 2024, dengan nilai RM73.15 juta. Pada tahun 2025, jumlah pengeluaran meningkat semula kepada 29.96 juta ikat. Walau bagaimanapun, nilai yang direkodkan ialah RM66.92 juta. Perubahan ini menunjukan bahawa peningkatan jumlah pengeluaran tidak semestinya menghasilkan peningkatan nilai pasaran yang sepadan. Perbezaan tersebut mungkin dipengaruhi oleh komposisi spesies yang dihasilkan, harga jualan, permintaan dan keadaan pasaran antarabangsa. Secara tidak langsung, angka ini memberikan gambaran bahawa industri tumbuhan akuatik bukan sekadar memerlukan peningkatan kuantiti pengeluaran, tetapi turut memerlukan strategi untuk meningkatkan nilai tambah produk.

Penghasilan tanaman berkualiti, pembiakan varieti bernilai tinggi, penambahbaikan kaedah pengeluaran serta penerokaan pasaran baharu merupakan antara aspek penting dalam memperkukuh daya saing industri tumbuhan akuatik, sama ada di pasaran tempatan mahupun antarabangsa. Seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan permintaan dan memperluas pasaran tempatan, pelbagai usaha promosi perlu dipergiatkan melalui platform seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK), Pameran Agrofair, pertandingan akuaskap peringkat kebangsaan serta pertandingan di peringkat sekolah. Usaha ini bukan sahaja dapat memperkenalkan kepelbagaian tumbuhan akuatik kepada masyarakat, malah berpotensi memupuk minat generasi muda dan membuka peluang baharu kepada perkembangan industri tumbuhan akuatik negara.

Masa depan industri tumbuhan akuatik

Walaupun permintaan terhadap tumbuhan akuatik semakin meningkat, pengeluaran bahan tanaman yang mencukupi dan konsisten masih menjadi cabaran industri ini. Sesetengah spesies mempunyai kadar pembiakan yang perlahan atau sukar dibiakkan dalam kuantiti yang besar melalui kaedah konvensional. Oleh itu, kaedah pembiakan yang lebih sistematik dan terkawal diperlukan bagi memenuhi permintaan pasaran. Salah satu pendekatan yang berpotensi ialah mikropropagasi melalui teknik kultur tisu tumbuhan, yang membolehkan penghasilan bahan tanaman dalam kuantiti yang lebih besar. Perkembangan industri ini turut membuka peluang kepada penglibatan komuniti dalam aktiviti pembiakan, penanaman dan penjagaan tumbuhan akuatik, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan baharu berasaskan biodiversiti tempatan.

Namun, potensi ekonomi ini perlu diseimbangkan dengan usaha pemuliharaan. Pengambilan tumbuhan secara berlebihan daripada habitat semula jadi dan pelepasan spesies yang berpotensi invasif ke perairan terbuka perlu dielakkan bagi melindungi keseimbangan ekosistem. Malaysia mempunyai khazanah tumbuhan akuatik yang berpotensi dikembangkan melalui penyelidikan, inovasi bioteknologi dan pembangunan industri secara lestari. Di sebalik keunikan bentuk dan keindahan warna daunnya, tumbuhan akuatik bukan sekadar memiliki nilai estetika dan komersial, malah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem serta menyimpan potensi besar dalam bidang penyelidikan dan Pembangunan. Khazanah alam ini wajar diterokai, dipelihara dan dimanfaatkan secara lestari agar nilai serta keistimewaannya terus terpelihara untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

 

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: Glami Lemi Biotechnology Research CentreNurul Nadhirah Othmantumbuhan akuatiktumbuhan akuatik bernilai ekonomi
Previous Post

Postbiotik: Kuasa Mikroorganisma Tanpa Sel Hidup, Inovasi Baharu untuk Kesihatan Masa Hadapan

Next Post

Nanas “Makan” Lidah Kita? Sains di Sebalik Rasa Pedih Selepas Menikmati Nanas

Editor

Editor

Related Posts

Sumpahan Dimensi dalam Data
Berita & Peristiwa

Sumpahan Dimensi dalam Data

4 hours ago
Bila Kejayaan Terasa Sekadar Nasib: Memahami Fenomena Impostor dan Membina Daya Tahan
Berita & Peristiwa

Bila Kejayaan Terasa Sekadar Nasib: Memahami Fenomena Impostor dan Membina Daya Tahan

4 hours ago
Bahaya Amalan Mengorek Telinga: Dari Lidi Kelapa hingga Putik Kapas
Berita & Peristiwa

Bahaya Amalan Mengorek Telinga: Dari Lidi Kelapa hingga Putik Kapas

5 hours ago
Avokado Tinggi Lemak, Jadi Mengapa Ia Dianggap Sihat?
Alam Semulajadi

Avokado Tinggi Lemak, Jadi Mengapa Ia Dianggap Sihat?

5 hours ago
Next Post
Nanas “Makan” Lidah Kita? Sains di Sebalik Rasa Pedih Selepas Menikmati Nanas

Nanas “Makan” Lidah Kita? Sains di Sebalik Rasa Pedih Selepas Menikmati Nanas

Kategori Produk

  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In