Monday, November 30, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Postbiotik: Kuasa Mikroorganisma Tanpa Sel Hidup, Inovasi Baharu untuk Kesihatan Masa Hadapan

Postbiotik: Kuasa Mikroorganisma Tanpa Sel Hidup, Inovasi Baharu untuk Kesihatan Masa Hadapan

Editor by Editor
29/11/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Dr. Musaalbakri Abdul Manan
Pengarah,
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
Pejabat MARDI Negeri Johor

Apabila Mikroorganisma Tidak Lagi Perlu Hidup untuk Memberi Manfaat 

Mikroorganisma sering dikaitkan dengan pelbagai perkara dalam kehidupan manusia. Ada yang membantu menghasilkan makanan seperti yogurt, keju, tempe dan kimchi, manakala sebahagian yang lain boleh menyebabkan kerosakan makanan atau penyakit. Namun, perkembangan sains mikrobiologi menunjukkan bahawa hubungan antara mikroorganisma dengan kesihatan manusia jauh lebih kompleks daripada yang disangka. Malah, mikroorganisma yang telah dinyahaktifkan juga berpotensi memberikan manfaat kesihatan dalam keadaan tertentu. Di sinilah munculnya satu bidang yang semakin mendapat perhatian, iaitu postbiotik. Istilah ini mungkin masih baru kepada kebanyakan orang, khususnya jika dibandingkan dengan probiotik yang sudah lama diperkenalkan dalam produk makanan dan minuman. Walau bagaimanapun, postbiotik membuka perspektif baharu tentang bagaimana mikroorganisma dan komponen yang berasal daripadanya boleh dimanfaatkan dalam pembangunan produk berkaitan kesihatan.

Secara saintifik, postbiotik ditakrifkan sebagai penyediaan mikroorganisma tidak hidup dan/atau komponennya yang memberikan manfaat kesihatan kepada hos atau perumah. Takrifan ini menjelaskan bahawa tidak semua bahan yang dihasilkan oleh mikroorganisma boleh dikategorikan sebagai postbiotik. Sebaliknya, sesuatu penyediaan perlu mengandungi mikroorganisma yang telah dinyahaktifkan dan/atau komponennya, serta disokong oleh bukti saintifik yang menunjukkan manfaat kesihatan dan keselamatannya untuk kegunaan manusia. Definisi ini telah diperincikan melalui konsensus saintifik oleh Persatuan Saintifik Antarabangsa bagi Probiotik dan Prebiotik (International Scientific Association for Probiotics and Prebiotics, ISAPP) (Salminen et al., 2021). Penetapan kriteria ini penting bagi memastikan penggunaan istilah postbiotik berasaskan bukti saintifik yang kukuh, sekali gus mengelakkan kekeliruan antara postbiotik dengan produk atau bahan lain yang sekadar dihasilkan melalui proses fermentasi. Dengan itu, istilah postbiotik bukan sekadar label komersial, tetapi merujuk kepada kategori bahan yang mempunyai ciri khusus serta manfaat kesihatan yang dapat dibuktikan secara saintifik.

Memahami Postbiotik: Apa yang Terkandung di Dalamnya?

Perkataan postbiotik berasal daripada gabungan istilah “post”, yang membawa maksud “selepas”, dan “biotik”, yang berkaitan dengan organisma hidup. Dalam konteks ini, istilah tersebut merujuk kepada penyediaan berasaskan mikroorganisma yang telah dinyahaktifkan serta komponen berkaitan yang boleh menyumbang kepada manfaat kesihatan. Walau bagaimanapun, perkataan “tidak hidup” tidak bermaksud bahan tersebut langsung tidak mempunyai fungsi. Sebaliknya, walaupun mikroorganisma telah dinyahaktifkan, struktur sel dan komponen tertentu yang masih terdapat dalam penyediaan tersebut berpotensi memainkan peranan dalam menghasilkan kesan biologi. Oleh sebab itu, istilah “tidak hidup” lebih tepat digunakan berbanding perkataan “mati” atau “tidak aktif” yang mungkin memberikan gambaran bahawa bahan tersebut tidak lagi berupaya menghasilkan sebarang kesan.

Konsep ini juga menunjukkan bahawa manfaat sesuatu penyediaan tidak semestinya bergantung pada keupayaan mikroorganisma untuk hidup, membiak atau terus berada dalam persekitaran tubuh. Dalam keadaan tertentu, komponen mikroorganisma yang telah dinyahaktifkan masih boleh berinteraksi dengan persekitaran biologi hos. Namun, kesan yang terhasil bergantung pada ciri penyediaan, komponen yang terkandung di dalamnya dan bukti saintifik bagi penggunaan yang dimaksudkan. Satu perkara penting yang perlu difahami ialah postbiotik tidak semestinya dihasilkan daripada probiotik (Vinderola et al., 2022). Walaupun kedua-duanya berkaitan dengan mikroorganisma, postbiotik merangkumi penyediaan yang berasal daripada mikroorganisma dan tidak terhad kepada mikroorganisma yang sebelum ini dikategorikan sebagai probiotik (Amobonye et al., 2025). Perbezaan ini memberikan ruang yang lebih luas kepada penyelidikan mikrobiologi dan teknologi biopemprosesan. Para penyelidik boleh mengkaji pelbagai mikroorganisma, kaedah penyediaan dan komponen sel untuk menentukan sama ada sesuatu produk mempunyai ciri yang memenuhi definisi postbiotik serta memberikan manfaat yang boleh dibuktikan.
Daripada Sel Mikroorganisma kepada Komponen Bioaktif

Keistimewaan postbiotik terletak pada komposisinya yang merangkumi pelbagai komponen mikroorganisma, termasuk sel yang telah dinyahaktifkan, serpihan struktur sel dan metabolit mikrob. Seperti definisi oleh ISAPP, postbiotik merupakan penyediaan mikroorganisma tidak hidup dan/atau komponennya yang memberikan manfaat kesihatan kepada perumah. Komponen struktur postbiotik boleh terdiri daripada rantaian asid lemak pendek (asetat, propionat, dan butirat), vitamin, dinding sel, membran sel, eksopolisakarida, yang terikat pada dinding sel dan pili. Walaupun mikroorganisma telah dinyahaktifkan, komponen struktur tertentu masih boleh dikekalkan dan berpotensi berinteraksi dengan persekitaran biologi perumah. Selain komponen struktur, aktiviti metabolisme mikroorganisma semasa proses fermentasi turut menghasilkan pelbagai sebatian bioaktif. Antaranya termasuk asid organik, peptida, protein, enzim dan bakteriosin. Sebatian ini mempunyai ciri biologi tersendiri, termasuk aktiviti antimikrob dan keupayaan mempengaruhi proses fisiologi tertentu. Kehadiran komponen dan sebatian bioaktif tersebut menjadikan postbiotik berpotensi menyumbang kepada pelbagai manfaat kesihatan. Antaranya termasuk menyokong kesihatan usus, memodulasi tindak balas sistem imun (imunomodulasi), menyokong metabolisme, memberikan kesan antiradang dan aktiviti antioksidan, serta potensi dalam penjagaan dan peningkatan fungsi penghalang usus (Da et al., 2024). Walau bagaimanapun, kehadiran komponen mikrob atau sebatian bioaktif semata-mata tidak mencukupi untuk mengklasifikasikan sesuatu penyediaan sebagai postbiotik. Penyediaan tersebut perlu memenuhi definisi ISAPP, khususnya dari segi komposisi mikroorganisma tidak hidup dan/atau komponennya serta bukti manfaat kesihatan kepada perumah.

Bagaimana Postbiotik Dihasilkan?

Penghasilan postbiotik bukan sekadar melibatkan proses mematikan mikroorganisma, sebaliknya memerlukan kaedah penyediaan yang terkawal dan disengajakan bagi menghasilkan penyediaan mikroorganisma tidak hidup dan/atau komponennya yang memberikan manfaat kesihatan kepada perumah. Penyediaan akhir boleh mengandungi sel mikrob yang telah dinyahaktifkan, komponen struktur sel dan metabolit, bergantung pada kaedah penghasilan yang digunakan. Beberapa faktor perlu dipertimbangkan dalam proses penghasilannya, termasuk pemilihan mikroorganisma, komposisi biojisim mikrob, matriks penyediaan dan kaedah penyahaktifan. Matriks merujuk kepada bahan atau persekitaran yang membentuk sebahagian daripada penyediaan postbiotik. Setiap faktor ini boleh mempengaruhi komposisi, ciri fizikal dan kimia serta sifat biologi produk akhir. Kaedah penyahaktifan merupakan peringkat penting bagi memastikan mikroorganisma tidak lagi berupaya membiak. Pada masa yang sama, proses ini perlu dikawal supaya komponen struktur sel dan sebatian bioaktif yang dikehendaki dapat dikekalkan mengikut ciri penyediaan yang dibangunkan. Oleh itu, penggunaan mikroorganisma yang sama tidak semestinya menghasilkan postbiotik dengan komposisi dan sifat yang serupa sekiranya kaedah pemprosesan atau formulasi berbeza. Sehubungan itu, penghasilan postbiotik memerlukan pendekatan yang sistematik merangkumi kawalan mutu, pencirian komponen mikrob, pengesahan penyahaktifan mikroorganisma, penilaian keselamatan dan pembuktian manfaat kesihatan (Duhan et al., 2026). Kesemua aspek ini penting bagi memastikan penyediaan akhir memenuhi kriteria saintifik postbiotik serta mempunyai ciri dan manfaat kesihatan yang dapat dibuktikan. 

Postbiotik dan Probiotik: Serupa, tetapi Tidak Sama

Probiotik telah lama dikenali dalam bidang pemakanan dan kesihatan. Secara umum, probiotik merujuk kepada mikroorganisma hidup yang memberikan manfaat kesihatan apabila diberikan dalam jumlah yang mencukupi. Postbiotik pula merujuk kepada penyediaan mikroorganisma tidak hidup dan/atau komponennya yang memberikan manfaat kesihatan kepada hos. Perbezaan paling asas antara kedua-duanya ialah status daya hidup mikroorganisma dalam penyediaan akhir. Bagi probiotik, mikroorganisma hidup merupakan ciri utama definisinya. Bagi postbiotik, proses penyahaktifan merupakan salah satu keperluan penting, dan sel hidup perlu tiada atau hanya hadir pada tahap yang boleh diabaikan dalam produk akhir.

Namun begitu, perbezaan ini tidak bermaksud postbiotik semestinya lebih baik daripada probiotik. Kedua-duanya mempunyai definisi dan kriteria masing-masing. Kesesuaian sesuatu penyediaan bergantung pada tujuan penggunaan serta bukti yang menyokong manfaat dan keselamatannya. Begitu juga, tidak semua produk yang mengandungi mikroorganisma yang telah dinyahaktifkan boleh terus dikategorikan sebagai postbiotik. Penyediaan tersebut masih perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan. Antaranya ialah kandungan sel atau komponen mikrob yang bersesuaian, ketiadaan atau tahap sel hidup yang boleh diabaikan, bukti manfaat kesihatan kepada hos sasaran dan penilaian keselamatan bagi penggunaan yang dimaksudkan (Prajapati et al., 2023). Dengan memahami perbezaan ini, pengguna dapat mengelakkan tanggapan bahawa semua produk yang dikaitkan dengan mikroorganisma mempunyai fungsi yang sama. Istilah saintifik bukan sekadar nama; istilah tersebut membawa maksud, ciri dan keperluan pembuktian yang khusus. 

Bukan Semua Bahan daripada Mikroorganisma ialah Postbiotik

Satu lagi perkara yang perlu diberikan perhatian ialah bahan yang tidak termasuk dalam kategori postbiotik. ISAPP menyenaraikan beberapa kategori yang perlu dibezakan daripada postbiotik, walaupun bahan tersebut mempunyai kaitan dengan mikroorganisma atau komponennya. Pertama, virus, termasuk bakteriofaj, tidak dikategorikan sebagai postbiotik (Roque et al., 2025). Bakteriofaj ialah virus baik yang menjangkiti bakteria. Walaupun penyelidikan terhadap bakteriofaj mempunyai kepentingan tersendiri, bahan tersebut tidak termasuk dalam definisi postbiotik yang dirujuk. Kedua, vaksin juga tidak dikategorikan sebagai postbiotik (Chikindas et al., 2026). Vaksin dibangunkan untuk tujuan imunisasi dan mempunyai kerangka penggunaan serta penilaian yang berbeza. Persamaan tertentu pada peringkat bahan atau komponen tidak bermaksud kedua-dua kategori ini boleh dianggap sama. Ketiga, filtrat yang tidak mengandungi komponen sel mikrob tidak memenuhi definisi postbiotik (Viderola et al., 2024). Filtrat sedemikian mungkin mengandungi bahan terlarut yang dihasilkan oleh mikroorganisma, tetapi ketiadaan komponen sel merupakan perbezaan yang penting dalam pengelasan ini. Keempat, komponen mikrob yang telah ditulenkan secara berasingan juga tidak dikategorikan sebagai postbiotik (Khosravi et al., 2026). Contohnya ialah protein, peptida dan eksopolisakarida yang telah ditulenkan. Begitu juga dengan metabolit mikrob yang telah ditulenkan, seperti asid organik. Perbezaan ini menunjukkan bahawa asal-usul sesuatu bahan sahaja tidak mencukupi untuk menentukan kategorinya. Walaupun protein, peptida atau asid organik mungkin berasal daripada mikroorganisma, bahan yang telah ditulenkan secara berasingan tidak semestinya memenuhi definisi penyediaan postbiotik. Sebaliknya, postbiotik boleh mengandungi pelbagai komponen tersebut sebagai sebahagian daripada penyediaan yang mengandungi sel mikrob tidak hidup atau komponen selnya, dengan atau tanpa metabolit. Oleh itu, komposisi keseluruhan dan bentuk penyediaan memainkan peranan penting dalam pengelasan saintifik.

Membuktikan Manfaat dan Memastikan Keselamatan

Manfaat kesihatan postbiotik perlu disokong oleh bukti saintifik yang diperoleh melalui penyelidikan dan penilaian yang bersesuaian. Keberkesanan sesuatu penyediaan tidak boleh ditentukan hanya berdasarkan kehadiran komponen mikrob atau kejayaan proses penyahaktifan, sebaliknya perlu dibuktikan melalui kesan biologinya terhadap hos sasaran. Bukti tersebut hendaklah relevan dengan komposisi penyediaan, kaedah penghasilan dan tujuan penggunaannya. Selain keberkesanan, aspek keselamatan juga merupakan keutamaan dalam pembangunan postbiotik. Penilaian perlu mengambil kira sumber mikroorganisma, komposisi bahan, kaedah pemprosesan serta ciri produk akhir. Hal ini penting bagi memastikan penyediaan yang dihasilkan sesuai untuk tujuan penggunaan yang dimaksudkan dan tidak mendatangkan kesan buruk kepada pengguna. Pengesahan penyahaktifan mikroorganisma sahaja tidak memadai untuk menjamin keselamatan keseluruhan produk. Perlu difahami bahawa manfaat kesihatan yang dibuktikan bagi sesuatu penyediaan tidak semestinya terpakai kepada penyediaan postbiotik yang lain. Perbezaan jenis mikroorganisma, komposisi, matriks dan kaedah pemprosesan boleh menghasilkan profil biologi yang berbeza. Oleh itu, setiap penyediaan memerlukan penilaian manfaat dan keselamatan berdasarkan bukti saintifiknya sendiri. Pendekatan berasaskan bukti ini penting bagi memastikan pembangunan teknologi postbiotik dilaksanakan secara sistematik, selamat dan bertanggungjawab, di samping membezakan manfaat kesihatan yang telah dibuktikan daripada potensi yang masih memerlukan penyelidikan lanjut (Ali-Haneef et al., 2026). 

Potensi Postbiotik dalam Inovasi Masa Hadapan

Postbiotik memperluas pemahaman tentang bagaimana mikroorganisma boleh dimanfaatkan dalam pembangunan produk berkaitan kesihatan. Jika perhatian sebelum ini banyak diberikan kepada mikroorganisma hidup (probiotik), konsep postbiotik menunjukkan bahawa sel yang telah dinyahaktifkan dan komponen mikrob tertentu juga wajar dikaji berdasarkan sifat serta kesannya. Kepelbagaian komponen yang boleh terkandung dalam penyediaan postbiotik membuka ruang kepada penyelidikan yang lebih terperinci. Para penyelidik boleh menilai peranan rantaian asid lemak pendek, asid organik, peptida, protein, enzim, bakteriosin, vitamin, dinding sel, membran sel, eksopolisakarida, yang terikat pada dinding sel dan pili dan komponen lain dalam penyediaan yang memenuhi definisi tersebut. Pada masa yang sama, penyelidikan boleh meneliti bagaimana formulasi, matriks dan kaedah penyahaktifan mempengaruhi ciri produk akhir. Dalam pembangunan teknologi, pendekatan ini memerlukan kerjasama antara bidang mikrobiologi, biokimia, teknologi biopemprosesan, kawalan mutu dan penilaian keselamatan. Setiap bidang menyumbang kepada pemahaman yang lebih menyeluruh tentang bahan yang dikaji, proses penghasilannya dan bukti yang diperlukan untuk menyokong penggunaannya.

Walau bagaimanapun, potensi penyelidikan tidak harus disamakan dengan manfaat yang telah terbukti. Tidak semua komponen mikrob mempunyai kesan yang sama, dan tidak semua penyediaan postbiotik semestinya sesuai untuk tujuan yang serupa. Sebarang penggunaan atau dakwaan manfaat perlu berdasarkan data yang mencukupi dan penilaian yang relevan. Bagi pengguna, perkembangan bidang ini memberikan satu pengajaran penting: penilaian terhadap sesuatu produk tidak seharusnya bergantung pada istilah saintifik yang tertera pada label semata-mata. Maklumat tentang komposisi, tujuan penggunaan, keselamatan dan bukti manfaat perlu diberikan perhatian. Pemahaman yang tepat membantu pengguna membuat penilaian yang lebih rasional terhadap produk berkaitan kesihatan. 

Memahami Sains di Sebalik Postbiotik

Postbiotik memperkenalkan satu perspektif penting dalam sains mikroorganisma, iaitu manfaat yang dikaitkan dengan mikroorganisma tidak semestinya memerlukan sel tersebut kekal hidup. Dalam definisi saintifiknya, postbiotik ialah penyediaan mikroorganisma tidak hidup dan/atau komponennya yang memberikan manfaat kesihatan kepada hos. Namun, tidak semua bahan yang berasal daripada mikroorganisma boleh dikategorikan sebagai postbiotik. Penyediaan tersebut perlu melalui proses penyahaktifan yang disengajakan, mengandungi sel mikrob tidak hidup atau komponen selnya, mempunyai bukti manfaat kesihatan dan dinilai keselamatannya untuk tujuan penggunaan yang dimaksudkan. Komponen seperti dinding sel, membran, eksopolisakarida, protein, pili, asid organik, peptida, enzim dan bakteriosin menunjukkan kepelbagaian bahan yang boleh dikaitkan dengan penyediaan postbiotik. Pada masa yang sama, pengecualian seperti virus, vaksin, filtrat tanpa komponen sel, komponen mikrob yang ditulenkan dan metabolit mikrob yang ditulenkan memperjelas sempadan definisi tersebut.

Seiring dengan perkembangan penyelidikan, postbiotik menawarkan ruang untuk penerokaan saintifik dan inovasi yang lebih luas. Namun, kemajuan sebenar bidang ini bukan sekadar bergantung pada penemuan komponen baharu, tetapi juga pada ketelitian dalam penghasilan, pencirian, pembuktian manfaat dan penilaian keselamatan. Akhirnya, memahami postbiotik bermaksud memahami bahawa dalam dunia mikroorganisma, sesuatu yang tidak lagi hidup masih boleh mempunyai kepentingan biologi. Yang menentukan nilainya bukan sekadar asal-usulnya, tetapi komposisi penyediaan, bukti manfaat dan tahap keselamatan yang dapat dipertanggungjawabkan secara saintifik.

Rujukan

Amobonye, A., Pillay, B., Hlope, F. Asong, S.T., & Pillai, S. (2025). Postbiotics: an insightful review of the latest category in functional biotics. World Journal of Microbiology and Biotechnology, 41, 293. https://doi.org/10.1007/s11274-025-04483-8.

Chikindas, M.L., Xu, D., Popov, I.V., Carneiro, K.O., Elova, N.A., Bekmurodova, G.A., Amirsaidova, D.A., Pepoyan, A., Miralimova, S.M., Mitrokhin, O.V., Sichel, L.S., Tagg, J., & Todorov, S.D. (2026). Beyond probiotics: Postbiotics for healthy aquaculture. Advanced Science, 13(58), e77737. https://doi.org/10.1002/advs.77737.

Da, M., Sun, J., Ma, C., Li, D., Dong, L., Wang, L.S., & Chen, F. (2024). Postbiotics: Enhancing human health with a novel concept. eFood, 5(4), e180. https://doi.org/10.1002/efd2.180.

Duhan, P., Arya, S., Garg, R., Pathania, D., Bansal, P., Madan, A., Malik, S., & Rahimi, M. (2026). Postbiotics: A biobased frontier for enhancing food safety, functional foods, and human health. Journal of Food Protection, 89(12), 100949. https://doi.org/10.1016/j.jfp.2026.100949.

Ali-Haneef, N., Mohite, A. R., Muruganantham, P., Anver Salim, A., Suman Chinannai, K., John, A., & Madar, I. H. (2026). Postbiotics in functional foods: production, delivery, preservation, and regulation. Foods, 15(14), 2434. https://doi.org/10.3390/foods15142434.

Khosravi, A., Miran, M., Montilla, A. & Moreno, F.J. (2026). Recent advances in the modulation of gut microbiota and immune function by probiotics and postbiotics. Probiotics & Antimicrobial Proteins. https://doi.org/10.1007/s12602-026-11305-2.

Prajapati, N., Patel, J., Singh, S., Yadav, V.K., Joshi, C., Patani, A., Prajapati, D., Sahoo, D.K., & Patel, A. (2023). Postbiotic production: harnessing the power of microbial metabolites for health applications. Frontiers in Microbiology, 14, 1306192. https://doi.org/10.3389/fmicb.2023.1306192.

Roque, F., Lopes, M.H.S., Raffi, P., Oliveira, R., Caparroz, M., Longhini, G., Granghelli, C., Faria, D., Araujo, L., & Araujo, C. (2025). Postbiotics: An alternative for improving health and performance of poultry production. Microorganisms, 13(7), 1472. https://doi.org/10.3390/microorganisms13071472.

Salminen, S., Collado, M.C., Endo, A., Hill, C., Lebeer, S., Quigley, E.M.M., Sanders, M.E., Shamir, R., Swann, J.R., Szajewska, H., & Vinderola, G. (2021). The International Scientific Association of Probiotics and Prebiotics (ISAPP) consensus statement on the definition and scope of postbiotics. Nature Reviews Gastroenterology Hepatology, 18(9), 649 – 667. https://doi.org/10.1038/s41575-021-00440-6.

Vinderola, G., Sanders, M.E., & Salminen, S. (2022) The concept of postbiotics. Foods, 11(8), 1077. https://doi.org/10.3390/foods11081077. 

Vinderola, G., Sanders, M.E., Cunningham, M., & Hill, C. (2024) Frequently asked questions about the ISAPP postbiotic definition. Frontiers in Microbiology, 14, 1324565. https://doi.org/10.3389/fmic

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: BioaktifDr. Musaalbakri Abdul MananMARDI JohorPostbiotikprobiotik
Previous Post

Menyingkap Rahsia Kulat Endofit: Penghuni Tersembunyi di Sebalik Kehidupan Tumbuhan

Next Post

Bukan Sekadar Hiasan, Tumbuhan Akuatik Mampu Menjana Ekonomi

Editor

Editor

Related Posts

Sumpahan Dimensi dalam Data
Berita & Peristiwa

Sumpahan Dimensi dalam Data

4 hours ago
Bila Kejayaan Terasa Sekadar Nasib: Memahami Fenomena Impostor dan Membina Daya Tahan
Berita & Peristiwa

Bila Kejayaan Terasa Sekadar Nasib: Memahami Fenomena Impostor dan Membina Daya Tahan

4 hours ago
Bahaya Amalan Mengorek Telinga: Dari Lidi Kelapa hingga Putik Kapas
Berita & Peristiwa

Bahaya Amalan Mengorek Telinga: Dari Lidi Kelapa hingga Putik Kapas

5 hours ago
Avokado Tinggi Lemak, Jadi Mengapa Ia Dianggap Sihat?
Alam Semulajadi

Avokado Tinggi Lemak, Jadi Mengapa Ia Dianggap Sihat?

5 hours ago
Next Post
Bukan Sekadar Hiasan, Tumbuhan Akuatik Mampu Menjana Ekonomi

Bukan Sekadar Hiasan, Tumbuhan Akuatik Mampu Menjana Ekonomi

Kategori Produk

  • Siri-Ingin Tahu
  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In