Dr. Denis Alexander, Pengarah Institut Sains dan Agama Faraday (Farady Institute of Science and Religion) di St Edmunds College Cambridge berkata dua bidang yang dianggap bercanggah itu sebenarnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Syarahannya itu atas tajuk “Evolusi dan Penciptaan” adalah sebahagian daripada siri syarahan Pembangunan Lestari yang di anjurkan oleh Institut Kajian Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Cambridge Malaysian Education and Development Trust (CMEDT), Permodalan Nasional Berhad dan Sime Darby untuk membincangkan isu perubahan iklim secara holistik
Beliau berkata, terdapat salah tanggapan bahawa Teori Evolusi Charles Darwin menidakkan kewujudan Tuhan mengikut fahaman penganut ahli kitab. Beliau berkata kita tidak boleh melihat kewujudan Tuhan dalam kerangka evolusi yang sempit.
Teori evolusi juga bukanlah suatu idea yang di perkenalkan oleh Charles Darwin. Konsep evolusi boleh dikesan lama sebelumnya lagi. Dan ia telah pun di perkenalkan oleh seorang yang mahir dalam bidang ilmu wahyu. Menurut beliau,
"Kita boleh kembali dan mencari sumber-sumber teologi, yang membantu orang ramai untuk memahami mengapa evolusi boleh dibawa masuk ke dalam kerangka ketuhanan, ini dapat dilihat pada abad 14 oleh Ibnu Khaldun yang memperkenalkan konsep evolusi ciptaan manusia secara beransur-ansur.
Beliau kemudian membaca satu petikan dari buku Ibnu Khaldun Al Muqadimmah:
“Seseorang kemudiannya harus lihat di dunia penciptaan. Ia bermula dari mineral dan berlalu, secara bijak dan secara beransur-ansur, kepada tumbuhan dan haiwan.
“Peringkat terakhir mineral berkaitan dengan peringkat pertama tumbuh-tumbuhan, seperti herba dan tumbuhan bijirin. Peringkat terakhir tumbuh-tumbuhan, seperti kurma dan anggur, yang berkaitan dengan peringkat pertama haiwan, seperti siput dan kerang yang hanya mempunyai kuasa sentuhan. Perkataan 'sambungan' dengan mengambil kira perkara-perkara yang dicipta bermaksud bahawa peringkat terakhir setiap kumpulan bersedia sepenuhnya untuk menjadi peringkat pertama kumpulan terbaru,….
“Dunia haiwan kemudiannya meluas, spesies menjadi banyak, dan dalam proses secara penciptaan beransur-ansur, ia akhirnya membawa kepada manusia, yang mampu untuk berfikir dan merenung”.
Idea bahawa konsep peralihan beransur-ansur boleh juga didapati dengan ahli teologi Kristian iaitu pengasas gerakan Methodist, James Wesley yang menimbulkan persoalan mengenai evolusi satu abad sebelum Darwin mengutarakan ideanya.
Oleh itu, apabila Darwin mencadangkan teori evolusi beliau bukanlah mengemukakan sesuatu yang baru. Malah Darwin sendiri tidak menafikan kewujudan Tuhan. Tetapi kepercayaanya merosot apabila tiga orang anaknya meninggal dunia..
Kehilangan anak-anaknya itu membuatnya menjadi seoarang agnostik terutama apabila anak perempuan kesayangannya meninggal dunia.
Tentunya kedua-dua Ibnu Khaldun dan James Wesley tidak mengetahui teori evolusi. Dan mereka tidak akan setuju dengan teori Darwin yang menyisihkan kewujudan Tuhan.
Dr Alexander berkata bahawa agama khususnya agama ahli kitab membincangkan persoalan kenapa manusia diwujudkan. Manakala sains pula menimbulkan persoalan bagaimana kita dijadikan, mekanisme yang digunakan dan sebagainya.
Beliau merujuk kepada surah Al Quran dan berkata Tuhan menjadikan segala yang wujud. Tuhan adalah pencipta segalanya dan mentadbir segalanya. Ini termasuklah evolusi.
Semua agama ahli kitab memartabatkan konsep yang semua kewujudan berasal dari sumber yang satu. Beliau berkata, jika kedua bidang itu dilihat dalam konteks ini, kita akan dapat melihat apa yang dinyatakan saintis dalam erti kata lain. Sains secara tidak langsung membantu kita melihat kebesaran Tuhan.
Tuhan adalah lebih besar dari apa yang kita boleh bayangkan, tetapi kadang kala kita mentafsirkan Tuhan dalam konsep yang sempit agar boleh di fahami oleh pemikiran manusia. Ini adalah antara sebab kenapa timbulnya konflik.
Pada dasarnya, konflik akan timbul kerana tanggapan oleh satu pihak dianggap bercanggah dengan satu pihak lain. Masalah selalunya timbul apabila mereka berfikir tentang Tuhan menurut kekakangan fikiran manusia. Kreativiti Tuhan tidak seperti kreativiti manusia. Jadi ia tidak boleh di samakan. Kreativiti adalah jenis yang berbeza.
Situasi yang lain pula adalah apabila orang beranggapan bahawa dengan menerima evolusi mereka menganggapkan semuanya terjadi tanpa di rancang. Ini seolah-oleh menolak kewujudan Tuhan.
Jelas telah terbukti bahawa evolusi telah dibincangkan oleh pemikir Islam dan Kristian. Ini menunjukkan tiada percanggahan. Percanggahan berlaku hanya apabila konsep ketuhanan dipisahkan dari kejadian manusia
Turut hadir pada syarahan itu adalah Pro-Canselor UKM, Tun Dato 'Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid; Pengarah CMEDT, Dr Anil Seal; Pengarah Institut Perubahan Iklim UKM, Prof Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, penyelidik dan saintis iklim di seluruh Negara.
Sumber: UKM News Portal
Gambar : Google