Penulis: Syazuani Mohd Shariff
Pensyarah Kanan, UiTM Cawangan Kuala Pilah
Apabila kita bercakap tentang tanah lembap, ramai yang membayangkan kawasan berlumpur yang dipenuhi nyamuk, tidak sesuai untuk pembangunan, atau sekadar ‘tanah terbiar’. Namun realitinya, tanah lembap adalah antara ekosistem bernilai dan kompleks. Tanah lembap didefinisikan sebagai kawasan yang mempunyai air secara tetap atau secara berkala tepu, sama ada secara semula jadi mahupun buatan. Ini termasuklah paya bakau, paya gambut, tanah lembap BRIS dan tasik.
Tanah lembap dikenali melalui tiga ciri utama. Pertama ialah sistem hidrologi yang unik, di mana kawasan ini sentiasa tepu air atau mengalami takungan air sekurang-kurangnya dalam tempoh tertentu sepanjang tahun. Air ini boleh datang daripada hujan, limpahan sungai, pasang surut laut atau air bawah tanah. Kedua, tanahnya ialah tanah hydrik iaitu tanah yang mengandungi oksigen yang sangat rendah akibat perendaman berterusan serta berasid. Tanah jenis ini biasanya gelap, berbau sulfur, dan kaya dengan bahan organik terurai. Ketiga, tanah lembap menyokong pertumbuhan tumbuhan hidrofitik iaitu tumbuhan yang mampu hidup dalam keadaan tepu air atau dalam tanah tanpa oksigen. Ini termasuklah pokok bakau, keladi bunting, rumput paya dan spesies teratai. Gabungan ketiga-tiga ciri ini menjadikan tanah lembap satu ekosistem yang sangat unik dari segi struktur dan peranannya dalam kestabilan alam sekitar.
Kemusnahan
Realitinya, kebanyakan tanah lembap dimusnahkan sama ada untuk pembangunan, penambakan, pertanian atau perbandaran. Kesannya tidak terhenti pada landskap semata-mata, tetapi melibatkan gangguan ekologi dan sosial yang membawa bencana dalam jangka masa panjang. Salah satu kesan paling jelas ialah peningkatan risiko banjir. Tanah lembap berfungsi seperti span semula jadi yang menyerap lebihan air hujan dan melambatkan aliran permukaan. Tanpa kawasan ini, air mengalir terus ke sistem sungai dalam jumlah besar, menyebabkan banjir kilat dan hakisan tebing sungai. Di kawasan pesisir, kehilangan paya bakau turut mendedahkan komuniti kepada ombak besar dan ribut yang dahulunya diredakan oleh komuniti pokok bakau yang kukuh. Kawasan yang kehilangan zon penampan semula jadi ini menjadi lebih kerap dilanda banjir dan ribut serta terdedah kepada kesan buruk.
Kesan seterusnya ialah kepada suhu dan iklim mikro. Tanah lembap membantu menyejukkan kawasan sekeliling melalui proses sejatan dan kelembapan udara yang tinggi. Namun, apabila kawasan ini digantikan dengan permukaan keras seperti konkrit dan bangunan, kawasan tersebut menjadi lebih panas. Peningkatan suhu ini menyebabkan golongan warga emas dan kanak-kanak terdedah kepada risiko gelombang haba yang lebih kerap. Peningkatan suhu yang mencecah 2 hingga 4 darjah Celsius berbanding kawasan luar bandar, dan kehilangan tanah lembap dikenal pasti sebagai salah satu penyumbang utama.
Fungsi Tanah Lembab
Tanah lembap juga memainkan peranan penting sebagai penapis semula jadi untuk air. Ia menyingkirkan sedimen, nutrien berlebihan dan bahan pencemar seperti logam berat dari air permukaan sebelum ia mengalir ke sungai, tasik atau laut. Apabila tanah lembap hilang, keupayaan semula jadi ini turut hilang, menyebabkan kualiti air merosot, kos rawatan air meningkat dan kesihatan awam terjejas. Banyak loji rawatan air kini berdepan beban tambahan kerana kehilangan fungsi ekologi yang dahulunya disumbangkan secara percuma oleh tanah lembap.
Dalam diam, kehilangan tanah lembap juga menyebabkan kepupusan biodiversiti. Habitat ini menampung pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan termasuk burung migrasi, ikan air tawar, amfibia dan serangga unik yang tidak mampu hidup di habitat lain. Banyak spesies ini mempunyai nilai ekonomi, ekologi dan perubatan yang belum diterokai. Misalnya, beberapa jenis bakteria dan kulat yang ditemui di tanah lembap tropika menunjukkan potensi sebagai antibiotik baharu. Apabila habitat musnah, potensi ini hilang begitu sahaja mungkin untuk selama-lamanya.
Selain fungsi ekologi, tanah lembap turut menyumbang kepada ekonomi setempat. Kawasan ini menyokong industri perikanan, hasil hutan bukan kayu seperti madu hutan, rotan dan sagu serta menjadi lokasi ekopelancongan yang semakin mendapat tempat. Kawasan seperti Taman Wetland Putrajaya, Taman Paya Bakau Kuala Sepetang dan Taman Negara Bako di Sarawak membuktikan bahawa tanah lembap yang dijaga mampu menjana pendapatan, pekerjaan dan kesedaran awam terhadap alam sekitar. Malangnya, apabila nilai ekonomi jangka pendek seperti pembangunan hartanah lebih diutamakan, potensi ini sering dikorbankan.
Tanah lembap juga berperanan dalam perubahan iklim global. Kawasan seperti paya gambut menyimpan karbon dalam jumlah besar sejak beribu tahun. Apabila tanah lembap dikeringkan atau dibakar, karbon yang tersimpan ini akan dibebaskan ke atmosfera dalam bentuk gas rumah hijau seperti karbon dioksida dan metana. Ini menyumbang kepada pemanasan global yang mempercepatkan perubahan iklim. Oleh itu, tanah lembap bukan sekadar mangsa perubahan iklim, malah boleh menjadi penyelesaian dalam usaha menanganinya.
Kempen Pemuliharaan
Apa pula peranan kita? Meskipun kita bukan saintis atau pembuat dasar, kita masih boleh memainkan peranan kecil tapi bermakna. Misalnya, menyokong kempen pemuliharaan, mengurangkan pencemaran sungai atau sekurang-kurangnya memahami betapa pentingnya tanah lembap untuk keseimbangan bumi. Sekolah juga boleh memperkenalkan aktiviti luar kelas di kawasan tanah lembap sebagai sebahagian daripada pendidikan alam sekitar. Apabila generasi muda memahami nilai tanah lembap, barulah usaha pemuliharaan mendapat sokongan jangka panjang.
Tanah lembap bukan sekadar kawasan lembik atau kawasan tak produktif seperti yang sering disalahfahami. Ia adalah ekosistem penting yang menstabilkan iklim, menapis air, mengurangkan risiko bencana dan menyokong kehidupan pelbagai spesies termasuk manusia. Dunia tanpa tanah lembap bukan sahaja lebih panas, lebih tercemar dan lebih terdedah kepada bencana, tetapi juga lebih miskin dari segi sumber semula jadi dan warisan biologi. Kita perlu berhenti melihat tanah lembap sebagai halangan pembangunan, sebaliknya mengiktirafnya sebagai infrastruktur semula jadi yang tidak ternilai. Mempertahankan tanah lembap bukan lagi pilihan, tetapi ia adalah satu keperluan demi kelangsungan hidup generasi kini dan akan datang.




