Penulis: Dr. Wan Najibah Wan Mohamad1 & Dr. Nurul Ainun Hamzah2
1Program Audiologi, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan USM
2Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan,
Kampus Kesihatan USM
Bunyi Ada di Mana-mana
Bayangkan satu hari biasa.
Pagi bermula dengan bunyi penggera telefon. Dalam perjalanan ke tempat kerja, kita mendengar deruman enjin, hon dan hiruk-pikuk trafik. Setibanya di pejabat, bunyi pendingin hawa, mesin pencetak, perbualan dan deringan telefon pula memenuhi ruang. Ketika bersenam, muzik dimainkan melalui fon telinga.
Kebanyakan daripada kita menganggap bunyi sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian. Malah, terdapat bunyi yang kita nikmati seperti lagu kegemaran, suara orang tersayang, bunyi hujan dan gelak ketawa anak-anak. Namun, apabila terlalu kuat, berpanjangan atau berlaku secara berulang, bunyi yang pada awalnya dianggap biasa boleh bertukar menjadi risiko kesihatan yang sering tidak disedari. Lebih penting lagi, kesannya bukan hanya pada telinga.
Bila Bunyi Mula Menjadi “Terlalu Kuat”?
Kekuatan bunyi biasanya diukur dalam unit desibel (dB). Prinsip asasnya mudah: semakin kuat sesuatu bunyi, semakin singkat tempoh pendedahan yang dianggap selamat. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seseorang boleh terdedah kepada bunyi sekitar 80 dB sehingga kira-kira 40 jam seminggu. Namun, pada 100 dB, tempoh pendedahan yang lebih selamat berkurang kepada sekitar 20 minit seminggu [1]. Hubungan antara tahap bunyi dan tempoh pendedahan ini ditunjukkan dalam Rajah 1.

Ringkasnya, risiko bunyi tidak hanya bergantung pada seberapa kuat bunyi, tetapi juga berapa lama kita terdedah kepadanya.
Apa Sebenarnya Berlaku di Dalam Telinga?
Telinga kita kecil, tetapi sistem pendengaran di dalamnya sangat kompleks. Apabila bunyi memasuki telinga, gelombang bunyi menyebabkan gegendang telinga bergetar. Getaran ini diteruskan melalui tulang-tulang kecil di telinga tengah sebelum sampai ke koklea di telinga dalam.
Di dalam koklea terdapat sel deria yang sangat halus, dikenali sebagai sel rerambut (hair cells). Sel-sel ini membantu menukarkan getaran mekanikal kepada isyarat elektrik yang dihantar melalui saraf pendengaran ke otak. Proses ini serta kesan pendedahan bunyi berlebihan terhadap sel rerambut diringkaskan dalam Rajah 2.

Pendedahan kepada bunyi kuat secara berulang atau berpanjangan boleh merosakkan sistem pendengaran dan menyebabkan kehilangan pendengaran akibat bunyi atau noise-induced hearing loss (NIHL) [2]. Kerosakan ini boleh berlaku secara perlahan tanpa disedari.
Seseorang mungkin mula merasakan orang lain bercakap semakin perlahan atau boleh mendengar suara tetapi semakin sukar memahami percakapan. Sesetengah individu juga mengalami bunyi berdengung atau berdesing di dalam telinga yang dikenali sebagai tinitus. Gejala seperti ini tidak seharusnya dipandang ringan, terutama jika berlaku secara berterusan atau selepas terdedah kepada bunyi yang kuat.
Fon Telinga: Kecil di Telinga, Besar Impaknya?
Fon telinga kini hampir menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Kita menggunakannya untuk mendengar muzik dan podcast, menonton video, bermain permainan, menghadiri mesyuarat dan mengikuti kuliah.
Persoalannya bukan sekadar sama ada fon telinga itu “baik” atau “buruk”, tetapi bagaimana kita menggunakannya.
WHO menganggarkan bahawa lebih satu bilion golongan muda berusia 12 hingga 35 tahun berisiko mengalami masalah pendengaran akibat amalan mendengar bunyi rekreasi secara tidak selamat [3]. Risiko meningkat apabila fon telinga digunakan dalam persekitaran yang bising kerana pengguna cenderung menaikkan tahap bunyi untuk mengatasi bunyi di sekeliling. Risiko ini boleh dikurangkan dengan mengawal kelantangan, mengehadkan tempoh mendengar dan menggunakan fon telinga atau fon kepala yang sesuai. WHO turut mencadangkan agar tahap bunyi peranti tidak melebihi sekitar 60% daripada tahap maksimum sebagai salah satu amalan pendengaran yang lebih selamat [1]. Fon kepala dengan ciri pengurangan atau pembatalan bunyi juga boleh membantu pengguna mendengar dengan lebih jelas tanpa perlu meningkatkan tahap bunyi secara berlebihan.
Mudahnya: Jangan lawan bunyi dengan bunyi yang lebih kuat.
Bagaimana Pula dengan Bunyi di Tempat Kerja?
Bagi sesetengah pekerja, pendedahan kepada bunyi berlaku selama beberapa jam sehari dan berterusan selama bertahun-tahun. Mesin pengeluaran, peralatan pembinaan, enjin dan mesin pemotong merupakan antara sumber bunyi yang boleh ditemui dalam persekitaran pekerjaan. Satu analisis yang menggabungkan 69 kajian melibatkan lebih 3.5 juta pekerja melaporkan prevalens keseluruhan gangguan pendengaran sebanyak 28.8% dalam populasi pekerja industri yang dikaji [4].
TAHUKAH ANDA?
Hampir 3 daripada setiap 10 pekerja industri yang dikaji dilaporkan mengalami gangguan pendengaran [4].
Namun, penyelesaian terhadap bunyi di tempat kerja bukan sekadar “pakai earplug”. Kawalan seharusnya bermula dengan mengurangkan bunyi pada sumber atau mengawal laluan bunyi sebelum ia sampai kepada pekerja. Mesin boleh diselenggara, peralatan yang lebih senyap boleh dipilih, sumber bunyi boleh diasingkan dan tempoh pendedahan pekerja boleh diuruskan. Pelindung pendengaran seperti penyumbat telinga (earplug) dan pelindung telinga (earmuff) pula menjadi sebahagian daripada keseluruhan strategi kawalan.
Di Malaysia, pengurusan pendedahan bunyi pekerjaan berpandukan Tataamalan Industri bagi Pengurusan Pendedahan Bunyi Bising Pekerjaan dan Pemuliharaan Pendengaran 2019 yang diterbitkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia [5].
Kesihatan Pekerjaan Malaysia [5].
Bising Bukan Sekadar Masalah Telinga
Kesan bunyi sebenarnya tidak terhad kepada sistem pendengaran. Seperti yang diringkaskan dalam Rajah 3, pendedahan bunyi berlebihan turut dikaitkan dengan gangguan tidur, tumpuan dan kesejahteraan serta kesan terhadap kesihatan kardiovaskular [6,7]. Dalam persekitaran pekerjaan, bunyi yang terlalu kuat juga boleh mengganggu komunikasi dan menyukarkan pekerja mendengar arahan atau isyarat keselamatan.

Bayangkan tidur dengan bunyi trafik yang berterusan atau memahami arahan keselamatan di kilang ketika mesin sedang beroperasi. Dalam keadaan seperti ini, bunyi bukan lagi sekadar sesuatu yang “tidak menyenangkan”. Ia boleh mengganggu tidur, tumpuan dan komunikasi, seterusnya berpotensi menjejaskan prestasi dan keselamatan.
Jadi, Apa yang Boleh Kita Lakukan?
Berita baiknya, banyak risiko kesihatan berkaitan bunyi boleh dikurangkan melalui amalan pendengaran yang lebih selamat. Kita tidak perlu berhenti mendengar muzik atau menjalani kehidupan dalam suasana yang sentiasa senyap. Sebaliknya, kita perlu lebih peka terhadap tahap bunyi, tempoh pendedahan dan cara melindungi pendengaran. Untuk memudahkan langkah-langkah ini diingati, Rajah 4 memperkenalkan konsep 6L sebagai panduan mudah untuk melindungi pendengaran.

Enam langkah ini menekankan prinsip mudah: kawal kelantangan, hadkan tempoh pendedahan, jauhkan diri daripada sumber bunyi yang kuat, berikan telinga masa untuk berehat, gunakan pelindung pendengaran apabila diperlukan dan dapatkan pemeriksaan sekiranya terdapat tanda perubahan pendengaran.
Siapa yang Bertanggungjawab Menjaga Pendengaran?
Jawapan paling mudah ialah, kita semua.
Setiap individu boleh mengamalkan tabiat mendengar yang lebih selamat. Ibu bapa boleh membantu anak-anak membentuk amalan ini sejak kecil. Manakala majikan bertanggungjawab menyediakan persekitaran kerja dengan kawalan dan perlindungan yang sewajarnya.
Profesional dalam bidang audiologi dan kesihatan pula memainkan peranan melalui pendidikan, pengesanan awal, penilaian dan intervensi. Pada masa yang sama, pengeluar teknologi dan perancang persekitaran turut boleh menyumbang melalui pembangunan peralatan yang lebih senyap, ciri pendengaran selamat dan pengurusan pencemaran bunyi yang lebih baik.
Kesihatan pendengaran bukan sekadar tentang telinga. Ia merupakan sebahagian daripada kesihatan dan kesejahteraan individu, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta kesihatan persekitaran.
Jangan Tunggu Dunia Menjadi Perlahan
Pendengaran sering kita anggap biasa selagi semuanya masih dapat didengar dengan jelas. Setiap hari, kita menikmati suara orang tersayang, muzik kegemaran, bunyi alam dan perbualan bersama rakan. Namun, apabila pendengaran mula berubah, barulah kita menyedari betapa berharganya deria ini.
Penjagaan pendengaran tidak seharusnya bermula hanya apabila masalah telah berlaku. Ia perlu bermula sekarang. Kita mungkin tidak mampu mengawal semua bunyi di sekeliling, tetapi kita masih boleh mengawal bagaimana dan berapa lama kita terdedah kepadanya.
Jangan tunggu sehingga dunia kedengaran semakin perlahan untuk mula menghargai pendengaran. Dengarlah dengan bijak hari ini, agar kita terus dapat menikmati bunyi yang mewarnai kehidupan pada masa hadapan.
Rujukan
- World Health Organization. (2026). Deafness and hearing loss: Safe listening. World Health Organization.
- World Health Organization. (2021). World report on hearing. Geneva: World Health Organization.
- World Health Organization. (2022). WHO global standard for safe listening venues and events. Geneva: World Health Organization.
- Salari, N., et al. (2024). The global prevalence of noise induced hearing impairment among industrial workers: A systematic review and meta-analysis. Indian Journal of Otolaryngology and Head & Neck Surgery, 76(6), 5035-5049.
- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia. (2019). Tatamalan Industri bagi Pengurusan Pendedahan Bunyi Bising Pekerjaan dan Pemuliharaan Pendengaran 2019. Putrajaya: JKKP Malaysia.
- Lee, Y., Lee, S., & Lee, W. (2023). Occupational and environmental noise exposure and extra-auditory effects on humans: A systematic literature review. GeoHealth, 7(6), e2023GH000805.
- World Health Organization Regional Office for Europe. (2018). Environmental noise guidelines for the European Region. Copenhagen: WHO Regional Office for Europe.
Biodata Penulis
Dr. Wan Najibah Wan Mohamad merupakan Pensyarah Kanan dalam Program Audiologi di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kelantan. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Audiologi (Kepujian) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2004, diikuti Ijazah Sarjana dalam Clinical Audiology daripada University of Flinders, Australia dan Ijazah Doktor Falsafah dengan pengkhususan dalam bidang tinitus daripada University of Nottingham, United Kingdom pada tahun 2015. Beliau memulakan kerjaya sebagai audiologis di hospital swasta sebelum meneruskan kerjaya dalam bidang akademik pada tahun 2010. Beliau aktif dalam pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan berkaitan audiologi. Pada masa yang sama, beliau turut memberikan perkhidmatan klinikal termasuk penilaian dan pengurusan masalah pendengaran bagi kanak-kanak dan dewasa di Klinik Audiologi, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia. Beliau turut terlibat dalam badan profesional seperti Malaysian National Society of Audiologists dan Conjoint Board of Studies for Audiology & Speech Sciences. Beliau juga terlibat sebagai panel penilai bagi semakan Standard Operating Procedure Audiologi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan panel Program Audiologi di bawah Malaysian Allied Health Profession.
Dr. Nurul Ainun binti Hamzah merupakan Pensyarah Kanan dalam bidang Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (KPP) di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Kesihatan, Kelantan. Beliau memperoleh Bacelor Sains Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2003, Ijazah Sarjana dalam Safety Science daripada University of New South Wales (UNSW), Australia pada tahun 2009, dan Ijazah Doktor Falsafah Kesihatan Masyarakat pengkhususan Kesihatan Pekerjaan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2015. Kerjaya beliau bermula sebagai Pembantu Penyelidik dan Penolong Pegawai Penyelidik di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM sebelum dilantik sebagai Felo Akademik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari 2007-2015. Beliau berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di PPSK USM sejak tahun 2015. Beliau aktif dalam pengajaran, penyeliaan dan penyelidikan berkaitan kesihatan pekerjaan, kesihatan persekitaran, toksikologi persekitaran dan pekerjaan, ergonomik, kesihatan respiratori, kualiti udara dalaman, pendedahan haba dan keselamatan pekerjaan. Beliau juga aktif dalam badan profesional, antaranya Malaysian Industrial Hygiene Association (MIHA), Malaysian Association of Environmental Health (MAEH) dan Human Factors and Ergonomics Society of Malaysia (HFEM).




