Penulis: Prof. Madya Ir. Dr. Nadras binti Othman
Pensyarah Program Kejuruteraan Polimer
Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral
Universiti Sains Malaysia, Kampus Kejuruteraan
Industri getah bukan sekadar sektor ekonomi biasa. Ia adalah industri warisan yang membina negara, menyara ratusan ribu pekebun kecil dan pernah menjadi asas kekuatan ekonomi Malaysia. Namun hari ini, realitinya semakin jelas: industri getah negara sedang bergerak tanpa arah yang tuntas, manakala pekebun kecil terus menanggung kesan kegagalan struktur yang berlarutan.
Isu harga getah iaitu RM2.40 sekilogram sejak beberapa bulan yang lalu merupakan harga yang paling terendah dalam tempoh 20 tahun bukan lagi bersifat sementara. Ia telah menjadi masalah berpanjangan yang menjejaskan keyakinan pekebun untuk terus menoreh. Laporan demi laporan dalam media arus perdana menunjukkan kebun getah terbiar, pengeluaran menurun dan pendapatan pekebun yang tidak lagi mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang kian meningkat. Ini bukan sekadar isu pasaran global, tetapi kegagalan kita membina mekanisme perlindungan domestik yang berkesan.
Walaupun agensi seperti RISDA dan Lembaga Getah Malaysia memainkan peranan penting, pendekatan sedia ada masih terlalu bergantung kepada bantuan bersifat sementara. Pekebun kecil menerima bantuan jangka pendek daripada pihak RISDA sebanyak RM 800 dengan cara empat kali bayaran semasa musim tengkujuh sedikit sebanyak dapat manangani masalah ekonomi pekebun kecil. Namun begitu, harga lantai dan insentif jangka pendek tidak mampu menyelesaikan masalah asas industri. Pekebun kecil memerlukan jaminan pendapatan yang lebih stabil, bukannya sekadar sokongan ketika krisis.
Lebih membimbangkan, struktur sektor huluan getah masih ketinggalan dari segi pemodenan. Usaha menghidupkan semula kebun terbiar memang perlu, namun tanpa transformasi teknologi, automasi dan pengurusan moden, langkah ini hanya mengulangi kitaran lama yang akhirnya gagal. Industri tidak boleh terus bergantung kepada tenaga kerja berusia dan kaedah tradisional jika mahu kekal relevan.
Dalam masa sama, negara terlalu selesa dengan kejayaan industri sarung tangan getah. Kejayaan ini tidak harus dinafikan, tetapi kebergantungan berlebihan kepada satu subsektor jelas berisiko. Kejatuhan permintaan pasca pandemik membuktikan bahawa industri getah negara mudah terdedah kepada kejutan pasaran apabila tiada kepelbagaian produk bernilai tinggi yang kukuh.
Malaysia sepatutnya bergerak lebih agresif dalam membangunkan aplikasi baharu getah termasuk tayar hijau (green tire), tayar sembuh sendiri (self healing tire), komponen automotif, produk kejuruteraan dan bahan berprestasi tinggi. Getah asli mempunyai kelebihan strategik sebagai bahan boleh diperbaharui, namun potensi ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya sebagai kekuatan nasional.
Isu kelestarian pula tidak boleh dilihat sekadar keperluan pematuhan eksport. Pensijilan dan standard antarabangsa harus diterjemahkan kepada nilai ekonomi sebenar di peringkat pekebun. Jika tidak, kelestarian hanya menjadi beban tambahan tanpa pulangan setimpal.
Hakikatnya, industri getah negara memerlukan dasar yang lebih berani dan berpandangan jauh. Dasar reaktif tidak lagi mencukupi. Kerajaan perlu merangka pelan transformasi nasional yang menyeluruh meliputi perlindungan pendapatan pekebun, pemodenan ladang, diversifikasi produk hiliran dan pelaburan serius dalam penyelidikan serta inovasi.
Industri getah tidak boleh terus dibiarkan “bertahan” tanpa hala tuju jelas. Jika langkah tegas tidak diambil daripada sekarang, Malaysia berisiko kehilangan bukan sahaja industri warisan ini, tetapi juga kedaulatan ekonomi yang pernah dibinanya.
Kredit foto-anrpc
Rujukan:
- Pekebun terhimpit, harga getah sekerap merudum, Nor Fazlina Abdul Rahim, Harian Metro, Disiarkan pada: September 13, 2022 @ 2:37pm
- MASUK 30 TAHUN MENOREH GETAH, Facebook Rasmi RISDA, https://www.facebook.com/reel/817228454085978, Disiarkan pada 25 September 2025.
Biodata Penulis

Prof. Madya Ir. Dr. Nadras Othman berkhidmat sebagai pensyarah di Program Kejuruteraan Polimer, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Malaysia. Penyelidikan beliau tertumpu kepada penggunaan sumber asli sebagai bahan tambah dalam sebatian getah dan komposit getah. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Kejuruteraan Polimer dari London Metropolitan University (dahulunya dikenali sebagai University of North London) pada tahun 1997 dan PhD dalam Komposit Polimer dari USM pada tahun 2007




