Penulis: Dr. Syazuani Mohd Shariff & Dr. Nurul Asyikin Abd Rahman
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Biologi,
Fakulti Sains Gunaan, UiTM Negeri Sembilan,
Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah
Bila nama Klebsiella pneumoniae (K. pneumoniae) disebut, kebanyakan orang terus terbayang hospital, pesakit kritikal, dan jangkitan yang sukar dirawat. Bakteria ini sering muncul dalam laporan kes rintangan antibiotik dan menjadi simbol ancaman kesihatan moden. Namun gambaran ini sebenarnya hanya menceritakan satu topik kecil dalam menceritakan susur galur K. pneumoniae. Sebelum manusia membina hospital dan mengenal antibiotik, bakteria ini sudah lama hidup bebas di alam semula jadi, termasuk di hutan, sebagai sebahagian daripada sistem kehidupan yang kompleks dan saling bergantung. Hutan sering dilihat sebagai dunia pokok dan haiwan besar, tetapi kehidupan sebenar hutan berlaku pada skala yang jauh lebih kecil. Di bawah lapisan daun gugur, dalam tanah yang lembap, dan di celah kayu yang sedang mereput, mikroorganisma bekerja tanpa henti. Bakteria, kulat, protozoa, dan mikrofauna tanah membentuk rangkaian interaksi yang menguraikan bahan organik dan memastikan kitaran nutrien berterusan. Dalam persekitaran yang kompleks ini, K. pneumoniae wujud sebagai salah satu penghuni tetap. Ia bukan penceroboh, tetapi sebahagian daripada komuniti mikrob yang menyokong kelangsungan hutan, membantu mengekalkan keseimbangan ekosistem sambil hidup harmoni dengan persekitarannya.
Pelbagai kajian menunjukkan bahawa K. pneumoniae boleh ditemui secara konsisten dalam tanah hutan dan bahan kayu, termasuk dalam kayu hidup yang masih sihat. Yang menariknya adalah kehadiran bakteria ini tidak menyebabkan pokok menjadi sakit atau mati. Sebaliknya, ia wujud bersama tumbuhan tanpa menimbulkan kesan yang merosakkan. Keadaan ini memberi gambaran bahawa hubungan antara K. pneumoniae dan tumbuhan hutan mungkin lebih kompleks daripada sekadar “menumpang hidup”, malah berpotensi mencerminkan satu bentuk hubungan saling kebersamaan yang halus dan seimbang. Dalam persekitaran kayu hidup, K. pneumoniae menggunakan sumber organik semula jadi sebagai tempat perlindungan dan sumber tenaga. Pada masa yang sama, kehadirannya berkemungkinan menyumbang kepada kestabilan mikroekosistem tumbuhan, sama ada melalui peranan dalam kitaran nutrien atau dengan mempengaruhi komuniti mikroorganisma lain di sekelilingnya. Hubungan yang stabil seperti ini lazimnya terbentuk hasil penyesuaian jangka panjang antara mikroorganisma dan persekitarannya. Hutan merupakan ekosistem yang mencabar. Keadaan persekitarannya sentiasa berubah mengikut musim, tahap kelembapan dan ketersediaan nutrien, manakala persaingan antara mikroorganisma berlaku secara berterusan. Untuk terus bertahan, bakteria memerlukan ciri biologi yang sesuai. K. pneumoniae memiliki kapsul sel yang tebal, satu kelebihan penting yang melindunginya daripada tekanan persekitaran dan serangan mikroorganisma lain. Ciri ini membolehkannya terus hidup, beradaptasi, dan membina hubungan jangka panjang dengan persekitaran hutan.
Simbiosis
Daripada keupayaan inilah muncul peranan senyap K. pneumoniae dalam ekosistem hutan. Apabila bahan tumbuhan mati dan mula mereput, proses penguraian perlu berlaku sebelum nutrien dapat dikembalikan ke dalam tanah. Walaupun kulat sering dianggap sebagai pelaku utama dalam proses ini, bakteria juga memainkan peranan yang tidak kurang penting. K. pneumoniae membantu memecahkan bahan organik dan menyumbang kepada pelepasan karbon dan nitrogen ke dalam tanah. Nutrien ini kemudiannya digunakan oleh tumbuhan, kulat, dan mikroorganisma lain untuk menyokong pertumbuhan dan kestabilan ekosistem.Sumbangan ini mungkin kelihatan kecil jika dilihat secara berasingan, tetapi dalam skala hutan yang luas dan dalam jangka masa panjang, kesannya menjadi signifikan. Beberapa strain K. pneumoniae juga diketahui mempunyai keupayaan mengikat nitrogen daripada atmosfera. Walaupun bukan seefisien bakteria khusus, sumbangan kecil ini tetap penting dalam persekitaran semula jadi yang bergantung kepada pelbagai sumber nitrogen. Melalui cara ini, bakteria ini membantu mengekalkan kesuburan tanah hutan tanpa kebergantungan kepada input luaran.
Dalam keadaan seimbang, kewujudan K. pneumoniae dalam hutan tidak mendatangkan masalah kepada haiwan atau manusia. Namun bakteria ini bersifat oportunistik. Apabila ia memasuki perumah yang mempunyai sistem imun lemah atau berada dalam keadaan tertekan, sifatnya boleh berubah. Bakteria yang sebelum ini hidup secara harmoni dalam persekitaran semula jadi boleh menyebabkan jangkitan apabila peluang muncul. Perubahan ini bukan kerana bakteria tersebut menjadi “jahat”, tetapi kerana konteks persekitaran dan perumahnya telah berubah. Keadaan menjadi lebih rumit apabila aktiviti manusia mula memberi kesan kepada ekosistem hutan. Pertanian, penternakan, dan pembangunan membawa bersama sisa antibiotik dan bahan pencemar ke dalam tanah dan air. Dalam persekitaran seperti ini, bakteria seperti K. pneumonia terdedah kepada tekanan selektif yang menggalakkan kemunculan rintangan antibiotik. Bakteria ini berupaya menyimpan gen rintangan dan memindahkannya kepada bakteria lain melalui proses pertukaran genetik semula jadi.
Di sinilah hubungan antara hutan dan kesihatan manusia menjadi semakin jelas. Hutan bukan sekadar ruang hijau yang terpisah daripada kehidupan manusia, tetapi sebahagian daripada sistem yang lebih besar. Bakteria yang hidup di tanah dan kayu hutan boleh mempengaruhi kesihatan haiwan liar, ternakan, dan akhirnya manusia. Apa yang berlaku di peringkat mikroskopik dalam ekosistem semula jadi boleh memberi kesan yang besar apabila keseimbangan alam terganggu. Melihat K. pneumoniae hanya sebagai patogen hospital adalah pandangan yang terlalu sempit. Dalam konteks hutan, bakteria ini ialah organisma yang mempunyai daya hidup tinggi dan memainkan peranan penting dalam kitaran nutrien. Ia membantu memastikan bahan organik tidak terkumpul tanpa henti dan nutrien sentiasa dikitar semula. Peranan ini mungkin tidak kelihatan, tetapi tanpanya, ekosistem hutan tidak akan berfungsi dengan baik.
Kisah K. pneumoniae mengingatkan kita bahawa sempadan antara alam semula jadi dan kesihatan manusia sebenarnya sangat kabur. Bakteria yang ditakuti manusia hari ini telah lama menjalankan peranannya dalam alam tanpa menimbulkan masalah. Ancaman hanya muncul apabila keseimbangan antara manusia, haiwan, dan persekitaran berubah. Dengan memahami peranan senyap bakteria ini di hutan, kita dapat melihat bahawa menjaga kesihatan alam bukan sahaja penting untuk kelestarian ekosistem, tetapi juga untuk melindungi kesihatan manusia itu sendiri.
Kredit foto-cdc[dot]gov/klebseilla





