Penulis: Prof. Madya Dr. Nomaliza Ab Malik¹, Dr. Ahmad Mu’min Mohd Hafiizh², Siti Nur Rasyidah Md Ramli³
¹Pensyarah Pergigian, Pakar Klinikal Pergigian Fakulti Pergigian, USIM
²Pegawai Pergigian, Fakulti Pergigian, USIM
³Pensyarah Kanan Biokimia, Jabatan Sains Asas, Fakulti Pergigian, USIM
Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai banyak sumber semula jadi terutamanya tumbuhan-tumbuhan herba. Ketika ubatan moden tidak dapat diakses secara meluas, masyarakat mengunakan ubatan yang diperbuat daripada tumbuhan herba sebagai ubat untuk menyembuhkan pelbagai penyakit. Ini termasuklah lengkuas yang digunakan secara meluas oleh masyarakat tempatan untuk kegunaan sebagai ubat tradisional. Lengkuas juga mempunyai sejarah yang panjang dalam perubatan traditional seperti Ayurveda dan perubatan tradisional Cina (TCM), di mana ia dikenali sebagai Greater Galangal atau Thai Ginger dan dianggap sebagai tanaman penting untuk merawat pelbagai jenis penyakit.
Lengkuas, atau Alpinia galanga, merupakan sejenis tumbuhan herba dari keluarga Zingiberaceae sama seperti halia dan kunyit. Lengkuas ialah sejenis tumbuhan rizom yang digunakan secara meluas dalam masakan Asia Tenggara sebagai penyedap masakan atau agen penghilang bau hanyir daging dan ikan kerana aromanya yang segar, pedas dan sedikit citrus. Rizom didefinasikan dari Kamus Bahasa Melayu sebagai ‘batang tumbuhan’, seperti kunyit dan halia, yang tumbuh mendatar di dalam tanah dan menjadi organ penyimpanan makanan. Darinya dapat menghasilkan tunas dan akar baru dari ruas-ruasnya. Lengkuas mengandungi ciri-ciri aroma tersendiri yang dapat menyegarkan dan membangkitkan aroma sesuatu bahan atau hidangan. Walaupun kegunaan utamanya adalah dalam makanan dan perubatan tradisional, sifat aromatik lengkuas juga boleh dimanfaatkan dalam pembuatan wangian atau minyak wangi tertentu.
Spesis Lengkuas
Dilaporkan terdapat lebih dari 250 spesis lengkuas iaitu Genus Aplinia, yang tersebar luas di Asia Selatan dan Tenggara, antara yang banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu ialah Alpinia conchigera Griff, Alpinia galanga dan Alpinia conchigera. Alpinia conchigera juga dikenali sebagai lengkuas ranting, lengkuas kecil, lengkuas padang atau lengkuas geting yang berasal dari Semenanjung Malaysia. Ia biasanya ditemui di kawasan darat seperti tanah pertanian, hutan paya air tawar, dan tanah terbuka.
Secara amnya, banyak tumbuhan dari genus Alpinia telah digunakan selama ribuan tahun untuk merawat penyakit seperti penyakit melibatkan sistem pencernaan dan anti-radang. Kajian menunjukkan bahawa ekstrak kasar dan komponen tulen yang diasingkan dari genus Alpinia telah menunjukkan mengandungi anti-kanser, anti-oksidan, anti-bakteria, anti-viral dan pencegahan penyakit kardiovaskular. Selain itu, lengkuas juga mengandungi kandungan yang berkhasiat dan bertindak sebagai antikulat, membersihkan darah terutamanya kesakitan waktu haid, mencairkan kahak dan merangsang otot yang lama tidak digerakkan.
Penggunaan lengkuas mengunakan ekstrak daripada rizom Alpinia conchigera sering digunakan untuk mengubati demam, panas badan, lenguh-lenguh, sakit sendi dan membuang angin badan. Daun lengkuas biasanya digunakan untuk mengurangkan suhu demam dan panas badan dengan cara daun lengkuas diramas dengan beras dan air di dalam bekas. Air ramasan lengkuas tadi akan dilapkan ke badan terutama di bahagian sendi. Manakala untuk sakit tulang, angin seluruh badan, lenguh-lenguh badan dan sakit sendi, semua bahagian lengkuas perlu ditumbuk sehingga hancur atau lumat sebelum dilumur ke seluruh badan. Lengkuas ini akan bertindak membuang angin dari dalam badan yang menyebabkan sakit sendi dan lenguh-lenguh. Selain itu, lengkuas juga berguna untuk ibu-ibu yang berpantang selepas bersalin. Ia selalunya ditumbuk halus dan ditampal di perut sebelum diikat dengan bengkung bertujuan membuang angin di dalam badan, sekaligus membantu mengempiskan perut.
Perubatan
Lengkuas dalam perubatan Cina digunakan untuk merawat masalah-masalah pencernaan dan sistem penghadaman. Ia juga digunakan untuk merawat gigitan serangga, dimana lengkuas ini ditumbuk dan disapu di kawasan gigitan serangga. Air rebusan lengkuas dikatakan mampu dijadikan sebagai ramuan ubat bagi melegakan masalah pencernaan seperti kembung dan muntah-muntah. Di India, lengkuas digunakan sebagai pewangi badan dan menghilangkan masalah mulut berbau busuk atau halitosis.
Kajian fitokimia menunjukkan bahawa lengkuas mengandungi sebatian bioaktif seperti 1’-acetoxy eugenol acetate yang mempunyai sifat antimikrob, termasuk kesan antibakteria dan antikulat. Dalam konteks kesihatan oral, sifat antimikrob ini berpotensi membantu melawan mikroorganisma patogen yang terlibat dalam jangkitan mulut dan penyakit gusi seperti gingivitis dan ulser mulut.
Selain daripada potensi terapeutik, lengkuas turut digunakan dalam campuran penyegar mulut tradisional untuk mengurangkan bau mulut dan memberikan sensasi kesegaran, seperti yang digunakan di India. Aromanya yang kuat dan menyenangkan menjadikannya alternatif semula jadi yang popular dalam kalangan masyarakat yang mengamalkan rawatan herba. Minyak pati lengkuas juga boleh didapati dalam pasaran dan kadangkala dicampurkan dalam larutan kumur tradisional atau digunakan sebagai ramuan dalam produk penjagaan mulut alternatif. Namun begitu, penggunaannya dalam konteks ini masih terhad kepada amalan perubatan tradisional dan belum dikomersialkan secara meluas dalam industri pergigian moden.
Beberapa kajian saintifik telah menunjukkan bahawa ekstrak Alpinia galanga berpotensi merencat pertumbuhan mikroorganisma patogen yang berkaitan dengan kesihatan mulut. Dalam satu kajian makmal, ekstrak rizom lengkuas pada kepekatan 10% didapati mampu menghalang pertumbuhan Candida albicans, iaitu sejenis kulat oportunistik yang biasa terdapat dalam rongga mulut. Ujian agar difusi menunjukkan zon perencatan sekitar 7.33 mm, yang memberikan petunjuk terhadap potensi antifungal ekstrak ini dalam menangani jangkitan seperti kandidiasis oral.
Selain itu, kajian in vitro terhadap bakteria Gram-positif seperti Staphylococcus aureus dan Staphylococcus epidermidis, yang turut mendiami rongga mulut, menunjukkan bahawa ekstrak metanol lengkuas menghasilkan zon perencatan yang ketara serta nilai minimum inhibitory concentration (MIC) yang rendah. Ini membuktikan keberkesanan aktiviti antimikrob ekstrak lengkuas terhadap bakteria yang terlibat dalam jangkitan oral.
Tambahan pula, beberapa kajian yang melibatkan spesies Alpinia lain seperti Alpinia officinale, yang mempunyai komponen kimia yang mirip dengan lengkuas, turut menunjukkan kesan perencatan ke atas bakteria penyebab karies gigi seperti Streptococcus mutans dan Lactobacillus. Ekstrak etanol dan metanol pada kepekatan rendah terbukti mampu mengurangkan pertumbuhan bakteria-bakteria ini dalam ujian makmal. Mekanisme tindakan antimikrob ini dipercayai berkait rapat dengan kandungan bioaktif dalam lengkuas seperti acetoxychavicol acetate, flavonoid dan minyak pati. Sebatian-sebatian ini berupaya mengganggu integriti dinding serta membran sel bakteria, seterusnya menyebabkan kerosakan struktur sel dan menghalang proses pembiakan mikroorganisma tersebut.
Secara keseluruhannya, data makmal yang sedia ada menyokong potensi ekstrak lengkuas sebagai agen antimikrob semula jadi terhadap pelbagai mikroorganisma oral, termasuk kulat dan bakteria gram-positif. Namun demikian, majoriti dapatan ini masih terhad kepada peringkat in vitro dan penyelidikan klinikal berskala besar ke atas manusia masih belum mencukupi.
Oleh itu, kajian lanjutan amat diperlukan bagi menilai keberkesanan, keselamatan, serta potensi formulasi ekstrak lengkuas dalam produk penjagaan mulut yang boleh digunakan secara meluas dalam amalan klinikal dan kesihatan awam. Gabungan antara ilmu tradisional dan penyelidikan moden akan membuka laluan baharu kepada produk penjagaan oral yang lebih selamat, berkesan dan mesra alam.




