Oleh: Prof. Dr. Yap Chi Chin
Penyelaras Jawatankuasa Olimpiad Fizik Malaysia 2026
Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
Pertandingan International Physics Olympiad (IPhO) merupakan sebuah pertandingan berprestij pada peringkat antarabangsa dalam bidang fizik, yang dikhususkan untuk pelajar pra-universiti di bawah usia 20 tahun. Pertandingan ini menguji kecekapan komprehensif peserta secara individu melalui penyelesaian masalah fizik dalam dua bentuk penilaian, iaitu ujian eksperimen dan ujian teori yang masing-masing mengambil masa selama lima jam. Pada tahun ini, IPhO 2026 telah dianjurkan di Bucaramanga, Colombia bermula dari 4 hingga 12 Julai, serta mencatatkan penyertaan seramai 430 orang peserta dari 91 negara.
Bagi memastikan persediaan rapi pasukan negara, proses saringan pencarian calon wakil Malaysia ke IPhO 2026 telah digerakkan secara berperingkat sejak penghujung tahun 2025. Calon-calon pelajar yang berjaya melepasi proses saringan ini seterusnya diserapkan ke dalam siri bengkel latihan intensif yang memfokuskan kepada pengukuhan aspek teori dan kemahiran amali. Pelaksanaan proses saringan dan penganjuran bengkel latihan bagi tahun 2026 telah diterajui oleh Jawatankuasa Olimpiad Fizik Malaysia (JKOFM) dengan kerjasama Association of the Malaysian Alumni of the International Science Olympiads (AMISO). Di samping itu, inisiatif ini turut mendapat dokongan strategik daripada pelbagai institusi yang memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan hebahan dan kemudahan logistik. Agensi-agensi yang terlibat secara langsung termasuk Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia serta Kolej DISTED, Pulau Pinang.
Garis masa proses saringan dan bengkel latihan untuk tahun 2026 adalah seperti berikut:

Barisan tenaga pengajar dan jurulatih untuk tahun 2026 terdiri daripada pensyarah, bekas guru, bekas wakil negara ke IPhO dan juga mahasiswa dalam bidang fizik. Dua jurulatih kanan yang mengetuai pasukan ini ialah Puan Chin Mai Ying dan Encik Ong Zhi Zheng. Lanjutan daripada tiga fasa saringan yang teliti dan kompetitif, seramai lima orang pelajar cemerlang telah berjaya dipilih untuk menggalas cabaran sebagai wakil negara ke IPhO 2026. Lima orang pelajar yang terpilih adalah seperti yang berikut:
1. Cheok Kang Ling dari Sekolah Tinggi Chung Hua Seremban, Negeri Sembilan.
2. Gan Zhong Wen dari Tingkatan Enam Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
3. Tan Hong Jer dari Kolej Sunway, Selangor
4. Teh Jun Jie dari Kolej Methodist Kuala Lumpur, Kuala Lumpur
5. Tun Muhammad Syukri bin Tun Abdul Karim dari Kolej MARA Banting, Selangor
Pasukan negara dipimpin oleh dua orang ketua pasukan, iaitu:
1. Ong Zhi Zheng, bekas wakil negara ke IPhO 2022 (Switzerland) dan IPhO 2023 (Jepun).
2. Muhammad Adam Zachry bin Mohd Ali, bekas wakil negara ke IPhO 2024 (Iran).
Pasukan Malaysia telah mencatat pencapaian membanggakan di IPhO 2026 dengan meraih satu pingat emas, dua pingat gangsa serta dua sebutan terhormat. Pingat emas telah dimenangi oleh Cheok Kang Ling, manakala Gan Zhong Wen dan Teh Jun Jie masing-masing menyumbang pingat gangsa kepada negara. Sementara itu, Tun Muhammad Syukri bin Tun Abdul Karim dan Tan Hong Jer turut mengharumkan nama Malaysia dengan memperoleh sebutan terhormat.

Sumber gambar: Laman Facebook Physics Olympiad – Malaysia (https://www.facebook.com/groups/501116173233690/)
Rujukan:
[1] IPhO Organizing Committee. 2026. IPhO 2026. https://ipho2026.com/ [10 Julai 2026].
[2]Yap Chi Chin & Chin Mai Ying. 2025. Pasukan Malaysia Berjaya Meraih Dua Pingat Gangsa dalam International Physics Olympiad (IPhO) 2025. Majalah Sains, 25 Julai 2025.
Biodata Ringkas Penulis:
Yap Chi Chin merupakan seorang Profesor di Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau menggalas amanah sebagai Penyelaras Jawatankuasa Olimpiad Fizik Malaysia (JKOFM) bagi tempoh 2025 hingga 2026. Bidang kepakaran beliau adalah fotovoltaik organik.



