Penulis: Dr. Suhaina Ismail
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia
Perlombongan sering dikaitkan dengan gambaran hutan yang telah digondolkan, air sungai yang berasid dan kesan-kesan kerosakan struktur muka bumi yang ditinggalkan. Tidak hairanlah apabila berlaku insiden pencemaran air sungai atau berlakunya runtuhan tanah, aktiviti perlombongan terus dipersalahkan. Namun, adakah semua perlombongan sememangnya merosakkan alam sekitar, atau masalah sebenar terletak pada bagaimana ia dirancang dan dikawal?
Hakikat yang jarang dibincangkan ialah, dunia moden tidak dapat berfungsi tanpa mineral. Telefon pintar, bangunan, jalan raya, kenderaan elektrik dan sistem tenaga boleh diperbaharui semuanya bergantung kepada sumber mineral. Persoalan yang lebih penting bukan sama ada perlombongan perlu dihentikan, tetapi bagaimana ia dijalankan supaya kesan terhadap alam sekitar dapat dikawal dan dipulihkan secara mampan.
Perlombongan dan Keperluan Kehidupan Moden
Walaupun sumbangan sektor perlombongan kepada ekonomi negara tidak sebesar sektor pembuatan atau perkhidmatan, ia kekal sebagai sektor asas (upstream sector) yang menyokong banyak industri lain. Statistik rasmi kerajaan menunjukkan bahawa pengeluaran mineral di Malaysia mencecah puluhan juta tan setahun, merangkumi mineral logam dan bukan logam yang digunakan dalam pembinaan, pembuatan dan teknologi.
Malaysia juga mempunyai sumber mineral yang signifikan, dengan nilai sumber mineral negara dianggarkan mencecah trilion ringgit apabila mengambil kira pelbagai jenis mineral. Ini menjadikan perlombongan bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi satu keperluan strategik untuk pembangunan negara. Namun, keperluan ini datang bersama tanggungjawab besar terhadap alam sekitar dan keselamatan awam.
Antara salah faham umum yang biasa terjadi ialah perlombongan di Malaysia dilakukan secara bebas tanpa kawalan. Hakikatnya, operasi perlombongan tidak boleh dimulakan sesuka hati. Setiap projek tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri dan perlu mematuhi rangka perundangan yang mengawal penggunaan tanah, keselamatan, serta perlindungan alam sekitar.
Dalam amalan moden, sesuatu lombong beroperasi berdasarkan satu pelan operasi yang telah diluluskan, yang merangkumi kaedah perlombongan, pengurusan sisa batuan, kawalan air lombong, dan had kawasan gangguan. Operasi yang menyimpang daripada pelan ini boleh dikenakan tindakan, termasuk penggantungan atau penamatan operasi. Ini menunjukkan bahawa perlombongan yang sah di Malaysia bukan aktiviti tanpa kawalan, tetapi tertakluk kepada pengawasan berterusan.
Pendekatan perlombongan hari ini berbeza jauh daripada amalan lama yang sering dikaitkan dengan kerosakan kekal. Konsep perlombongan bertanggungjawab menekankan bahawa kesan alam sekitar perlu dinilai, dikurangkan dan diurus sejak peringkat perancangan, bukan selepas masalah berlaku.
Antara prinsip utama pendekatan ini ialah:
i- Gangguan tanah diminimumkan
ii- Sisa batuan dan air lombong diurus secara terkawal
iii- Risiko pencemaran jangka panjang dikenal pasti lebih awal
Pendekatan ini selari dengan amalan antarabangsa, di mana pencegahan dianggap lebih berkesan dan murah berbanding pembaikan selepas kerosakan berlaku.

Pemulihan Lombong: Bukan Kerja Kosmetik
Salah satu elemen paling penting tetapi kurang difahami oleh masyarakat ialah pemulihan tapak lombong (mine rehabilitation). Ramai menyangka pemulihan sekadar menutup lubang atau menanam pokok selepas lombong ditutup. Hakikatnya, pemulihan adalah satu proses teknikal yang melibatkan aspek kejuruteraan, alam sekitar dan keselamatan.
Pemulihan tapak lombong diwajibkan untuk;
i- Melindungi keselamatan awam daripada runtuhan, lubang terbuka dan kolam berbahaya
ii-Mencegah pencemaran jangka panjang terhadap air dan tanah, termasuk masalah air lombong berasid (acid mine drainage)
iii- Mengawal hakisan dan pemendapan
iv -Memastikan tapak tidak menjadi beban penyelenggaraan kepada generasi akan datang.
Yang lebih penting, dalam sistem perlombongan, pemulihan dirancang sejak awal, bukan selepas lombong ditutup. Reka bentuk lombong yang baik sudah mengambil kira bentuk akhir tapak, kestabilan cerun, pengurusan air, dan kegunaan tanah selepas aktiviti perlombongan tamat.
Sejauh Mana Sistem Malaysia Setanding Antarabangsa?
Dari segi prinsip dan rangka kerja, pendekatan pengurusan dan pemulihan perlombongan di Malaysia adalah sejajar dengan amalan antarabangsa. Prinsip seperti perancangan awal, kawalan risiko, pemantauan berterusan dan pemulihan progresif turut diamalkan di negara-negara maju dalam industri perlombongan.
Namun, seperti banyak sektor lain, cabaran sebenar bukan pada ketiadaan sistem, tetapi pada tahap pematuhan dan penguatkuasaan yang konsisten. Apabila sistem dilaksanakan dengan baik, kesan perlombongan dapat dikawal dan dipulihkan. Sebaliknya, kegagalan mematuhi pelan dan syarat operasi boleh membawa kepada kesan alam sekitar yang serius.
Salah Siapa Jika Alam Sekitar Rosak?
Tidak adil untuk menyalahkan perlombongan secara umum setiap kali berlaku kerosakan alam sekitar. Soalan yang lebih wajar ditanya ialah:
i- Adakah operasi tersebut mematuhi pelan yang diluluskan?
ii- Adakah langkah kawalan dan pemantauan dilaksanakan dengan betul?
iii- Adakah pemulihan dirancang dan dilaksanakan secara serius?
Mineral merupakan keperluan asas dalam kehidupan moden dan tidak dapat dipisahkan daripada pembangunan negara. Sehubungan itu, sebagai ahli akademik dalam bidang ini, usaha utama kami adalah untuk berkongsi kefahaman yang lebih seimbang kepada masyarakat mengenai realiti perlombongan masa kini. Melalui pemahaman yang lebih menyeluruh serta kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat dan pemegang taruh industri perlombongan, kitar hayat perlombongan (mine life cycle) dapat diurus dengan lebih baik, selari dengan keperluan permintaan dan penawaran mineral. Pendekatan ini bukan sahaja menyumbang kepada perlindungan alam sekitar, malah memastikan sumber hasil bumi Malaysia dimanfaatkan secara berhemah dan lestari untuk generasi akan datang.
Foto utama- Imej janaan AIĀ
Rujukan
- Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG). Laporan Tahunan dan Statistik Mineral Malaysia.
https://jmgportal.my/apps/mineral_market_price/index.php - Department of Statistics Malaysia (DOSM). Mineral Extraction Statistics.
https://open.dosm.gov.my/data-catalogue/mineral_extraction - Department of Environment (DOE) Malaysia. Environmental Impact Assessment (EIA) Guidelines in Malaysia.
https://www.doe.gov.my - Mining Site Rehabilitation Planning: Principles, Procedures & Malaysian Context.
Dokumen teknikal dan garis panduan pemulihan lombong selari amalan antarabangsa dan konteks Malaysia.
Biodata Penulis:
Dr. Suhaina Ismail ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal, Pulau Pinang. Bidang kepakaran beliau merangkumi metalurgi ekstraktif, pemprosesan mineral, rawatan air lombong berasid, serta pemulihan dan pengurusan alam sekitar lombong. Penyelidikan Dr. Suhaina memberi tumpuan kepada pembangunan kaedah hidrometalurgi yang mampan, pemulihan logam bernilai daripada sisa industri dan e-sisa, serta penilaian geokimia bagi kawalan pencemaran perlombongan.




