Penulis: Dr. Muhammad Rajaei Bin Ahmad Mohd Zain
Pakar Bedah Kanan, Ortopedik dan Pembedahan Sendi
Universiti Sains Malaysia
Osteoarthritis (OA) merupakan penyakit sendi degeneratif yang berlaku akibat haus dan kerosakan rawan (cartilage) yang melindungi hujung tulang. Penyakit ini sering melibatkan sendi lutut, pinggul, tangan dan tulang belakang, dan lazimnya menyerang golongan berusia, walaupun ia juga boleh berlaku pada individu yang lebih muda akibat kecederaan dari trauma pada sendi, obesiti atau penggunaan sendi yang berlebihan. Pada peringkat awal, simptom yang kerap dialami oleh pesakit adalah seperti mengadu sakit sendi ketika berjalan atau menaiki tangga, sendi terasa kaku terutama pada waktu pagi, dan kadangkala terdengar bunyi geseran dalam sendi yang dikenali sebagai ‘krepitus’. Walaupun OA tidak boleh disembuhkan sepenuhnya, rawatan awal yang betul mampu melambatkan kerosakan sendi dan mengekalkan kualiti hidup pesakit. Jika seseorang mengalami symptom-simptom awal, maka haruslah segera untuk berjumpa dengan pakar bahagian sendi untuk pemeriksaan lanjut seperti pemeriksaan pada sendiri serta melakukan imej radiografi bagi menentukan peringkat kerosakan sendi.
Rawatan
Fokus utama rawatan OA peringkat awal adalah untuk mengurangkan kesakitan, mengawal keradangan, memperbaiki fungsi sendi, dan melambatkan proses kemerosotan sendi bagi mengelak dari proses kemerosotan sendi yang cepat yang boleh menjejaskan aktiviti harian individu. Aspek yang paling penting dalam rawatan ialah pengubahsuaian gaya hidup, terutamanya pengawalan berat badan. Berat badan berlebihan memberi tekanan yang tinggi kepada sendi, khususnya sendi lutut, dan mempercepatkan kerosakan rawan. Penurunan berat badan walaupun sedikit boleh memberi kesan yang besar dalam mengurangkan kesakitan dan beban pada sendi. Selain itu, pesakit juga digalakkan mengubah corak aktiviti harian dengan mengelakkan pergerakan melalui aktiviti yang boleh memberi tekanan berlebihan pada sendi seperti berlari, melompat atau mengangkat barang berat, dan menggantikan dengan aktiviti yang lebih mesra sendi seperti berenang, berbasikal atau dengan berjalan secara santai.
Senaman dan fisioterapi merupakan teras utama rawatan OA peringkat awal. Senaman yang sesuai dapat menguatkan otot di sekeliling sendi, terutamanya otot paha, sekali gus membantu menstabilkan sendi dan mengurangkan tekanan pada permukaan rawan. Senaman regangan, senaman penguatan otot dan senaman untuk mengekalkan julat pergerakan sendi perlu dilakukan secara konsisten. Ramai pesakit mendapati bahawa apabila otot menjadi lebih kuat, kesakitan sendi akan berkurangan dan pergerakan sendi menjadi lebih ringan kerana kekakuan sendi dapat dielakkan melalui aktiviti senaman sendi yang berterusan.
Dari segi rawatan melalui ubat-ubatan, paracetamol sering digunakan untuk mengawal kesakitan ringan hingga sederhana. Jika kesakitan lebih ketara atau disertai keradangan, ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs) boleh diambil, sama ada dalam bentuk tablet atau sapuan pada kulit sekiranya tidak dapat dikawal ataupun simptom sakit sendi semakin teruk. Walau bagaimanapun, penggunaan ubat ini perlu diawasi oleh doktor kerana ia boleh memberi kesan sampingan kepada perut seperti gastritis atau ulser perut, buah pinggang dan jantung, terutamanya jika digunakan dalam jangka masa panjang. Selain itu, alat sokongan seperti pelindung lutut (knee brace) atau tongkat juga boleh membantu mengurangkan beban pada sendi yang terjejas dan meningkatkan kestabilan semasa berjalan. Penggunaan pelindung lutut dapat memberi sokongan kestabilan pada sendi terutama sekali jika terdapat kebengkokan pada sendi seperti varus atau valgus
Bagi sesetengah pesakit, suntikan ke dalam sendi boleh dipertimbangkan. Suntikan kortikosteroid dapat mengurangkan keradangan dan kesakitan untuk tempoh tertentu, manakala suntikan asid hyaluronik berfungsi sebagai “pelincir” tambahan dalam sendi untuk memudahkan pergerakan. Selain itu, rawatan terkini melalui kaedah biologikal seperti platelet-rich plasma (PRP), ‘exosome’ dan juga stem sel juga ada ditawarkan, walaupun keberkesanannya mungkin berbeza antara pesakit dan ianya perlu ditentukan oleh pihak doctor pakar bahagian rawatan sendi. Penulis juga sedang membuat kajian secara molekul bersama pakar-pakar dari makmal dan pakar sendi lutut untuk melihat secara lanjut tentang keberkesanan perawatan dari kaedah biologikal seperti exosome dan stem sel. Dari sudut pemakanan, diet seimbang yang kaya dengan nutrien serta pengambilan suplemen tertentu seperti omega-3, vitamin D, atau glucosamine mungkin memberi manfaat kepada sesetengah individu, namun penggunaannya perlu dibincangkan dengan doctor kerana ianya bergantung kepada tahap kerosakan sendi dan juga keadaan pesakit.
Kesimpulannya, osteoarthritis peringkat awal boleh dikawal dengan baik melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi perubahan gaya hidup, senaman yang konsisten, penggunaan ubat makan dan ubat yang dicucuk ke dalam sendi yang sesuai, dan pendidikan yang berterusan kepada pesakit. Rawatan awal bukan sahaja dapat mengurangkan kesakitan, malah mampu melambatkan proses kerosakan sendi dan menangguhkan keperluan untuk pembedahan. Dengan pengurusan rawatan yang betul dan kerjasama yang baik antara pesakit dan pasukan perubatan, kebanyakan pesakit masih boleh menjalani kehidupan yang aktif dan berkualiti walaupun menghidap osteoarthritis. Populasi menua yang berlaku diseluruh dunia akan menjadi satu cabaran besar dalam mendepani peningkatan populasi pesakit osteoarthritis.
Kredit foto utama-coastalorthophedic




