Penulis: Dr. Ting Choo Yuen
Pensyarah Kanan,
Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya
Adakah anda mempunyai ahli keluarga atau rakan yang pernah didiagnosis dengan kanser, dan gagal atau rintang terhadap rawatan kemoterapi. Pada masa yang sama, anda mungkin melihat pesakit lain dengan penyakit kanser yang sama dan menerima rawatan serupa tetapi menunjukkan hasil yang jauh lebih baik. Perbezaan ini sering menimbulkan persoalan dan kebimbangan dalam kalangan pesakit serta keluarga mereka. Mengapa rawatan yang sama tidak memberikan kesan yang sama kepada setiap individu?
Jawapannya terletak pada hakikat bahawa kanser dan tubuh manusia adalah sangat kompleks. Artikel ini akan menerangkan beberapa faktor-faktor utama yang menyebabkan perbezaan hasil rawatan dalam kalangan pesakit kanser, maka membantu pembaca memahami mengapa perubatan moden semakin menekankan pendekatan rawatan yang lebih bersifat individu.
Ciri Biologi Sel Kanser
Keberkesanan sesuatu rawatan dipengaruhi oleh pelbagai faktor, antara faktor yang penting adalah ciri biologi kanser itu sendiri. Walaupun kanser itu jenis yang sama, setiap pesakit mungkin mempunyai mutasi gen yang berbeza. Contohnya, dalam kanser limfoma sel B, sesetengah pesakit mempunyai mutasi pada gen TP53, ada yang pada KMT2D, BCL2 atau MYC. Perbezaan ini boleh mempengaruhi bagaimana kanser bertindak balas kepada rawatan kemoterapi.
Persekitaran di Sekeliling Kanser
Selain itu, persekitaran di sekeliling kanser juga penting. Sel kanser yang tumbuh dalam kawasan yang kurang oksigen (hypoxia) cenderung lebih rintang terhadap rawatan. Mereka juga lebih sukar dihapuskan kerana ubat kemoterapi sukar sampai ke kawasan tisu kanser yang dalam keadaan kurang oksigen.
Variasi Genetik Pesakit (SNP)
Di samping itu, variasi genetik seperti SNP (single nucleotide polymorphism) dalam kod genetik manusia boleh mempengaruhi keberkesanan rawatan kemoterapi. Variasi ini mempengaruhi penyerapan, metabolisme ubat kemoterapi oleh badan, serta keupayaan sel kanser untuk memperbaiki kerosakan DNA. Akibatnya, sesetengah pesakit bertindak balas baik terhadap kemoterapi, manakala yang lain mengalami rintangan ubat, kesan sampingan lebih teruk, serta hasil rawatan kurang memuaskan. Tambahan pula, SNP genetik tertentu meningkatkan ketahanan sel kanser dengan mempercepatkan pembaikan kerosakan DNA. Akibatnya, sel kanser ini kekal hidup walaupun dengan rawatan kemoterapi.
Kekuatan Sistem Imun Pesakit
Sistem imun pesakit memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan rawatan kemoterapi. Sebagai contoh, pesakit dengan imuniti lemah mudah dijangkiti kuman, dan jika tidak dapat melawan jangkitan tersebut, mereka berisiko mengalami sepsis yang teruk, yang kadang-kadang boleh membawa maut. Keadaan ini lebih kerap berlaku dalam individu yang hidup dengan HIV, sistem imun terganggu (immunocompromised), atau warga tua.
Implikasi faktor-faktor tersebut ke atas hasil rawatan
i- Perbezaan dalam hasil rawatan kemoterapi
Disebabkan faktor-faktor yang telah dibincangkan, keberkesanan rawatan kemoterapi berbeza antara individu. Seperti ubat penahan sakit yang berkesan pada sesetengah orang tetapi kurang pada yang lain, begitu juga kemoterapi. Ada pesakit yang menunjukkan tindak balas baik terhadap rawatan, manakala bagi pesakit lain, sel-sel kanser yang memiliki gen mutasi tidak terjejas langsung dengan ubat kemoterapi.
ii- Perbezaan dalam kesan sampingan kemoterapi
Seperti yang telah diterangkan, SNP dalam setiap individu boleh mempengaruhi bagaimana tubuh menyerap, mengedarkan, memetabolismekan, dan menyingkirkan ubat kemoterapi dari badan. Pesakit yang kurang efisien dalam metabolisme atau pembuangan ubat mungkin mengalami kesan sampingan yang lebih teruk. Sebenarnya, ujian SNP sebelum memulakan rawatan boleh membantu doktor mengenal pasti pesakit yang paling sesuai menerima kemoterapi dan menyesuaikan dos untuk mengurangkan risiko toksisiti.
iii-Peranan sokongan
Sebenarnya, sistem imun berkait rapat dengan nutrisi kita. Diet yang seimbang serta senaman, dan sokongan psikologi boleh membantu pesakit lebih kuat untuk menghadapi kemoterapi. Hal ini sangat penting lagi bagi pesakit kanser yang menjalani kemoterapi, kerana badan mereka memerlukan lebih banyak nutrisi untuk memperbaiki sel, membina semula sel imun, dan menggantikan sel yang mati akibat rawatan. Oleh itu, menjaga pemakanan yang baik dan gaya hidup sihat adalah sebahagian daripada sokongan penting untuk meningkatkan keberkesanan rawatan kanser.
iv- Harapan dan personalisasi rawatan
Pada masa kini, rawatan kanser semakin disesuaikan mengikut keperluan setiap pesakit. Penyesuaian ini dibuat berdasarkan faktor genetik, seperti ciri biologi sel kanser dan variasi genetik (SNP), kekuatan sistem imun pesakit (ujian darah untuk mengetahui kuantiti neutrofil dan limfosit dalam badan), tahap keuzuran (frailty), serta keadaan kesihatan keseluruhan pesakit.
Keberkesanan rawatan kanser bukan hanya bergantung kepada ubat kemoterapi semata-mata. Ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk ciri biologi sel kanser, variasi genetik pesakit, kekuatan sistem imun, tahap keuzuran, serta persekitaran di sekeliling tumor. Faktor-faktor ini menjelaskan mengapa tindak balas terhadap rawatan boleh berbeza antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain.
Oleh itu, pendekatan rawatan kanser pada masa kini semakin beralih kepada rawatan yang disesuaikan mengikut keperluan individu. Selain pemilihan ubat yang sesuai, aspek sokongan seperti pemakanan yang baik, gaya hidup sihat, dan pemantauan kesihatan secara menyeluruh juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan keberkesanan rawatan dan kualiti hidup pesakit.
Rujukan
- Porpaczy, Edit, et al. “Influence of TP53 mutation on survival of diffuse large B-cell lymphoma in the CAR T-cell era.” Cancers22 (2021): 5592.
- Rushton, C. K., Arthur, S. E., Alcaide, M., Cheung, M., Jiang, A., Coyle, K. M., … & Morin, R. D. (2020). Genetic and evolutionary patterns of treatment resistance in relapsed B-cell lymphoma. Blood advances, 4(13), 2886-2898.
- Hu, S., Xu-Monette, Z. Y., Tzankov, A., Green, T., Wu, L., Balasubramanyam, A., … & Young, K. H. (2013). MYC/BCL2 protein coexpression contributes to the inferior survival of activated B-cell subtype of diffuse large B-cell lymphoma and demonstrates high-risk gene expression signatures: a report from The International DLBCL Rituximab-CHOP Consortium Program. Blood, The Journal of the American Society of Hematology, 121(20), 4021-4031.
- Muz, B., De La Puente, P., Azab, F., & Kareem Azab, A. (2015). The role of hypoxia in cancer progression, angiogenesis, metastasis, and resistance to therapy. Hypoxia, 83-92.
- Palmirotta, R., Carella, C., Silvestris, E., Cives, M., Stucci, S. L., Tucci, M., … & Silvestris, F. (2018). SNPs in predicting clinical efficacy and toxicity of chemotherapy: walking through the quicksand. Oncotarget, 9(38), 25355.
- Oyadomari, S., & Mori, M. J. C. D. (2004). Roles of CHOP/GADD153 in endoplasmic reticulum stress. Cell Death & Differentiation, 11(4), 381-389.
- Nakayama, Y., Endo, M., Tsukano, H., Mori, M., Oike, Y., & Gotoh, T. (2010). Molecular mechanisms of the LPS-induced non-apoptotic ER stress-CHOP pathway. The journal of biochemistry, 147(4), 471-483.
- De Marchi, P., Melendez, M. E., Laus, A. C., Kuhlmann, P. A., de Carvalho, A. C., Arantes, L. M. R., … & de Souza Viana, L. (2019). The role of single-nucleotide polymorphism (SNPs) in toxicity of induction chemotherapy based on cisplatin and paclitaxel in patients with advanced head and neck cancer. Oral oncology, 98, 48-52.
- Funamizu, N., Mori, S., Sakamoto, A. et al.Novel modified frailty index predicts completion of adjuvant chemotherapy in resectable pancreatic cancer in a dual center study. Sci Rep 15, 17000 (2025). https://doi.org/10.1038/s41598-025-02365-5




