Penulis: Dr. Mohamad Syahrizal Bin Halim
Pensyarah dan Pakar Pergigian Restoratif
Pusat Pengajian Sains Pergigian,Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan Kubang Kerian
Zaman semakin moden dan peningkatan terhadap rawatan kecantikan terutamanya untuk memperbaiki penampilan diri supaya kelihatan lebih menarik semakin meningkat. Pengguna melihat keperluan untuk kelihatan cantik dan menarik sebagai satu kemestian. Ini boleh dilihat dengan meningkatnya bilangan pengeluar produk kecantikan wajah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.
Bidang pergigian juga tidak boleh lari dari dipengaruhi dengan trend ini. Ini adalah kerana, struktur gigi terutamanya gigi hadapan memainkan peranan dalam memberikan penampilan yang menarik kepada setiap individu, bak kata pepatah melayu;
“Asam kandis dalam tempayan,
Kulit lokan jatuh di laman,
Wajah Manis nampak rupawan,
Maniskan lagi dengan senyuman”.
Gigi kekal yang tersusun rapi bukan sahaja menyumbang kepada senyuman menawan, malah meningkatkan keyakinan diri dan imej profesional seseorang. Senyuman yang sihat, bebas daripada karies dan penyakit gusi, membantu interaksi sosial yang lebih positif dan dalam sesetengah keadaan memberi kelebihan dalam peluang kerjaya.
Pengamal Pergigian Tidak Bertauliah Berleluasa.
Namun, di sebalik peningkatan permintaan terhadap rawatan pergigian estetik, wujud satu perkembangan yang amat membimbangkan, iaitu penawaran perkhidmatan pergigian oleh individu yang tidak mempunyai kelayakan profesional atau tidak berdaftar dengan pihak berkuasa. Golongan ini sering mengambil kesempatan dengan menawarkan rawatan pada harga yang jauh lebih murah berbanding klinik pergigian berdaftar.
Antara contoh yang paling ketara ialah peningkatan kes pendakap gigi palsu atau “fake braces” yang ditawarkan oleh individu yang langsung tidak mempunyai latihan pergigian dan kelayakan profesional. Prosedur ini dilakukan tanpa penilaian klinikal yang betul dan tanpa pemantauan susulan. Akibatnya, terdapat kes di mana gigi menjadi longgar akibat penyakit gusi yang serius, malah ada pesakit yang akhirnya kehilangan gigi kekal yang sepatutnya boleh diselamatkan.
Situasi ini diburukkan lagi oleh kawalan yang longgar terhadap promosi di media sosial. Sindiket pendakap gigi palsu ini giat mempromosikan perkhidmatan mereka melalui platform seperti Facebook, WhatsApp dan WeChat, selalunya dalam mod privasi yang menyukarkan pengesanan oleh pihak berkuasa. Pengguna pula mudah terpengaruh dengan testimoni dan harga murah tanpa menyedari risiko jangka panjang terhadap kesihatan mereka.
Selain itu, terdapat juga pengamal pergigian asing yang datang ke Malaysia secara tidak sah untuk menawarkan rawatan pergigian tanpa pendaftaran. Mereka sering beroperasi di pasar, kawasan luar bandar, malah menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah. Kebanyakan kes melibatkan pembuatan gigi palsu, tetapi ada juga yang berani melakukan cabutan gigi dan prosedur implan pergigian.
Perkara yang amat membimbangkan ialah pengabaian aspek keselamatan dan kebersihan. Alatan pergigian yang digunakan sering kali tidak disterilkan dengan sempurna, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan penyakit bawaan darah seperti HIV, hepatitis C, dan pelbagai jangkitan bakteria dan virus lain. Terdapat pesakit yang akhirnya mengalami masalah gusi yang teruk sehingga memerlukan rawatan lanjut di klinik pergigian berdaftar, menjadikan kos dan kesan kesihatan jauh lebih besar.
Caj Rawatan Pergigian Mahal, Wajarkah Kualiti dan Keselamatan diabaikan?
Isu caj rawatan pergigian sering dijadikan alasan utama masyarakat mendapatkan rawatan daripada doktor gigi palsu. Memang tidak dinafikan bahawa kos rawatan pergigian di klinik swasta adalah tinggi. Namun, kos tersebut merangkumi pelbagai aspek penting seperti kos pendidikan profesional, sewaan dan penyelenggaraan klinik, gaji kakitangan, peralatan dan bahan pergigian, pendidikan berterusan, serta yang paling penting, kos pensterilan dan kawalan jangkitan.
Majlis Pergigian Malaysia telah mengeluarkan garis panduan caj perkhidmatan pergigian dan cadangan supaya senarai harga rawatan dipamerkan di klinik adalah satu langkah yang wajar bagi meningkatkan ketelusan. Lazimnya, setiap prosedur rawatan akan diterangkan terlebih dahulu kepada pesakit, termasuk kos yang terlibat, dan persetujuan pesakit akan diperoleh sebelum rawatan dimulakan. Ini merupakan amalan standard dalam perkhidmatan pergigian berdaftar, sama ada di sektor swasta atau kerajaan.
Pesakit sebenarnya bukan sekadar membayar rawatan, tetapi turut membayar jaminan keselamatan, kebersihan dan kualiti rawatan. Prosedur pensterilan dan disinfeksi yang ketat adalah keperluan asas dalam amalan pergigian dan tidak boleh dikompromi.
Hakikatnya, caj rawatan pergigian sukar untuk dikurangkan kerana kebanyakan bahan dan peralatan pergigian perlu diimport. Kejatuhan nilai mata wang negara berbanding mata wang asing turut menyumbang kepada peningkatan kos operasi klinik. Dalam keadaan ini, adalah mustahil bagi klinik pergigian swasta untuk menyerap sepenuhnya kenaikan kos tanpa menjejaskan kualiti rawatan dan keselamatan pesakit.
Sebaliknya, doktor gigi “palsu” mampu menawarkan harga murah kerana mereka beroperasi tanpa premis yang sesuai, mengabaikan penggunaan sarung tangan, tidak mematuhi kawalan jangkitan, dan tidak menyediakan rawatan susulan. Akhirnya, pesakit sendiri menanggung risiko apabila berlaku komplikasi dan tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan kerana tiada rekod fasiliti ataupun pendaftaran pengamalan.
Peranan Masyarakat Dalam Membendung Penularan Pengamal Pergigian Tidak Bertauliah.
Masyarakat perlu sedar bahawa peranan doktor gigi berdaftar dan bertauliah amat penting dalam menjaga kesihatan pergigian dan kesihatan umum. Faktor kos tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menggadaikan keselamatan diri. Bagi mereka yang beranggapan rawatan di klinik swasta terlalu mahal, alternatif yang selamat masih wujud melalui klinik pergigian kerajaan dan hospital pengajar universiti yang menawarkan rawatan berkualiti dengan kos yang lebih rendah.
Kesedaran masyarakat adalah aspek utama dalam membanteras amalan rawatan pergigian haram dan tidak bertauliah. Keinginan untuk kelihatan cantik tidak seharusnya mengorbankan aspek keselamatan kesihatan. Pilihlah rawatan yang selamat, berdaftar dan bertauliah, kerana kesihatan pergigian adalah pelaburan jangka panjang yang tidak ternilai.
Kredit foto-Imej janaan AI
Biodata Penulis:
Dr. Mohamad Syahrizal bin Halim merupakan pakar pergigian dalam bidang pergigian restoratif (konservatif) di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang kepakaran pergigian restoratif iaitu salah satu cabang pergigian yang memfokuskan kepada rawatan menyelamatkan gigi. Beliau juga mempunyai kepakaran dalam bidang implantologi pergigian, iaitu bidang yang terlibat dalam proses penggantian gigi dengan implan. Beliau memainkan peranan yang aktif dalam bidang penyelidikan bahan pergigian, endodontik dan implant pergigian.




