Penulis: Dr. Nur Hasyimah Ramli1 & Dr. Syazuani Mohd Shariff1
1Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Biologi,Fakulti Sains Gunaan,
UiTM cawangan Negeri Sembilan
Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan kepelbagaian biologinya. Hal ini kerana, negara ini memiliki kawasan hutan hujan tropika yang luas serta pelbagai ekosistem semula jadi yang menyokong kehidupan flora dan fauna. Ekosistem tersebut merangkumi hutan, sungai, tasik dan paya yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies organisma. Keadaan ini menjadikan Malaysia antara 17 negara yang mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi di dunia.
Selain menyumbang kepada kestabilan alam sekitar, sumber semula jadi ini juga memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara melalui sektor perhutanan, pelancongan dan perikanan. Antara kawasan hutan yang terkenal di Malaysia termasuk Hutan Simpan Belum-Temengor di Perak, Hutan Simpan Bukit Nanas di Kuala Lumpur, Hutan Simpan Ayer Hitam di Selangor serta Hutan Simpan Endau-Rompin di Johor dan Pahang. Di wilayah Borneo pula terdapat Hutan Simpan Kabili-Sepilok di Sabah serta Hutan Simpan Lanjak Entimau di Sarawak.
Di samping itu, Malaysia juga mempunyai pelbagai ekosistem akuatik yang penting seperti sungai, tasik dan kolam. Ekosistem ini bukan sahaja menjadi sumber air kepada manusia, malah turut menjadi habitat kepada pelbagai organisma akuatik termasuk spesies ikan tempatan. Antara sungai utama di Malaysia ialah Sungai Rajang di Sarawak, Sungai Pahang di Pahang dan Sungai Muar di Negeri Sembilan, manakala tasik seperti Tasik Chini di Pahang dan Tasik Bakun di Sarawak juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekologi. Walau bagaimanapun, di sebalik kekayaan biodiversiti ini, kewujudan spesies asing invasif semakin menjadi ancaman kepada kestabilan ekosistem semula jadi di Malaysia.
Spesies Asing Invasif dan Cara Pengenalannya
Secara umumnya, spesies asing invasif merujuk kepada tumbuhan, haiwan, atau organisma lain yang diperkenalkan ke kawasan di luar taburan asalnya. Ia berpotensi memberi kesan negatif terhadap alam sekitar, ekonomi dan kesihatan manusia. Menurut Convention on Biological Diversity (CBD), spesies ini boleh menjejaskan kestabilan ekosistem kerana keupayaannya menyesuaikan diri dengan cepat sekaligus mendominasi habitat tersebut.
Kemasukan spesies ini ke habitat yang baru, lazimnya berkait rapat dengan aktiviti manusia. Sebagai contoh, pelepasan ikan hiasan ke perairan semula jadi, aktiviti akuakultur yang tidak terkawal serta pemindahan spesies untuk tujuan komersial, pertanian atau landskap. Terdapat beberapa spesies ikan diperkenalkan sebagai ikan akuarium atau untuk tujuan penternakan kerana mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Begitu juga dengan tumbuhan tertentu yang dibawa masuk bagi tujuan landskap atau ekonomi.
Walau bagaimanapun, sekiranya tiada kawalan dan pemantauan yang berkesan, spesies yang diperkenalkan ini boleh tersebar dengan cepat ke pelbagai habitat seperti hutan, kawasan bandar dan ekosistem akuatik. Tambahan pula, kebanyakan spesies invasif mempunyai kadar pembiakan yang tinggi serta keupayaan menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan persekitaran. Oleh itu, spesies ini berpotensi membentuk populasi yang besar dalam tempoh masa yang singkat dan seterusnya menjejaskan spesies tempatan. Sehubungan dengan itu, pelbagai kajian telah dijalankan bagi mengenal pasti taburan spesies asing invasif di Malaysia. Kajian-kajian ini penting bagi memahami pola penyebaran spesies tersebut serta menilai kesannya terhadap ekosistem daratan dan akuatik.

Taburan Spesies Asing Invasif di Ekosistem Daratan
Kajian berkaitan tumbuhan invasif di Malaysia menunjukkan bahawa pelbagai spesies tumbuhan asing telah berjaya menyesuaikan diri dalam ekosistem tempatan. Sebagai contoh, sebanyak 69 spesies tumbuhan invasif telah direkodkan di Taman Kinabalu, Sabah. Antara spesies yang dikenal pasti termasuk Hypochaeris radicata (telinga kucing), Plantago major (daun senduk) dan Crassocephalum crepidioides (sintrong). Selain itu, spesies Miconia crenata yang dikenali sebagai senduduk bulu turut ditemui di kawasan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia. Kehadiran spesies ini menunjukkan bahawa tumbuhan invasif bukan sahaja tersebar di kawasan hutan semula jadi, malah juga boleh ditemui di kawasan pembangunan manusia seperti kampus universiti dan kawasan bandar.
Plantago major (Daun Senduk)
Plantago major berasal dari kawasan Eropah serta Asia Utara dan Asia Tengah, namun kini telah tersebar secara meluas ke seluruh dunia. Tumbuhan herba ini terkenal dalam perubatan tradisional kerana mengandungi pelbagai sebatian bioaktif yang mempunyai potensi terapeutik. Walaupun mempunyai nilai perubatan, tumbuhan ini berupaya menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan persekitaran menjadikannya mudah merebak dan berpotensi menjadi spesies invasif.
Miconia crenata (Senduduk Bulu)
Miconia crenata berasal dari kawasan Caribbean, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Namun demikian, spesies ini telah merebak ke pelbagai kawasan tropika lain termasuk Australia, Afrika serta Asia Tenggara. Spesies ini merupakan pokok renek yang sangat invasif kerana mampu membentuk populasi yang padat dan menyingkirkan tumbuhan tempatan. Di Malaysia, spesies ini telah direkodkan di kawasan hutan dipterokarpa tanah rendah dan hutan Kerangas di Sabah.

Sumber: Universiti Kebangsaan Malaysia
Taburan Spesies Asing Invasif di Ekosistem Akuatik
Selain tumbuhan, beberapa spesies ikan asing invasif juga telah dikenal pasti di perairan Malaysia melalui pemantauan oleh pihak berkuasa serta laporan daripada orang awam. Antara spesies yang sering direkodkan termasuk ikan Patin Mekong, Tilapia, ikan Bandaraya dan ikan Merak (Peacock Bass). Sebagai contoh, ikan Merak telah ditemui di perairan Terengganu, manakala ikan Bandaraya telah menjadi ancaman kepada ikan tempatan di beberapa sungai seperti Sungai Kampung Kayu Ara, Sungai Keyoh dan Sungai Langat. Selain itu, ikan Keli Afrika dan ikan Bayan turut direkodkan di kawasan Puchong, Selangor.
Hypostomus plecostomus (Ikan Bandaraya)
Spesies ini berasal dari Amerika Selatan dan lazimnya dipelihara sebagai ikan akuarium kerana kemampuannya memakan alga pada permukaan kaca. Walau bagaimanapun, pelepasan ikan ini ke perairan semula jadi telah menyebabkan populasinya meningkat dengan ketara di beberapa sungai di Malaysia. Keadaan ini boleh menjejaskan kepelbagaian ikan tempatan kerana spesies ini bersaing untuk mendapatkan makanan dan ruang habitat.
Pangasius hypophthalmus (Ikan Patin Mekong)
Spesies ini berasal dari Sungai Mekong dan Sungai Chao Phraya di Asia Tenggara. Ia merupakan spesies penting dalam industri akuakultur kerana kadar pertumbuhannya yang cepat dan mampu mencapai saiz yang lebih besar berbanding ikan patin tempatan. Namun demikian, ianya berisiko sekiranya spesies ini terlepas ke perairan semula jadi. Ia berpotensi memberi kesan kepada populasi ikan tempatan melalui persaingan terhadap sumber makanan dan habitat.
Ancaman Spesies Asing Invasif terhadap Ekosistem
Kehadiran spesies asing invasif boleh menggugat keseimbangan ekosistem semula jadi. Hal ini kerana spesies tersebut bersaing dengan spesies tempatan untuk mendapatkan sumber seperti makanan, ruang dan cahaya. Selain itu, spesies invasif juga boleh mengganggu rantaian makanan serta mengubah struktur komuniti biologi dalam sesuatu ekosistem. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh menyebabkan penurunan biodiversiti serta meningkatkan risiko kepupusan spesies tempatan. Di samping itu, kehadiran spesies invasif juga boleh memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan sosial, terutamanya melalui peningkatan kos pengurusan serta usaha pemuliharaan alam sekitar.
Kawalan Spesies Asing Invasif di Malaysia
Bagi menangani isu ini, kerajaan Malaysia telah melaksanakan beberapa dasar dan pelan tindakan berkaitan pengurusan spesies asing invasif. Antaranya termasuk National Policy on Biological Diversity 2016–2025 serta National Action Plan on Invasive Alien Species (2021–2025). Melalui dasar dan pelan tindakan ini, pelbagai langkah telah dirangka bagi mengawal penyebaran spesies invasif, termasuk pemantauan, pengurusan habitat serta peningkatan kesedaran masyarakat. Usaha ini bertujuan melindungi biodiversiti negara serta memastikan keseimbangan ekosistem dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.
Rujukan
- Justine, V. T., Liew, T. S., Alphonsus, A., Kasmin, J., Mujih, H., Repin, R., & Suleiman, M. (2025). Species richness and distribution of alien plant species in Kinabalu Park, Malaysia. Folia Geobotanica, 59(3), 257-287.
- Babalola, S. E., Ahmad-Hamdani, M. S., & Zakaria, N. (2025). Herbicide Resistance in Malaysian Oil Palm Plantations: A Comprehensive Review of Current Challenges and Management Strategies. Pertanika Journal of Tropical Agricultural Science, 48(5).
- Adom, M. B., Taher, M., Mutalabisin, M. F., Amri, M. S., Kudos, M. B. A., Sulaiman, M. W. A. W., … & Susanti, D. (2017). Chemical constituents and medical benefits of Plantago major. Biomedicine & pharmacotherapy, 96, 348-360.
- Jabatan Pertanian Malaysia. 2021. National Action Plan on Invasive Alien Species (2021–2025)
- Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Malaysia. 2016. National Policy on Biological Diversity 2016–2025
- Jawatankuasa Kebangsaan Spesies Asing Invasif Malaysia. 2018. Invasive Alien Species in Malaysia, Malaysia. pp. 113.
- Universiti Kebangsaan Malaysia. Alien species impact reduction. https://www.ukm.my/kelestarian/sustainability-policies/alien-species-impact-reduction/





