Penulis: Dr. Nik Norhazrina Nik Mohd Kamil1,2
1Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia
2Kurator
Herbarium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMB)
Taksonomi merupakan cabang biologi yang menekankan proses menamakan, menghuraikan dan mengelaskan organisma. Sejak sistem binomial oleh Carolus Linnaeus diperkenalkan pada abad ke-18, taksonomi telah menjadi asas kepada sains biodiversiti kerana ia menyediakan kerangka universal untuk mengenal pasti dan mengklasifikasikan jutaan spesies. Dikala dunia sedang menghadapi kemerosotan biodiversiti, perubahan iklim serta peningkatan penyakit berjangkit, taksonomi kini menjadi semakin penting serta diperlukan dalam pelbagai bidang sains gunaan.
Dalam pemuliharaan biodiversiti, taksonomi berperanan mengesan perubahan taburan spesies, menentukan status konservasi dan mengenal pasti spesies endemik atau terancam. Rekod taksonomi yang sistematik membolehkan perbandingan populasi dari semasa ke semasa, seterusnya memberi maklumat tentang perubahan iklim. Pergerakan spesies ke kawasan yang lebih sejuk, misalnya, hanya dapat diketahui melalui data taksonomi jangka panjang. Amfibia yang sensitif terhadap toksik dan perubahan habitat juga berfungsi sebagai bioindikator penting, dan pengesanan kehadiran atau ketiadaan organisma tersebut memerlukan pengecaman taksonomi yang tepat.
Taksonomi juga kritikal dalam pengurusan spesies invasif. Organisma asing yang memasuki habitat baharu mampu mengatasi spesies asli dan mengganggu keseimbangan ekologi. Tanpa pengecaman yang tepat, langkah kawalan mungkin gagal. Contohnya, pengenalan ikan Lates niloticus ke Tasik Victoria telah menyebabkan kepupusan ratusan spesies ikan endemik kerana tiada penilaian taksonomi sebelum pelepasan dilakukan. Begitu juga ikan Channa argus di Amerika Syarikat yang berkembang tanpa kawalan. Oleh itu, ahli taksonomi diperlukan bagi menilai sifat invasif, menentukan identiti spesies dan mencadangkan strategi pencegahan yang sesuai.
Dalam bidang pertanian, taksonomi penting untuk mengenal pasti perosak, patogen dan rumpai. Kegagalan pengecaman boleh membawa kerugian ekonomi yang besar. Kes Planococcus kenyae di Kenya membuktikan bahawa salah identifikasi perosak menyebabkan penggunaan agen kawalan biologi yang tidak sesuai. Hanya setelah diperbetulkan melalui taksonomi, populasi perosak dapat dikawal dengan berkesan. Dalam pembiakan tanaman pula, maklumat taksonomi mengenai hubungan evolusi antara spesies membolehkan penghasilan varieti baharu yang lebih tahan terhadap penyakit dan tekanan persekitaran.
Dalam bidang perubatan tradisional dan moden, taksonomi memastikan ketepatan pengenalpastian spesies tumbuhan ubatan. Kesilapan morfologi boleh mengakibatkan penggunaan bahan aktif yang salah, seterusnya membahayakan pesakit. Kajian terhadap genus Artemisia menunjukkan bahawa perbezaan struktur daun membantu membezakan spesies yang digunakan untuk rawatan penyakit tertentu. Dalam farmaseutikal moden pula, kekeliruan nama seperti Clomphene dan Clomipramine membuktikan pentingnya ketepatan tatanama dalam bidang kesihatan.
Peranan taksonomi dalam kesihatan awam turut terbukti melalui pengecaman vektor penyakit. Nyamuk daripada genus Anopheles hanya sebahagiannya merupakan pembawa malaria. Dengan pengecaman spesies secara tepat, program kawalan vektor dapat dilaksanakan dengan lebih berfokus dan berkesan, mengelakkan pembaziran usaha terhadap spesies yang tidak berbahaya. Begitu juga penyakit seperti denggi, chikungunya dan Zika yang melibatkan spesies nyamuk berbeza.
Dalam sains forensik, taksonomi menjadi alat penting melalui analisis serangga yang hadir pada mayat. Identifikasi spesies lalat atau kumbang membantu menganggarkan tempoh masa kematian. Namun, banyak spesies kelihatan hampir serupa dan hanya dapat dibezakan melalui ciri morfologi halus yang memerlukan kepakaran taksonomi. Kesilapan identifikasi boleh menyebabkan laporan forensik tidak tepat, lalu menjejaskan proses keadilan.
Kemajuan teknologi turut memperkukuh taksonomi melalui analisis DNA. Taksonomi molekul kini melengkapkan kaedah tradisional untuk mengesahkan hubungan evolusi dan membezakan spesies kriptik. Penemuan Russula griseocarnosa sebagai spesies baharu, yang sebelum ini disalah anggap sebagai Russula vinosa, hanya dapat disahkan melalui analisis filogenetik. Ini menunjukkan evolusi taksonomi ke arah pendekatan integratif yang lebih tepat.

Secara keseluruhannya, taksonomi merupakan tulang belakang kepada semua cabang biologi. Ia memastikan penyelidikan, pemuliharaan dan pengurusan biodiversiti dilaksanakan dengan tepat dan berkesan. Dalam era moden yang berdepan ancaman perubahan iklim, penyakit baharu dan kemerosotan biodiversiti, keperluan terhadap pakar taksonomi semakin mendesak. Pelaburan dalam pendidikan taksonomi, pengumpulan data berkualiti serta pembangunan pangkalan data digital amat diperlukan bagi memastikan biodiversiti dunia difahami, dilindungi dan dimanfaatkan secara lestari.
Rujukan
- Blaustein, A.R., Walls, S.C., Bancroft, B.A., Lawler, J.J., Searle, C.L. & Gervasi, S.S. 2010. Direct and indirect effects of climate change on amphibian populations. Diversity 2(2): 281-313.
- de Moraes, G.J. 1987. Importance of taxonomy in biological control. The International Journal of Tropical Insect Science 8(4/5/6): 841-844.
- Joseph, I., Mathew, D.G., Sathyan, P. & Vargheese, G. 2011. The use of insects in forensic investigations: An overview on the scope of forensic entomology. Journal of Forensic Dental Sciences 3(2): 89-91.
- Narendran, T.C. 2008. Taxonomy and its relevance. Government Arts & Science College Research Journal 1-14.
- Qureshu, R.A., Ahmad, M. & Arshad, M. 2002. Taxonomic study and medicinal importance of three selected species of the genus Artemisia Asian Journal of Plant Sciences 1: 712-714.
- Serrao, N.R., Steinke, D. & Hanner, R.H. 2014. Calibrating snakehead diversity with DNA barcodes: Expanding taxonomic coverage to enable identification of potential and established invasive species. PLOS One 9(6): e99546.
- Sinka, M.E., Bangs, M.J., Manguin, S., Rubio-Palis, Y., Chareonviriyaphap, T., Coetzee, M., Mbogo, C.M., Hemingway, J., Patil, A.P. & Temperly, W.H. 2012. A global map of dominant malaria vectors. Parasite & Vectors 5: 69.
- Wang, X-H., Yang, Z-L., Li, Y-C., Knudsen, H. & Liu, P-G. 2009. Russula griseocarnosa nov. (Russulaceae, Russulales), a commercially important edible mushroom in tropical China: Mycorrhiza, phylogenetic position, and taxonomy. Nova Hedwigia 88(1-2): 269-282.




