Penulis: Dr. Zainab Mat Yudin,
Pakar Perubatan Keluarga, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia
Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM
Fasa peralihan usia bagi seorang wanita sering kali diiringi perubahan biologi yang kompleks. Di antara usia akhir 40-an, ramai wanita mula mengalami perubahan emosi mendadak, gangguan tidur, serta sensasi panas membara yang muncul tanpa amaran. Fasa ini dikenali sebagai peri-menopaus (atau pra-menopaus).
Seiring perkembangan sains perubatan moden, Terapi Penggantian Hormon (Hormone Replacement Therapy-HRT) atau kini dikenali sebagai Terapi Hormon Menopaus (Menopausal Hormone Therapy-MHT) kerap dibincangkan sebagai intervensi utama. Persoalannya: adakah setiap wanita yang menempuh fasa ini wajib mengambilnya, atau adakah ia hanya perlu untuk situasi tertentu?
Memahami Peri-Menopaus: Gelombang Gejala yang Mengganggu
Peri-menopaus adalah fasa transisi sebelum ovari berhenti melepaskan ovum sepenuhnya. Sepanjang tempoh ini, paras hormon estrogen dan progesteron tidak merosot secara seragam, sebaliknya turun naik secara mendadak.
Ketidakseimbangan endokrin ini mencetuskan pelbagai gejala fizikal dan psikologi seperti berikut (Rajah 1):
i-Gejala Vasomotor: Sensasi rasa panas tiba-tiba di dada dan muka (hot flushes), disertai peluh dingin terutamanya pada waktu malam (night sweats).
ii-Gangguan Kitaran Haid: Haid menjadi tidak teratur sama ada terlalu kerap, jarang, terlalu sedikit, atau pendarahan yang sangat banyak.
iii-Perubahan Neuropsikologi: Kemurungan ringan, keresahan (anxiety), perubahan emosi mendadak (mood swings), keletihan kronik, serta kesukaran menumpukan perhatian (brain fog).
iv-Gejala Urogenital: Kekeringan pada faraj, rasa sakit semasa hubungan intim (dyspareunia), dan jangkitan saluran kencing yang kerap berulang.
v-Gangguan Tidur: Insomnia yang sering berpunca daripada gangguan peluh malam atau penurunan paras progesteron.

Apa Sebenarnya Terapi Hormon Menopaus?
Terapi hormon menopaus yang dulu dikenali sebagai terapi pengggantian hormon, ialah rawatan farmakologi yang membekalkan semula hormon estrogen dan lazimnya bersama progesterone ke dalam badan untuk menggantikan hormon semula jadi yang kian menyusut.
Secara klinikal, rawatan ini dibahagikan kepada dua bahagian utama:
1-Terapi estrogen sahaja: Dikhaskan untuk wanita yang telah menjalani pembedahan membuang rahim (histerektomi).
2-Terapi gabungan estrogen dan progestogen: Diperlukan bagi wanita yang masih mempunyai rahim. Penambahan progesteron penting untuk melindungi lapisan dinding rahim (endometrium) daripada rangsangan berlebihan estrogen yang boleh meningkatkan risiko kanser endometrium.
Bentuk pemberian terapi hormon menopaus juga pelbagai, merangkumi tablet oral, tampalan transdermal (patch), gel sapuan, serta krim atau cincin faraj bertindak setempat bagi isu urogenital sahaja (Gambar 1).

Adakah Pengambilan Hormon Wajib Semasa Pra-Menopaus?
Jawapannya: Tidak semestinya. Terapi hormon menopaus bukan satu kemestian biologikal untuk setiap wanita, melainkan satu intervensi rawatan berasaskan keperluan.
Doktor lazimnya mempertimbangkan terapi hormon menopaus dalam situasi berikut:
i-Gejala Sederhana hingga Teruk: Apabila hot flushes, gangguan emosi, atau insomnia menjejaskan fungsi kerja, kualiti hidup, dan hubungan seharian secara ketara (Gambar 2).
ii-Menopaus Pramatang: Wanita yang mengalami kegagalan ovari pramatang (Premature Ovarian Insufficiency) atau menopaus akibat pembedahan sebelum usia 40 tahun amat digalakkan mengambil terapi hormon menopaus bagi melindungi ketumpatan tulang dan kesihatan kardiovaskular.
iii-Pencegahan Osteoporosis: Bagi wanita berisiko tinggi mengalami kerapuhan tulang yang tidak dapat mengambil rawatan bukan hormon alternatif.
Sekiranya gejala peri-menopaus hanya bersifat ringan, pengubahsuaian gaya hidup seperti senaman berimpak rendah, pengurusan stres, pengurangan kafein dan alkohol, serta pemakanan seimbang sering kali memadai tanpa memerlukan intervensi farmakologi.

Kontraindikasi: Siapa yang Tidak Boleh Mengambil Hormon?
Walaupun terapi hormon menopaus terbukti berkesan, ia membawa profil risiko klinikal tertentu. Terdapat golongan yang dilarang sama sekali mengambil terapi hormon sistematik (kontraindikasi mutlak):
i-Individu yang mempunyai sejarah atau sedang menghidap kanser sensitif hormon, terutamanya kanser payudara atau kanser endometrium.
ii-Individu dengan sejarah thrombosis vena dalam (Deep Vein Thrombosis) atau embolisma paru-paru (pulmonary embolism).
iii-Individu yang pernah mengalami strok, serangan jantung, atau penyakit arteri koronari aktif.
iv-Mengalami pendarahan faraj tanpa punca yang jelas yang belum disiasat oleh pakar ginekologi.
v-Menghidap penyakit hati aktif atau kronik di mana fungsi hati masih belum pulih ke tahap normal.
Sebelum memulakan rawatan, penilaian kesihatan menyeluruh wajib dijalankan, termasuk pemeriksaan tekanan darah, profil lipid, mamogram, dan ujian calitan serviks (pap smear).
Berapa Lama Terapi Hormon Menopaus Perlu Diambil?
Garis panduan perubatan antarabangsa mengesyorkan prinsip: dos efektif terendah untuk tempoh masa paling singkat yang diperlukan.
i-Untuk melegakan gejala umum: Kebanyakan wanita mengambil terapi hormon menopaus selama 5 hingga 7 tahun, iaitu tempoh purata fasa turun naik hormon yang paling meruncing. Pengambilan dalam usia 50 hingga 59 tahun juga dikatakan selamat.
ii-Penilaian tahunan: Rawatan tidak patut diteruskan secara automatik tanpa pemantauan. Doktor akan menyemak semula keperluan rawatan setiap 6 hingga 12 bulan untuk menimbang faedah berbanding risiko (seperti risiko kecil kanser payudara atau pembekuan darah yang meningkat sedikit seiring pertambahan usia).
iii-Menopaus pramatang: Bagi wanita dalam kategori ini, rawatan biasanya diteruskan sehingga mereka mencapai usia purata menopaus semula jadi (sekitar usia 50 hingga 51 tahun) sebelum dinilai semula.
Pemberhentian mengambil terapi hormon menopaus lazimnya dilakukan secara beransur-ansur (tapering off) di bawah nasihat doktor bagi mengelakkan gejala peri-menopaus berulang secara mendadak.
Bagi gejala perimenopaus tahap ringan hingga sederhana, pendekatan tanpa hormon (non-hormonal) selalunya menjadi barisan rawatan pertama yang sangat berkesan. Pilihan ini merangkumi pengubahsuaian gaya hidup, terapi pemakanan, intervensi setempat, dan rawatan tingkah laku. Kajian mendapati herba dan suplemen semula jadi memberi kesan berbeza terhadap gejala menopaus seperti rasa panas badan (hot flushes). Suplemen berasaskan soya dan gabungan red clover bersama probiotik terbukti membantu mengurangkan rasa panas ini, namun produk soya mesti dielakkan oleh pesakit kanser payudara jenis sensitif hormon. Sebaliknya, herba tradisional Cina, minyak evening primrose (EPO), dan black cohosh didapati tidak berkesan, malah black cohosh berisiko merosakkan hati serta membahayakan sel kanser jika diambil berlebihan.
Keputusan untuk memulakan Terapi Penggantian Hormon adalah pilihan rawatan yang diperibadikan (individualised). Ia bukan ubat awet muda, tetapi instrumen terapeutik berasaskan bukti saintifik yang mampu mengembalikan kualiti hidup wanita yang terbeban dengan fasa transisi ini. Rundingan mendalam bersama pakar perubatan adalah langkah paling utama sebelum sebarang keputusan diambil.
Rujukan:
Clinical Practice Guidelines: Management of Menopause in Malaysia, 2022, diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysian Health Technology Assessment Section (MaHTAS), Obstetrical and Gynaecological Society of Malaysia (OGSM) dan Malaysian Menopause Society (MMS)
Biodata Penulis
Dr. Zainab Mat Yudin mendapat pendidikan sebagai doktor perubatan pada tahun 2003 daripada Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Hospital Alor Setar, Klinik Kesihatan Rasa dan Klinik Ibu dan Anak Kuala Kubu Bharu. Pada tahun 2015, beliau telah menamatkan pengajian dalam bidang Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Sains Malaysia dan beliau bertugas di klinik kesihatan di Sabah iaitu Klinik Kesihatan Putatan dan Klinik Kesihatan Kundasang sebelum bertugas sebagai Pensyarah Perubatan di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM pada tahun 2016 sehingga kini. Beliau juga bertugas di Klinik Rawatan Keluarga, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kelantan.



