Oleh: Roslizawati Ab Lah, PhD
Pensyarah kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Setiap kali tibanya musim panas di pantai timur Semenanjung Malaysia, khususnya dari April hingga Julai, suasana di pesisir Terengganu kembali meriah. Ketika itulah bot-bot mula berlabuh ke tengah laut, lampu-lampu berkilauan menghiasi permukaan air pada malam hari, menandakan bermulanya musim candat sotong. Bukan sekadar aktiviti riadah, mencandat sotong telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Terengganu, malah kini diiktiraf sebagai satu tarikan pelancongan marin yang kian mendapat perhatian.


Musim candat sotong sebenarnya berkait rapat dengan kitaran hidup sotong terutamanya sotong torak, atau nama saintifiknya Uroteuthis spp. Faktor arus laut, ketersediaan makanan turut memainkan peranan menjadikan kawasan pesisir Terengganu sebagai ‘pentas utama’ bagi aktiviti mencandat setiap tahun. Tidak hairanlah kawasan-kawasan perairan seperti Pulau Kapas, Marang, Pulau Bidong, Pulau Redang menjadi lokasi tumpuan utama kaki candat dari seluruh negeri.
Antara teknik utama dalam mencandat ialah penggunaan alat candat atau squid jig, sejenis umpan tiruan berbentuk udang kecil yang dihiasi warna-warni terang, lengkap dengan mata kail melingkari bahagian bawahnya. Candat ini akan diturunkan ke dasar laut, kemudian digerakkan turun-naik secara berirama untuk menarik perhatian sotong. Apabila sotong menyambar umpan, pemancing segera menarik tali sebelum sotong sempat melepaskan dakwat sebagai pertahanan. Setiap sesi mencandat, lebih-lebih lagi pada malam gelap tanpa bulan, menjadi pengalaman yang mendebarkan diikuti dengan suasana sepi di tengah laut, dipecahkan hanya dengan jeritan gembira apabila candat terasa berat menandakan sotong sudah terkena!
Malaysia sendiri kaya dengan beberapa spesies sotong komersial. Selain sotong torak, spesies seperti sotong jarum (Loligo spp.), sotong mengabang (Sepioteuthis spp.), sotong katak (Sepia spp.), serta sotong kurita (Octopus spp.) turut mewarnai biodiversiti perairan negara. Setiap spesies ini mempunyai keunikan tersendiri samada dari segi saiz, tekstur isi, hingga ke tingkah laku memburu dan habitat. Sotong torak misalnya, terkenal kerana saiznya yang besar dan keaktifannya pada waktu malam, manakala sotong mengabang pula sering kelihatan menukar warna sebagai taktik penyamaran. Sotong kurita, yang mempunyai lapan lengan dengan pelekat, terkenal dengan kecerdasannya dan kebolehannya bersembunyi di celahan batu.

Menariknya, kitaran hidup sotong sangat pendek yang mana kebanyakan spesies hanya hidup kurang dua tahun. Mereka membesar dengan cepat, membiak sekali (semelparous), kemudian mati selepas proses bertelur. Oleh kerana itu, pengurusan sumber perikanan sotong memerlukan keseimbangan agar populasi kekal stabil. Gangguan pada musim pembiakan boleh memberi impak besar kepada kelestarian stok sotong dalam tempoh singkat.
Mengenali Jenis Candat dan Cara Penggunaannya
Bagi kaki candat, pemilihan jenis candat yang betul menjadi kunci kepada hasil tangkapan. Di Terengganu, beberapa jenis candat utama sering digunakan:
Candat Twist diperbuat daripada timah sebagai pemberat, dan dibalut dengan kain atau tali sulam yang berwarna-warni (putih/merah, putih/hijau atau putih/biru). Di bahagian bawahnya terdapat lapan atau lebih mata kail bersisir. Ia dipasang terus ke cili pada tali utama, tanpa perambut tambahan.
Candat Umpan adalah antara kaedah tradisional lama yang tak lapuk dek zaman. Candat umpan berbentuk lurus panjang, diperbuat daripada besi sebesar lidi, dengan mata kail bersisir di bawah. Ikan hidup (seperti ikan kerisi) digunakan sebagai umpan, dicucuk kemas pada candat menggunakan cili atau dawai khas. Candat umpan biasanya digunakan bersama batu hidup atau ranggung, dengan 2–3 candat dipasang pada tali perambut sepanjang 3 hingga 5 meter. Satu candat dilabuhkan ke dasar, satu pertengahan, satu lagi hampir permukaan.
Candat udang mula popular sekitar tujuh tahun lalu. Bentuknya menyerupai udang berwarna terang, direka solid supaya stabil di dalam air. Ia amat berkesan untuk sotong mengabang. Kaedah penggunaannya sama seperti candat umpan: dipasang pada ranggung dan dihulur kira-kira 2–3 kaki dari dasar laut. Dengan teknik dan pemilihan candat yang betul, sesi mencandat menjadi lebih menyeronokkan.



Sotong sebagai sumber ekonomi
Dari sudut ekonomi global, pasaran sotong dunia kini melalui cabaran yang membuka peluang besar buat Malaysia. Penurunan hasil tangkapan di negara pengeluar utama seperti Peru, Jepun dan China menyebabkan harga sotong melonjak di pasaran Eropah, Amerika Syarikat, dan Korea. Permintaan import terhadap negara-negara tropika seperti Malaysia semakin meningkat, apatah lagi dengan potensi untuk menghasilkan produk bernilai tambah dan bioteknologi marin berasaskan sumber sotong. Malah, negara-negara seperti Jepun dan Korea kini giat membangunkan teknologi pembenihan sotong secara buatan sebagai strategi jangka panjang.
Dalam konteks tempatan, aktiviti candat sotong telah lama menjadi sumber pendapatan kepada komuniti pesisir Terengganu. Banyak kampung nelayan seperti Seberang Takir, Pulau Duyong dan Rhu Muda giat menawarkan pakej candat kepada pengunjung, lengkap dengan sewaan bot, kelengkapan candat serta kemudahan memasak hasil tangkapan secara terus di atas bot. Dengan harga pakej sekitar RM100 hingga RM300 seorang, aktiviti ini bukan sahaja menggerakkan ekonomi setempat, malah menjadi satu bentuk pelancongan komuniti yang inklusif. Sokongan daripada agensi seperti Jabatan Perikanan Malaysia dan LKIM juga membantu memperkukuhkan Terengganu sebagai destinasi utama pelancongan marin negara.
Tidak dapat dinafikan, pengalaman mencandat sotong merupakan antara kenangan paling manis bagi mereka yang pernah mencubanya. Di tengah kegelapan malam, dengan hanya ditemani bunyi ombak dan cahaya lampu bot, setiap tarikan pada tali candat mencetuskan debaran yang sukar digambarkan. Apatah lagi apabila sotong yang baru dinaikkan dapat terus digoreng panas-panas di atas bot, rasa manis dan segarnya pasti sukar ditandingi.
Musim candat sotong bukan sekadar tradisi turun-temurun, malah telah berkembang menjadi satu ekosistem yang menggabungkan budaya, rekreasi, penyelidikan, serta potensi ekonomi negara. Dengan pengurusan sumber yang mampan, sokongan penyelidikan saintifik dan inovasi berterusan, Malaysia mampu terus mengangkat warisan candat sotong ini sebagai contoh kejayaan keseimbangan antara pemuliharaan alam dan pembangunan ekonomi yang lestari.
Kredit foto utama-DiscoveryTerengganu
Sumber rujukan
FAO. (2025). Quarterly cephalopods analysis: International markets for fisheries and aquaculture products. Rome: Food and Agriculture Organization of the United Nations.
FAO. 2025. Fishery and Aquaculture Country Profiles. Malaysia, 2024. Country Profile Fact Sheets. In: Fisheries and Aquaculture. Updated May 6, 2025 [Cited Monday, June 16th 2025]. https://www.fao.org/fishery/en/facp/MYS.
El-Mahdi, M., Benomar, S., & Houssaini, A. (2023). Reproductive biology of Loligo vulgaris in the southern Atlantic waters off Morocco. In Proceedings of the Fifth International Conference on Materials & Environmental Science (ICMES 2023).
Global Trade Tracker. (2024). Global trade data: Cephalopods and seafood exports (Annual Report 2024). Retrieved from http://www.globaltradetracker.com.
Biodata Ringkas Penulis
Dr. Roslizawati Ab Lah ialah pensyarah kanan di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Kepakaran beliau adalah dalam bidang ekologi marin, khususnya kajian berkaitan moluska, pemanasan laut, pengasidan, dan nilai nutrisi spesies marin. Beliau aktif menjalankan penyelidikan mengenai kesan perubahan iklim terhadap kualiti sumber makanan laut dan membimbing pelajar dalam bidang berkaitan. Beliau boleh dihubungi melalui ros_ablah@umt.edu.my
#LiterasiLautanUntukSemua
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang diraikan pada 8 Jun setiap tahun. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.