Saturday, November 14, 2026
Cart / RM0.00

No products in the cart.

No Result
View All Result
e-ISSN : 2682-8456
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
MajalahSains
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers
No Result
View All Result
MajalahSains
No Result
View All Result

Ubat Tahan Sakit Semasa Kehamilan: Antara Keperluan Ibu dan Keselamatan Bayi

Ubat Tahan Sakit Semasa Kehamilan: Antara Keperluan Ibu dan Keselamatan Bayi

Editor by Editor
12/10/2026
in Berita & Peristiwa, Perubatan & Kesihatan
0 0
0

Penulis: Dr. Tuan Nadrah Naim Tuan Ismail
Pensyarah Kanan,

Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia

Kehamilan merupakan satu tempoh yang memerlukan perhatian khusus dalam penggunaan ubat. Kebimbangan terhadap kesan ubat kepada janin menyebabkan ramai wanita menganggap bahawa semua ubat perlu dielakkan sepanjang kehamilan. Namun begitu, tanggapan bahawa wanita mengandung perlu menanggung kesakitan tanpa rawatan juga tidak tepat. Kesakitan yang teruk atau berpanjangan boleh menjejaskan kesejahteraan ibu dan, dalam keadaan tertentu, turut memberi kesan kepada kehamilan. Oleh itu, pengurusan kesakitan semasa kehamilan memerlukan keseimbangan antara manfaat rawatan kepada ibu dengan potensi risiko kepada janin (1, 2).

Pemilihan ubat tahan sakit semasa kehamilan perlu mengambil kira jenis dan tahap kesakitan, usia kandungan, dos serta tempoh rawatan. Prinsip umum ialah menggunakan rawatan bukan ubat terlebih dahulu apabila sesuai dan, jika ubat diperlukan, menggunakan dos paling rendah yang berkesan untuk tempoh paling singkat (1).

Paracetamol: Pilihan Utama untuk Kesakitan Ringan hingga Sederhana

Paracetamol, yang juga dikenali sebagai acetaminophen, merupakan ubat tahan sakit dan penurun demam yang paling biasa digunakan semasa kehamilan. Ia lazimnya menjadi pilihan pertama untuk kesakitan ringan hingga sederhana, termasuk sakit kepala dan beberapa jenis sakit otot atau sendi. American College of Obstetricians and Gynecologists (3) masih menganggap paracetamol sebagai ubat tahan sakit dan ubat penurun demam pilihan semasa kehamilan apabila digunakan secara berhemat (3).

Salah satu kelebihan paracetamol ialah ia tidak mempunyai kesan anti-radang yang ketara seperti ubat anti-radang bukan steroid atau NSAID. Oleh itu, ia tidak membawa risiko yang sama terhadap fungsi buah pinggang janin atau ductus arteriosus seperti yang dikaitkan dengan NSAID pada peringkat kehamilan tertentu.

Walau bagaimanapun, pilihan utama tidak bermaksud boleh diambil tanpa had. Penggunaan dos berlebihan boleh menyebabkan kerosakan hati yang serius. Wanita mengandung juga perlu berhati-hati dengan ubat selesema atau ubat kombinasi kerana sesetengah produk mungkin turut mengandungi paracetamol. Pengambilan beberapa produk yang mengandungi bahan aktif yang sama secara tidak sengaja boleh menyebabkan jumlah dos harian menjadi terlalu tinggi (3).

Paracetamol juga menjadi perhatian selepas munculnya beberapa kajian yang mencadangkan kemungkinan hubungan antara penggunaannya semasa kehamilan dengan masalah perkembangan neurologi seperti autisme dan ADHD (4). Namun, isu ini perlu difahami dengan berhati-hati. ACOG menegaskan bahawa bukti terbaik yang ada tidak menunjukkan hubungan sebab-akibat (3). FDA sendiri menyatakan bahawa walaupun beberapa kajian menunjukkan terdapat kaitan antara penggunaan paracetamol semasa kehamilan dengan autisme dan ADHD, bukti yang ada masih belum mencukupi untuk membuktikan bahawa paracetamol menjadi puncanya, manakala kajian lain pula tidak menunjukkan kaitan yang sama (5).

Maka, wanita mengandung tidak seharusnya terus menganggap bahawa paracetamol berbahaya atau menghentikan ubat yang telah dipreskripsikan tanpa berbincang dengan profesional kesihatan. Pendekatan yang lebih tepat ialah menggunakan paracetamol apabila benar-benar diperlukan, pada dos yang sesuai dan untuk tempoh yang munasabah.

NSAID: Bukan Sekadar “Boleh atau Tidak”

Kumpulan ubat tahan sakit yang sering menimbulkan persoalan semasa kehamilan ialah NSAID, termasuk ibuprofen, naproxen, diclofenac dan mefenamic acid. Ubat ini mengurangkan penghasilan prostaglandin melalui penghambatan enzim cyclooxygenase (COX), lalu memberikan kesan ubat tahan sakit, anti-radang dan ubat penurun demam.

Masalahnya, prostaglandin juga memainkan peranan penting dalam fungsi normal janin dan kehamilan. Oleh sebab itu, risiko NSAID berubah mengikut usia kandungan.

Menurut FDA, penggunaan NSAID pada usia kehamilan sekitar 20 minggu atau lebih boleh menyebabkan masalah fungsi buah pinggang janin dan seterusnya mengurangkan jumlah air ketuban atau oligohidramnios. Dalam sesetengah kes, masalah buah pinggang neonatal yang serius juga telah dilaporkan. Oleh sebab itu, NSAID biasanya perlu dielakkan selepas 20 minggu kecuali penggunaannya dianggap perlu oleh profesional kesihatan (6).

Risiko menjadi lebih penting pada lewat kehamilan. Selepas sekitar 30 minggu, NSAID boleh meningkatkan risiko penutupan pramatang ductus arteriosus, iaitu saluran penting dalam sistem peredaran darah janin. Oleh itu, penggunaan NSAID pada peringkat ini perlu dielakkan kecuali terdapat sebab klinikal yang jelas dan pengawasan profesional Kesihatan (6).

Namun, keadaan ini tidak bermakna setiap penggunaan NSAID pada awal kehamilan akan menyebabkan masalah. ACOG menyatakan bahawa ibuprofen dan naproxen, sebagai contoh, mungkin dipertimbangkan dalam keadaan tertentu seperti migrain yang tidak bertindak balas terhadap paracetamol, khususnya pada trimester kedua dan untuk tempoh yang sangat singkat (7).

Ini menunjukkan satu prinsip penting dalam farmakologi kehamilan: keselamatan ubat bukan semata-mata bergantung kepada nama ubat, tetapi juga kepada masa ubat tersebut digunakan.

Aspirin

Aspirin juga termasuk dalam kumpulan NSAID, tetapi penggunaannya dalam kehamilan memerlukan penjelasan khusus. Aspirin dos rendah boleh digunakan untuk keadaan tertentu dalam kehamilan atas arahan doktor, contohnya bagi tujuan obstetrik tertentu. Penggunaan ini tidak boleh disamakan dengan mengambil aspirin dos biasa untuk merawat sakit kepala atau sakit badan.

FDA secara khusus menyatakan bahawa cadangan mengelakkan NSAID selepas 20 minggu tidak terpakai kepada aspirin dos rendah 81 mg yang dipreskripsikan untuk keadaan tertentu (6).

Oleh itu, wanita mengandung tidak seharusnya mengambil aspirin atas inisiatif sendiri hanya kerana ia merupakan ubat tahan sakit yang mudah diperoleh. Sebaliknya, penggunaannya perlu berdasarkan sebab klinikal yang jelas.

Opioid: Apabila Kesakitan Lebih Serius

Bagi kesakitan sederhana hingga teruk, opioid seperti morphine, codeine atau oxycodone kadangkala diperlukan. Penggunaan opioid semasa kehamilan perlu dinilai secara individu kerana kesan terhadap ibu dan janin perlu dipertimbangkan.

Dalam keadaan kesakitan yang teruk, mengabaikan kesakitan juga bukan pilihan yang ideal. Prinsip rawatan ialah menilai manfaat rawatan berbanding risiko kepada janin dan menggunakan dos efektif paling rendah untuk tempoh yang diperlukan. Kesakitan yang teruk atau berpanjangan semasa kehamilan juga perlu diberi perhatian kerana kesakitan yang tidak dirawat dengan baik boleh menjejaskan ibu dan janin.

Penggunaan opioid yang berpanjangan, khususnya hampir dengan waktu kelahiran, boleh menyebabkan bayi mengalami gejala kebergantungan terhadap opioid selepas dilahirkan. Oleh itu, opioid bukanlah ubat yang sesuai untuk digunakan secara sewenang-wenangnya bagi kesakitan biasa semasa kehamilan (8).

Punca Kesakitan

Satu perkara yang sering dilupakan ialah ubat tahan sakit hanya merawat simptom, bukan semestinya punca kesakitan. Contohnya, sakit kepala yang ringan mungkin berkaitan dengan kurang tidur, dehidrasi atau perubahan hormon. Namun, sakit kepala yang teruk dan berterusan selepas 20 minggu kehamilan, terutama jika disertai gangguan penglihatan atau gejala lain, boleh menjadi tanda preeklampsia dan memerlukan penilaian perubatan segera.

Begitu juga, sakit gigi yang berterusan tidak sepatutnya hanya dirawat berulang kali dengan ubat tahan sakit tanpa mencari puncanya. Jangkitan gigi, contohnya, mungkin memerlukan rawatan pergigian yang khusus.

Pendekatan bukan ubat juga boleh membantu sesetengah jenis kesakitan. Rehat yang mencukupi, pengambilan cecair yang mencukupi, fisioterapi, tuam panas atau sejuk dan kaedah lain yang sesuai boleh dicuba bergantung kepada punca kesakitan.

Kehamilan tidak bermakna seorang wanita perlu menanggung kesakitan tanpa rawatan. Sebaliknya, ia memerlukan pemilihan ubat yang lebih berhati-hati. Paracetamol kekal sebagai pilihan utama untuk kebanyakan kesakitan ringan hingga sederhana apabila digunakan secara berhemat. NSAID pula memerlukan perhatian khusus kerana risiko terhadap janin meningkat pada peringkat tertentu, terutama selepas 20 minggu kehamilan. Opioid boleh mempunyai tempat dalam rawatan kesakitan yang lebih teruk, tetapi penggunaannya perlu dipantau dan berdasarkan pertimbangan manfaat serta risiko.

Akhirnya, prinsip paling penting ialah ubat yang sesuai, pada dos yang sesuai, untuk tempoh yang sesuai. Wanita mengandung tidak seharusnya membuat keputusan hanya berdasarkan label selamat atau tidak selamat. Usia kandungan, jenis kesakitan, dos, tempoh penggunaan dan keadaan kesihatan ibu semuanya perlu dipertimbangkan. Dalam situasi yang meragukan, nasihat doktor atau ahli farmasi adalah lebih selamat daripada membuat keputusan sendiri berdasarkan maklumat di internet.

Rujukan

  1. Nunge RA, Kendle AM, Alwan S, editors. Pain medication use during pregnancy. Seminars in Perinatology; 2025: Elsevier.
  2. Black E, Khor KE, Kennedy D, Chutatape A, Sharma S, Vancaillie T, et al. Medication use and pain management in pregnancy: a critical review. Pain Practice. 2019;19(8):875-99 https://doi.org/10.1111/papr.12814.
  3. ACOG. Acetaminophen Use in Pregnancy and Neurodevelopmental Outcomes. American College of Obstetricians and Gynecologists 2025:https://www.acog.org/clinical/clinical-guidance/practice-advisory/articles/2025/09/acetaminophen-use-in-pregnancy-and-neurodevelopmental-outcomes.
  4. Bérard A, Cottin J, Leal LF, Picot C, Pleau J, Friedman JM, et al. Systematic review and meta-analysis: acetaminophen use during pregnancy and the risk of neurodevelopmental disorders in childhood. Journal of the American Academy of Child & Adolescent Psychiatry. 2025:484-504 https://doi.org/10.1016/j.jaac.2025.09.031.
  5. Smith R, Zipursky JS. Safety of acetaminophen use in pregnancy: review of existing evidence. American Journal of Obstetrics & Gynecology MFM. 2026:101925 https://doi.org/10.1016/j.ajogmf.2026.
  6. FDA. Nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs): drug safety communication—avoid use of NSAIDs in pregnancy at 20 weeks or later. US Food and Drug Administration. 2020:https://www.fda.gov/safety/medical-product-safety-information/nonsteroidal-anti-inflammatory-drugs-nsaids-drug-safety-communication-avoid-use-nsaids-pregnancy-20.
  7. ACOG. Is it safe to take ibuprofen or naproxen during pregnancy? American College of Obstetricians & Gynecologists. 2025:https://www.acog.org/womens-health/experts-and-stories/ask-acog/is-it-safe-to-take-ibuprofen-or-naproxen-during-pregnancy.
  8. ACOG. Opioid Use and Opioid Use Disorder in Pregnancy. American College of Obstetricians and Gynecologists. 2025:https://www.acog.org/clinical/clinical-guidance/committee-opinion/articles/2017/08/opioid-use-and-opioid-use-disorder-in-pregnancy.


Biodata Penulis

Dr. Tuan Nadrah Naim
Tuan Ismail merupakan pensyarah dalam bidang Farmakologi di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau mempunyai kepakaran dan minat penyelidikan dalam bidang farmakologi, produk semula jadi, propolis, serta pembangunan produk kesihatan dan kosmetik berasaskan bahan semula jadi.

Selain aktif dalam pengajaran dan penyelidikan, beliau turut terlibat dalam penulisan dan penilaian manuskrip akademik. Minat beliau dalam bidang farmakologi turut merangkumi pendidikan kesihatan kepada masyarakat, khususnya berkaitan penggunaan ubat secara selamat dan rasional.

Berikan Komen Anda Di Sini

Tags: aspirinkehamilankesihatan ibu mengandungkesihatan kehamilanopioidparacetamolTuan Nadrah Naim Tuan IsmailUbat Tahan Sakit
Previous Post

Liku-Liku Evolusi Konsep Entropi

Next Post

Gigi Bongsu: Mengapa Gigi Terakhir yang Tumbuh Sering Menjadi Masalah?

Editor

Editor

Related Posts

Anemia Ketika Hamil: Bukan Sekadar Kurang Darah
Berita & Peristiwa

Anemia Ketika Hamil: Bukan Sekadar Kurang Darah

24 hours ago
Suntikan Kurus: Jalan Pintas atau Risiko Tersembunyi?
Berita & Peristiwa

Suntikan Kurus: Jalan Pintas atau Risiko Tersembunyi?

24 hours ago
Memahami Fungsi Sebenar Jabatan Kecemasan: Antara Nyawa dan Keselesaan
Berita & Peristiwa

Memahami Fungsi Sebenar Jabatan Kecemasan: Antara Nyawa dan Keselesaan

1 day ago
Kecederaan Tangan dalam Sukan Boling dan Pencegahannya
Berita & Peristiwa

Kecederaan Tangan dalam Sukan Boling dan Pencegahannya

1 day ago
Next Post
Gigi Bongsu: Mengapa Gigi Terakhir yang Tumbuh Sering Menjadi Masalah?

Gigi Bongsu: Mengapa Gigi Terakhir yang Tumbuh Sering Menjadi Masalah?

Kategori Produk

  • Umum
  • Sains Dalam Kehidupan
  • Sains Itu Menyeronokkan
  • Mengapa Sains Penting
  • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
  • Pengajian Tinggi
  • Kitaran Hidup
  • Gaya Hidup Sihat
  • Biografi
  • Siri-Ingin Tahu
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
e-ISSN : 2682-8456

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

No Result
View All Result
  • Laman Utama
  • Siapa Kami
  • HANTAR ARTIKEL & F.A.Q
  • Kategori
    • Alam Semulajadi
    • Astronomi & Kosmologi
    • Berita & Peristiwa
    • Bicara Saintis
      • Sains untuk Manusia
    • Suara Saintis Muda
    • Fiksyen, Buku & Filem
    • Fizik
    • Kimia
    • Komputer & IT
    • Luar Negara
    • Matematik
    • Perubatan & Kesihatan
    • Rencana
    • Sejarah & Falsafah
    • Teknologi & Kejuruteraan
    • Tempatan
    • Tenaga
    • Tokoh
  • Pengiklanan
  • Sains Shop
    • Pengajian Tinggi
    • Biografi
    • Umum
    • Siri-Ingin Tahu
    • Mengapa Sains Penting
    • Tokoh Wanita Dalam Bidang Sains
    • Kitaran Hidup
    • Gaya Hidup Sihat
    • Sains Dalam Kehidupan
    • Sains Itu Menyeronokkan
      • Careers

Copyright @2026 MajalahSains | MScience Ent. (002387117-X) Berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)

Login to your account below

Forgotten Password? Sign Up

Fill the forms bellow to register

All fields are required. Log In

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In