SHARE
Artikel ketujuh kerjasama Majalah Sains dan Young Scientist Network (YSN), dibawah Akademi Sains Malaysia (ASM). Penulis sedang mengikuti sangkutan penyelidikan tajaan Newton-Ungku Omar Foundation (NUOF) di Universiti Sheffield, United Kingdom ketika artikel diterbitkan.
——————————————————————————————-
Oleh: Dr. Wan Hanna Melini Wan Mohtar, Ahli Bersekutu YSN-ASM
Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia
Salah satu perkara yang boleh menggugat kesejahteraan kehidupan seharian manusia ialah ketiadaan air terawat atau catuan air. Air terawat dibekalkan dari Loji Rawatan Air, di mana air (biasanya) dirawat menggunakan kaedah fizikal koagulasi-flokulasi atau rawatan menggunakan membran. Air mentah diberikan dos bahan kimia alum, di mana partikel terampai (yang halus) mula tertarik di antara satu sama lain dan menggumpal membentuk gumpalan (flok) bersaiz lebih besar dan berat. Flok ini termendap di dalam tangki pemendapan, di mana air bebas daripada gumpalan keluar dari tangki melalui proses disinfeksi menggunakan klorin. Klorin berfungsi sebagai agen penyahaktifan hampir kesemua mikroorganisma, termasuk bakteria patogen yang boleh membawa mudarat kepada manusia. Air terawat harus menepati garis panduan ketat yang telah ditetapkan sebelum diagihkan kepada pengguna.

Gangguan sumber bekalan air

Namun, sejak akhir-akhir ini, catuan air didapati semakin kerap. Gangguan bekalan air mendatangkan ancaman terhadap kesihatan dan kesejahteraan manusia, termasuk kesan jangka masa pendek dan panjang terutamanya untuk mengekalkan keutuhan ekosistem. Beberapa faktor menyumbang kepada gangguan air, seperti kekurangan sumber air mentah kerana berlakunya musim kering atau kemarau berpanjangan, kualiti air mentah yang tidak menepati garis panduan dan masalah penyelenggaran tidak bersepadu sistem agihan air.
Permintaan air di kalangan penduduk Malaysia adalah agak tinggi. Malaysia merupakan di antara yang tertinggi di Asia Tenggara dengan hampir 300 liter per kapita setiap hari. Pertumbuhan penduduk adalah berterusan di mana kadar pertumbuhan purata tahunan boleh mencapai sehingga 5.8-5.9% mengikut Jabatan Perangkaan Negara. Ini secara langsung meningkatkan jumlah permintaan air. Tambahan pula, dengan kepesatan urbanisasi dan perindustrian, pertambahan penduduk turut menyebabkan peningkatan pengeluaran makanan yang memerlukan jumlah air terawat yang bukan sedikit. Perkembangan ekonomi baik di negara kita menjangkakan akan berlakunya peningkatan berterusan terhadap permintaan air sehingga tahun 2050, terutamanya dari sektor industri dan domestik.

Sumber Air

Di Malaysia, sumber utama air mentah adalah air permukaan, termasuk sungai dan empangan. Di beberapa kawasan atau negeri seperti Kelantan, air bawah tanah juga adalah salah satu sumber air utama. Penggunaan air permukaan mempengaruhi kelangsungan kehidupan sepertimana yang telah terjadi pada tahun 2014, di mana bekalan air kepada komuniti terjejas kerana paras air sungai dan empangan telah jatuh rendah.
Selain dari mengambil langsung sumber air bumi, sumber alternatif yang boleh dipertimbangkan adalah penuaian air hujan, konsep penyambungan-lembangan atau perpindahan air dari negeri, air tawar dari proses penyahgaraman atau pengambilan air dari tasik semulajadi, kolam dan tanah bencah. Penuaian air hujan adalah kaedah popular yang boleh diaplikasikan, terutamanya di kawasan kediaman, institusi dan pusat komersil. Kerajaan telah giat menjalankan usaha mempromosi budaya hijau dan penjimatan penggunaan air terawat dengan memberi insentif kepada pengguna yang memasang dan menggunakan sistem penuaian air hujan di premis masing-masing.

Kitar Semula

Namun begitu, bekalan sumber air ini bergantung kepada perubahan iklim, kos modal dan operasi yang tinggi. Salah satu sumber yang boleh digunapakai dan didapati berjaya (di luar negara) ialah kitar semula air sisa. Pengitaran semula air dari sisa kumbahan telah berjaya mengatasi risiko komuniti tidak mempunyai bekalan air, walaupun ketika musim kemarau. Sebagai contoh, Orange County Water District (OCWD) di California, Amerika Syarikat mengaplikasikan sistem ini kepada 850,000 penduduk dengan pengeluaran air dari 70 – 100 juta gelen setiap hari. Salah satu contoh yang dekat di negara kita ialah melalui teknologi NEWater di Singapura yang kini dikatakan menyumbang sebanyak 30% air kepada permintaan negara itu.
Air sisa kumbahan di sini didefinisikan sebagai gabungan air hitam (sisa kumbahan) dan air kelabu (dari dapur dan bilik mandi), air sisa dari institusi dan pusat komersil termasuk hospital, luahan industri samada bahan terlarut atau terampai.
Secara teorinya, efluen dari Loji Rawatan Air Kumbahan haruslah mematuhi garis panduan dan kelas sungai (yang ditetapkan oleh pihak berkuasa) mengikut kawasan tadahan sungai masing-masing sebelum diluahkan. Oleh itu, secara tidak langsung, efluen dari loji rawatan air sisa masuk semula ke dalam sungai di mana ianya juga digunakan sebagai muka sauk bekalan air. Dengan kualiti efluen Standard B (atau sesetengah sungai ialah Standard A terubahsuai), ianya boleh dilihat sebagai sumber menarik bagi rawatan langsung air boleh minum kerana kualiti air adalah boleh diramal dan tidak berubah-ubah, seperti mana pengambilan air dari sungai. Tambahan pula, kuantiti dan turun-naik efluen juga boleh diramal, walaupun pada musim berbeza. Satu perkara yang boleh disorotkan ialah sejajar dengan pertambahan penduduk, pengeluaran air sisa kumbahan juga meningkat.

Air Kumbahan

Namun begitu, perkataan “kumbahan” itu sendiri membawa pengertian telah digunakan dan potensi air ini sebagai sumber alternatif sering terkurang nilai dan mengundang sinis. Cabaran utama adalah bukan untuk merawat sumber air tersebut, tetapi adalah untuk mengatasi persepsi jijik dan mual pengguna untuk menggunakan air ini. Mengatasi pandangan skeptikal manusia berkaitan asal-usul air yang dirawat di Loji Rawatan Air jika menggunakan air sisa kumbahan akan mengambil masa yang lama, terutamanya sebagai kegunaan air boleh minum. Oleh itu, di antara tiga sektor pengguna utama air iaitu domestik, industri dan perladangan, sebagai pengguna terbesar air, perladangan dan pengeluaran makanan dilihat sebagai satu sektor aplikasi kitar semula air sisa terawat utama kerana kegunaan air adalah untuk bukan minum.
Air sisa kumbahan mempunyai keupayaan untuk digunakan sebagai sumber pengairan dan pengeluaran makanan. Pengeluaran air sisa kumbahan adalah berterusan (dan tidak tergantung kepada faktor iklim) dan dapat dikira melalui jumlah penduduk setempat. Penggunaan air kitar semula di sektor perladangan memberi kebaikan dari segi mengurangkan beban keperluan air terawat, meningkatkan kekuatan tanah, meminimumkan luahan air sisa ke saliran dan memperbaiki keberkesanan ekonomi.  Kehadiran nutrien penting seperti nitrogen, fosforus dan potassium di dalam air sisa kumbahan dapat bertindak sebagai baja semulajadi yang diperlukan oleh pengeluaran tanaman. Mikro-nutrien dan bahan organik lain di dalam air sisa kumbahan juga memberi manfaat bagi kelangsungan hasil tanaman bermutu.
Pendekatan ini telah dijalankan di Ghana dan Senegal.  Operasi, penyesuaian teknik dan pengurusan sistem di beberapa ladang, pasar dan pelbagai peringkat proses pengeluaran makanan telah dipantau dan dinilai. Hasil dapatan telah ditentusahkan sebagai satu kejayaan dan tidak mendatangkan kesan kesihatan kepada manusia. Selain mengurangkan permintaan air terawat, peladang juga mendapati penjimatan baja adalah salah satu faedah langsung yang diperolehi dengan aplikasi kitar semula air sisa sebagai sumber pengairan.
Sehubungan itu, pengitaran semula air sisa kumbahan sebagai alternatif sumber air (untuk pengairan) mempunyai potensi tinggi sebagai salah satu usaha pengurusan lebih bersepadu.


Sumber – Youtube MinuteEarth

Rujukan

[1] City and County of San Francisco. On-site non-potable water use: guide for the collection, treatment and reuse of alternate water supplies in San Francisco.

[2] Corcoran, E., Nelleman, C.,  Baker, E., Bos R., Osborn, D and Savelli, H. (Eds). 2010. Sick Water? The Central role of wastewater management in sustanaible environment. A rapid response assessment. United Nations Environment Programme, UN-HABITAT, GRID-Arendal.

[3] Jabatan Pengairan dan Saliran. 2011. Review of the National Water Resources 2020-2050 and formulation of national water resources policy.

[4] Meera Senthilingam. 2014. Drinking sewage: solving Singapore’s water problem, sepertimana di dapati atas talian di http://edition.cnn.com/2014/09/23/living/newater-singapore.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge