Penulis: Nurul Aqila Abd Razak
(Pelajar Siswazah, Master Sains Rekreasi dan Ekopelancongan Mapan, UPM)
Gs. Dr. Azita Ahmad Zawawi
(Pensyarah Kanan, Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia)
Perakuan Hak Kanak-kanak
Berdasarkan Akta Kanak-Kanak (Akta 611) 2001, di bawah subseksyen 2(1), kanak-kanak ditakrifkan sebagai individu di bawah umur 18 tahun. Pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada empat (4) peringkat utama iaitu : i) Masa bayi (kurang 12 bulan); ii) Kanak-kanak Prasekolah (2-5 tahun); iii) Kanak-kanak pertengahan (6-11 tahun); dan iv) Zaman remaja (12-17 tahun) (PEREKA, 2023). Berdasarkan klasifikasi ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (2022) merekodkan bahawa daripada 32.65 juta penduduk Malaysia, seramai 28.1% adalah terdiri dari golongan kanak-kanak.
Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada kumpulan masyarakat yang signifikan dan perlu dilindungi. Kumpulan ini ibarat permata negara dan generasi masa depan penerus pembangunan. Kanak-kanak juga merupakan kategori pengguna yang harus diberi hak sama rata untuk mendapatkan persekitaran kondusif, merangkumi perkhidmatan, serta kemudahan ruang dan peluang rekreasi. Perkara ini telah diakui dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak dan merupakan instrumen antarabangsa yang telah diterima pakai pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989. Konvensyen ini memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang menjurus kepada aspek kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation) yang mengandungi 54 perkara. Hak ini termasuk dalam aspek penglibatan dalam aktiviti rekreasi yang bersesuaian dengan usia dan keperluan kanak-kanak tersebut. Selain itu, Dasar Kanak-kanak Negara turut meliputi keperluan ruang permainan yang kondusif dan mesra kanak-kanak. Selaras dengan aspirasi tersebut, tema sambutan hari Kanak-kanak 2023 peringkat kebangsaan telah memilih tema ‘Hak kami, Masa depan Kami.’
Perkembangan kanak-kanak yang sihat dari aspek fizikal dan mental adalah penting untuk menjamin kesejahteraan masa depan masyarakat dan negara. Menurut Nahar et al. (2018), kanak-kanak merupakan golongan yang paling mudah dipengaruhi oleh lingkungan persekitaran. Justeru, selain memfokuskan kepada isu-isu berkaitan pengabaian, penderaan, dan eksploitasi, penekanan juga perlu diberi kepada ketersediaan ruang permainan yang selamat yang mana merupakan antara faktor penting mempengaruhi kesejahteraan kanak-kanak dan pembentukan personaliti mereka.
Rekreasi dan Kepelbagaian Jenis Permainan untuk Kanak-kanak.
Secara definisi, rekreasi luar merujuk kepada lima elemen penting iaitu i) aktiviti yang dilakukan di luar bangunan, ii)menggunakan pergerakan fizikal, iii) dilakukan pada masa lapang, v) dilakukan secara sukarela, dan iv) memberi kepuasan atau keseronokan (Azita et al., 2022). Tidak dapat dinafikan bahawa rekreasi juga adalah hak kanak-kanak. Persekitaran yang selamat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk berinteraksi dengan alam semula jadi dan seterusnya memperoleh pengalaman bermakna, yang boleh dicipta melalui beberapa jenis penglibatan berasaskan permainan. Dalam artikel “Tool for Observing Play Outdoors (TOPO): A New Typology for Capturing Children’s Play Behaviors in Outdoor Environments” (2020), antara jenis penglibatan dan permainan yang diperlukan kanak-kanak merangkumi fungsi fizikal, eksplorasi, imaginatif, permainan bio, dan ekspresif. Kesemua jenis aktiviti ini menekankan tentang kepentingan hubungan antara persekitaran, dan manfaatnya kepada peningkatan kemahiran fizikal, sosial dan emosi kanak-kanak yang menyumbang kepada pembentukan personaliti mereka.
Penglibatan fizikal contohnya berlari, melompat, dan memanjat bukan sahaja menggalakkan fungsi otot, daya tahan, keseimbangan, dan koordinasi motor kasar, tetapi juga berperanan mengukuhkan kemahiran sosial seperti bekerjasama, berkomunikasi, dan menghormati orang lain melalui interaksi dengan kanak-kanak lain.
Selain itu, permainan eksplorasi dan bio membantu kanak-kanak memperbaiki kesejahteraan emosi dan mental mereka dengan memberi mereka peluang untuk berinteraksi dengan alam sekitar dan mengurangkan tekanan dan kegelisahan. Di samping itu, penglibatan kanak-kanak secara aktif di alam semula jadi dapat memupuk rasa kagum dan membina rasa penghargaan terhadap keindahan alam semula jadi.
Aktiviti bercorak imaginatif (contoh role-play) dan ekspresi (seni lukis, drama) memberi ruang kepada kanak-kanak untuk menjadi kreatif dan kaedah ini turut menjadi saluran penyampaian emosi. Melalui penglibatan sebegini, kemahiran komunikasi dan insaniah seperti kasih-sayang dan empati dapat dipupuk.
Ruang Rekreasi dan Persekitaran Mesra Kanak-kanak
Ruang rekreasi yang sesuai diperlukan bagi membolehkan kanak-kanak bermain dan berinteraksi sejajar dengan keperluan dalam proses pembesaran mereka dari segi pendidikan, pembangunan minda, ketahanan fizikal, pembentukan personaliti dan penciptaan pengalaman (Agarwal, Sehgal & Ogra, 2021). Penyediaan persekitaran yang mesra kanak-kanak merupakan salah satu langkah yang ditekankan dalam Dasar kanak-kanak Negara, dibawah Objektif 3 iaitu perkembangan. Pembangunan persekitaran yang mesra kanak-kanak ini turut dinyatakan dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4), di bawah Teras 3, iaitu Persekitaran Berdaya Huni dan Komuniti Inklusif yang menekankan hak sama rata masyarakat dan komuniti dalam perancangan bandar.
Dalam konteks ini, penerokaan ruang dan perancangan persekitaran untuk masyarakat perlulah kreatif bagi mendorong penciptaan pengalaman unik, terutamanya di kalangan kanak-kanak. Selain itu, menurut Hyunshik, Jiameng, Sunkyoung dan Ying (2021), kekangan masa memberi impak yang besar terhadap penglibatan aktiviti kanak-kanak. Justeru, ibu bapa perlu memberikan kepercayaan dan kebebasan kepada anak-anak mereka untuk memilih jenis permainan yang disukai agar kanak-kanak dapat menikmati sepenuhnya pengalaman bermain tersebut dan memperoleh sepenuhnya manfaat dari persekitaran mesra kanak-kanak yang disediakan pihak berwajib.
Secara kesimpulan, kepelbagaian jenis penglibatan rekreasi dan jenis permainan perlu difahami dan dihayati oleh para perancang, ibu bapa, pihak pengurusan sekolah dan pihak berwajib supaya akses kepada persekitaran dan ruang rekreasi mesra kanak-kanak dapat disediakan dengan efektif. Peranan pelbagai pihak dalam memelihara dan mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak perlu sentiasa diberi penekanan. Disamping penerokaan kepelbagaian ruang landskap, kebebasan bermain yang seharusnya menjadi hak kanak-kanak juga perlu dikekalkan melalui perancangan yang teliti dengan tujuan untuk menghubungkan semula kanak-kanak dan alam semula jadi, untuk hari ini dan masa depan. Kebebasan ruang ini juga adalah hak kanak-kanak. Persekitaran sihat dan selamat faktornya!




Rujukan:
[1] Agarwal, M. K., Sehgal, V., & Ogra, A. (2021). A Critical Review of Standards to Examine the Parameters of Child-Friendly Environment (CFE) in Parks and Open Space of Planned Neighborhoods: A Case of Lucknow City, India. Social Sciences, 10(6), 199.
[2] Azita Ahmad Zawawi, Noor Jalilah Jumaat, Zulkhairi Azizi Zainal Abidin, Mohd Aswad Ramlan, Azlizam Aziz (2022). Pengenalan Kepada Rekreasi Luar. Penerbit Universiti Putra Malaysia.
[3] Hyunshik, K., Jiameng, M., Sunkyoung, L., & Ying, G. (2021). Change in Japanese children’s 24-hour movement guidelines and mental health during the COVID-19 pandemic. Scientific reports, 11(1), 22972.
[4] Jabatan Perangkaan Malaysia (2022). Statistik Kanak-Kanak, Malaysia.
[5] Loebach, J., & Cox, A. (2020). Tool for observing play outdoors (Topo): A new typology for capturing children’s play behaviors in outdoor environments. International journal of environmental research and public health, 17(15), 5611.
[6] Nahar, N., Sangi, S., Baniear Salvam, D. A., Rosli, N., & Abdullah, A. H. (2018). Impak Negatif Teknologi Moden Dalam Kehidupan Dan Perkembangan Kanak-Kanak Hingga Usia Remaja. UMRAN – International Journal of Islamic and Civilizational Studies, 5(1).
[7] Panduan Inisiatif Persekitaran Mesra Kanak-Kanak (PEREKA) (2023). Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.
[8] Rancangan Fizikal Negara Ke-empat (2021). Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia.