Oleh: Gs. Idham Khalil
Pensyarah Kanan
Program Sains Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu
Bayangkan kita sedang menyelam di dalam laut yang biru. Cahaya matahari menembusi air, membentuk garis-garis cahaya yang indah. Ikan-ikan berwarna-warni berenang di celah-celah terumbu karang penuh seri. Merah, biru, hijau, kuning dan ungu. Semuanya sangat sempurna. Kita tenggelam dalam satu alam lain yang luar biasa. Tenang.
Namun, dalam sekelip mata, pemandangan itu berubah.
Terumbu karang yang berseri di sekeliling kita tiba-tiba bertukar pucat. Meninggalkan rangka yang semakin lama semakin suram. Laut masih tenang, tetapi sesuatu di dalamnya mulai mati.
Situasi ini merupakan fenomena yang sedang melanda laut tropika iaitu kelunturan terumbu karang.
Terumbu karang tidak hanya sekadar hidupan di dasar laut. Ia menjadi tempat perlindungan ribuan spesies marin. Ia melindungi pantai daripada ombak ganas, menyokong sumber makanan manusia dan menjadi tiang seri kepada industri perikanan serta pelancongan.
Namun, ekosistem yang begitu kompleks ini sebenarnya sangat rapuh. Apabila suhu permukaan laut meningkat walaupun sedikit, keseimbangan di antara karang dan alga yang hidup bersamanya akan terganggu. Karang akan kehilangan alga tersebut, lalu berubah menjadi putih. Satu proses yang dikenali sebagai kelunturan karang.

Fenomena ini bukan lagi sesuatu yang asing. Manusia telah menyaksikan fenomena kelunturan karang besar-besaran pada tahun 1998, 2010, 2014–2017 dan 2023-2025. Dalam tempoh hanya dua dekad, kira-kira 75% terumbu karang tropika telah terjejas. Kawasan Indo-Pasifik, termasuk Laut China Selatan dan Segitiga Terumbu Karang, yang menyimpan lebih 76% spesies karang dunia, kini sekali lagi di ambang krisis ini.
Para saintis mula mencari jawapan dengan satu persoalan penting: apakah punca utama kelunturan ini, dan sejauh mana ia akan menjadi lebih kritikal? Untuk menjawabnya, mereka menggunakan gabungan teknologi moden dan data jangka panjang.
Melalui teknologi satelit, suhu permukaan laut direkodkan setiap hari selama lebih 30 tahun. Secara asasnya suhu laut dicerap menggunakan penderia termal yang berada di satelit. Kelebihan satelit adalah ia dapat memberikan cerapan data suhu laut bagi kawasan yang luas. Analisa pemprosesan data satelit perlu dilakukan terlebih dahulu (Rajah 2). Data ini kemudian digabungkan dengan rekod sebenar kejadian kelunturan karang di lapangan, dan dianalisis menggunakan model statistik untuk memahami hubungan antara suhu dan risiko kelunturan.

Hasilnya menunjukkan satu perkara yang sangat jelas iaitu suhu maksimum laut adalah faktor paling kritikal. Apabila suhu meningkat walaupun hanya 1°C, risiko pemutihan meningkat dengan sangat ketara. Dalam model yang dibangunkan, kebarangkalian pemutihan boleh meningkat sehingga melebihi 90% apabila suhu terus meningkat. Ini menunjukkan bahawa terumbu karang berada dalam keadaan yang sangat sensitif terhadap perubahan suhu yang kecil sekalipun.
Dengan menggunakan model iklim global, para penyelidik kemudian cuba melihat masa depan. Mereka meramalkan keadaan suhu laut sehingga tahun 2100 dan menukarkannya kepada peta kebarangkalian kelunturan karang (Rajah 3). Apa yang ditemui amat membimbangkan. Menjelang tahun 2040 hingga 2060, kawasan Segitiga Terumbu Karang dijangka mengalami kelunturan karang yang meluas dan serius. Lebih daripada separuh kawasan Indo-Pasifik berisiko tinggi, dengan tahun 2050 menjadi antara tempoh paling kritikal.
Bayangkan sebuah hutan yang perlahan-lahan kehilangan warna hijau, daun demi daunnya kering dan gugur satu per satu. Hutan menjadi kering dan kosong. Tiada lagi kicauan burung dan bunyi cengkerik membelah malam. Itulah gambaran yang mungkin berlaku di lautan kita. Terumbu karang yang hari ini penuh dengan kehidupan boleh bertukar menjadi struktur mati yang sunyi jika keadaan ini berterusan.
Kehilangan terumbu karang bukan sekadar kehilangan keindahan alam. Ia membawa kesan besar kepada manusia. Nelayan mula kehilangan sumber rezeki, pantai terdedah kepada hakisan dan ekosistem laut menjadi tidak seimbang. Dalam dunia yang semakin bergantung kepada laut sebagai sumber makanan dan ekonomi, kesannya boleh dirasai jauh melangkaui sempadan negara.
Namun, masih ada harapan. Para saintis percaya bahawa jika peningkatan suhu global dapat dikawal, terutamanya dengan mengehadkan kenaikan sekitar 1.2°C daripada tahap pra-industri, sebahagian besar terumbu karang masih boleh diselamatkan. Ini memerlukan usaha bersama di peringkat global. Pengurangan pelepasan karbon, melindungi kawasan marin dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan laut diharap mampu memberi sinar semula kepada terumbu karang kita.
Laut tidak mampu bersuara, tetapi perubahan yang berlaku pada terumbu karang adalah satu mesej yang jelas. Ia sedang “memutih” bukan kerana lemah, tetapi kerana tertekan oleh perubahan yang berlaku terlalu pantas.
Kini, persoalannya bukan lagi sama ada krisis ini benar-benar berlaku. Persoalannya ialah sama ada kita akan bertindak sebelum semuanya terlambat.
Bagi pembaca yang ingin memahami dengan lebih mendalam tentang bagaimana ramalan ini dibangunkan serta analisis saintifik di sebaliknya, anda boleh merujuk kepada kajian penuh bertajuk “Modelling and Forecasting the Effects of Increasing Sea Surface Temperature on Coral Bleaching in the Indo-Pacific Region” (https://doi.org/10.1080/01431161.2022.2161850). Kajian ini bukan sahaja menjelaskan keadaan semasa, tetapi juga membuka gambaran tentang masa depan lautan dan peluang kita untuk mengubahnya.

Biodata Ringkas Penulis
Gs. Idham bin Khalil merupakan Pensyarah Kanan dalam Program Sains Marin di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang geospatial dengan fokus khusus kepada penderiaan jauh dan sistem maklumat geografi, terutamanya dalam aplikasi pemetaan dan analisis spatial persekitaran marin. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana, MSc in Geo-Information Science and Earth Observation for Environmental Modelling and Management dari University of Southampton selain memiliki latar belakang Ijazah Sarjana Muda Sains Marin dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau boleh dihubungi melalui e-mel: idham@umt.edu.my.
LiterasiLautanUntukSemua
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan 25 Tahun UMT: Menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.






