Oleh: Yusri Yusuf dan Mohd Uzair Rusli
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Laut yang kita kenali sejak dahulu sebagai tempat yang luas dan penuh warna warni kini semakin hilang serinya. Di dasar lautan, karang yang suatu masa dahulu berkilauan dengan warna terang kini bertukar putih seperti tulang yang kering. Keadaan ini bukan berlaku kerana kitaran semula jadi, tetapi kerana lautan kini menjadi terlalu panas. Suhu yang sepatutnya menghidupkan telah menjadi beban yang membunuh secara perlahan.
Fenomena pemutihan ini dinamakan kelunturan karang, atau dalam bahasa Inggeris disebut sebagai coral bleaching. Dalam tempoh dua tahun yang lalu, fenomena ini telah melonjak menjadi krisis yang amat membimbangkan. Dunia kini sedang mengalami peristiwa kelunturan karang global yang keempat. Ia bukan sekadar gangguan kepada pemandangan dasar laut, tetapi satu bencana yang memberi kesan kepada kestabilan seluruh ekosistem marin.
Memahami Asas Kelunturan Karang
Terumbu karang bukanlah batu pegun yang keras di dasar laut. Ia sebenarnya adalah haiwan hidup yang menjalin hubungan rapat dengan sejenis alga mikroskopik yang dikenali sebagai zooxanthellae. Alga ini hidup di dalam tisu karang dan menjalankan proses fotosintesis. Hasil fotosintesis inilah yang menjadi sumber makanan utama kepada karang, manakala karang pula menyediakan tempat tinggal yang selamat serta akses kepada cahaya matahari. Hubungan simbiosis ini saling menguntungkan dan menjadi asas kepada kehidupan terumbu karang.
Namun, hubungan yang rapat ini sangat sensitif terhadap perubahan suhu air laut. Apabila suhu meningkat melebihi paras biasa untuk tempoh yang berterusan, sistem fotosintesis dalam alga akan terganggu. Kerosakan ini menyebabkan penghasilan bahan kimia berbahaya yang dikenali sebagai spesies oksigen reaktif (ROS). Bahan ini boleh merosakkan sel-sel dalam tisu karang. Bagi melindungi diri, karang akan menyingkirkan alga tersebut daripada tubuhnya.
Tanpa kehadiran alga, karang bukan sahaja kehilangan warnanya tetapi juga kehilangan sehingga sembilan puluh peratus sumber tenaga. Inilah yang menjadikan karang kelihatan putih pucat. Dalam keadaan ini, karang menjadi lemah, mudah dijangkiti penyakit, dan berisiko mati sekiranya suhu tidak kembali normal dalam tempoh yang singkat.
Apa yang Berlaku di Peringkat Global dan Malaysia
Pada bulan April tahun 2024, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) mengesahkan bahawa dunia sedang mengalami peristiwa kelunturan karang global yang keempat. Sejak awal 2023 hingga pertengahan 2024, lebih daripada 80% peratus terumbu karang dunia telah mengalami tekanan haba laut yang cukup tinggi untuk mencetuskan kelunturan. Kawasan yang paling teruk terjejas termasuk Great Barrier Reef di Australia, kawasan tropika Lautan Pasifik, Teluk Parsi, Laut Caribbean dan beberapa kawasan pesisir di Laut Merah.
Berbanding peristiwa kelunturan terdahulu, kali ini kesannya lebih meluas dan lebih mendalam. Banyak kawasan yang sebelum ini tahan terhadap perubahan suhu juga mengalami kerosakan. Ini menunjukkan bahawa kesan perubahan iklim kini semakin menyeluruh dan tidak mengenal sempadan.
Malaysia juga tidak terlepas daripada krisis ini. Laporan yang dikeluarkan oleh Reef Check Malaysia dan pemantauan oleh Jabatan Perikanan menunjukkan bahawa kebanyakan lokasi terumbu utama di negara kita telah menunjukkan tanda-tanda kelunturan sepanjang tahun 2024. Kawasan yang terjejas termasuklah Pulau Perhentian, Redang, Tenggol, Bidong, Tioman, serta Pulau Payar dan Pemanggil.
Di beberapa kawasan, lebih daripada 90% koloni karang dilaporkan mengalami kelunturan warna yang jelas. Pulau Bidong, misalnya, yang menjadi lokasi kajian utama untuk para penyelidik Universiti Malaysia Terengganu, menunjukkan kelunturan hampir menyeluruh terutama di kawasan Pasir China dan Pantai Vietnam. Imej yang dirakam pada bulan Jun 2024 memperlihatkan betapa drastiknya perubahan yang berlaku dalam masa singkat. Laporan status semasa pada Februari 2025, kematian menyeluruh ke atas terumbu karang di Pulau Bidong, menghampir 70%, terutamanya di kawasan yang cetek.
Bagaimana Tekanan Haba Diukur
Untuk memahami tahap tekanan haba yang menyebabkan kelunturan, saintis menggunakan satu ukuran yang dinamakan Degree Heating Weeks (DHW). Ukuran ini mengira berapa lama suhu laut berada melebihi purata suhu musim panas maksimum yang pernah dicatatkan di sesuatu kawasan.
Sebagai contoh, jika suhu permukaan laut meningkat satu darjah selsius melebihi purata untuk tempoh satu minggu, maka kawasan tersebut mencatat satu nilai DHW. Jika suhu itu kekal untuk dua minggu, maka nilai meningkat kepada dua. Apabila nilai ini mencapai empat, risiko kelunturan menjadi tinggi. Jika ia mencecah lapan, kebarangkalian kematian karang sangat tinggi.
Yang membimbangkan, banyak kawasan di perairan Malaysia telah mencatat nilai ini melebihi ambang bahaya, menandakan betapa gentingnya keadaan yang sedang berlaku di dasar laut negara kita.
Impak Lebih Luas daripada Sekadar Karang
Kelunturan karang bukan sahaja memberi kesan kepada terumbu semata-mata. Spesies marin lain yang hidup secara simbiotik dengan alga juga turut terkesan. Ini termasuklah buran, kima, dan pelbagai jenis invertebrata laut. Apabila karang mati, seluruh ekosistem yang bergantung kepadanya akan turut tergugat. Populasi ikan akan merosot, pelancongan terjejas, dan perlindungan semula jadi daripada hakisan pantai juga akan hilang.
Kesan ini juga akan sampai kepada manusia. Komuniti pesisir akan kehilangan sumber makanan dan pendapatan. Nelayan akan terpaksa mencari hasil laut di kawasan yang lebih jauh, dan para pelancong tidak lagi tertarik untuk menyelam di lokasi yang mati dan tidak berwarna.
Walaupun situasinya kelihatan suram, masih ada ruang untuk pemulihan. Jika suhu laut kembali normal dalam masa yang cepat, sesetengah karang masih mampu menyerap semula alga simbion mereka dan memulihkan kesihatan. Namun, jika tekanan haba terus berpanjangan atau berulang dalam kitaran yang rapat, karang tidak sempat pulih dan akhirnya akan mati secara kekal.
Beberapa spesies karang didapati lebih tahan terhadap tekanan suhu, dan penyelidikan sedang dijalankan bagi memahami mekanisme ketahanan ini. Langkah-langkah pemulihan seperti penanaman semula karang, perlindungan kawasan terumbu, dan pendidikan komuniti juga sedang digiatkan di banyak tempat, termasuk di Malaysia.
Seruan Hari Lautan Sedunia
Sempena sambutan Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun setiap tahun, kita diseru untuk tidak lagi memandang ringan penderitaan yang sedang berlaku di lautan. Lautan bukan sahaja tempat kita menacari rezeki dan beriadah. Ia adalah sistem sokongan kehidupan yang menyumbang kepada kestabilan iklim, ketersediaan makanan, dan kesejahteraan ekonomi berjuta-juta manusia.
Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk bertindak. Sama ada dengan mengurangkan pelepasan karbon, menyokong pelancongan berasaskan pemeliharaan, ataupun menyebarkan kesedaran melalui pendidikan dan media, setiap usaha itu penting. Tiada sumbangan yang terlalu kecil dalam perjuangan untuk memulihkan lautan kita.
Lautan kini sedang bersuara. Bukan dengan ombaknya, tetapi dengan keputihan karangnya. Adakah kita mendengarnya? Atau kita akan terus menunggu sehingga semuanya mati untuk dihargai?
Mengenai Penulis:
Yusri Yusuf merupakan pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Beliau berpengalaman dalam bidang ekologi terumbu karang, taksonomi ikan, serta pemantauan dan pemuliharaan ekosistem marin. Beliau aktif dalam penyelidikan berkaitan biodiversiti ikan terumbu karang dan pengurusan sumber marin, serta terlibat dalam pelbagai projek pemuliharaan dan pemantauan terumbu karang di Malaysia. Beliau boleh dihubungi melalui yusriyusuf@umt.edu.my
Mohd Uzair Rusli merupakan ketua penyelidik Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Berpengalaman dalam bidang pemeliharaan haiwan marin, pendidikan konservasi dan dasar pengurusan sumber laut. Beliau komited meningkatkan tahap literasi lautan nasional sebagai satu usaha menangani cabaran lautan ketika ini. Beliau boleh dihubungi melalui uzair@umt.edu.my
#LiterasiLautanUntukSemua
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang diraikan pada 8 Jun setiap tahun. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.