Sumbangan: Editorial OceanHOPE UMT
Lautan tidak pernah berbicara dengan lantang, tetapi dalam diamnya ia menyimpan rahsia masa depan kita. Dan ada ketikanya, kita perlu menghantar wakil ke penjuru dunia yang paling jauh dan paling sejuk, semata-mata untuk mendengar suara itu dengan lebih dekat.
Pada 28hb April 2025 lalu, seorang saintis dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Hafiz Borkhan (Dr Apit) telah selamat kembali ke tanah air setelah menyertai Ekspedisi Pelayaran Antartika 2025. Beliau bukan sekadar membawa pulang pengalaman luar biasa dari benua beku itu, tetapi juga ilmu yang amat berharga tentang bagaimana lautan berfungsi, berubah, dan memberi kesan kepada kehidupan kita semua.
Ekspedisi yang dijalankan menggunakan kapal pemecah ais canggih Xuelong 2, bermula dari Pelabuhan Lyttelton di New Zealand dan berakhir di Pelabuhan Sydney, Australia. Bersama pasukan saintis dari Amerika Syarikat, Britain, Itali, New Zealand, Australia, Korea Selatan, Hong Kong dan China, Dr Apit telah menjejakkan kaki ke perairan Laut Ross, salah satu ekosistem laut terakhir di dunia yang masih hampir tidak terganggu oleh manusia.
Setiap hari di Antartika adalah perjuangan dan penemuan. Dr Apit menyertai pasukan zooplankton dan berjaya mengumpul sampel dari 22 stesen penyelidikan utama merangkumi kawasan seperti Islin Basin, Darglyski Through dan kawasan Polynya. Pensampelan dijalankan dalam keadaan suhu serendah negatif dua puluh darjah Celsius, bergantung kepada cuaca, lokasi dan keadaan ais. Dalam suasana seperti itu, tidak mudah untuk bergerak walau hanya mengangkat jaring atau menekan butang pada alat sensor. Semua peralatan saintifik sering membeku, dan tangan terasa seperti kayu walaupun bersarung tebal.
Namun, cabaran itu tidak menghalang para penyelidik daripada mengumpulkan data penting. Setiap saintis diwajibkan membentangkan hasil awal kepada seluruh ahli ekspedisi, dan Dr Apit sendiri amat mengagumi kecekapan pasukan China, terutamanya dalam oseanografi fizikal dan kimia, yang menghasilkan visual data yang sangat tersusun. Lebih mengagumkan, mereka turut membawa pelajar PhD dan penyelidik muda bersama mereka. Ini merupakan satu model pembangunan bakat yang boleh dicontohi.
Malaysia tidak pulang tangan kosong. Separuh daripada sampel zooplankton yang dikumpul dalam ekspedisi ini telah diserahkan kepada UMT, sebagai tanda kepercayaan dan kerjasama saintifik antarabangsa. Proses penghantaran sampel diselaraskan dengan bantuan rakan dari Thailand, Asst. Prof. Udomsak Darumas dari Chulalongkorn University. Sampel ini kini menjadi bahan penting dalam penyelidikan lanjut di Malaysia.
Mengapa UMT sanggup menghantar saintis ke tempat sejauh dan seasing itu? Kerana jawapan kepada perubahan iklim, kenaikan paras laut, dan kelangsungan biodiversiti marin tidak hanya berada di terumbu karang atau pesisir pantai tropika. Ia juga tersimpan di bawah kepingan ais purba Antartika dan dalam arus sejuk Laut Ross. Kawasan ini adalah tempat pembentukan air dasar lautan global, nadi kepada sistem arus yang mengawal suhu dan karbon bumi. Habitat ini juga melindungi spesis unik seperti penguin Adelie dan anjing laut Weddell yang merupakan simbol kepada betapa kompleks dan rapuhnya jalinan ekologi dunia.
Kami tidak sempat mengirimkan rendang untuk beliau semasa Hari Raya yang disambut jauh di kutub. Tapi kami sempat berpesan agar tidak percaya kepada golongan ‘flat earth’ yang kata kapal akan jatuh ke bawah jika kita sampai di hujung dunia. Antartika bukanlah penghujung bumi, tetapi salah satu titik mula kepada pemahaman sebenar tentang planet yang sedang berubah ini.
Selamat Hari Lautan Sedunia, 8 Jun 2025. Dan selamat kembali, Dr Apit. Kisah perjalanan ini adalah peringatan bahawa ilmu itu tidak mengenal sempadan geografi atau suhu. Misi ke Antartika ini bukan hanya milik seorang saintis, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia terutamanya anak-anak muda yang mungkin suatu hari nanti akan berkata, “Aku juga mahu menjadi ahli Biologi Marin ke lautan selatan, membawa ilmu demi bumi.”
Nota: PM Dr Hafiz Borkhan boleh dihubungi melalui hborhan@umt.edu.my
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang diraikan pada 8 Jun setiap tahun. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.