Oleh: Dr. Afiq Durrani M. Fahmi
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Pernahkah anda melihat seekor umang-umang kecil menyeret “rumahnya” di atas pasir? Lucu dan comel, bukan? Tapi rumah kecil itu bukan sekadar tempat berlindung, tetapi ia penentu hidup dan mati bagi makhluk kecil ini.
Umang-umang, atau hermit crab, tidak membina rumah sendiri. Mereka meminjam cangkerang kosong, biasanya daripada siput atau kerang yang telah mati. Cangkerang itu melindungi tubuh lembut mereka daripada pemangsa dan arus laut. Setiap kali membesar, mereka perlu mencari “rumah” baharu, sama seperti manusia berpindah apabila rumah lama sudah tidak muat. Namun kini, “pindah rumah” bukan lagi semudah dahulu.
Di kawasan pantai dan pulau yang dipenuhi pelancong, umang-umang semakin sukar mencari cangkerang semula jadi. Banyak cangkerang diambil manusia untuk dijadikan hiasan, cenderamata atau koleksi. Kajian oleh Steibl dan Laforsch (2019) menunjukkan populasi umang-umang di kawasan pelancongan jauh lebih rendah, dengan individu yang bersaiz lebih kecil berbanding kawasan yang tidak diganggu.
Yang lebih menyedihkan, semakin banyak umang-umang kini dilihat tinggal dalam penutup botol plastik, serpihan logam, dan bekas-bekas buangan lain. Ini bukan lagi fenomena aneh, ini merupakan isyarat amaran dari lautan. Hakikatnya, rumah-rumah plastik ini tidak memberikan perlindungan sebenar. Ada yang tajam, ada yang beracun, dan banyak terlalu ringan hingga menyukarkan mereka bergerak dengan selamat apabila ditiup angin.
Masalah ini bukan sekadar pencemaran fizikal. Lautan yang semakin berasid akibat penyerapan karbon dioksida berlebihan telah mengganggu pembentukan cangkerang siput dan kerang yang sebelum ini merupakan pembekal utama “rumah” umang-umang. Kajian menunjukkan cangkerang hari ini lebih kecil, lebih nipis dan kurang kukuh berbanding dahulu. Dalam situasi ini, krisis perumahan untuk umang-umang semakin parah.
Lebih membimbangkan, pencemaran mikroplastik turut menjejaskan keupayaan kognitif mereka. Dalam satu eksperimen oleh Crump et al. (2023), umang-umang yang terdedah kepada mikroplastik menjadi lebih perlahan dan kurang cekap dalam memilih cangkerang. Cunningham (2021) pula menunjukkan bahawa mikroplastik boleh melemahkan keupayaan mereka untuk bersaing, menjadikan proses mendapatkan rumah yang lebih baik semakin mencabar.
Dan ini belum termasuk kesan pengasidan laut yang menjejaskan keupayaan mereka untuk mengesan bau makanan, mengenal pasti pemangsa, dan menentukan ketersediaan cangkerang. Malah, perubahan suhu laut turut memberi tekanan tingkah laku yang boleh menyebabkan kesilapan dalam pemilihan rumah.
Semua ini memberi amaran jelas bahawa umang-umang bukan sekadar mangsa, tetapi petunjuk bahawa ekosistem marin sedang terganggu. Sebagai pemakan sisa organik, pembersih dasar laut, dan makanan kepada pelbagai haiwan lain, kehilangan mereka membawa kesan berantai kepada seluruh jaringan ekologi.
Bersempena Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun ini, mari kita pandang semula makhluk kecil yang selama ini sunyi tanpa suara. Jangan bawa balik kulit siput jika ke pantai. Biarkan ia kekal di sana kerana ia bukan untuk hiasan di rumah kita, tetapi demi kehidupan seekor umang-umang yang memerlukannya.
Jika hari ini mereka terpaksa tinggal dalam botol plastik, itu bukan lagi cerita lucu. Itu adalah jeritan lautan yang sedang sakit. Dan ubatnya terletak pada pilihan kita: kurangkan plastik, jangan ambil cangkerang, dan jaga laut seperti rumah sendiri.


Rujukan:
Crump, A., Aiken, C., Cunningham, E. M., & Arnott, G. (2023). Short-Term Microplastic Exposure Impairs Cognition in Hermit Crabs. Animals, 13(6), 1055.
Cunningham Eoghan M., Mundye Amy, Kregting Louise, Dick Jaimie T. A., Crump Andrew, Riddell Gillian and Arnott Gareth (2021). Animal contests and microplastics: evidence of disrupted behaviour in hermit crabs Pagurus bernhardusR. Soc. Open Sci.8211089
Turra, A., Ragagnin, M. N., McCarthy, I. D., & Fernandez, W. S. (2020). The effect of ocean acidification on the intertidal hermit crab Pagurus criniticornis is not modulated by cheliped amputation and sex. Marine Environmental Research, 153, 104794.
Steibl, S., & Laforsch, C. (2019). Disentangling the environmental impact of different human disturbances: a case study on islands. Sci Rep. 9(1):13712.
Gilliand, S. (2017). The effects of changes in temperature and salinity on the behavior of the hermit crab Pagurus longicarpus (Master’s thesis, Tufts University). Tufts Digital Library.
Mengenai Penulis:
Dr. Afiq Durrani bin Mohd Fahmi ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Dalam bidang penyelidikan, Dr. Afiq aktif menerbitkan kajian berkaitan interaksi antara mikroorganisma marin dan persekitaran, termasuk kesan pencemaran dan perubahan iklim terhadap komuniti mikrob. Selain tugas akademik, beliau juga merupakan ahli Kumpulan Pakar Literasi Laut (Group of Experts on Ocean Literacy) di bawah Suruhanjaya Oseanografi Antara Kerajaan UNESCO (IOC-UNESCO), bermatlamat mempromosikan pemahaman dan kesedaran tentang pentingnya lautan dalam pembangunan mampan. Beliau boleh dihubungi melalui afiq.mohd@umt.edu.my
#LiterasiLautanUntukSemua
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang diraikan pada 8 Jun setiap tahun. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.