Oleh: Dr. Roslizawati Ab Lah
Universit Malaysia Terengganu, UMT
Bayangkan satu pinggan kerang rebus yang berasap, disaji dengan air asam dan hirisan limau nipis. Ia bukan sahaja menggoda selera, malah mewakili warisan makanan laut Malaysia yang kaya dan beraneka. Namun, di sebalik keenakan itu, tersembunyi persoalan penting: adakah ia benar-benar selamat untuk dimakan? Dengan perubahan iklim, dan pencemaran air, adakah kita benar-benar memahami apa yang masuk ke dalam tubuh badan kita?
Kerang-kerangan mewakili satu kumpulan haiwan laut bercengkerang dua (bivalvia) yang berengsel (hinged shell) seperti kerang, kupang, lokan dan tiram yang hidup di dasar berlumpur dan berpasir. Haiwan ini menjadikan kawasan berlumpur atau berpasir di pesisir pantai dan muara sungai sebagai habitat mereka. Seperti ikan, kerang bernafas melalui insang di mana ia juga berfungsi sebagai penapis makanan, menyaring air laut untuk mendapatkan bekalan makanan.
Secara amnya, terdapat lebih daripada 20,000 spesis kerang yang dikenal pasti termasuklah kerang-kerangan yang boleh dimakan dan tidak boleh dimakan. Malaysia pula adalah antara negara yang memiliki kepelbagaian kerang-kerangan yang tinggi terutamanya di kawasan paya bakau, pesisir pantai dan muara. Antara species yang biasa diternak di sini adalah kerang atau nama saintifiknya Tegillarca granosa, kupang (Perna viridis) dan tiram (Magallana bilineata).
Malaysia bukan sahaja penggemar makanan laut, tetapi juga antara pengeluar utama kerang-kerangan di rantau ini. Dari kupang di Selat Melaka hingga tiram di Sabah, industri ini menunjukkan pertumbuhan positif, namun memerlukan perhatian dari segi kawalan kualiti. Menurut laporan Jabatan Perikanan Malaysia, pengeluaran kerang di Malaysia meningkat kepada 16,198.96 tan pada tahun 2024 berbanding 15,147.76 tan pada 2023. Kupang juga mencatatkan peningkatan kepada 3,637.93 tan berbanding 2,436.54 tan sebelumnya.
Kerang bukan sahaja enak dimakan, tetapi juga mengandungi pelbagai nutrien penting yang menyumbang kepada kesihatan manusia. Antaranya termasuklah protein berkualiti tinggi yang menyokong pertumbuhan dan pembaikan tisu badan. Ia juga merupakan sumber zat besi yang baik, yang penting dalam penghasilan sel darah merah dan pencegahan anemia. Vitamin B12 yang terdapat dalam kerang membantu mengekalkan kesihatan sistem saraf dan menyokong penghasilan DNA.
Selain itu, kerang mengandungi asid lemak omega-3 yang penting untuk kesihatan jantung dan fungsi otak. Ia juga membekalkan mineral penting seperti zink dan selenium yang membantu dalam pengukuhan sistem imun dan kesihatan metabolisme. Dengan kandungan lemak tepu dan kalori yang rendah, kerang menjadi pilihan makanan laut yang sihat dan sesuai dimasukkan dalam diet seimbang. Namun, di sebalik keenakan dan nilai nutrisinya, terdapat risiko tersembunyi yang wajar diberi perhatian: pencemaran logam berat dan jangkitan bakteria.
Sebagai penapis semula jadi, kerang menapis bukan sahaja nutrien untuk mendapatkan makanan mereka. Akan tetapi mereka turut menapis bahan pencemar seperti plumbum, arsenik, dan bakteria berbahaya. Ini menjadikan mereka indikator kesihatan laut, dan secara tidak langsung, kesihatan kita juga.
Logam berat seperti plumbum (Pb), merkuri (Hg), kadmium (Cd) dan arsenik (As) boleh terkumpul dalam tisu kerang sekiranya habitat mereka tercemar akibat aktiviti perindustrian, pertanian, atau pembuangan sisa domestik. Walaupun kerang bertindak sebagai penapis semula jadi, pendedahan berterusan kepada bahan toksik ini boleh membawa risiko kesihatan serius kepada pengguna. Pengambilan berulang terhadap kerang yang tercemar boleh mengakibatkan pengumpulan logam berat dalam tubuh manusia, yang berpotensi mencetuskan kesan toksik kronik.
Antara kesan kesihatan yang dikaitkan dengan logam berat termasuklah: plumbum yang boleh menjejaskan sistem saraf dan perkembangan otak kanak-kanak, merkuri yang berisiko merosakkan buah pinggang dan sistem saraf pusat, kadmium yang mengganggu fungsi buah pinggang dan menjejaskan kekuatan tulang, serta arsenik yang diketahui sebagai karsinogen dan boleh merosakkan hati. Oleh itu, pemantauan berkala terhadap kandungan logam berat dalam kerang adalah penting bagi memastikan keselamatan makanan laut ini terus terjamin.
Selain logam berat, kerang juga boleh menjadi pembawa bakteria berbahaya seperti Vibrio parahaemolyticus, Vibrio vulnificus, E. coli, dan virus seperti Norovirus. Mikroorganisma ini boleh menyebabkan keracunan makanan yang serius. Punca utama pencemaran mikrobiologi termasuk perairan tercemar dengan najis manusia atau haiwan, sistem kumbahan yang bocor dan juga perubahan iklim turut menyumbang kepada pertumbuhan pantas bakteria dan virus ini.
Oleh yang demikian, amat penting untuk memastikan kerang dimasak dengan betul bagi mengurangkan risiko jangkitan mikrobiologi ini. Kerang perlu dimasak sehingga mendidih dan cengkerangnya terbuka sepenuhnya. Elakkan memakan kerang mentah, terutamanya dalam musim hujan lebat atau sewaktu amaran pencemaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Penilaian Risiko Kesihatan
Pernah terfikir, jika anda makan 100 gram kerang setiap hari, adakah anda sedang menyimpan racun logam berat dalam tubuh? Soalan ini bukan sekadar andaian, tetapi ia boleh dijawab secara saintifik melalui kaedah penilaian risiko seperti Estimated Daily Intake (EDI) dan Target Hazard Quotient (THQ). Kedua-dua pendekatan ini digunakan untuk mengukur sejauh mana pengambilan bahan pencemar seperti logam berat melalui makanan laut memberi kesan kepada kesihatan kita.
Beberapa kaedah digunakan dalam penilaian risiko ini:
1) Estimated Daily Intake (EDI) digunakan untuk menganggarkan berapa banyak bahan pencemar mungkin dimakan setiap hari melalui kerang. Nilai ini dibandingkan dengan had selamat yang ditetapkan.
2) Target Hazard Quotient (THQ) digunakan untuk menilai risiko bukan kanser. Jika THQ kurang daripada 1, maka risikonya dianggap rendah. Jika melebihi 1, ia menunjukkan risiko yang mungkin memerlukan perhatian.
3) Hazard Index (HI) pula adalah gabungan beberapa THQ bagi pelbagai bahan pencemar dan jika jumlahnya lebih dari 1, maka terdapat risiko kesihatan secara kumulatif.
4) Target Cancer Risk (TCR) digunakan untuk menganggarkan kebarangkalian seseorang mendapat kanser sepanjang hayat akibat pengambilan bahan karsinogenik dalam makanan.
5) Estimated Weekly Intake (EWI) dan Provisional Tolerable Weekly Intake (PTWI) pula membandingkan jumlah bahan yang diambil dalam seminggu dengan tahap pengambilan selamat yang disarankan oleh badan seperti WHO dan EFSA.
Contoh Pengiraan Penilaian Risiko
Sebagai contoh, andaikan seseorang dewasa seberat 62 kg memakan 100 gram kerang setiap hari (anggaran berat boleh di lihat di jadual di bawah), dan kandungan logam berat seperti nikel (Ni) dalam kerang tersebut ialah 0.3 mg/kg (berdasarkan berat basah). Maka:
Estimated Daily Intake (EDI) dikira seperti berikut:
EDI = (0.3 mg/kg x 0.1kg)/62 kg
= 0.000484 mg/kg berat badan/hari
= 0.484 µg/kg/hari
Target Hazard Quotient (THQ) pula dibandingkan dengan dos rujukan (reference dose) yang ditetapkan oleh US EPA untuk nikel iaitu 20 µg/kg/hari:
THQ = 0.484/ 20
= 0.024
Nilai THQ yang jauh lebih rendah daripada 1 (iaitu 0.024) menunjukkan bahawa pengambilan nikel daripada kerang ini masih dalam tahap selamat dan tidak memberikan risiko bukan karsinogenik kepada kesihatan.
Secara ringkasnya, penilaian risiko kesihatan ialah satu pendekatan saintifik yang menilai tahap pendedahan kepada bahan toksik seperti plumbum, merkuri, atau kadmium akibat pengambilan makanan secara berterusan. Ia bertujuan untuk menentukan sama ada kadar pengambilan tersebut berada dalam tahap selamat atau boleh menimbulkan risiko kepada kesihatan manusia, termasuk kesan jangka panjang seperti kerosakan organ atau risiko kanser.


Walaupun kerang-kerangan seperti kerang, kupang, tiram, dan lokan merupakan sumber protein yang berkhasiat dan menyumbang kepada ekonomi tempatan, risiko pencemaran seperti logam berat, bakteria, dan virus tidak boleh dipandang ringan. Perubahan iklim turut memburukkan keadaan dengan mempercepatkan pertumbuhan patogen dalam perairan tropika. Oleh itu, pemantauan kualiti air, kawalan tempat penuaian, dan pendidikan pengguna tentang cara penyediaan kerang yang selamat amat penting.
Penilaian risiko kesihatan seperti EDI, THQ, HI, dan TCR membolehkan kita menilai tahap bahaya berdasarkan kadar pengambilan dan jenis pencemar. Kajian saintifik menunjukkan bahawa paras pencemaran dalam kerang di Malaysia masih dalam julat selamat, namun risiko boleh meningkat jika kerang dikutip dari kawasan tercemar atau dimakan dalam kuantiti berlebihan. Pemahaman terhadap risiko ini penting bukan sahaja untuk melindungi kesihatan pengguna, tetapi juga bagi merangka dasar pengurusan perikanan dan keselamatan makanan yang lebih mampan di masa depan. Maka, memahami sains di sebalik setiap suapan adalah langkah bijak demi kesihatan jangka panjang.
Mengenai Penulis
Dr. Roslizawati Ab Lah ialah pensyarah kanan di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Kepakaran beliau adalah dalam bidang ekologi marin, khususnya kajian berkaitan moluska, pemanasan laut, pengasidan, dan nilai nutrisi spesies marin. Beliau aktif menjalankan penyelidikan mengenai kesan perubahan iklim terhadap kualiti sumber makanan laut dan membimbing pelajar dalam bidang berkaitan. Beliau boleh dihubungi melalui ros_ablah@umt.edu.my
#LiterasiLautanUntukSemua
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang diraikan pada 8 Jun setiap tahun. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.