Penulis: Prof. Madya. Dr. Mohd Uzair Rusli
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Berapa sebenarnya nilai lautan kita? Adakah nilainya sekadar hasil tangkapan ikan yang didaratkan atau jumlah minyak dan gas asli yang kita gali? Atau adakah ia lebih besar dan mendalam, tersembunyi dalam fungsi alam yang tidak ternilai seperti penyerapan karbon oleh rumput laut, perlindungan pantai oleh hutan bakau, atau warisan spesis purba seperti penyu yang menjadikan perairan kita sebagai tempat bertelur saban tahun? Inilah persoalan yang cuba dijawab oleh satu pendekatan baharu yang kini semakin mendapat perhatian global iaitu Ocean Accounting atau dalam bahasa Melayu disebut Perakaunan Lautan.
Perakaunan Lautan merupakan satu sistem yang menyepadukan data ekologi, ekonomi dan sosial untuk memberi gambaran menyeluruh dan saintifik mengenai bagaimana lautan menyumbang kepada kehidupan manusia dan bagaimana pula aktiviti manusia memberi kesan kepada kesihatan lautan. Pendekatan ini membolehkan maklumat tentang keadaan ekosistem seperti terumbu karang, padang rumput laut, hutan paya bakau, serta aktiviti ekonomi seperti perikanan, pelancongan marin dan perkapalan digabungkan secara sistematik dan dilaporkan dalam bentuk yang boleh difahami oleh pembuat dasar, penyelidik dan masyarakat awam.
Untuk memulakan perbincangan mengenai potensi Perakaunan Lautan, penulis ingin mengambil contoh yang dekat dengan penulis iaitu Pulau Redang, Terengganu. Pulau ini bukan hanya sekadar destinasi pelancongan, tetapi merupakan nadi pemeliharaan biodiversiti marin yang sangat kompleks. Di utara pulau ini terletaknya Chagar Hutang Turtle Sanctuary, sebuah kawasan perlindungan yang memberi fokus kepada pembangunan kefahaman konservasi penyu. Di sinilah penyu bertelur saban musim sejak sekian lama. Penyu bukan sahaja memainkan peranan penting dalam ekosistem marin, seperti mengawal populasi ubur-ubur dan memelihara kesihatan padang rumput laut, malah ia juga membawa nilai besar dalam konteks pelancongan berasaskan pengalaman, pendidikan alam sekitar dan penyelidikan saintifik.
Namun begitu, nilai ini belum pernah dikira dalam perakaunan nasional secara formal. Tiada angka yang benar-benar mewakili sumbangan seekor penyu terhadap keseimbangan ekosistem atau manfaat ekonomi yang dijanakan hasil kehadiran penyu kepada sektor pelancongan. Tiada pengiraan tentang jumlah karbon yang disimpan oleh rumput laut yang menjadi habitat padang ragut mereka. Tiada anggaran tentang kerugian sekiranya habitat ini musnah akibat pembangunan pesisir yang tidak terkawal. Perakaunan Lautan dapat memberikan jawapan kepada semua soalan ini secara saintifik, tersusun dan boleh diverifikasi.
Untuk membina sistem Perkaunan Lautan yang mantap dan sesuai untuk negara kita, usaha ini memerlukan penyertaan aktif penyelidik daripada pelbagai bidang. Ahli biologi marin dan ekologi akan memainkan peranan utama dalam menilai fungsi dan keadaan ekosistem. Ahli ekonomi pula perlu menilai nilai pasaran dan bukan pasaran daripada sumber marin seperti bakau, karbon biru, penyu dan pelancongan lestari. Pakar statistik dan perangkaan akan membantu membina kerangka pelaporan berasaskan Sistem Perakaunan Alam Sekitar dan Ekonomi (SEEA). Saintis data dan pakar GIS pula akan menyumbang dari sudut pemetaan dan integrasi data spatial. Selain itu, penyelidik bidang sosial dan budaya pesisir turut penting dalam menilai kesan kepada komuniti setempat yang bergantung hidup kepada lautan. Pakar dasar dan perundangan akan memastikan kesemua data ini boleh diterjemahkan menjadi tindakan berimpak tinggi di peringkat dasar dan pengurusan.
Chagar Hutang memenuhi semua prasyarat yang diperlukan untuk menjadi lokasi model pelaksanaan Perakaunan Lautan. Kawasan ini mempunyai data saintifik jangka panjang, rekod persarangan penyu yang konsisten sejak tahun 1993, serta komuniti penyelidik dan sukarelawan yang komited terhadap pemuliharaan. Malah, lokasi-lokasi lain seperti Taman Laut Redang, kawasan pelancongan lestari di Perhentian dan Tioman, serta kawasan konservasi di Semporna juga boleh dijadikan tapak kajian lanjutan untuk mengembangkan model ini ke seluruh negara.
Malaysia sebenarnya telah pun memulakan langkah awal apabila menjalankan projek rintis Perakaunan Lautan di Selat Melaka dengan kerjasama Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia-Pasifik (UNESCAP). Projek tersebut memfokuskan kepada aspek kelestarian perikanan dan kesan perubahan iklim terhadap hasil laut. Namun langkah susulan yang lebih menyeluruh amat diperlukan. Sudah tiba masanya Malaysia membangunkan kerangka kebangsaan Perkaunan Lautan yang bersifat bersepadu, terselaras antara kementerian, dan disokong oleh institusi penyelidikan tempatan.
Melalui pelaksanaan Perakaunan Lautan secara nasional, kerajaan akan mempunyai mekanisma yang lebih kukuh untuk menilai sumbangan lautan kepada ekonomi, mengenal pasti kawasan yang perlu dipelihara, dan mengukur kemajuan negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG14). Pendekatan ini juga akan menyokong pembangunan ekonomi biru yang sebenar, iaitu pembangunan yang berasaskan dapatan saintifik, tidak menjejaskan alam sekitar, dan memberi manfaat kembali kepada masyarakat pesisir secara adil dan lestari.
Sudah tiba masanya kita tidak hanya menghitung nilai ikan yang ditangkap atau jumlah minyak dan gas asli yang kita gali sahaja, tetapi juga menghitung nilai padang rumput laut yang menyerap karbon, nilai hutan paya bakau yang melindungi kampung dari ribut, dan nilai seekor penyu yang mencetuskan rasa ingin tahu saintifik serta kesedaran alam dalam diri anak-anak kita.
Bersempena dengan sambutan Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun, marilah kita memulakan tindakan dalam menilai semula hubungan kita dengan lautan. Lautan kita amat tinggi harganya. Ia bukan sekadar bentangan air yang luas, tetapi sumber kehidupan, perlindungan dan kelangsungan kepada 34 juta rakyat Malaysia. Di sinilah letaknya keperluan untuk membina satu kerangka Perakaunan Lautan, suatu sistem yang mengiktiraf, merekod dan menilai sumbangan sebenar lautan kepada negara.
Penulis percaya bahawa usaha ini juga boleh menjadi asbab menyatukan seluruh ekosistem penyelidikan dan pengurusan negara. Sudah tiba masanya kita mengajak penyelidik pelbagai bidang, pembuat dasar, para pelancong, nelayan dan seluruh rakyat Malaysia untuk duduk semeja dalam misi bersama: menjadikan lautan sebagai aset negara yang diiktiraf, dijaga dan dinilai secara adil, demi generasi yang akan datang.
Mengenai Penulis:
Prof. Madya. Dr. Mohd Uzair Rusli merupakan ketua penyelidik Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Berpengalaman dalam bidang pemeliharaan haiwan marin, pendidikan konservasi dan dasar pengurusan sumber laut. Beliau komited meningkatkan tahap literasi lautan nasional sebagai satu usaha menangani cabaran lautan ketika ini. Penulis boleh dihubungi melalui uzair@umt.edu.my
#LiterasiLautanUntukSemua
*Artikel ini diterbitkan atas inisiatif dan tajaan ‘OceanHOPE Project’ dari Universiti Malaysia Terengganu bagi meningkatkan tahap literasi lautan kepada orang ramai bersempena sambutan Hari Lautan Sedunia yang diraikan pada 8 Jun setiap tahun. Sila layari https://oceanhope.umt.edu.my/ untuk maklumat lanjut.
Gambar-gambar kredit dari Facebook Media Kreatif UMT