SHARE
Di minggu kedua permulaan tahun 2017, Malaysia menerima satu kejutan berita kejayaan luar biasa rakyat Malaysia dalam bidang penyelidikan saintifik di luar negara. Penemuan ‘Supermassive Black holes’ dari kumpulan penyelidikan tersebut mendapat liputan meluas dari media di seluruh dunia.
Ikuti temubual eksklusif secara online bersama Adlyka Annuar, penuntut ijazah Kedoktoran dalam bidang Astrofizik, di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom.  Beliau ditemubual oleh Mohd Faizal Aziz, Ketua Editor MajalahSains.Com
*************************

Tahniah diucapkan kerana mengharumkan nama Malaysia lebih-lebih lagi di permulaan tahun 2017. Ada sesuatu yang ingin saudari perkatakan?
Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MajalahSains kerana menghubungi saya. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengirimkan ucapan tahniah kepada saya di sini.
Saya juga memohon maaf kepada beberapa pihak dan individu-individu yang telah menghubungi saya, tetapi masih tidak menerima maklumbalas kerana saya agak sibuk buat masa ini. Saya akan cuba untuk memberi maklumbalas apabila berpeluang.
Ceritakan sedikit latarbelakang saudari, hobi, kegemaran?
Nama penuh saya ialah Nur Adlyka Binti Ainul Annuar. Saya berasal daripada Muar, Johor, dan dilahirkan pada tahun 1990. Saya merupakan anak kedua daripada 4 adik beradik, yang terdiri daripada sorang abang, dan dua orang adik perempuan. Saya juga baru mendirikan rumahtangga pada tahun lepas dengan Amirul Adli Bin Abd Aziz.
Pada masa lapang, kegemaran saya ialah menonton filem, dan meluangkan masa bersama suami dan keluarga.
Saya mula meminati bidang Astronomi sejak sekolah rendah lagi, tetapi betul-betul menetapkan minda saya untuk menceburi bidang ini ketika berumur 13 tahun setelah menonton filem Armageddon dan Apollo 13.
Bagaimana dengan dunia persekolahan dan pengajian di Universiti ?
Saya bersekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abu Bakar (2) di Muar, Johor pada tahun 1997-2002 dan kemudian meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar, Muar pada tahun 2003-2007.
Setelah tamat persekolahan, saya ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2008 untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains di United Kingdom (UK). Saya menerima ijazah Sarjana Muda (BSc) kelas pertama dalam bidang Fizik dan Astofizik daripada University of Sheffield, UK pada tahun 2013.
IMG_7195
Adlyka (kanan) bersama penyelianya, Prof. David Alexander (kiri) di Universiti Durham, UK.
 Saya kemudian meneruskan pengajian ijazah Doktor Falsafah di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) dalam bidang Astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, UK, pada tahun 2013.
Kini saya berada di bawah penyeliaan Prof. David Alexander, profesor Astronomi dan juga Timbalan Pengarah, Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Universiti Durham. Saya juga merupakan salah seorang saintis teleskop X-ray terbaru NASA (National Aeronautics and Space Administration, USA), yang dinamakan NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array) sejak tahun 2014 sehingga kini.
Penyelidikan PhD saya adalah berkaitan “active supermassive black holes” di alam semesta kita.“Supermassive black holes” adalah lohong-lohong hitam yang sekurang-kurangnya sejuta kali lebih berat daripada matahari kita. “Active supermassive black holes” adalah “supermassive black holes” yang aktif “memakan” benda-benda dan objek di sekelilingnya.
Penyelidikan saya memberi tumpuan khusus untuk mencari “active supermassive black holes” yang tersembunyi daripada pandangan kita kerana dilindung oleh gas dan habuk yang tebal. Saya menggunakan NuSTAR untuk mencari lohong-lohong hitam ini kerana teleskop ini dapat mengesan sinaran-X (X-Ray) daripada objek-objek ini, yang dapat menembusi gas dan habuk yang tebal tersebut. Mencari lohong-lohong hitam tersembunyi ini sangat penting untuk membantu kita memahami bagaimana lohong-lohong hitam di alam semesta mengembang dan bagaimana ia memberi kesan kepada galaksi yang mereka duduki.
Boleh ceritakan secara ringkas apa sebenarnya penyelidikan atau sumbangan saudari dalam penemuan dan pembuktian kewujudan ‘Supermassive Blackhole’ yang hangat diperkatakan ?

Galaksi NGC 1448 – Salah satu galaksi yang berdekatan dengan kita, yang dijumpai mengandungi “supermassive black hole” aktif yang bersembunyi daripada pandangan kita kerana dilindungi gas dan habuk angkasa yang tebal.
Saya merupakan ketua penyelidik salah satu (daripada dua) lohong hitam tersembunyi yang dijumpai berdekatan dengan galaksi. Lohong hitam tersebut berada di tengah-tengah galaksi NGC 1448, yang berada dalam jarak 38 juta tahun cahaya daripada galaksi kita. Oleh kerana saiz alam semesta kita sangat besar, di dalam dunia astronomi, jarak ini dikira sangat dekat dengan kita. Penyelidikan saya ini dibantu oleh saintis-saintis NuSTAR yang lain di serata dunia.
Kertas penyelidikan berkaitan penemuan ini akan diterbitkan di dalam journal “The Astrophysical Journal”, dan versi pra-cetak kertas tersebut boleh dibaca di:
https://arxiv.org/abs/1701.00497
IMG_7194
Galaksi NGC 1448 – Lokasi supermassive blackholes ditemui.
Apa perasaan saudari melalui liputan meluas tentang kejayaan dan penglibatan saudari di dalam kumpulan penyelidikan ini.
Saya sangat berbangga dan terharu dengan liputan meluas yang diberikan. Saya sememangnya tidak menyangka kejayaan ini akan mendapat liputan sebegini rupa daripada pihak media dan orang awam.
Saya dedikasi kan kejayaan ini kepada ahli keluarga, terutamanya suami dan ibu bapa saya yang sentiasa menyokong cita-cita, dan menjadi tulang belakang kepada kejayaan saya sehingga hari ini.
Harapan dan impian tentang penyelidikan bidang ini di Malaysia di masa hadapan?

 

Saya berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda negara kita untuk tidak takut  menceburi bidang Astronomi dan astrofizik, yang dianggap baru dan tidak mempunyai prospek pekerjaan yang banyak di Malaysia. Lebih ramai yang menceburi bidang ini, akan lebih banyak pekerjaan yang mampu ditawarkan, insyaAllah.
Saya juga berharap kejayaan kecil ini mampu menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada penyelidik-penyelidik fizik dan astronomi di Malaysia untuk membangunkan lagi bidang Astronomi & Astrofizik di negara kita agar setanding di mata dunia.
Akhir sekali, besar harapan saya agar kerajaan Malaysia dapat meneruskan tajaan biasiswa kepada rakyat Malaysia yang layak dan berbakat, tanpa mengira bangsa dan agama, terutamanya pengajian lanjutan terutama di peringkat kedoktoran, kerana pada peringkat inilah kita betul-betul dapat mengumpul pengalaman yang sangat berguna dan memberi sumbangan yang besar dalam bidang yang diceburi, seterusnya mengharumkan nama negara.
Saya juga berharap kerajaan Malaysia dapat menyediakan lebih banyak pembiayaan-pembiayaan penyelidikan dalam bidang sains kepada universiti-universiti dan pusat-pusat penyelidikan di Malaysia, agar kita dapat membangunkan negara dalam bidang ini.
Salam hormat dari saya
Nur Adlyka Ainul Annuar
Durham University, United Kingdom
Jan 2017
Terima kasih kami ucapkan kerana sudi ditemubual. Kami dari MajalahSains dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar dipermudahkan segala urusan pengajian PhD saudari di sana.
All the best!

Ikuti kami di:-
Facebook
Twitter
Instagram

18 COMMENTS

  1. Tahniah saudari atas kejayaan ini. Ini merupakan penemuan besar dalam bidang astronomi dan pastinya merupakan penemuan penting dunia.

    Ini pastinya membanggakan kami rakyat Malaysia kerana dapat mengharumkan nama negara di persada dunia.

  2. Tahniah saudari. Selain bidang sukan dan lawak, kejayaan saudari sangat mengubat hati. Terima kasih. Moga Allah berkati saudari dan keluarga. Amin… 🙂

  3. assalaamualaykum wrm..
    Tahniah dab baarakallahu laha..
    Moga Allah memberkati pembelajaran dan penyelidikan puan..

    These findings reinforce the facts that we are but a tiny weeny beings amongst the vast galaxy and outer space..

    Apakah impplikasi penemuan ini…adakah ia bermaksud
    bumi juga boleh ‘disedut’ masuk ke dlm black hole itu.

    Apakah ia seperti ‘vacuum’..

    Terima kasih

  4. Satu persoalan yg saya selalu fikirkan, apakah itu Kiamat ?

    Adakah ia hanya melibatkan sistem Suria kita, atau galaksi Milky Way yg kita diami sekarang, atau seluruh alam semesta yg mengandungi billion galaksi yg ada di alam semesta ?

    Satu persoalan yg menarik … pemahaman kita mengenai alam semesta moden seharusnya lebih kita memahami dan mengagungkan Al Quran.
    Saintis juga mesti alim AlQuran. In sya Allah . 😁

  5. Adlyka,
    Kami warga sab sangat bangga dengan pencapaian anda.Tahniah!Semoga terus cemerlang dalam bidang yang diceburi.

  6. Anak perempuan saya yang sedang mengikuti aliran Sains Fizik PraU di Tingkatan Enam Atas pada tahun ini menjadikan anda sebagai idolanya….pasti ibu anda bangga atas pencapaian ini. TAHNIAH…

  7. Tahniah Puan Nur Adlyka. Semoga kejayaan puan menjadi inspirasi anak-anak muda Malaysia. Media massa perlu aktif menyebarluas pencapaian seperti ini dan bukan hanya berfokus kepada hiburan semata.

    Tahniah sekali lagi.

  8. tahniah…mg anda mjadi saintis muslimah yg bjaya yg dpt menyumbang ilmu kepada semua.mg segala pengorbanan mandpt rahmat Allah sentiasa.

  9. Tahniah buat Pn Nur Adlyka yg telah berjaya menemui Supermassive black hole tersebut yg mengemparkan seluruh dunia. Di harap lebih ramai lagi saintis Malaysia dpt dipertengahkan. Pupuk minat sains dari sekolah rendah lagi. Kerajaan sepatutnya melengkapkan fasarana Makmal-Makmal di sekolah rendah dan menengah supaya menarik minat pelajar dlm bidang sains.

  10. Hebat. Tahniah. Bukan senang nak jumpa black hole di tengah2 galaxy. Adakah caranya sama seperti mereka menemui black hole di Milky Way?

  11. Taniaah!teruskan…..kajian anda tetapkan matlamat mencari penemuan sumber sumber tenaga baru dari alam angkasa yang bole memberi mamfaat untuk industri sains astronomy Negara.Taniaah sekali lagi….

  12. Tahniah pn……… Didoakan lebih ramai lg anak melayu tulen kita yg berjaya dibidang sains.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

CommentLuv badge