Dr. Marlia Mohd Hanafiah
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti kebangsaan Malaysia
Untuk temubual ke-6 dalam siri Kenali Saintis Malaysia, MajalahSains menemubual Dr. Marlia Mohd Hanafiah. Beliau kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Ketua Kluster Sains Kesihatan di Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar (Centre for Earth Sciences and Environment), Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Apa tumpuan/latar belakang penyelidikan sekarang?
Tumpuan penyelidikan saya kini adalah membangunkan pangkalan data (database) inventori kitar hayat produk dan sistem di Malaysia berasaskan kaedah Life Cycle Sustainability Assessment (LCSA), iaitu gabungan Life Cycle Assessment (LCA), Life Cycle Costing (LCC) dan Social Life Cycle Assessment (S-LCA). Projek ini dinamakan MyLCSA. Selain itu, kumpulan penyelidikan saya kini giat meneroka potensi sisa buangan sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui bagi membantu Malaysia ke arah Circular Economy serta penyelidikan berasaskan mesra alam seperti fitoremediasi bagi merawat air sisa buangan.

Bagaimana penyelidikan ini dapat dimanfaatkan oleh masyarakat/industri?
Sehingga kini tidak ramai pakar bidang LCA di Malaysia. Penyelidikan yang kami jalankan ini dapat meningkatkan bilangan pakar bidang LCA di mana penyelidikan ini amat penting dalam menilai kelestarian sesuatu produk dan teknologi. LCA dapat membantu industri menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing serta memberi maklumat yang tepat terhadap produk hijau bagi membantu masyarakat terutamanya pengguna dalam membuat keputusan yang bijak.
Penyelidikan yang bersifat transdisiplin ini bukan sahaja bermanfaat kepada bidang alam sekitar, malah turut melibatkan bidang teknologi hijau, kejuruteraan alam sekitar, ekonomi dan sosio kerana LCA merupakan alat pengurusan alam sekitar yang mengaplikasi konsep cradle-to-grave di mana hasil penyelidikan ini bersifat holistik yang boleh membantu dalam menggubal dasar dan polisi Negara berkaitan Sains alam sekitar dan pembangunan teknologi.
Di mana tempat bertugas sekarang? (Kumpulan penyelidikan, institusi, makmal, kolaborasi)
Saya kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Ketua Kluster Sains Kesihatan di Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar (Centre for Earth Sciences and Environment), Fakulti Sains dan Teknologi, UKM. Saya mengetuai kumpulan penyelidikan Sustainability & Environmental Management Research Group (SEMrg) serta merupakan Sidang Editor kepada Jurnal Sains Malaysiana dan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah kepada International Water, Air & Soil Conservation Society (INWASCON).
Bagaimana mula terlibat dalam dunia akademik dan penyelidikan?
Saya mula terlibat dalam dunia akademik selepas ditawarkan jawatan Tutor di UKM pada tahun 2006. Saya kemudian melanjutkan pengajian PhD (program 4 tahun) di Radboud University Nijmegen, the Netherlands dalam bidang Life Cycle Impact Assessment. Selepas tamat pengajian PhD pada 2013, saya berkhidmat sebagai Pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi, UKM dan meneruskan minat saya dalam dunia akademik dan penyelidikan di UKM.

Siapa tokoh sains/saintis idola? Dan kenapa?
Prof. Dr. Mark Huijbregts – Kepakaran dan semangat tinggi beliau dalam bidang LCA serta merupakan nama besar bidang LCA di Eropah sehingga beliau mendapat gelaran Profesor seawal usia 38 tahun amat saya kagumi.
Prof. Dr. Shabbir Gheewala – Walaupun seorang yang amat dikenali dalam bidang LCA di Asia, namun sikap rendah diri beliau banyak mengajar saya nilai murni seorang akademik serta sentiasa memberi dorongan supaya jangan mudah putus asa dalam mengejar cita-cita.
Ringkaskan satu pengalaman paling mencabar dalam bidang penyelidikan & pengajaran boleh di ambil?
Cabaran utama adalah meyakinkan masyarakat, industri dan pembuat dasar akan keperluan aplikasi LCA untuk industri dalam memenuhi matlamat pembangunan mampan (SDGs). Bidang LCA yang masih baru di Malaysia ini juga perlu melibatkan penyelidikan dan kepakaran merentas bidang seperti kejuruteraan, kimia, alam sekitar, sains sosial, ekonomi dan matematik. Namun, penyelidikan berteraskan transdisiplin ini masih kurang difahami terutamanya oleh penyelidik dan pelajar universiti. Jadi cabaran untuk mencari titik keharmonian dalam penyelidikan berteras transdisiplin seperti LCA ini memerlukan komitmen yang tinggi supaya ia dapat direalisasikan dan supaya output penyelidikan ini bersifat translasional yang turut memberi manfaat kepada komuniti dan masyarakat.
Pengajaran daripada cabaran ini saya rasakan adalah perlunya kita menghargai semua bidang penyelidikan kerana setiap satu cabang ilmu memberi manfaat kepada manusia. Kerjasama dan kolaborasi amat penting dalam menghasilkan penyelidikan yang bermutu terutamanya dalam bidang sains. Mungkin pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering dan Math) boleh diperkembangkan kepada STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Art dan Math) di mana ia dapat menarik minat anak-anak cilik daripada pelbagai latarbelakang pendidikan untuk meminati bidang sains yang bukan sahaja pada teorinya malah pada tahap aplikasinya juga. Kini saya sedang membangunkan model pendidikan STREAM yang diberi nama EduSTREAM.
Apa menyebabkan anda masih bertahan dalam penyelidikan saintifik?
Selain minat yang mendalam terhadap penyelidikan saintifik, saya percaya ilmu dan penyelidikan itu harus diterokai, difahami dan dikongsi bersama kerana tanpa ilmu sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.
Pengalaman paling menarik?
Pengalaman paling menarik sepanjang pengajian PhD saya di Radboud University Nijmegen, the Netherlands adalah bimbingan berharga daripada penyelia iaitu Prof. Dr. Mark Huijbregts banyak membentuk jati diri serta membina keyakinan diri saya. Sebahagian penyelidikan saya yang diketuai oleh beliau di bawah kerjasama industri Exxon Mobil dan spin-off FP7 EU-projects merupakan satu pengalaman yang memotivasikan saya menghasilkan penyelidikan yang berimpak. Kata-kata beliau yang amat memberi kesan adalah saya mampu menjadi hebat jika saya percaya akan kebolehan diri serta sentiasa bersikap positif dan rajin mencabar diri. Selain itu, peluang menyertai kem musim panas di Norwegian University of Science and Technology (NTNU), Trondheim Norway serta pengalaman menghadiri persidangan antarabangsa Society of Environmental Toxicology and Chemistry di Seville, Spain dan Goteborg, Sweeden dan kolaborasi bersama pakar bidang LCA di Eropah merupakan di antara pengalaman paling manis sepanjang pengajian PhD.


Nasihat untuk remaja yang berminat dalam bidang sains?
Jadikan minat ini sebagai pendorong untuk mendalami bidang sains. Namun minat sahaja belum mencukupi tanpa komitmen dan disiplin terhadap sesuatu bidang yang diceburi. Banyakkan mengunjungi pameran dan seminar berkaitan Sains dan Teknologi serta menimba ilmu bidang sains daripada pelbagai wadah seperti guru, buku penulisan, dokumentasi di televisyen dan sebagainya. Tanamkan rasa minat dalam diri sebagai duta kecil memperkenalkan dunia sains dan teknologi kepada masyarakat.
Aktiviti/hobi kegemaran selain ‘bekerja’?
Hobi saya selain bekerja adalah melancong kerana ia memberi kepuasan dan ketenangan dengan menerokai alam semulajadi serta meraikan persamaan dan perbezaan budaya, bahasa, bangsa dan makanan tradisi bagi negara-negara yang saya kunjungi.
