Penulis: Prof. Madya Dr. Normaliza Ab Malik¹ & Prof. Madya Dr. Nor Ba’yah Abdul Kadir²
¹Pensyarah Pergigian dan Pakar Klinikal Pergigian, USIM
²Pensyarah Psikologi Kesihatan dan Kesihatan Mental, UKM
Pembangunan pantas digital kini telah mencorak pola gaya hidup baru dalam kalangan belia, dengan Permainan Internet muncul sebagai salah satu bentuk permainan masa lapang yang boleh dikatakan paling popular di abad ini. Permainan Internet juga telah diangkat sebagai salah satu e-sukan di dunia termasuk Malaysia. Pada tahun 2024, industri Permainan Internet termasuk permainan video ini telah menjana hampir USD 190 bilion daripada berbilion pemain di seluruh dunia. Permainan video ini telah memenuhi arena permainan digital dengan sokongan ramai, menaikkan pemain menjadi selebriti dan memberi inspirasi kepada generasi baru. Namun, antara kesan kebangkitan ‘e-sukan’ ialah risiko psikologi dan kesihatan badan termasuklah Kesihatan oral yang perlu diberi perhatian.
Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5-TR) telah mencadangkan kriteria Kecelaruan Permainan Internet (IGD). IGD dicirikan oleh tingkah laku bermain permainan dalam talian atau luar talian yang berterusan dan bermasalah, yang membawa kepada kerosakan atau kesusahan yang ketara. Diagnosis atau penilaian untuk membuat analisis terhadap keadaan pesakit atau situasi IGD memerlukan seseorang mengalami sekurang-kurangnya lima daripada sembilan kriteria berikut dalam tempoh 12 bulan dan tingkah laku ini menyebabkan kesukaran yang ketara dalam kehidupan individu tersebut:
- Terlalu asyik dengan permainan.
- Mengalami simptom penarikan seperti kesedihan, kegelisahan atau mudah marah apabila tidak dapat bermain.
- Meningkatkan masa bermain untuk memenuhi keinginan.
- Tidak berjaya mengurangkan atau mengawal masa bermain.
- Menyerahkan aktiviti lain atau kehilangan minat terhadap aktiviti yang sebelum ini diminati kerana permainan.
- Terus bermain walaupun menghadapi masalah akibat permainan.
- Menipu ahli keluarga atau orang lain tentang tempoh masa yang dihabiskan untuk bermain.
- Menggunakan permainan untuk melegakan perasaan negatif seperti rasa bersalah atau putus asa.
- Mengalami risiko atau kehilangan pekerjaan atau hubungan penting disebabkan oleh permainan.
Walaupun permainan dalam talian boleh menjadi aktiviti yang selamat, menyeronokkan dan merangsang minda, penglibatan yang berlebihan tanpa kawalan atau pemainan yang tidak sesuai boleh membawa kepada masalah kesihatan termasuk risiko psikologi dan kesihatan mulut (oral). Ini kerana prestasi dalam permainan tidak hanya bergantung pada kemahiran sahaja; permainan dalam talian memerlukan tindak balas masa nyata dan sambungan internet yang stabil. Sedikit kelewatan atau masa lag boleh menjadi penentu sama ada permainan itu berjaya atau gagal. Oleh itu, ia memerlukan fokus yang tinggi dan pengorbanan masa yang berbeza mengikut zon waktu antara negara.
Gangguan Psikologi
Salah satu cabaran kesihatan yang perlu diberi perhatian ialah kesan psikologi dan sosial akibat IGD. IGD bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan mental dan sosial malah boleh mengganggu kehidupan atau aktiviti harian serta hubungan interpersonal seseorang. Dari segi psikologi, pemain yang terlibat sering mengalami tekanan emosi, kebimbangan, kemurungan dan rasa terasing akibat ketagihan bermain. Manakala dari segi sosial, mereka mungkin menghadapi masalah seperti penarikan diri daripada keluarga dan rakan, kurangnya interaksi sosial yang berkualiti serta prestasi akademik atau pekerjaan yang merosot.
Kajian menunjukkan bahawa faktor seperti kesunyian, kebosanan dan kurangnya sokongan daripada keluarga boleh menyebabkan individu menggunakan permainan dalam talian sebagai cara untuk menghindari tekanan atau mengurangkan rasa negatif. Tambahan pula, kekurangan penglibatan dalam aktiviti fizikal atau sukan juga boleh memburukkan keadaan, kerana aktiviti sukan bukan sahaja membantu memupuk kesihatan fizikal malah turut meningkatkan kesejahteraan emosi dan sosial. Oleh itu, menggalakkan penyertaan dalam sukan dan aktiviti luar merupakan satu pendekatan penting untuk mengurangkan risiko IGD dan merangkumi pendekatan holistik dalam menangani tekanan psikologi serta kesan sosial yang berkaitan.
Risiko psikologi seperti kesunyian, kebosanan, serta fungsi keluarga yang terganggu mempunyai kaitan yang kuat dengan simptom IGD. Individu yang mengalami tahap kesunyian dan kebosanan yang tinggi cenderung menunjukkan simptom seperti terlalu asyik dengan permainan video, meluangkan masa yang lama untuk mencapai kepuasan, kehilangan minat terhadap aktiviti lain, meneruskan permainan walaupun menghadapi masalah dan mengalami gangguan dalam hubungan sosial dengan keluarga atau orang sekeliling. Selain itu, suasana keluarga yang tidak harmoni atau kurang sokongan turut dikaitkan dengan peningkatan risiko IGD kerana individu tersebut mungkin menggunakan permainan sebagai cara untuk melarikan diri atau menghadapi tekanan.
Kesihatan Oral
Selain itu, IGD juga boleh memberi kesan tidak langsung kepada kesihatan badan dan mulut atau oral melalui perubahan tingkah laku dan gaya hidup yang berkaitan dengan ketagihan permainan. Ketagihan ini sering mengakibatkan pengabaian kesihatan badan termasuk kebersihan diri dan oral, yang seterusnya meningkatkan risiko masalah kesihatan fizikal dan oral. Individu yang mengalami IGD cenderung menghabiskan masa yang lama bermain permainan, sehingga rutin penjagaan kesihatan diri seperti memakan ubat pada waktunya atau memberus gigi sering diabaikan. Keadaan ini meningkatkan kemungkinan kesihatan diri merosot dan pembentukan plak gigi yang boleh menyebabkan kerosakan gigi dan keradangan gusi. Selain itu, tabiat makan makanan ringan atau snek yang tinggi gula, serta pengambilan minuman bergula seperti soda atau minuman tenaga semasa bermain, turut menyumbang kepada risiko kesihatan badan dan dan keadaan oral yang lebih teruk.
Makanan dan minuman manis dapat merangsang pengeluaran asid oleh bakteria di dalam mulut, yang meningkatkan risiko kerosakan gigi serta boleh mengakibatkan hakisan gigi, terutama sekali apabila melibatkan minuman berasid. Gangguan tidur yang terjadi akibat ketagihan permainan berkait rapat dengan corak tidur yang tidak teratur, dan ini boleh melemahkan fungsi imun badan, sekali gus menjadikan kesihatan badan terganggu dan gusi yang lebih mudah terdedah kepada keradangan. Kelekaan semasa bermain juga boleh menyebabkan bruxism, iaitu keadaan tabiat menggigit dan menggeser gigi yang biasa berlaku dalam kalangan individu yang mengalami kecemasan, kemurungan, atau tekanan psikologi. Bruxism ini boleh membawa kepada kehausan struktur enamel gigi. Selain itu, xerostomia (mulut kering) yang disebabkan oleh penggunaan ubat-ubatan atau tekanan turut meningkatkan risiko kerosakan gigi dan penyakit gusi. Tekanan psikologi juga boleh menjadi punca berlakunya ulser mulut.
Namun begitu, kajian menunjukkan bahawa kecelaruan gangguan internet atau IGD ini hanya memberi kesan kepada sebahagian kecil individu yang terlibat dalam aktiviti permainan digital atau video. Mereka yang aktif bermain perlu sentiasa peka terhadap masa yang dihabiskan terutamanya apabila ia mengabaikan tanggungjawab dan aktiviti harian yang lain termasuk penjagaan solat. Keluarga juga harus peka terhadap sebarang perubahan kesihatan fizikal, psikologi dan sosial anggota keluarga yang bermain permainan Internet kerana perubahan ini boleh menjadi tanda awal IGD yang berpotensi memudaratkan.
Oleh itu, pengamalan disiplin dalam aktiviti permainan merupakan langkah pencegahan yang paling berkesan. Kajian turut menekankan kepentingan strategi pencegahan kesihatan mental dan program intervensi awal termasuk pendidikan kesedaran tentang penjagaan kesihatan badan seperti kebersihan mulut, pemakanan seimbang serta kesejahteraan mental. Sistem sokongan berasaskan keluarga memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko IGD dan kesihatan secara amnya di dalam kalangan golongan muda.
Langkah pencegahan ini amat penting untuk menangani IGD, sekaligus memastikan manfaat positif permainan dapat terus dinikmati, khususnya dalam membantu memupuk masyarakat digital yang lebih sihat terutamanya dalam kalangan belia.
Kredit foto-NYT




