Penulis: Nurul Syazwani Ahmad Sabri, PhD
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia
Pernahkah badan anda memberi isyarat tidak selesa seperti perut tiba-tiba ‘bergolak’ apabila berhadapan dengan situasi yang mencemaskan atau mendebarkan? Reaksi tersebut bukanlah satu kebetulan tetapi merupakan satu tindak balas tubuh terhadap stres. Stres terjadi apabila manusia terdedah kepada penekan atau stressor yang berpunca daripada rangsangan psikologi, sosial, pekerjaan atau persekitaran. Menariknya, kesan stres bukan sekadar tekanan emosi yang hanya dirasai oleh minda tetapi juga mempengaruhi komuniti mikrobiota yang hidup di dalam usus kita. Kajian saintifik mendedahkan bahawa komuniti mikroorganisma ini berkomunikasi secara aktif dengan otak melalui paksi otak-usus atau lebih dikenali sebagai gut-brain axis yang kemudiannya mempengaruhi emosi, kawalan stres dan kesihatan mental kita. Dalam artikel ini, kita akan menelusuri bagaimana mikrobiota usus berfungsi sebagai ‘ahli psikologi’ semula jadi dalam tubuh manusia.
Mikroorganisma
Mikrobiota usus merupakan komuniti mikroorganisma yang sangat penting dalam mengekalkan kesihatan manusia secara menyeluruh, bukan sahaja dari segi pencernaan tetapi juga keseimbangan emosi dan sistem imun. Mikrobiota usus merujuk kepada komuniti mikroorganisma yang terdiri daripada ribuan spesies berbeza yang mendiami saluran pencernaan manusia. Luas permukaan usus dianggarkan sebesar saiz gelanggang tenis (sekitar 200 hingga 300 meter persegi), menjadikannya habitat luas bagi mikrobiota. Permukaan usus yang luas ini telah menempatkan sekitar 100 trilion sel mikrobiota yang terdiri lebih daripada 1,000 spesies yang berbeza. Antara mikrobiota yang paling banyak dikaji dan terbukti memberi manfaat terhadap kesihatan manusia adalah Lacticaseibacillus paracasei Shirota strain, yang membantu melancarkan fungsi usus dan menguatkan sistem imun melalui peningkatan aktiviti sel pembunuh semula jadi. Selain itu, Lactobacillus acidophilus dan Bifidobacterium bifidum memainkan peranan penting dalam mengurangkan keradangan usus serta menyokong keseimbangan mikrobiota yang sihat, yang seterusnya memberi kesan positif kepada fungsi otak dan emosi manusia. Mikrobiota juga menghasilkan metabolit penting seperti asid lemak rantai pendek (SCFA) yang menyokong kesihatan usus dan sistem imun. Kesemua mikrobiota usus ini mempunyai interaksi kompleks dalam paksi otak-usus untuk mempengaruhi bukan sahaja kesihatan fizikal tetapi juga mental.
Usus dan otak berkomunikasi melalui sistem komunikasi kompleks yang melibatkan tiga laluan utama iaitu saraf vagus, sistem endokrin dan sistem imun. Saraf vagus ialah saraf kranial terpanjang yang menghubungkan usus secara langsung ke batang otak. Ia berfungsi sebagai ‘kabel komunikasi’ utama untuk mikrobiota usus menghantar isyarat elektrik dua hala ke pusat emosi dan kognitif di otak, mempengaruhi perasaan dan tindak balas stres. Ini berlaku melalui penghasilan neurotransmitter penting seperti serotonin, dopamin dan asid gamma-aminobutirik (GABA). Contohnya, sekitar 90% serotonin badan dihasilkan dalam usus oleh sel-sel enterochromaffin yang dirangsang oleh bakteria seperti Bacteroides dan Faecalibacterium, manakala GABA dihasilkan oleh Lactobacillus rhamnosus bagi membantu mengurangkan kegelisahan dan stres. Tambahan pula, prekursor dopamin turut dihasilkan oleh Enterococcus faecalis, Enterococcus faecium dan Lactobacillus yang mengawal keadaan emosi yang positif serta rasa kepuasan dan kegembiraan manusia. Selain neurotransmitter, mikrobiota usus seperti Faecalibacterium prausnitzii dan Roseburia juga menghasilkan SCFA. SCFA ini mempunyai peranan yang penting dalam mengurangkan keradangan otak dan merangsang faktor neurotopik yang menyokong kesihatan neuron dan kestabilan emosi.
Sistem endokrin juga memainkan peranan dalam komunikasi usus-otak dengan mengawal pengeluaran hormon stres utama seperti kortisol melalui interaksi dengan paksi hipotalamus-pituari-adrenal (HPA). Mikrobiota usus dapat mempengaruhi aktiviti paksi HPA dengan mengawal pengeluaran hormon pelepas kortikotropin (CRH) di hipotalamus. Bakteria baik seperti Bifidobacterium dan Lactobacillus membantu menurunkan pengeluaran CRH, sekaligus mengurangkan tahap kortisol di dalam badan. Tambahan lagi, sistem imun turut membantu dalam mengatur tindak balas keradangan dan pengeluaran sitokin yang membantu mengekalkan keadaan emosi yang stabil. Mikrobiota usus yang sihat akan mengawal pengeluaran sitokin pro-keradangan seperti IL-6 dan TNF-α serta anti-keradangan seperti IL-10. Sitokin ini boleh menyeberangi penghalang darah-otak dan mencetuskan neuroinflamasi yang mengganggu fungsi emosi.
Apabila terjadinya keadaan di mana tidak terdapat keseimbangan mikrobiota atau dysbiosis, ini boleh memberi kesan yang signifikan terhadap sistem komunikasi usus dan otak. Kajian saintifik menunjukkan individu dengan regulasi emosi yang lemah mempunyai pengurangan mikroorganisma penghasil butirat sebanyak 30%. Dysbiosis juga meningkatkan kebolehtelapan usus atau ‘leaky gut’ dengan membenarkan toksin seperti lipopolisakarida (LPS) memasuki ke dalam darah dan mencetuskan keradangan sistemik yang mempengaruhi keadaan emosi manusia. Pesakit yang menghidapi kemurungan yang kronik menunjukkan tahap LPS dalam darah sebanyak 2 hingga 3 kali lebih tinggi berbanding individu sihat. Pemerhatian ini jelas menunjukkan hubungan di antara keradangan usus dan gangguan emosi manusia. Dalam model haiwan, tikus germ-free yang tidak mempunyai mikrobiota dilaporkan menjadi hiperaktif serta menunjukkan tindak balas paksi HPA yang tinggi terhadap stres dengan peningkatan kortisol sebanyak 300% berbanding tikus normal. Kesan dysbiosis terhadap tahap kortisol turut disokong oleh kajian pada pesakit sindrom iritasi usus (IBS) yang melaporkan tahap kortisol sebanyak 40% lebih tinggi berbanding individu sihat. Tahap kortisol yang tinggi ini dikaitkan dengan pengurangan neurogenesis di hippocampus, bahagian otak yang penting untuk penyimpanan memori dan pengawalan emosi. Stres akut turut mengurangkan penghasilan butirat oleh mikrobiota, meningkatkan kebolehtelapan usus dan membenarkan LPS memasuki darah. Keadaan ini seterusnya mengaktifkan mikroglia otak dan mengganggu keseimbangan emosi, lalu menyumbang kepada kemurungan. Kesemua mekanisme ini menegaskan peranan penting mikrobiota usus dalam mengekalkan komunikasi yang sihat antara usus dan otak, serta dalam mengawal kesejahteraan mental dan fizikal secara holistik.
Komuniti mikrobiota usus ini sangat kompleks dan unik bagi setiap individu, di mana pemahaman mendalam tentang mikrobiota ini membuka peluang kepada pendekatan baru dalam rawatan masalah kesihatan mental dan fizikal yang berkaitan dengan stres dan disbiosis usus. Psikobiotik seperti Lactobacillus helveticus R0052 dan Bifidobacterium longum telah menunjukkan keberkesanan dalam meningkatkan serotonin sebanyak 27% dan mengurangkan gejala kemurungan melalui modulasi keradangan sistemik. Meta-analisis 11 kajian klinikal mengesahkan probiotik mengurangkan kemurungan dan kebimbangan, terutamanya pada individu yang mempunyai gejala sederhana. Diet prebiotik yang tinggi dengan serat seperti bawang dan pisang pula meningkatkan bakteria penghasil SCFA seperti Faecalibacterium prausnitzii. Mikroorganisma ini dikaitkan dengan penurunan kebimbangan dan stres sebanyak 60%, hasil daripada ujian kajian rawak yang dijalankan selama 8 minggu ke atas 119 orang dewasa. Namun, kombinasi sinbiotik, iaitu probiotik dan prebiotik, tidak menunjukkan manfaat tambahan berbanding pengambilan prebiotik sahaja. Hasil kajian ini mungkin disebabkan oleh interaksi kompleks antara strain probiotik dan substrat prebiotik yang sukar dicernakan dan diproses oleh mikrobiota usus.
Untuk terapi masa depan, pemindahan mikrobiota tahi (FMT) menunjukkan potensi dalam kajian praklinikal dengan meningkatkan neurokimia seperti serotonin dan GABA serta menurunkan penanda keradangan seperti IL-6 dan TNF-α yang menyumbang kepada gejala kemurungan. Kajian ke atas model tikus mendapati FMT daripada penderma sihat dapat memulihkan keseimbangan Bacteroidetes/Firmicutes dan mengurangkan kemurungan. Pendekatan precision medicine atau perubatan yang diperibadikan juga sedang dikaji di mana rawatan pesakit akan disesuaikan mengikut keadaan mikrobiota usus setiap individu. Ini kerana setiap orang mempunyai jumlah dan jenis mikrobiota usus yang berbeza. Dengan mengetahui profil mikrobiota seseorang, doktor boleh memilih jenis probiotik yang paling sesuai untuk membantu memperbaiki keseimbangan bakteria dalam ususnya. Contohnya, strain Lactobacillus rhamnosus dapat membantu pesakit kemurungan dengan meningkatkan penghasilan GABA yang membantu menenangkan pesakit melalui komunikasi dengan saraf vagus. Walaupun pendekatan ini sangat menjanjikan, kajian lanjut masih perlu dijalankan untuk memastikan keselamatan jangka panjang dan protokol rawatan yang optimum.
Selain konsumasi probiotik, aktiviti fizikal seperti bersenam juga mempunyai kesan signifikan terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan emosi. Kajian sistematik dan meta-analisis daripada pelbagai ujian kajian rawak menunjukkan bahawa senaman dapat mengurangkan gejala kemurungan dengan kesan sederhana apabila dipraktikkan sebagai rawatan tunggal atau digabungkan dengan rawatan lain seperti terapi tingkah laku kognitif. Aktiviti fizikal juga dikaitkan dengan peningkatan emosi, pengurangan kebimbangan, dan peningkatan kualiti tidur, yang kesemuanya menyumbang kepada kesejahteraan mental yang lebih baik. Selain itu, senaman juga dapat membantu mengawal fungsi paksi HPA, serta mengurangkan keradangan sistemik yang mempengaruhi kesihatan mental. Oleh itu, pemahaman mendalam mengenai peranan mikrobiota usus dan intervensi seperti psikobiotik, diet prebiotik, serta aktiviti fizikal membuka peluang baru dalam pendekatan rawatan kesihatan mental yang lebih holistik. Intervensi ini bukan sahaja membantu mengimbangi mikrobiota usus dan mengurangkan keradangan, tetapi juga menyokong fungsi otak dan sistem saraf melalui pelbagai mekanisme biologi. Jelaslah bahawa penjagaan usus bukan sahaja untuk proses penghadaman yang lancar tetapi juga tentang penjagaan emosi dan minda kita. Jadi, apa kata kita mula dengar ‘suara’ mikrobiota kita hari ini?
Kredit foto-ambarlabdotcom




